Sabtu, Disember 03, 2011

Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Keluar pulau untuk ke Medan

Bersambung dari Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Cabaran pusing pulau.


Sabtu 5 November 2011, perjalanan kami sudah masuk hari ke 4.


Suasana di Pulau Samosir agak redup tetapi cerah. Begitulah keadaan yang dapat dilihat dari pagi hingga ke tengahari.


Hampir jam 1 waktu tempatan kami sudah berada di jeti. Perhatikan Rasyid tidak memakai kasut. Sebab kasut sebelah tercabut semasa pusing Pulau Samosir hari Jumaat seperti diceritakan dalam artikel sebelum ini.



Setelah 2 malam menginap kami sudah bersedia untuk keluar pulau.


Tak lama kemudian kami berada di atas bot ataupun feri.


Dari atas bot saya dapat menangkap sejumlah gambar yang amat cantik. Lihat artikel The boat ride from Tuk-tuk to Parapat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Setengah jam kemudian sampai di Parapat. Nasib baik di jeti ada orang menjual kasut, ada pula yang cantik dan muat untuk Rasyid.


Dengan itu kami pun berjalan-jalan melihat Parapat, bandar utama untuk keluar masuk pulau. Kebetulan hari itu ada pasar yang diadakan setiap Sabtu. Lihat The Saturday market at Parapat.



Oh. Sebelum itu kami telah menempah kereta sewa ke Medan. Sekitar jam 2.15, setelah cukup penumpang kami pun bergerak.


Singgah sebentar di masjid raya atau masjid utama Parapat kerana saya mahu mengambil gambar. Lihat artikel Masjid Raya (Main mosque of Parapat) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Perjalanan membawa kami lalu di kota Permatang Siantar di mana pemandu singgah untuk urusan pejabat. Saya memintanya agar membawa saya ke masjid utama untuk mengambil gambar. Lihat Masjid (Mosque of) Permatang Siantar.


Malam sekitar jam 8 waktu tempatan (ingat, di sini Maghrib masuk jam 6.15 gitu), baru kami sampai ke Medan. Atas permintaan, pemandu menurunkan saya, isteri dan anak di sebuah hotel yang sangat dekat dengan satu bangunan yang sangat ikonik di Medan. Hotelnya boleh tahan besar. Tinggal satu bilik sahaja untuk disewa. Menariknya ia adalah bilik bernombor 313. Teringat 313 ahli Perang Badar, 313 jumlah Rasul dan 313 tentera Thalut melawan Jhalut.


Kebetulan kami memang ingin menginap 3 malam di Medan. Keluar sahaja dari hotel boleh kelihatan bangunan ikon yang dimaksudkan iaitu Masjid Raya Al-Mashun yang sangat terkenal.



Adapun kami sampai pada malam 10 Zulhijjah iaitu Hari Raya Haji atau Aidil Adha. Semasa sampai di hotel masih kedengaran laungan takbir dari masjid. Tetapi selepas berehat sedikit, mandi dan bersiap baru kami ke masjid. Dari sini nanti saya akan betul-betul mengenang kembali perjalanan sebenar "Berpetualang ke Aceh" seperti diceritakan dalam siri trilogi novel yang dibuat tahun 2006 dan 2007 itu, perjalanan yang dilakukan Januari 2004 untuk memasuki Aceh ketika ia masih lagi dilanda darurat perang. Tunggu penceritaannya dalam beberapa lagi ya, insyaallah! Biar dimaklumkan ini adalah artikel ke 929 di blogspot ini. :]



Tiada ulasan:

Catat Ulasan