Rabu, September 21, 2011

Tentang perjalanan sekitar raya dan promosi buku

Dari kanan : Engku Azuan, saya, Tengku Syawal dari Kampung Gelam, Singapura, waris Tengku Alam ibni Sultan Ali yang penguasaannya ke atas Johor diambil alih oleh Temenggung Johor (yang keturunannya kini menjadi Sultan-sultan Johor) diikuti Tengku Rosdi dari Johor Bahru, seorang lagi waris Sultan Ali tapi dari seorang anak yang lebih muda (lupa pula namanya) serta isteri di majlis pertemuan waris-waris Temenggung Muar di Segamat baru-baru ini.


Assalamualaikum semua. Sebenarnya saya belum bercadang untuk membuat apa-apa posting baru selagi belum selesai satu majlis tertentu yang dijadualkan berlangsung malam esok. Tapi tadi seorang kenalan telah menegur dengan berkata sesawang ini sudah lama dibiarkan bersawang sahaja lantaran tidak dikemaskinikan sejak seminggu lalu. Maka biarlah diberitahu pada malam Jumaat 16 September 2011 saya, isteri dan anak telah bermalam di Kajang sebelum pergi berjalan-jalan di Seri Menanti kemudian melihat empangan Hulu Muar sebelum menziarahi makam Tuan Tulis.

Seterusnya kami ke Kuala Pilah dan Bahau sebelum bermalam di Felda Jelai. Esoknya 17 September berkejar ke Segamat untuk menghadiri satu majlis pertemuan waris-waris Temenggung Muar sebelum ke Labis, Kampung Tenang, Bukit Kepong, Lenga dan kembali bermalam di kampung ibu di Muar. Ahad 18 September pula kami berkejar ke Kluang untuk satu lagi majlis pertemuan waris Temenggung Muar. Saya pun mengambil peluang untuk melawat lagi sekolah lama saya Sekolah Menengah Sains Johor yang ditinggalkan 25 tahun lalu. Kemudian kami ke Air Hitam, Parit Sulong, singgah lagi di Muar sebelum ke Melaka dan kembali ke rumah.

Seperti biasa perjalanan ini akan diceritakan nanti dalam blogspots. Insyaallah beberapa perjalanan lain akan menyusul dalam masa terdekat sebelum dibuat satu perjalanan lebih jauh ke luar negara untuk menyusul satu hal. Buat masa ini biar ditambah lagi satu perkara pada artikel ini iaitu tentang kos penghantaran buku...

Oh. Terlupa pula hendak menyebut bahawa saya pergi ke majlis-majlis tersebut kerana dijemput mempromosi buku selain merapatkan silaturrahim. Maka biar diberitahu. Tadi satu bungkusan Pos Ekpress yang diposkan semalam untuk pembaca yang menempah 2 naskah buku saya 'tersangkut' di pejabat Pos Laju. Alasannya kerana isi dalam sampul lebih tebal dari yang dibenarkan sedangkan sebelum ini saya tidak pernah menghadapi masalah begitu. Rupa-rupanya tugas mengendalikan Pos Ekspress telah diserahkan kepada Pos Laju sejak sebulan lalu dan mereka sangat berkira berbanding badan induk Pos Malaysia. Lalu saya terpaksa mengambil balik buku sedangkan harga sampul Pos Ekspress yang sudah dibayar tidak diberi gantirugi lalu menghantar sendiri buku ke pejabat pembaca tersebut... itupun nasib baik setakat di Kuala Lumpur dan tadi saya memang lalu bandaraya kerana ada urusan di Angkasapuri.

Keadaan ini menyebabkan selepas ini saya cuma boleh menggunakan sampul kotak pos ekspess RM6 dan RM7 sahaja untuk mengepos buku, bukan seperti sebelum ini di mana sampul RM4.50 boleh digunakan untuk mengepos satu atau dua buku, sampul RM7 boleh digunakan untuk mengepos 3 buku sekaligus, sesekali sahaja harus menggunakan dua sampul RM4.50 untuk mengepos tiga buku apabila sampul RM7 kehabisan stok.

Dengan ini biar dimaklumkan. Kos pos untuk siri "Berpetualang ke Aceh" harus dinaikkan untuk menampung perubahan ini. Jika dahulu kos campur pos untuk buku pertama siri dengan tajuk kecil "Mencari diri dan erti" (BKA I) dan buku kedua "Membela syiar yang asal" (BKA II) adalah RM30 setiap satu, kini saya terpaksa meletakkan harga RM31. Untuk buku ketiga "Sirih pulang ke gagang?" (BKA III) pula selama ini saya telah menyerap kos sebanyak RM2.40 setiap kali penghantaran senaskah apabila turut meletakkan kos campur pos sebanyak RM30. Kini saya terpaksa meletakkan harga RM34.

Namun itu adalah kos jika membeli satu sahaja buku. Untuk dua buku saya masih boleh menyerap kos kerana boleh menggunakan satu kotak Pos Ekspress RM7. Maka harga RM60 campur kos pos masih terpakai untuk pembelian mana-mana dua buku dalam siri ini. Harga RM90 untuk tiga buku atau satu set juga masih terpakai kerana saya cuma perlu menyerap 70 sen sahaja bagi setiap penghantaran. Harap maklum

Lagi satu yang hendak diberitahu. Insyaallah buku terbaru saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" akan diulas secara live di kaca televisyen tidak lama lagi. Saya akan menggunakan peluang ini untuk turut mempromosi buku-buku saya yang lain iaitu 3 di bawah siri "Berpetualang ke Aceh" (pernah diulas dalam televisyen 4 tahun lalu tetapi untuk 2 buku sahaja kerana BKA III belum terbit ketika itu), 2 buku mewah yang diterbitkan dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka ("Rumah Azan" dan "Kereta api menuju destinasi") serta "Ahlul Bait (family) & Malay Sultanates" yang merupakan terjemahan ke bahasa Inggeris buku "Ahlul Bait (keluarga) & Raja-raja Melayu". Hampir ke tarikh yang dirancang nanti baru saya bagi maklumat lanjut. Esok lusa pula saya akan mula bercerita tentang perjalanan yang baru dilakukan dalam tempoh seminggu ini ya. Wassalam. :]



Tiada ulasan:

Catat Ulasan