Rabu, Jun 01, 2011

Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Dari Tanah Serendah Sekebun Bunga ke Bukit Marak

Assalamualaikum semua. Setelah 9 hari berehat sambil mengalihkan perhatian kepada perkara lain, setelah dibuat 3 artikel selingan, biarlah disambung kembali penceritaan perjalanan ke/di Pantai Timur penghujung 2010. Bersambung dari Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Malam di Saba dan Kubang Kerian.



Artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Malam di Saba dan Kubang Kerian diakhiri 9 hari lalu dengan gambar di luar Masjid Tok Kenali. Sebenarnya kami anak-beranak bermalam di masjid itu. Hampir waktu Subuh kelihatan seorang berjubah putih bersolat seorang diri berdekatan mihrab.




Saya pun bersolat Subuh di belakangnya. Beliau tersenyum sahaja apabila diberitahu kami anak-beranak tumpang tidur di masjid kemudian menjemput kami datang bersarapan di rumah.




Inilah orang yang menjemput kami iaitu di kanan dalam gambar. Nama beliau adalah Haji Lokman bin Haji Ahmad bin Haji Yusuf di mana Haji Yusuf itu adalah nama sebenar Tok Kenali. Makanya beliau yang dipanggil Ayah Man ini adalah cucu kepada Tok Kenali. Kalau nak tahu inilah ayah kepada bekas pelakon dan pengacara Bob Lokman yang kini telah masuk parti politik PAS.




Ayah Man masih kenal saya kerana telah beberapa kali bermalam di Masjid Tok Kenali. Cuma inilah kali pertama saya membawa anak-anak dan isteri bermalam bersama. Beliau juga ingat saya pernah membuat artikel bertajuk Mari kita bantu baik pulih Dewan Tok Kenali sampai siap! Amacam? dua tahun lepas. Lalu saya ditunjukkan pelan terbaru pengubahsuaian Dewan Tok Kenali.




Kata Ayah Man yang mengetuai madrasah @ sekolah pondok peninggalan Tok Kenali pihaknya masih belum cukup dana.




Diharap pembaca dapat menolong menyumbangkan sesuatu atau sekurang-kurangnya menyampaikan cerita kepada pihak yang lebih mampu. Ayah Man boleh dihubungi di talian 012-9540237 dan 09-7654666. Boleh juga datang sendiri mencarinya dan ahli keluarga di Dewan Tok Kenali, Pondok Tok Kenali, Lorong Tok Kenali, Jalan Tok Kenali, 16150 Kota Bahru, Kelantan.




Seterusnya kami menziarahi makam Tok Kenali.




Kali terakhir kami ke situ bulan Ramadhan 2009, anak kecil kami Al-Rasyid belum lahir, masih menginap dalam perut (7 bulan dah masa tu). Maka tentunya lawatan kali ini lebih meriah dengan Rasyid sudah berumur setahun dua bulan. Lihat artikel Tomb of Tok Kenali revisited di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Perjalanan diteruskan menghala ke barat-daya. Singgah sebentar di masjid yang kelihatan. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Perol, Kota Bahru di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).





Destinasi kami adalah Kedai Piah. Adakah ia kedai milik Puan Safiah atau menjual kopiah? Atau ia menjual kopi yang dibuat oleh Yah atau Kopi Yah? Hmm. Mungkin ini benar di Kedai Cik Yah. Dalam pada itu teringat tempat bernama Kedai Lalat di Kota Jembal yang dilawati hari sebelumnya. Takda pulak orang jual lalat. Rujuk artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Menyusuri jejak Raja-raja Jembal dengan lebih teliti yang dibuat 9 hari lalu kerana ia berkaitan dengan artikel ini juga... :]




Oh. Lupa nak beritahu. Ketika ini hari Khamis 30 Disember 2010, hari ke 6 perjalanan ke/di Pantai Timur penghujung 2010. Nampak satu lagi masjid. Singgah. Lihat Masjid (Mosque of) Paya Lada, Kadok.




Tidak lama kemudian sampailah ke Kedai Piah. Takda pulak orang jual kopiah. Yang ada rasa lapar. Kami pun makan lagi. Sebenarnya ada sesuatu yang sangat istimewa tentang tempat ini. Cuba lihat papantanda di latar belakang.




Nampak tak perkataan "Sekebun bunga"?




Mereka yang tahu sejarah lama Kelantan mesti tahu apakah signifikannya. Selamat datang ke Taman Serendah Sekebun Bunga atau Tanah Serendah Sekebun Bunga. Menurut ceritanya di sinilah pemerintah kerajaan Kelantan lama terkenal, Chik Siti Wan Kembang (entah kenapa saya lebih sukan ejaan Chik daripada Cik) pernah bersemayam. Di sini juga baginda pernah membesarkan anak angkatnya Puteri Saadong yang merupakan anak kandung kepada Raja Loyor yang memerintah di Jembal.


Saya pun mencelupkan kaki sebentar di tasik yang ada. Saya diberitahu bahawa tasik ini asalnya adalah satu liku Sungai Kelantan yang kemudian terpisah dari aliran utama akibat mendapan tanah yang merubah bentuk mukabumi.




Kelihatan papantanda menyebut Chik Siti Wan Kembang bersemayam kira-kira 300 tahun lalu. Saya rasa ada kesilapan di sini kerana baginda dikatakan mula memerintah Kelantan sekitar tahun 1548 Masihi iaitu lebih 450 tahun lalu. Malah ada sumber menyebut Chik Siti juga sudah wujud sekitar tahun 1350an Masihi...


Apapun tempat ini memang memiliki aura yang tersendiri. Di satu bahagian tanah tinggi sedikit seperti anjung melihat ke bawah ada papantanda menyebutnya sebagai tempat mahligai atau istana Chik Siti.




Berdekatan anjung tersebut ada bekas perigi yang sudah dikambus. Untuk lebih banyak gambar di sekitar lihat The place called Taman Serendah Sekebun Bunga.




Seterusnya kami menghala kembali ke arah Kota Bahru untuk pergi ke Padang Halban.




Di sini terdapat makam Raja Abdullah, sepupu kepada Puteri Saadong yang kemudian menjadi suaminya. Lihat Revisiting the tomb of Kelantan's Raja Abdullah.




Difahamkan di sekitar ini pernah berdiri satu pusat pemerintahan yang dipanggil Kota Mahligai. Kiranya selepas menetap di Tanah Serendah Sekebun Bunga bersama bonda angkatnya Chik Siti Wan Kembang, Puteri Saadong menetap di sini pula. Sampailah Raja Abdullah mangkat akibat peristiwa tertentu. Saya juga masuk sebentar di masjid berdekatan. Lihat Masjid (Mosque of) Padang Halban, Peringat.




Destinasi seterusnya adalah satu tempat bernama Gunong yang terletak ke arah timur-laut masuk ke daerah Bachok.




Nama Gunong merujuk pada bukit berdekatan yang tak setinggi mana. Namun saya terasa ada satu aura lama yang saya tak pasti apakah ceritanya.




Yang saya ingat ketika pertama kali dibawa berjalan-jalan di sekitar ini lebih 3 tahun lalu saya terlihat sebuah masjid kayu yang agak cantik. Tetapi apabila dicari tiada pula ia. Yang ada cuma sebuah masjid batu dengan bentuk yang agak pelik. Lihat Masjid (Mosque of) Gunong, Bachok.




Saya cuba melihat lagi sekeliling bukit untuk memastikan apakah ada masjid kayu yang pernah dilihat dahulu. Atau saya yang sebenarnya tersilap pandang? Menariknya dari satu lereng yang telah dijadikan kuari batu-batan saya terasa seperti pernah wujud sebuah istana lama. Atau memang ia masih wujud tetapi tidak kelihatan dengan mata kasar?




Lereng itu berhadapan dengan Kampung Baruh Raja. Apakah ini bermakna memang ada/pernah ada istana di situ?





Perjalanan diteruskan ke Bukit Marak, tempat bersemayamnya Puteri Saadong selepas kemangkatan suaminya Raja Abdullah. Menurut ceritanya Chik Siti Wan Kembang pernah terlebih dahulu bersemayam di sini sebelum membuka Tanah Serendah Sekebun Bunga...





Terus pergi ke sebuah rumah kayu yang terdapat di kawasan terpencil kaki bukit.




Setelah memberi salam kepada tuan rumah saya pun menyuruh anak-anak dan isteri berehat di dalam.





Saya pula terasa gatal kaki hendak memanjat bukit. Lihat The hill called Bukit Marak




Kemudian baru kami bersiap untuk meninggalkan Bukit Marak. Sempat singgah di masjidnya sebelum mengorak langkah lebih jauh. Lihat Masjid (Mosque of) Bukit Marak.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan