Jumaat, April 16, 2010

Maulidur Rasul di Aceh : Makam Sultan Saiyid Maulana Abdul Aziz Shah...

Selepas menyambut Maulud juga bersolat Jumaat di Masjid Nurin Niswah, kami pun pergi menziarahi makam Sultan Saiyid Maulana Abdul Aziz Shah, raja pertama kerajaan Islam Perlak dari nasab Ahlul Bait iaitu keturunan Nabi Muhammad SAW. Lawatan yang dibuat pada hari Maulidur Rasul menjadi lebih bermakna kerana baginda dikatakan menaiki takhta pada hari Jumaat juga lebih kurang 1,200 tahun lalu.






Khamis, April 15, 2010

Maulidur Rasul di Aceh : Majlis Maulud di Masjid Nurin Niswah, Perlak

Sekarang masuklah kita ke artikel ke-7 dalam siri "Maulidur Rasul di Aceh" ini. Tanpa dirancang, masuk juga kita ke artikel utama kerana menurut giliran penceritaan, sampailah masanya untuk memaparkan klip-klip video berkenaan sambutan majlis Maulud yang telah disebut-sebut sebelum ini, majlis merangkap perasmian sebuah masjid baru bernama Masjid Nurin Niswah di Perlak, satu wilayah di mana pernah berdirinya sebuah kerajaan Islam yang berajakan Ahlul Bait anak cucu Nabi Muhammad SAW sejak 1,200 tahun lalu.

Satu perkara menarik... pada pagi hendak berlepas ke masjid baru saya menyedari akan satu kaitan lama kerajaan Perlak dengan Perak seperti dinyatakan dalam artikel Dah jumpa dah di Aceh! Bentuk "lidah terjulur" yang mengaitkannya dengan Perak... yang dibuat Mac 1. Ketika hendak pergi ke masjid pula saya terpisah dengan anak dan isteri serta rombongan asal. Seorang ulamak tempatan telah mengajak saya menaiki keretanya dari Idi ke Perlak. Entah kenapa pemandu yang membawa isteri dan anak juga Haji Muzaffar dan isterinya Puan Suzana pula boleh tersilap arah terambil simpang menghala kembali ke utara sedangkan Perlak terletak di selatan. Nasib baik juga saya menaiki kereta ulamak. Kalau tidak, tentu saya tidak dapat merekodkan majlis seperti tertera di bawah...

OK. Majlis Maulud Nabi ini berlaku pada hari Jumaat 26 Februari 2010 bersamaan 12 Rabiulawal 1431 Hijrah. Maka cukup sesuailah klip-klip video ini mula dipaparkan pada malam ini, malam Jumaat. Sebenarnya ada lagi klip-klip video majlis makan juga majlis syarahan dan zikir dalam masjid. Tetapi cukuplah apa yang dipaparkan... artikel seterusnya akan membawa kita menziarahi makam Sultan Maulana Sayyid Abdul Aziz Shah, raja pertama di Nusantara yang diketahui berketurunan Nabi Muhammad SAW. Salam...






Rabu, April 14, 2010

Maulidur Rasul di Aceh : Rombongan ke Perlak...

Salam Salamaka. Hehe! Bukan apa... cuma teringat bahawa di Tanah Bugis, ulamak terkenal abad ke 17 Masihi bertaraf wali Sheikh Yusuf Tajul Khalwati atau Sheikh Yusuf Makassar turut dikenali sebagai Tuanta Salamaka yang kalau tak salah bermakna "tuan kita yang selamat"...

OK. Kita sambung lagi proses penceritaan melalui klip video. Kali ini baru kita menghampiri matlamat sebenar perjalanan saya, isteri dan anak ke Aceh penghujung Februari 2010 iaitu untuk menghadiri majlis Maulud Nabi atau Maulidur Rasul di Perlak.

Satu perkara menarik tentang aturan cerita dan turutan masa. Rujuk pada artikel pertama siri ini iaitu Maulidur Rasul di Aceh : Dari Perak bertukar ke Perlak... di mana ada disebut bagaimana rancangan asal hendak menyambut Maulidur Rasul di Perak boleh bertukar arah ke Perlak. Tanpa dirancang penceritaan kini sudah membawa kita hampir masuk ke Perlak. Dan ini pula berlaku setelah saya membuat perjalanan terbaru ke Perak, perjalanan yang asalnya mahu dibuat semasa Maulidur Rasul itu! Lihat artikel pendek Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama di Perak yang dibuat 2 hari lalu...






Isnin, April 12, 2010

Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama di Perak

Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan. Pada hujung minggu baru ini saya dan isteri telah membawa anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid yang pada hari Selasa esok akan cukup umur 6 bulan untuk menziarahi lebih 40 makam terpilih di serata negeri Perak. Antara yang dilawati ialah kesemua 29 makam Sultan-sultan Perak yang terdapat di sepanjang Sungai Perak, dari Kuala Kangsar 255 km ke utara Kuala Lumpur turun menyusur aliran sungai 140 km selatan hingga ke Teluk Intan. Namun perjalanan sebenar memakan jarak keseluruhan 600 km dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri hingga kembali melalui Kuala Selangor lewat malam tadi. Ini kerana untuk ke makam-makam tertentu kami perlu berpatah-balik menyeberangi Sungai Perak melalui jambatan di Kampung Gajah untuk mendapatkan bot dari satu kampung yang terletak jauh terpencil di selatan Pasir Salak.

Sukacita juga dimaklumkan, dalam perjalanan inilah saya dapat menziarahi makam 5 orang Sultan yang tidak pernah diziarahi sebelum ini kerana kedudukan yang terpencil lagi susah untuk ditemui mahupun dicapai. Saya juga dapat menunaikan beberapa hajat tertunda, misalnya niat untuk menziarahi makam Sultan ke-4 Perak, Sultan Tajul Ariffin yang terletak di atas sebuah pulau di tengah Sungai Perak. Sembilan tahun lalu iaitu pada penghujung 2001 saya pernah bercadang ke sana tetapi tidap berjaya mendapatkan bot. Kali ini saya dapat membawa anak isteri sehingga ke tempat yang dianggap amat keras lagi keramat ini, begitu ditakuti penduduk tempatan...

Syukur kepada Allah, anak kecil kami Al-Rasyid dapat bertahan malah kami bertiga cuma bermalam di surau dan masjid sahaja. Cerita tentang perjalanan Insyaallah akan diluahkan di blogspot apabila sampai giliran. Maklumlah, cerita lawatan ke Aceh penghujung bulan Februari yang sedang dalam proses penceritaan pun belum selesai... sedangkan saya juga ada cerita lawatan ke Aceh penghujung Januari yang belum dimulakan, juga satu perjalanan ke selatan melihat stesyen-stesyen keretapi yang turut membawa ke banyak tempat menarik dari Rembau hingga ke Johor Bahru.

Sekarang biar saya berehat melepaskan penat-lelah. Pancit wooo.... terutama apabila perlu masuk ke kawasan-kawasan bersemak dengan perut kosong mencari makam di ceruk-ceruk yang tidak dapat dimasuki kenderaan kecuali motosikal ataupun bot, kemudian perlu pula berjalan kaki masuk parit keluar parit dan sebagainya sehingga kasut pun boleh putus, kaki pula berdarah-darah digigit pacat...