Khamis, Disember 23, 2010

Al-Rasyid naik keretapi ke Singapura - Majlis perkahwinan di 2 tempat dan deja vu lama di Masjid Yishun

Ah. Setelah begitu lewat malam baru saya dapat menyambung penceritaan dari artikel Al-Rasyid naik keretapi ke Singapura - Tanjung Pagar, makam Habib Nuh dan faktor 6A-213.


Pagi Ahad 14 November 2010. Setelah puas berehat di rumah seorang bapa saudara yang sedang menunaikan haji, kami pun dibawa kembali ke rumah pengantin.


Majlis kenduri perkahwinan memang dijadualkan hari ini tetapi belum bermula lagi.


Sekarang adalah masa untuk sanak saudara dan kenalan terdekat menikmati dahulu sarapan pagi.



Saya mengambil kesempatan untuk meninjau-ninjau persiapan...





Sebuah bas kuning sampai membawa pemain kompang juga kuda kepang.


Al-Rasyid seronok bermain di sekitar pelamin.


Masuk waktu Zohor baru acara bermula... dengan pengantin lelaki diiringi keluar bertandang ke rumah pengantin perempuan. Ketika itu sudah ramai jemputan duduk makan-makan...


Saya dan sepupu saya Hanif ikut menaiki bas kuning. Al-Rasyid turut dibawa sekali sementara ibunya memilih untuk berehat di tempat pengantin lelaki kerana mendapati dirinya kurang sihat.


Jika rumah pengantin lelaki terletak di Yishun bahagian utara Singapura, rumah pengantin perempuan pula agak jauh ke selatan di pinggir pusat bandaraya. Lihat acaranya yang agak gilang-gemilang di artikel The bride's wedding reception in Singapura pada blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Selesai acara pihak perempuan sampai masa untuk kembali ke tempat laki-laki. Tidak seperti di Malaysia di mana acara pihak perempuan dan laki-laki diadakan berjarak beberapa hari, di Singapura ia diadakan pada hari yang sama. Al-Rasyid menunggu bas bergerak dalam keadaan hujan renyai...


Ternyata sudah ramai yang menunggu di majlis laki-laki. Lihat The groom's turn for reception.

Petang sikit saya terasa mahu menjamakkan solat Zuhur dan Asar lalu ditunjukkan arah ke masjid berdekatan.


Inilah kali pertama saya sampai ke masjid ini. Peliknya saya deja vu lama... dari terlihat kawasan luar masjid hingga ke dalam, dari tempat mengambil wudhuk hingga ke dewan solat semuanya pernah dilihat dalam satu bayangan atau mimpi lama dahulu. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Darul Makmur, Yishun di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

Ini membuat saya teringin melihat puncak bukit di belakang. Hanif pun ikut menemani...

Di sini juga saya ada deja vu. Tak tahulah apa makna semua ini...

Kami kembali ke tempat pengantin beberapa lama kemudian. Kelihatan dalam gambar keluarga terdekat termasuk ibu bapa saya dan adik-beradik ibu yang sampai ke Singapura sekitar jam 4.

Sebenarnya saya sudah terserempak dengan mereka di masjid selepas selesai menunaikan solat. Ketika itu saya ada mengajak Hanif naik ke bukit tapi dia keberatan kerana takut tidak dapat berjumpa dengan saudara-mara yang datang dari arah Johor Bahru.


Dengan kuasa Allah, beberapa orang saudara-mara termasuk ibu bapa saya pun muncul di masjid. Dapatlah saya dan Hanif meluangkan masa di atas bukit. Dengan kuasa Allah juga kami terserempak dengan mereka meninggalkan masjid sebaik sahaja turun dari bukit. Begitulah aturan Qada' dan Qadar. Jika kita bergerak di dalam aliran kehendakNya bukan dengan kehendak dan permintaan diri sendiri, segalanya akan diatur begitu cantik tanpa perlu kita terlalu susah memikirkan perkara dan bagaimana hingga 'pecah kepala'.

Sesungguhnya Allah itu Maha Kaya dan Berkuasa sehingga mampu menunaikan setiap permintaan kita jika Dia mahu. Tetapi seringkali kita tidak dapat menduga bahawa apa yang Allah aturkan untuk kita itu lebih baik dari apa yang kita sendiri cuba atur dan jangka. Sebab itu ada disebut adakalanya kita fikir sesuatu itu baik untuk kita sedangkan ia buruk. Begitu juga sebaliknya kerana akal kita tidak mampu menggapai segalanya.

Kalau mahu kita boleh berdoa kepada Allah agar mengabulkan segala permintaan untuk mengatur kehidupan sendiri. Itu adalah kehidupan kebanyakan manusia di mana usaha itu diandaikan pada perbuatan yang dapat dilihat secara zahir oleh semua. Kalau mahu juga kita boleh menyerah pada aturanNya seratus-peratus. Dalam keadaan ini usaha kita mungkin tidak nampak di kaca mata orang lain sehingga dikatakan tidak membuat apa-apa sedangkan percubaan untuk memahami dan redha dengan Qada' dan Qadar itu sendiri adalah usaha.

Dalam keadaan ini kita perlu menerima segala susah dan senang dengan keyakinan segalanya adalah yang terbaik untuk kita. Kalau nasib kita baik Insyaallah akan dianugerahkan pengalaman melihat perkara di luar jangka juga hal-hal mencarik adat kebiasaan manusia.


Apapun, dengan aturan Allah dapatlah saya meluangkan masa di atas bukit tanpa mensia-siakan keluarga. Dapatlah kami bersama sehingga majlis tamat. Cuma mereka harus berlepas kembali ke Johor Bahru sedangkan saya, isteri, Al-Rasyid dan Hanif mahu bermalam lagi di Singapura. Dengan selesainya majlis baru kami dapat betul-betul berjalan melihat apa yang ada... :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan