Khamis, November 25, 2010

Lawatan tak dijangka ke Brunei - Kesibukan hari terakhir

Assalamualaikum semua. Sudah 5 hari berturut-turut saya bertungkus-lumus membuat artikel untuk siri perjalanan ke Brunei ini yang mana setiap daripadanya memerlukan sejumlah artikel sokongan di blogspots BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Masuk Khamis dah hari ke 6. Selepas menyelesaikan beberapa urusan lain baru saya dapat memulakan proses dengan menyiapkan 6 lagi artikel sokongan di BERPETUALANG KE ACEH, 5 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Hampir tengah malam baru ia selesai. Baru dapat dimulakan artikel ini, artikel terakhir siri yang disasarkan dapat disiapkan sebelum masuk hari Jumaat sedangkan perenggan awal ini sendiri pun baru dapat ditulis hampir jam 1 malam.

Takpa. Sekurang-kurangnya saya sudah mencuba. Sasaran tamat sebelum Jumaat dibuat kerana ada satu peristiwa penting yang mahu dihebahkan nanti. Nanti... dalam artikel lain ya, mungkin dibuat selepas solat Jumaat. Sekarang biar artikel ini dimulakan dengan langkah kanan (macam le artikel lain dimulakan dengan langkah kiri). Bismillah... :]


OK. Biar diberitahu ini adalah artikel ke 13 dalam siri "Lawatan tak dijangka ke Brunei". Semalam, selepas menyiapkan artikel ke 12 iaitu Lawatan tak dijangka ke Brunei - Ke negara ini 3 kali dalam tempoh seminggu! , saya tergerak untuk refresh page blogspot saya yang berbahasa Inggeris iaitu BERPETUALANG KE ACEH lalu mendapati kaunter di bawah menunjukkan nombor di atas. Saya pun terus save dengan niat untuk dijadikan gambar permulaan artikel ini. Walaupun nombor menunjukkan blogspot itu cuma pernah dikunjungi orang 91,319 kali, takda le banyak mana saya sukakannya kerana ada faktor 131, nombor home sweet home saya. Lihat artikel lama Lahirnya anakku Muhammad Al-Aminul Rasyid dan 131.... Semoga ia menandakan akan muncul lebih banyak kebahagian bagi kami seisi keluarga.

Ahad 8 haribulan Ogos 2010, kami dijadualkan kembali ke Semenanjung petang nanti. Sedikit masa yang masih ada harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Seperti biasa kami sarapan pagi dahulu sambil menunggu orang mengambil.


Beginilah kawasan tempat kami menginap... tempatnya sebuah rumah kedai di latar-belakang gambar. Oh, sepanjang bercerita tentang perjalanan di Brunei ini saya lupa hendak beritahu kami sudah beberapa kali makan nasi ayam penyet kerana sedap dan mudah didapati. Selain itu kami juga selalu makan nasi 'katok', kiranya makanan unik di Brunei dan paling murah... boleh didapati di mana-mana dengan harga cuma 1 Brunei Dollar sepinggan, kira-kira RM2.40.

Ya, nasi 'katok', sebenarnya nasi biasa dengan lauk ayam goreng dan sambal adalah pilihan murah ibarat nasi lemak bungkus ikan bilis di Malaysia... tetapi lebih enak dan harganya tetap walaupun di restoran sedikit mewah. Kalau tak salah ingatan ia dipanggil nasi 'katok' kerana dahulu dijaja keliling kampung di mana orang yang menjualnya akan mengetuk (katok le tu, takda kena-mengena dengan binatang katak ya) pintu dari rumah ke rumah.

Kami sarapan nasi 'katok' sahaja pagi Ahad. Melihat belum lagi muncul orang untuk mengambil, saya mengambil peluang untuk melawat masjid berdekatan...

Masjid ini terletak di seberang jalan penghujung kedai-kedai tadi. Seingat saya inilah masjid pertama yang saya nampak di Brunei kerana sebaik sahaja sampai Ahad seminggu lalu kami dibawa ke kawasan ini yang terletak tidak jauh dari lapangan terbang. Sejak itu saya menyimpan niat harus singgah walaupun sebentar. Kesibukan aktiviti hari demi hari menyebabkan seminggu kemudian baru dapat menjejakkan kaki. Lihat Masjid (Mosque of) Kampung Serusop.


Ketika sibuk mengambil gambar dalam masjid saya mendapat panggilan telefon dari isteri memberitahu bahawa anak sulung Hajah Sopiah iaitu Sobrina sudah sampai untuk membawa kami berjalan. Saya pun bergegas kembali ke kedai makan. Kami masuk ke dalam kereta dan terus dibawa ke Bandar Seri Begawan.


Hmm. Biar kita masuk sekali lagi bab makanan sementara ada peluang. Saya lupa hendak beritahu bahawa Hajah Sopiah pernah membawa kami menikmati sejenis makanan tradisional yang dipanggil amboyat di sebuah restoran. Ia seperti bubur sagu pekat, digulung-gulung pada hujung penyepit buluh sebelum ditelan, dilawankan dengan lauk-pauk sepertimana kita makan nasi tetapi ada tambahan kuahnya yang tersendiri. Beliau membawa kami apabila diberitahu saya ingin merasa masakan tradisional Brunei yang tidak ada di tempat lain. Kemudian baru saya tahu di Sarawak juga terdapat amboyat. Tapi kita mesti ingat, Sarawak dahulu adalah sebahagian dari Brunei. Rujuk balik apa yang diperkatakan dalam artikel Lawatan tak dijangka ke Brunei - Sampai ke bumi kenyalang, cukup semua 13 negeri dijejaki....


Sobrina membawa kami ke sebuah pasar yang dipanggil Tamu Kianggeh.


Letaknya berdekatan pusat bandar. Semasa menyeberangi jambatan masuk ke pasar terlihat pula tanah perkuburan di lereng bukit.


Saya pun naik untuk melihat. Ternyata ada makam-makam lama yang menarik. Lihat Makam-makam lama di (Old tombs at) Kianggeh. Kemudian baru berjalan-jalan di pasar bersama isteri dan anak. Lihat The market of Tamu Kianggeh.


Puas melihat pasar kami bergerak ke bahagian lain Bandar Seri Begawan.


Sepertimana pertama-kali lalu di bahagian ini hari Isnin, entah kenapa saya terasa seperti berada di Monaco, negara kaya kecil yang pernah dilawati semasa bergerak dari Itali ke Peranchis, dalam rangka pengembaraan pusing Eropah seorang diri secara hitchike yang dibuat 15 tahun lalu.


Tempat yang dituju terletak ke hadapan lagi. Dari tempat kami meletak kereta boleh kelihatan keindahan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin yang kubahnya dibuat dari emas.


Kami ke sini untuk menaiki bot merentasi Sungai Brunei melihat Kampung Ayer, sebuah penempatan besar tradisional Melayu yang terletak di atas air. Sobrina yang mengaturnya kerana sudah berjanji akan membawa kami ke sini...





Lihat video klip ini. Seronok kan! :]



Walaupun kelihatan penat Al-Rasyid tidak meragam. Lihat pula klip di bawah...




Ah. Memang seronok bersiar-siar menaiki bot di sini. Lihat gambar-gambar pada artikel Boat ride at Kampung Ayer dan Boat ride at Kampung Ayer continued....


Bukan saja ada kampung, kedai, balairaya dan sekolah, di situ juga ada galeri muzium moden atas air.


Kami pun berlabuh di jeti yang ada...


Sobrina sendiri pertama kali sampai ke galeri. Katanya kali terakhir ke Kampung Ayer ia belum dibuka. Banyak yang boleh dipelajari tentang sejarah tempat ini malah sejarah Brunei (lihat Galeri kebudayaan dan pelancongan Kampong Ayer (Kampong Ayer cultural and tourism gallery)). Al-Rasyid pula seronok berlatih berjalan. Ketika itu baru nak masuk umur 10 bulan, baru bertatih jatuh bangun duduk gitu...


Kami menaiki menara di sebelah galeri untuk melihat persekitaran. Lihat artikel Views from the tower at Kampung Ayer. Dari atas kami boleh nampak pemandu bot yang menguruskan hal lain datang kembali untuk mengambil kami. Dia membawa kami ke tempat ini pula.


Ia adalah sebuah muzium persendirian yang katanya ada mempamirkan barangan berunsur mistik. Menariknya nama Kampung Saba mengingatkan pada kerajaan purba Saba yang pernah diterajui Ratu Balqis.


Yang lain menunggu je sementara saya melihat musium yang ternyata tutup. Kalau dibuka tentu mereka akan naik mengekori..


Puas melihat Kampung Ayer saya teringin melihat lagi pasar yang kami pergi tadi iaitu Tamu Kianggeh tetapi dengan bot.


Bot meluncur laju untuk masuk ke Sungai Kianggeh... perlu lalu di bawah jambatan.


Allah! Rapat betul dengan kepala.


Bila dah lepas memang terasa best! Sobrina mula mengambil gambar, saya juga begitu. Lihat Tamu Kianggeh from the boat.



Setelah berlegar-legar di sekitar perjalanan kembali ke Sungai Brunei pun dimulakan.


Ketika itulah saya terlihat sebuah panggung wayang awam, katanya satu-satunya yang ada di seluruh Brunei.


Jika mahu kami boleh turun di Tamu Kianggeh. Tetapi kami harus berpatah-balik untuk mengambil kereta...


Seterusnya Sobrina membawa kami melawat galeri atau muzium yang dipanggil Bangunan Alat Kebesaran Diraja.


Seperti disebut pada nama, di dalamnya terdapat banyak barangan kebesaran diraja termasuk perkakas pertabalan.


Ketika saya sedang leka mengambil gambar, Al-Rasyid terlepas dari tangan ibunya. Dia mula menyeludup masuk untuk melihat usungan yang pernah digunakan oleh Sultan Hassanal Bolkiah ketika pertabalan. Nasib baik sempat ditegah kami...



Saya pula lebih tertarik pada satu barangan yang dipanggil Tongkat Ajai. Melihat namanya terbetikdalam hati: "Agaknya sebab itu pasangan penyanyi Nurul dan Ajai boleh bercerai. Sebab tongkat Ajai tertinggal di Brunei, heh!".

Masalahnya ia terletak di bahagian tepi galeri di mana orang ramai dilarang tegas mengambil gambar malah perlu meninggalkan kamera di luar. Nasib baik ada risalah. Lihat Bangunan Alat Kebesaran Diraja (Royal Regalia Building), Brunei.


Sementara ada lagi masa saya meminta Sobrina agar membawa kami ke sebuah masjid yang dapat dilihat ketika menaiki bot tadi.


Kebetulan simpang masuknya terletak di jalan menghala ke tempat penginapan. Kami pun singgah. Lihat Masjid Pengiran Mahkota Muhtadee Billah (Mosque of Crown Prince Muhtadee Billah).


Kami kembali ke tempat penginapan untuk bersiap sebelum turun makan. Hmm... sekali lagi, kami samada makan nasi ayam penyet atau nasi katok...


Kemudian baru Sobrina menghantar ke lapangan terbang.


Sampailah masa untuk pulang.


Hajah Sopiah yang sedang sibuk menguruskan kerja dan rumahtangga sempat menjenguk sebentar bersama seorang lagi anak iaitu Mariam. Selepas bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal baru kami melangkah ke dalam.


Al-Rasyid bermain-main sementara menunggu masuk kapalterbang.


Selamat tinggal Brunei. Lihatlah gambar-gambar di luar tingkap sepanjang penerbangan di The flight return from Brunei.





Ini ada sedikit video klip pemandangan Gunung Ledang dilihat dari dalam kapalterbang. Biarlah saya mengambil peluang sekali lagi untuk mengucapkan sebanyak-banyak terimakasih kepada Hajah Sopiah kerana sudi menaja kedatangan kami ke Brunei dan menyediakan kemudahan juga kepada ahli keluarga yang sudi melayan membawa kami ke sana ke mari. Di harap Hajah sekeluarga juga mendapat faedah dari pertemuan ini.

Biar diberitahu anaknya Sobrina yang kini sedang menyambung pengajian di England bertanggungjawab menulis artikel suratkhabar yang mengenengahkan pendapat saya tentang kaitan Sultan Brunei dengan Ahlul Bait anak cucu Nabi. Beliau adalah seorang wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The Brunei Times yang masih lagi menulis apabila kembali ke kampung halamannya. Lihat artikel 'Buah tangan' dari Brunei yang dibuat Jumaat 13 Ogos 2010, 5 hari sekembalinya saya, isteri dan anak dari Brunei. Menariknya pagi itulah Al-Rasyid betul-betul dapat berjalan, bermula dari ruang tamu hingga ke dapur!

Cukuplah... dah jam 4 pagi baru siap artikel ini. Bukan dapat duit pun tapi saya puas... puas kerana berjaya menyelesaikan siri di ketika umur saya masuk 40 tahun hari ini. :]


2 ulasan:

  1. Salam... Kg Saba, Kg Ayer... ada kena mengena dengan Sabak Awor di Muar? :)

    BalasPadam
  2. Wassalam. Bunyi macam sama tapi tak boleh le kaitkan semata-mata kerana bunyi sama. Nanti jadi macam puak empayar Sayyam pulak, habis semua dikatanya milik dia... semua tempat kat dunia ni kononnya boleh diinterpret ke dalam bahasa dia.

    Sebab perkataan bahasa Arab Sayyam yang bermakna puasa tu bunyi macam Siam pulak dah dikata itulah buktinya Siam tu Islam. Ish... gilo. Sebenarnya diorang keturunan Gabenor kerajaan Ayuthia je tapi dah mengaku khalifah seluruh umat Islam di bumi Timur.

    Sabak Awor kat Muo tu macam Sabak Bernam la kot. Rasanya Sabak di sini bermaksud satu bentuk mukabumi macam Tanjung gitu. Itupun Sabak Bernam tu ada yang kata merujuk kepada "Sahabat berenam", ada pula kata Sabak tu tungku dapur yang digunakan 6 orang sahabat yang pertama kali sampai kat sana. Nak selamat kita cerita aje tanpa membuat apa2 kenyataan mutlak atau waris mutlak (hehe...). Kampung Saba mengingatkan pada Saba' Ratu Balqis, itu saja.

    Nak cerita lagi best? Ada yang kata nama negeri Sabah tu asalnya dari perkataan Saba Ratu Balqis. Mungkin ada kebenaran tapi kita takda kepastian. Cukuplah sebut itu tanpa perlu menekankan atau memaksa orang percaya... :]

    BalasPadam