Selingan...
Subhanallah! Dari tengah malam hingga masuk waktu Subuh awal Jumaat ini, entah kenapa saya terasa begitu gelisah. Tak pastilah apakah yang sebenarnya ingin dicari, saya mengharapkan timbul beberapa ilham dan petunjuk baru yang dapat memberikan keterangan ke manakah harus dibawa kehidupan pada peringkat ini. Dalam pada itu teringat saranan melalui komen pada artikel Jalan-jalan Perak sebelah barat : Antara Sungai Selangor dan Sungai Bernam... agar saya cuba menziarahi lagi makam Sultan ke 15 Perak, Sultan Iskandar Zulkarnain (memerintah 1752-1765) sehingga betul-betul dapat. Kemudian jejakkan kaki ke Beting Beras Basah, Insyaallah akan dapat banyak petunjuk nanti...
Diakui saya masih belum betul-betul dapat sampai ke makam itu walaupun sudah berada sekitar 100-150 meter sahaja daripadanya. Ini disebabkan kedudukan yang amat susah dicapai apalagi tidak dapat dilihat dengan tepat akibat semak-samun tebal dan segala macam halangan semulajadi. Lihat balik artikel Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Lima makam Sultan yang susah diziarahi di sekitar Pulau Besar yang dibuat lebih 2 bulan lalu atau terus sahaja ke Looking for the tombs of Sultan Shahabuddin and Sultan Iskandar Zulkarnain... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Perhatikan betapa susahnya untuk menziarahi setiap 28 makam Sultan Perak yang wujud di negeri itu (4 Sultan dimakamkan di luar dengan satu ada makam tanda di Kuala Kangsar).
Walaupun saya berjaya sampai ke semua lokasi makam, cuma yang satu itu sahaja tidak dapat disentuh batu nesannya. Kesukaran yang dialami membuat saya terasa agak serik. Saya pun menyimpan niat... selepas ini saya cuma akan menziarahi lagi makam setiap Sultan jika diberi kemudahan yang dapat membawa saya menyusur aliran Sungai Perak terus menghampiri setiap makam seperti mana setiap Sultan dalam pertabalan dibawa menaiki rakit yang dipanggil Balai Gambang. Tapi ini bukanlah bermakna saya mahu menaiki Balai Gambang apalagi mahu ditabalkan... oh tidak. Saya cuma menyimpan harapan, dengan kuasa Allah mungkin disuakan bot atau sesuatu yang serupa agar dapat membawa ke setiap makam tanpa perlu terlalu bersusah-payah.
Namun apabila difikirkan kembali apalah salahnya jika mencuba lagi sampai betul-betul ke makam Sultan Iskandar Zulkarnain. Kalau diperhatikan melalui gambar satelit di Google Earth Insyaallah boleh dicapai melalui jalan darat walaupun terletak di dalam kawasan yang dipanggil Pulau Indera Sakti. Cuma tak dapat dipastikan keadaan jalan... apakah elok dapat dilalui kenderaan kerana nampaknya kita perlu melalui tidak kurang 3 km jalan kebun. Pengalaman telah mengajar jalan sebegini kadang-kala cukup susah untuk diredah walaupun dengan motosikal. Kemudian apabila sampai, masih perlu teraba-raba mencari makam sambil masuk parit meredah belukar... kecualilah kawasan sekitar telah dibersihkan sehingga kelihatan batu nesan dengan terang.
Dalam pada itu saya harus memikirkan masa yang sesuai. Lalu saya sangat mengharapkan ilham dan petunjuk dari Allah dan itulah yang sebenarnya membuat saya sangat gelisah sepanjang malam. Saya tahu masih ada lagi perkara yang perlu dirungkai dalam memahami perjalanan hidup sendiri yang melibatkan salasilah keturunan dan pengalaman nenek-moyang selama beberapa abad. Apabila ilham yang diharapkan tak terbit juga, saya pun cuba mencari bahan bacaan berkaitan di Internet, antaranya dengan menGoogle perkataan "Beting Beras Basah" juga "Pulau Indera Sakti".
Allah. Kalaulah boleh dilepaskan terus naluri untuk mencari jawaban ini terus daripada hati sanubari mahu sahaja saya lepaskan. Taklah perlu susah-susah, tak perlu juga menghadapi buruk sangka daripada sesiapa. Tapi inilah saya... inilah diri saya. Beginilah sifat saya yang terus mencari dan mencari, mungkin bukan seperti mereka-mereka yang hebat di luar sana yang katanya telah betul-betul mengenali Allah lalu sudah 'sampai' kepadaNya, atau sudah selesa dengan gaji besar, rumah besar, kereta besar, tak perlu lagi resah gelisah.
Dalam mencari ilham dan petunjuk saya tergerak untuk meneliti lagi koleksi gambar-gambar lama yang disimpan di dalam komputer. Terjumpalah kembali gambar baju perang Bugis di atas, baju yang ada dipamirkan di muzium @ kota Ngah Ibrahim di Taiping, sekurang-kurang masih ada ketika saya terakhir melawatnya 2 tahun lalu. Kalau tak salah ingatan gambar baju ini pernah diletakkan di dalam 2-3 artikel lama di blogspot ini. Namun saya tak pasti jika pernah menyerlahkan penerangan tentang baju yang terdapat di bahagian bawah.
"Baju ini pernah digunakan oleh pahlawan Melayu dalam siri peperangan antara orang Bugis dan Aceh (saya lebih suka ejaan ini daripada Acheh)". Kata-kata ini pernah terngiang-ngiang beberapa lama di telinga juga di hati sejak pertama kali melihatnya, kalau tak salah ingatan 8 tahun lalu. Manakan tidak? Carilah di mana-mana buku yang ada memaparkan sejarah rasmi Perak nescaya anda tidak akan menemui apa-apa cerita peperangan antara orang Bugis dan Aceh apalagi sehingga mencapai satu siri. Penerangan itu menambah : "Daerah Larut sendiri telah mengalami tiga tahap peperangan...", maksudnya ini belum dikira di daerah lain yang entah sudah beberapa kali.
Namun yang ada dalam sejarah rasmi cuma kisah perang Larut antara gangster China puak Ghee Hin dengan Hai San. Beritahu saya... di manakah anda boleh mendapatkan kisah lanjut siri peperangan antara Bugis dan Aceh di Perak? Adakah anda pernah mendengar tentangnya di mana-mana? Malah carilah hingga ke peringkat sejarah rasmi Nusantara yang seharusnya meliputi lebih banyak peristiwa. Saya masih tidak dapat menemui cerita siri peperangan Aceh dengan Bugis di mana-mana dan pada ketika bila!
Berapa lama saya cuba mengenepikan diri daripada cuba mengupas persoalan ini kerana terkedu dengan kenyataan yang tidak dapat ditemukan rujukan atau fakta sokongannya. Saya pernah bertanya pada penjaga muzium Ngah Ibrahim, dia pun tak tahu apa-apa! Bayangan untuk jawabannya cuma saya dapat setelah pengembalian jasad seorang moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dari Singapura ke Perak 9 September 2006. Tak ingat apakah mukadimahnya... seorang saudara yang baru dikenali ketika menghadiri upacara menanam kembali jasad almarhum di kawasan pemakaman diraja Bukit Chandan menyebut bahawa dahulu pernah berlaku pergaduhan, lebih tepat peperangan antara anak-anak raja berlainan keturunan lalu muncullah sistem penggiliran takhta Perak yang unik. Itupun beberapa tahun kemudian baru saya mendapatkan lanjutan...
Umum diberitahu bahawa sistem penggiliran ini muncul akibat saudara-mara kerabat diraja daripada satu keturunan yang sama berebut ingin menaiki takhta. Apa yang cuma disebut sesetengah pihak dan kemudian saya diberi petunjuk dan ilham termasuk melalui mimpi adalah penggiliran sebenar dibuat antara kerabat diraja dari belah Bugis, Aceh dan Melaka yang pernah bergaduh sesama sendiri berebut takhta. Tak pastilah jika mereka pernah bergaduh serentak atau pada lain-lain masa. Cuma saya diberitahu apabila mereka semua ternyata lebih kurang sama kuat lalu perang jadi berpanjangan sehingga mengorbankan banyak pihak, maka diusulkanlah satu sistem penggiliran.
Namun atas sebab tertentu terutama pembolotan giliran takhta oleh satu jurai sahaja yang berlaku kemudian, cerita lama ini cuba disembunyi atau digelapkan. Cerita giliran tiga keluarga daripada nasab yang asalnya berasingan diubah menjadi cerita tiga cabang keluarga yang kononnya semua berketurunan daripada Sultan Mahmud Melaka... atau dalam tempoh 400 kebelakangan semuanya keturunan terus Sultan Muzaffar Shah II, Sultan ke 10 Perak mengambil kesempatan atas fakta tiga nasab diraja berasingan asal telah jauh bercampur-baur melalui perkahwinan sehingga keturunan setiap satu ada darah yang lainnya.
Bermula sekitar 200 tahun pula, tiga keluarga yang bergilir menaiki takhta dikatakan semuanya anak-cucu Sultan Ahmaduddin, Sultan ke 18 Perak daripada tiga orang isteri paling kanan. Masuk abad ke 20, saya difahamkan bermula sekitar tahun 1920an, cerita berubah lagi apabila tiga keluarga bergilir disebut sebagai anak cucu Raja Ahmad penjaga Beting Beras Basah, satu dari jurai keturunan Raja Muda Musa (kadangkala disebut sebagai kerabat Teluk Intan), satu dari keturunan Sultan Alang Iskandar yang membawa kepada almarhum Sultan Idris II, satu lagi keturunan Sultan Abdul Jalil yang membawa kepada Sultan Perak sekarang Sultan Azlan Shah. Dua keluarga terakhir ini juga dikenali sebagai kerabat Kuala Kangsar. Ini disebabkan Sultan Alang Iskandar dan Sultan Abdul Jalil adalah adik-beradik, anakanda kepada Sultan Idris I yang membuka Bukit Chandan.
Ilham dan petunjuk yang merungkai kembali rahsia dan sebab sebenar penggiliran takhta tiga keluarga pernah disentuh dalam beberapa artikel sebelum ini. Walaupun tidak disebut dalam sejarah atau catatan rasmi, tetap ada beberapa pihak di luar sana yang tahu kebenaran ini. Cukuplah disimpulkan bahawa kenyataan pada baju perang Bugis di muzium @ kota Ngah Ibrahim menyokong hakikat sebenar di sebalik sistem penggiliran takhta di Perak. Kalau dapat dikupas lagi cerita, saya percaya perhubungan sebenar kerajaan lama Selangor yang berorientasikan kekuasaan Bugis dengan Perak dapat dirungkai sama. Turut akan dirungkai adalah pengaruh sebenar tokoh penting bernama Daeng Selili yang baru setahun dua kebelakangan didedahkan di Internet sebagai orang yang sama dengan La Madukelleng, seorang raja besar Bugis yang pernah membebaskan tanah-airnya daripada penjajahan Belanda. Turut terkait adalah kewujudan anak cucu Sultan Iskandar Muda dari Aceh dalam pemerintahan Perak. Kalau ini berlaku kemungkinan besar istana Perak malah Aceh dan Bugis akan bergegar...
Nota tambahan (dibuat pada 22 Julai 2013 bersamaan 13 Ramadhan 1434, setelah mendapat gerak rasa untuk meneliti kembali hal peperangan Aceh-Bugis ini)...
Pada perenggan di atas ada disebut Daeng Selili sebagai orang yang sama dengan La Madukelleng. Setelah beberapa lama kemudian saya mendapat petunjuk baru bahawa yang sama dengan La Madukelleng sebenarnya adalah Nakhoda Hitam Tok Kuala Bidor yang menjadi Laksamana Raja Mahkota pertama Perak pertengahan abad ke18. Daeng Selili pula adalah pengikut kanan yang merupakan seorang saudara lebih tua, mungkin berpangkat bapa saudara tetapi berada di bawah La Madukelleng mengikut hirerki kepimpinan Bugis. Kemungkinan besar beliau adalah La Mohang Daeng Mangkona yang membuka penempatan Samarinda di Kalimantan, penempatan yang dibayangi sebuah gunung bernama Gunung Selili.
Tentang kewujudan anak cucu Sultan Iskandar Muda di Aceh dalam pemerintahan Perak pula saya telah diberi petunjuk baru betapa rapat sebenarnya darah daging diraja Aceh dengan Perak malah ada kaitan Bugis sejak awal. Kata kuncinya ada pada nama Sultan kedua Perak yang dikatakan ghaib di Masjid Kota Lama Kanan, Sultan Mansur Syah. Baginda hidup sezaman dengan ayahanda Sultan Iskandar Muda yang juga dipanggil Sultan Mansur, turut sezaman dengan seorang pendakwah dari Tanah Bugis yang datang ke Aceh dikenali sebagai Daeng Mansur. Cukup.
itu baru 3 nasab Raja raja.Ada 1 nasab lagi yang dipanggil waris 4 yg tidak menonjolkan diri.
BalasPadamUntuk pengetahuan sdr.radzi sapii mengikut catatan sejarah waris keturunan sultan melaka diperak telah ditawan oleh acheh dan mengahwini puteri baginda dan waris aceh sebagai sultan perak ketika itu,disusuli pula siak, menguasai kesultanan perak selepas aceh,seterusnya bugis pula mengusai selepas siak.keluarga bugis diperak bergolak dan lamadukelleng/daeng selili campurtangan sehingga cucunya daeng selili dari kesultanan pasir iaitu sultan ke18 ditabal sultan perak .Untuk pengetahuan ya daeng seleli pernah menyerang dan mengusai kerajaan pasir ketika itu kesultanan pasir dibawah kekuasaan kesultanan banjar.Tetapi kerajaan pasir/kesultanan pasir dapat menawan kembali kerajaan pasir.Dari sini lah perjanjian terjalin dan daeng selili mengahwini puteri kesultanan pasir(dibawah kesultanan banjar)zuriat ini dibawa keperak sehingga melahirkan sultan ke18.Panjang lagi sejarahnya.sekian
BalasPadamUntuk pengetahuan sdr.radzi sapii mengikut catatan sejarah waris keturunan sultan melaka diperak telah ditawan oleh acheh dan mengahwini puteri baginda dan waris aceh sebagai sultan perak ketika itu,disusuli pula siak, menguasai kesultanan perak selepas aceh,seterusnya bugis pula mengusai selepas siak.keluarga bugis diperak bergolak dan lamadukelleng/daeng selili campurtangan sehingga cucunya daeng selili dari kesultanan pasir iaitu sultan ke18 ditabal sultan perak .Untuk pengetahuan ya daeng seleli pernah menyerang dan mengusai kerajaan pasir ketika itu kesultanan pasir dibawah kekuasaan kesultanan banjar.Tetapi kesultanan Banjar dapat menawan kembali kerajaan pasirdari daeng selili.Dari sini lah perjanjian terjalin dan daeng selili mengahwini puteri kesultanan pasir(dibawah kesultanan banjar)zuriat ini dibawa keperak sehingga melahirkan sultan ke18.Panjang lagi sejarahnya.sekian
BalasPadamMUfti perak pertama daeng selili. Berkaitan dengan datok maharajalela
BalasPadam