Selasa, Mac 16, 2010

Maulidur Rasul di Aceh : Dari Perak bertukar ke Perlak...

Alhamdulillah, malam ini sudah masuk 1 Rabiulakhir tahun Hijrah 1431. Seperti dijanjikan dalam artikel Al-Rasyid masuk 2 bulan di Fraser's Hill sudah sampai masanya untuk memulakan cerita-cerita terbaru tentang perjalanan ke Aceh. Cuma setelah difikirkan kembali rasanya lebih elok diceritakan dahulu perjalanan yang dibuat penghujung bulan Februari. Biar perjalanan sebelumnya iaitu pada penghujung Januari disimpan untuk masa hadapan ya. Ada lah sebabnya kenapa saya berbuat begini. Lagipun hampir keseluruhan perjalanan bulan Februari dirakamkan melalui video. Mungkin lebih senang dicerna oleh kita semua.

OK. Sedikit latar-belakang pembuka cerita. Siri baru ini diberi tajuk "Maulidur Rasul di Aceh"... kerana memang perjalanan bulan Februari itu dilakukan untuk menghadiri satu majlis Maulidur Rasul di sana, tepat pada 12 Rabiulawal iaitu tarikh dikatakan Nabi Muhammad SAW dilahirkan lebih 1,400 tahun lalu. Satu perkara menarik... pada asalnya saya bercadang mahu menyambut hari Maulidur Rasul yang jatuh hari Jumaat itu di Perak, negeri kelahiran ayahanda saya. Ini kerana setelah berjaya memecah persoalan sebenar di sebalik sistem penggiliran takhta Perak serta identiti rahsia seorang moyang saya yang dikenali sebagai Laksamana Toh Jambu @ Keramat Sungai Durian (lihat artikel Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak...) saya bercadang untuk menziarahi makam beliau (baginda sebenarnya) yang lagi satu iaitu di atas identiti rahsia yang dimaksudkan.

Lewat Isnin itu saya mendapat panggilan dari kenalan saya Kak Ann, seorang warga Malaysia yang kini lebih selesa menetap di Aceh. Beliau mempelawa saya menghadiri majlis Maulidur Rasul yang akan diadakan di sebuah masjid yang baru siap dibinanya di Perlak, dalam wilayah Aceh Timur. Harus dimaklumkan bahawa saya mendapat pelawaan itu sebaik sahaja selesai menyajikan artikel Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak... berserta artikel sokongan bertajuk Teknik penggelapan salasilah.... Saya menolaknya kerana terasa tetap mahu ke Perak...

Oleh kerana Kak Ann juga mahu saya mendapatkan beberapa buah naskah buku "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu" untuk dijadikan hadiah kepada para ulamak yang akan hadir pada majlis nanti, saya pun memperkenalkannya dengan penulis buku, pasangan suami isteri Puan Suzana dan Haji Muzaffar lalu meminta mereka mengatur apa yang perlu tanpa kehadiran saya. Kemudian Puan Suzana memberitahu Kak Ann telah menjemput mereka suami isteri sebagai tetamu baru ke majlis Maulidur Rasul itu. Kebetulan mereka belum pernah menjejakkan kaki ke Aceh dan baru merancang untuk ke sana, mungkin bulan Mei. Apalagi, ibarat kata pepatah, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan...

Isteri saya pula terus 'monyok' sejak saya menolak pelawaan. Apabila mendapat tahu Puan Suzana suami isteri akan pergi, lagilah muncungnya naik, hehe. Puan Suzana pula kalau boleh mahu kami pergi sekali kerana tidak mengenali orang lain dalam rombongan akan datang ini. Saya pun memikirkan masak-masak... Perak tidaklah begitu jauh dari rumah kami sedangkan untuk ke Aceh apalagi menyambut Maulidur Rasul di Perlak, bumi terawal berdirinya sebuah keSultanan Ahlul Bait di Nusantara, itu adalah peluang yang datang jarang sekali... mungkin tak akan datang lagi.

Lagipun beberapa hari sebelum itu, ada terbetik di fikiran bahawa saya perlu menziarahi makam Sultan Malikus Salih 3 kali, baru selesai satu fasa persoalan. Sebelum itu saya sudah ke sana 2 kali, pertama semasa lawatan ke Aceh Jun 2009, kedua dalam lawatan Januari 2010. Saya pun menukar fikiran, isteri saya pula tersenyum lebar. Kak Suzana juga merasa senang apabila mendapat tahu saya menukar fikiran. Pada hari Selasa juga segala butiran penerbangan dapat diselesaikan. Sukacita dimaklumkan bahawa anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid yang baru melepasi umur 4 bulan pun dapat lagi ke Aceh, buat kali kedua, dalam tempoh 2 bulan!

Pada hari Rabu 24 Februari bergegaslah kami untuk berlepas. Di bawah adalah cantuman klik video pembuka cerita. Untuk penceritaan kali ini saya akan banyak luahkan melalui video ya. Ini kerana malam sebelum berlepas baru saya tersedar charger kamera Olympus kesayangan saya rosak teruk, tidak dapat dibaiki sedangkan cas bateri yang ada tinggal sedikit sahaja. Mana sempat nak cari charger baru dalam kesuntukan masa itu? Nasib baik Haji Muzaffar telah membeli sebuah perakam video baru. Maka jadilah saya tukang rakam video, dapatlah juga merakamkan cerita untuk anda semua...





Cerita bergambar menggunakan apa-apa gambar yang dapat ditangkap dengan perakam video, juga sedikit menggunakan kamera sendiri (saya menangkap tidak sampai 20 gambar dengannya) turut disajikan melalui siri penceritaan selari di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Lihat artikel Celebrating the Prophet's birthday in Aceh : A sudden unexpected trip... yang baru dibuat tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan