Rabu, Jun 03, 2009

Umrah 2005 - Mekah, bermulanya umrah sebenar dan jawaban mengenai persoalan jodoh

Alhamdulillah, malam tadi saya berjaya melepasi mukasurat 300 dalam usaha menterjemah buku "Ahlul Bait (keluarga) Rasulullah SAW dan kesultanan Melayu" . Seperti disebut dalam Buku Ahlul Bait yang membuat saya pening, rindukan anak dan hal-hal lain..., usaha penterjemahan itu tergendala hari Sabtu membawa ke hari Ahad akibat kebuntuan fikiran sehingga membuat saya terasa perlu membuat luahan kurang enak melalui artikel itu.

Sebenarnya hujung minggu itu saya bercita-cita untuk menyiapkan 300 mukasurat buku setelah berjaya melepasi 255 mukasurat pada hari Jumaat. Tetapi petang Isnin baru saya dapat menyambungnya. Kiranya syukur amat le saya sudah melepasi paras 300 mukasurat yang boleh dikira satu pyschological resistance (cheh! macam bercakap tentang stock market le pulak, mintak-mintak le lepas ni bull market, chewah!).

Sejak hari Ahad itu saya ada menyimpan niat akan turut membuat terjemahan sukarela satu lagi artikel daripada website http://www.shiar-islam.com/. Ini telah dibuat lewat malam tadi lalu saya telah meletakkan hasilnya di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Sekarang biarlah disambung cerita pengalaman umrah tahun 2005 ya.

OK, saya sebenarnya tidak ingat berapa hari berada di Madinah. Yang pasti memang sekurang-kurangnya tidur di sana 2 malam. Lalu sampailah waktu untuk ke Mekah dan betul-betul membuat umrah (perjalanan di Madinah cuma dikira ziarah).

Kami meninggalkan Madinah selepas makan pagi kalau tak salah ingatan. Sebahagian ahli jemaah sudah pun bersedia berpakaian ihram sementara yang lain cuma menukar pakaian di Masjid Bir Ali, luar sedikit dari Madinah.

Untuk pengetahuan, Bir Ali ialah tempat miqat iaitu tempat mula memakai ihram sambil menetapkan niat untuk menunaikan umrah bagi mereka yang datang ke Mekah dari arah Madinah. Ah, banyak yang sudah lupa tetapi saya tulis terus aje le apa yang boleh ingat ya. Seperti biasa, saya menulis terus ke blogspot, bukan menulis awal di mana-mana lalu saya ceritakan segala apa yang patut dan boleh diingat secara spontan.

Kalau tak salah ingatan, selepas memakai pakaian ihram, kami perlu memasang niat ihram kemudian solat sunat dua rakaat. Apabila sudah masuk dalam keadaan ihram, banyak pantang larang perlu dituruti. Misalnya tidak boleh membunuh apa-apa binatang, tidak boleh memotong kuku atau mencabut bulu badan malah kita dilarang menggaru tubuh badan yang gatal, ditakuti ada bulu roma yang tertanggal. Malah kalau luruh kulit kering secara sengaja pun tak boleh! Jadi perkara macam korek hidung yang boleh dikatakan hobi sambilan kebanyakan lelaki pun janganlah difikirkan, malah tidak boleh mengorek apa-apapun jenis lubang badan. Suami isteri dilarang melakukan persetubuhan dan apa-apa bentuk perkara yang boleh mendatangkan keghairahan. Larangan ini berterusan selagi kita belum selesai segala syarat umrah. Kalau dilanggar juga kena le bayar dam, kalau tak salah seekor kambing bagi setiap satu kesalahan!

Nasib baik kita boleh kentut dan batal air sembahyang, Kalau tak naya wooo.... dari Madinah ke Mekah tu bukan dekat, lebih 400km jugak. Enam jam perjalanan, kalau tak berhenti kencing pun mesti sesekali ada rasa nak terkentut.

Kami akhirnya sampai ke Mekah. Terkedu besar apabila melihat Masjidil Haram tertera di hadapan mata, lebih terkedu lagi kerana ia adalah pertama kali saya melihat Ka'abah secara live. Masyaallah! Tak mampu rasanya untuk menyatakan perasaan sebenar ketika itu.

Apapun proses umrah harus diteruskan. Mula-mula tawaf 7 kali mengelilingi Ka'abah bermula dari garis yang setentang dengan Hajaratul Aswad. Allah! Sekali lagi saya terkedu kerana pertama kali melihat batu dari syurga itu di satu sudut Ka'abah yang asalnya dikatakan berwarna putih sebelum menyedut dosa berbillion umat Islam zaman-berzaman. Kalau tak salah ingatan, saya berjaya mengucupnya setelah tamat 7 kali tawaf...

Ketika itu kehadiran orang begitu sesak. Memang pun begitu kebiasaannya di Masjidil Haram. Itupun nasib baik saya pergi tengah tahun, bukan pada mana-mana bulan yang dikira paling afdhal dalam Islam. Kalau masuk bulan Ramadhan atau musim Haji tentu jauh lebih teruk. Ini boleh dilihat pada gambar di atas yang diambil dari Internet tadi. Ketika saya berada di Mekah, bahagian paling atas Masjidil Haram tidak dibuka bermakna tidak le sesesak seperti dalam gambar. Tetapi tetap le juga sesak. Di sekitar Kaabah, kepadatan orang ketika itu boleh diibaratkan seperti lebih 100 orang diletakkan ke dalam ruang sebesar living room rumah teres biasa.

Hmm. Bila difikirkan balik, saya sebenarnya pun tak pasti bila pertama kali mencium Hajaratul Aswad, apakah betul-betul selepas 7 kali tawaf pada umrah pertama atau kemudian. Saya teringat ibu saudara saya berpesan tak penting sangat nak bersusah-payah berebut-rebut dalam kesesakan orang ramai untuk mencium batu dari syurga itu. Yang lebih penting adalah menunaikan perkara wajib dalam umrah dan mengucup Hajaratul Aswad bukanlah perkara wajib apalagi kalau sampai perlu berasak-asak yang boleh mengurangkan malah menghilangkan pahala ibadat jika pun tidak mendatangkan dosa.

OK. Yang saya pasti ingat adalah apa yang berlaku sebaik sahaja selesai 7 kali tawaf. Dalam artikel Umrah 2005 - Madinah. Antara makam Rasulullah, persoalan antara Nur dengan bekas isteri juga anak, dan gatal melihat perempuan... saya ada menyebut :


Sejak penghujung 2002 tahun begitu, apabila hubungan saya dengan isteri lama semakin bercelaru, saya menjalinkan hubungan kembali dengan Nur yang sudah dikenali sejak tahun 1995. Rasanya cerita tentang Nur sudah banyak sangat diberikan di blogspot ini. Cukup untuk menerangkan bagaimana rapatnya hubungan kami dahulu lebih-lebih lagi kerana Nur yang membiayai perjalanan umrah 2005 ini. Tetapi Nur sudah berkahwin dengan politikus muda sedangkan hati saya ketika itu amat susah melupakannya. Dia juga masih menyatakan harapan untuk bersama dengan saya. Bagaimana ini?

Pada masa yang sama, timbul kembali rasa sayang terhadap bekas isteri. Sekitar 2 - 3 bulan sebelum ke Tanah Arab, saya ada beberapa kali berjumpa anak yang berada di bawah jagaannya. Saya rasa semakin mesra bermain-main dengannya dan tidak seperti sebelum itu di mana saya sering terasa marah dengan bekas isteri, sejak itu saya sering memikirkan bahawa saya juga banyak salah dan silap lalu mula terasa lembut hati pada isteri.

Cuma rasa lembut itu tidaklah muktamad menjadi betul-betul sayang kepadanya. Saya tahu saya dengan bekas isteri sangat berlainan minat dan cara fikiran dan itu yang membuatkan kami sering berselisih haluan. Namun semenjak dua menjak itu timbul rasa bahawa saya sanggup mencuba sekali lagi belajar atas kesilapan masa lalu demi kasih sayang kepada seorang anak hasil perkahwinan kami dahulu.

Ah. Dengan Nur saya pasti akan keserasian kami tetapi ada masalah lain pula. Walaupun sejak mula 'tersangkut', dia pernah beberapa kali mencari jalan keluar sehingga sudah turun naik mahkamah syariah, tetapi si politikus muda lebih pandai memanipulasikan keadaan. Akhirnya saya cuma berdoa begini: "Ya Allah! Tunjukkan aku bagaimana aku harus berdoa tentang masalah Nur dan bekas isteri serta anak ini". Begitulah doa saya tentang masalah jodoh sepanjang berada di Madinah.


Jadi sepanjang-panjang itu begitulah keadaan saya. Tetapi sebaik sahaja selesai 7 kali tawaf mengelilingi Ka'abah, timbul rasa untuk pergi ke garisan yang menghadap ke Hajaratul Aswad. Saya memilih satu tempat kira-kira 20-30 meter dari batu itu, tempat yang tidak mengganggu laluan orang ramai bertawaf lalu terus bersolat sunat syukur. Pada sujud akhir solat terus timbul gerak hati untuk berdoa. Hmm... rasanya biar dirahsiakan isi penuh doa itu kecuali bahagian yang belakang sahaja ya...

Saya ada menyebut tentang Nur, juga bekas isteri dan anak. Tak disangka pula, secara spontan dalam berdoa itu terkeluar kata-kata yang berbunyi lebih kurang begini: "Moga-moga aku mendapat jodoh dengan satu orang baru yang belum pernah dikenali", dalam keadaan menghadap Ka'abah dari sudut yang betul-betul bertentangan dengan Hajaratul Aswad.

Kemudian baru umrah disambung dengan sa'i antara Safa dan Marwah. Tamat ulang alik antara dua bukit kecil yang kini terletak di dalam bangunan besar Masjidil Haram, saya mencukur sendiri rambut, cukup sekadar menggunakan gunting kecil sendiri yang ada dibawa dalam beg talipinggang khas (yang tidak melanggar satu lagi pantang larang dalam ihram iaitu tidak boleh memakai apa-apa pakaian berjahit). Ambillah dalam secekak malah secubit rambut pun cukup. Kemudian doa tertentu pun dibacakan mengikut isi buku yang turut dibawa, buku yang juga menerangkan doa-doa serta zikir tertentu yang patut dibaca pada setiap kali tawaf juga perjalanan antara Safa dan Marwah.

Setelah itu tamatlah umrah pertama kali dalam seumur hidup saya. Bila dah keluar dari ihram ni baru le layan keruk mana-mana bahagian badan yang gatal. Sekian... :]



Ahad, Mei 31, 2009

Buku Ahlul Bait yang membuat saya pening, rindukan anak dan hal-hal lain...


Saya perlu meluahkan sesuatu. Terlebih dahulu saya meminta maaf kepada Kak Suzana dan Abang Muzaffar, penulis buku "Ahlul Bait (keluarga) Rasulullah SAW dan Kesultanan Melayu" jika ada kata-kata yang bakal menyinggung di sini nanti. Tetapi saya harus meluahkannya kerana sudah terasa yang sangat berat di dada. Biar dimulakan dengan satu cerita.

November 2008, bekas isteri menelefon meminta saya agar dapat datang ke pejabat mahkamah syariah. Katanya dia perlukan kehadiran saya untuk mendapatkan kebenaran bertulis mahkamah bahawa dia adalah penjaga rasmi kepada anak kami. Selama ini memang anak kami berada di tangannya tetapi katanya dia perlukan surat pelepasan dari saya untuk memudahkan hal-hal anak ditentukan terutama untuk masuk sekolah rendah. Katanya lagi, anak saya turut dibawa bersama ke pejabat dan saya boleh melihatnya di situ.

Untuk pengetahuan, semasa itu saya sudah lebih sebulan, mungkin lebih dua bulan tidak dapat melihat anak. Saya pun terus keluar dengan motosikal besar pergi ke mahkamah syariah. Sampai sahaja di pejabat terus berjumpa mereka sebelum bekas isteri pergi ke kaunter meninggalkan anak dengan saya di belakang. Dapatlah berbual-bual sedikit bergurau-senda dengannya walaupun kelihatan dia lebih banyak membuat hal sendiri bermain-main seorang diri seperti kurang mahu mengendahkan saya.

Lalu saya teringat dalam beg saya ada 'paspot antarabangsa' yang diperolehi semasa pergi ke Taman Tamadun Islam di Terengganu dalam rangka kerja mahu membuat buku "Rumah Azan" hujung tahun lalu. Lihat artikel Projek buku masjid - Satu pandangan segar terhadap Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu. 'Paspot' itu mengandungi gambar-gambar replika masjid seluruh dunia yang terdapat di taman itu. Saya sendiri pun teruja apabila terlihat 'paspot' itu, inikan lagi kanak-kanak seperti anak saya. Saya pun menunjukkan 'paspot' itu kepadanya lalu bertanya jika dia mahukannya. Dia mengangguk kemudian memandang kiri dan kanan sebelum mengambil 'paspot' itu, terus disimpannya ke dalam beg kecil miliknya.

Kemudian saya mengajak dia berjalan keluar dari pejabat itu. Katanya tak boleh, ibunya tak bagi. Saya memujuknya. "Come, Abah want to show you something!". Dia pun mengikut saya berjalan keluar ke koridor mahkamah di tingkat satu, sampai ke satu bahagian saya pun menunjukkan motosikal besar saya. "Tengok tu, motosikal Abah!" kata saya. Maklumlah, ketika itu, motosikal itu baru empat bulan siap dibaik-pulih setelah 5 tahun terbengkalai di Janda Baik. Ketika motosikal itu masih elok dahulu, saya ada juga bertandang melihat anak tetapi rasa saya dia tidak pernah melihatnya. Mungkin kerana dia masih terlalu kecil ketika itu.

Anak saya setakat melihat dengan muka yang tak menunjukkan apa-apa reaksi. Katanya: "I've seen it. Mummy let me see pictures of you." Ya ke? Baguslah kalau begitu. Kemudian kami masuk kembali ke dalam pejabat dan duduk belakang membuat hal masing-masing. Saya cuba menarik perhatiannya tetapi dia kelihatan kurang berminat. Atau dia jual mahal? Kerana saya jarang berjumpa dengannya?

Saya ingat perjumpaan sebelum di pejabat mahkamah itu. Setelah menghantar SMS berkali-kali meminta agar dapat berjumpa anak, bekas isteri akhirnya menelefon lalu memberi syarat. Sediakan RM500 untuk diberi sebagai belanja anak, baru boleh berjumpa. Kalau tidak, lupakan sahaja. Ketika itu saya sudah lebih 4 bulan tak berjumpa anak. Saya pun bersetuju lalu kami berjumpa di sebuah kompleks membeli-belah.

Dalam perjumpaan itu nampak sangat yang anak itu merajuk dengan saya. Mungkin sebab sudah lama tidak berjumpa sedangkan dalam perjumpaan-perjumpaan sebelum itu kami sudah mula mesra berbual-bual dan bermain-main bersama. Cuma perjumpaan-perjumpaan itu dapat dibuat secara nasib sahaja iaitu apabila tergerak saya main bantai sahaja pergi ke rumah bekas mertua. Kalau nasib baik berjumpalah mereka. Tetapi setelah perjumpaan terakhir di dalam rumah mertua di mana si anak betul-betul kelihatan mesra dengan saya, kami tidak dapat berjumpa lagi di situ.

Kembali ke pejabat mahkamah syariah. Urusan bekas isteri pun selesai lalu dia memberi saya satu surat. Surat itu mengandungi arahan untuk saya menghadiri satu perbicaraan mahkamah tinggi syariah demi menetapkan hak penjagaan anak. Dia mengingatkan saya agar hadir nanti lalu saya bersetuju. Kata bekas isteri saya boleh berjumpa dengan anak lagi semasa perbicaraan nanti. Dengan itu kami pun berpecah membawa hal masing-masing.

Saya kembali ke motosikal lalu tergerak untuk membuka dan membaca betul-betul isi surat, Baru saya tersedar yang bekas isteri turut meminta belanja anak sebanyak RM500 sebulan. Terdiam panjang saya membacanya kerana saya bukan ada pendapatan tetap. Mana nak cari duit? Saya juga perlu wang untuk belanja lain. Selain itu bekas isteri mendakwa saya tidak pernah memberi apa-apa belanja untuk anak. Sampai hati dia berkata begitu. Sebusuk-busuk saya tidak bekerja, sesekali sahaja ada pendapatan selama beberapa tahun ini, saya tetap memberi sekurang-kurangnya RM50 setiap kali menjenguk ke rumah bekas mertua, selalu juga bagi RM100, pernah juga 4-5 kali bagi RM300-RM500.

Kebetulan tidak lama kemudian bekas isteri dan anak lalu di situ. Terus saya meminta agar belanja bulanan anak dapat dikurangkan. Bekas isteri terus marah. Katanya orang kerja kilang pun mampu bagi anak RM500 sebulan inikan lagi saya yang boleh pakai motosikal besar. Saya terdiam sedih kerana tak nak bergaduh. Pernahkah dia terfikir betapa selama beberapa tahun selama ini saya cuma naik bas ke sana ke mari selain jalan kaki berbatu-batu dan hitchike tumpang naik kenderaan orang? Sedarkah dia, motosikal besar yang nasib baik telah saya selesai bayar tahun 2001 itu pernah terbengkalai 5 tahun akibat saya tidak memiliki wang untuk memperbaikinya? Bertahun lama menunggu baru saya mampu. Itupun kalau saya terus menunggu, kemungkinan besar motosikal itu akan terus jadi besi buruk akibat kerosakan semakin teruk dan alat-alatannya dicuri orang...

Mereka meninggalkan saya dalam keadaan termangu-mangu kesedihan memikirkan bagaimana harus mencari wang RM500 sebulan untuk anak. Saya rasa kalau RM300 sebulan Insyaallah saya mampu. Mungkin ada yang pelik bagaimana penulis seperti saya yang ada ijazah Matematik daripada London dan pernah menjadi wartawan akhbar The New Straits Times tidak mampu untuk membayar RM500 sebulan untuk anak. Susah saya nak cerita apa yang terjadi. Bukan semua orang tahu bagaimana peritnya keadaan sebenar saya setelah terpanggil untuk menelusuri sejarah keluarga. Susah untuk menceritakan halangan yang dialami terus-menerus hingga kini, halangan yang sudah jadi semakin lapang sejak saya menyajikan siri buku "Berpetualang ke Aceh" hingga cukup tiga buku diikuti pula perkahwinan dengan isteri kini Disember lalu. Tetapi saya belum cukup lapang untuk mampu memberikan RM500 sebulan secara tetap untuk belanja anak.

Dalam keadaan masih duduk di atas motosikal itulah tiba-tiba saya mendapat panggilan telefon dari Puan Suzana Othman, adik kepada pengarah filem Aziz M. Othman, anak kepada arwah pelakon M. Othman. Kami sudah saling mengenali sejak tahun 2005 kalau tak salah ingatan apabila seorang kenalan yang saya suka sebut sebagai Nur mengenalkan kami kerana sama-sama menyokong perjuangan murni Ahlul Bait. Ini akibat saya terjumpa sebuah buku tentang Ahlul Bait (sudah lupa tajuknya, kalau tak silap ada perkataan "Akhir Zaman" sekali) tulisan Suzana lalu membelinya di kedai. Selepas membacanya, saya menghadiahkan pula kepada Nur. Nur turut membacanya sebelum menghadiahkan kepada seorang anak cucu Tokku Paloh semasa di Terengganu, kalau tak salah ingatan Syed Omar, penasihat sultan. Kemudian baru dia tergerak mencari Suzana.

Tidak lama kemudian Nur mengatur pertemuan saya dengan Suzana untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran tentang Ahlul Bait, kaitan dengan Raja-raja Melayu dan peranan untuk akhir zaman. Ketika itulah dia sempat mengadu tentang keadaannya yang sudah terperangkap dengan permainan politik tetapi tidak boleh keluar selain mengaku betapa kami ketika itu saling mencintai kerana serasi dan seperjalanan.

Tapi itu semua cerita dahulu. Yang mahu disebut di sini adalah bagaimana saya dan Suzana boleh saling mengenali. Lalu pada hari saya sedang termangu di atas motosikal besar di hadapan mahkamah syariah memikirkan hal belanja anak RM500 sebulan yang diminta bekas isteri, Kak Suzana pula menelefon meminta agar saya dapat menterjemahkan buku popularnya "Ahlul Bait (keluarga) Rasulullah SAW dan Kesultanan Melayu" ke dalam bahasa Inggeris. Saya terus bersetuju kerana menganggap ini rezeki untuk anak selain memang berminat tentang hal-hal berkenaan Ahlul Bait. Dan saya rasa berbangga kerana diberi kepercayaan untuk menterjemah buku yang sudah menjadi rujukan pelbagai pihak termasuk beberapa istana negeri.

Beberapa hari selepas itu saya pun menghadiri perbicaraan di mahkamah tinggi syariah. Saya bersetuju agar hak penjagaan anak diberikan kepada bekas isteri tetapi meminta agar belanjawan bulanan dikurangkan kepada RM300. Semasa itu saya sudah ada hujah menyatakan sebab-musabab agar jumlah yang dituntut dapat diturunkan dan sedia menjawab tuduhan tentang saya kononnya tidak pernah memberi walau sedikitpun wang belanja selama ini. Tengok-tengok bekas isteri terus bersetuju, alhamdulillah.

Tetapi dia menolak terus apabila saya meminta hak untuk sesekali membawa anak balik ke rumah bermalam dan bertemu keluarga sebelah saya yang tidak pernah dan tidak sempat anak itu kenali kecuali berjumpa paling akhir ketika dia berumur 2 tahun. Lalu mahkamah cuma memberi saya hak untuk melihat anak pada mana-mana waktu yang difikirkan munasabah. Kemudian di luar mahkamah bekas isteri mengherdik saya kerana meminta bayaran dikurangkan. Katanya dia cuma bersetuju kerana tidak mahu memanjangkan cerita.

Oh, anak saya tidak hadir semasa perbicaraan. Kata ibunya dia sakit demam dan mengigau-igau selepas bertemu saya di pejabat tempoh hari. Hujung tahun lepas, selepas berkahwin dengan isteri kini, ketika sama-sama berjalan-jalan menaiki motosikal besar di sekitar pinggir bandaraya, tiba-tiba muncul rasa untuk menjenguk rumah bekas mertua. Kami pun pergi ke sana, tengok-tengok ngam-ngam bekas isteri baru sahaja meletakkan kereta di hadapan rumah. Kiranya tak dapat lari le...

Saya pun turun menjengok mereka. Alhamdulillah dapat juga bersua muka dengan anak yang terus duduk dalam kereta walaupun tak sampai 3 minit berjumpa. Saya rasa mereka juga dapat melihat kelibat isteri baru saya yang ada menunggu di atas motosikal. Itulah kali terakhir saya berjumpa mereka. Sampai kini SMS saya tidak dilayan, telefon tidak berangkat, apalagi untuk berpeluang berjumpa anak walaupun sejak Disember saya terus membayar wang belanja melalui bank RM300 sebulan, la ni dah lepas 6 bulan.

Sekarang sampailah kita kepada luahan induk tetapi sangat berkaitan kerana ia soal rezeki dan belanja anak. Awal Disember 2008 , Kak Suzana dan suaminya Abang Muzaffar mengajak saya berjumpa untuk berbincang tentang penterjemahan buku Ahlul Bait (keluarga) Rasulullah SAW dan Kesultanan Melayu. Selepas bercakap seketika, si suami pun bertanya tentang harga. Sebelum itu saya ada bertanya seorang kawan berapakah harga pasaran untuk kerja penterjamahan bahasa Melayu ke bahasa Inggeris. Katanya minimum RM30 untuk satu kertas A4 bertulisan standard size iaitu 12 point dalam font Times. Ini untuk basic translation sahaja atau penterjemahan bahan dalam bahasa senang sedangkan harganya boleh meningkat sehingga RM80 satu kertas A4 untuk bahasa yang lebih teknikal dan melibatkan pengetahuan khusus misalnya dokumen guaman dan kertas projek sains.

Buku Ahlul Bait tulisan Kak Suzana dan Abang Muzaffar boleh dikira peringkat perantaraan. Ia tidak terlalu teknikal seperti kertas sains dan sebagainya tetapi boleh tahan rumit kerana memerlukan pengetahuan mendalam tentang Ahlul Bait, sejarah Melayu juga sejarah Islam, selain bakal melibatkan penterjemahan hadis dan ayat-ayat Al Quran. Saiz bukunya memang sebesar kertas A4 sedangkan isinya yang bernombor (tidak campur helaian luar yang juga mengandungi sedikit teks) meliputi 498 mukasurat. Maka kalau mengikut perkiraan rakan saya, tidak salah jika meletakkan harga RM15,000 iaitu RM30 x 500 mukasurat, masih kira harga minimum tu.

Kak Suzana tak kata apa. Abang Muzaffar terus membantah. Akhirnya dia cuma sanggup membayar RM4,000 sahaja, RM2,000 sebagai pendahuluan dan RM2,000 lagi setelah mendapat wang dari penerbit iaitu selepas buku siap dicetak gitu.

Saya bersetuju kerana memikirkan dua perkara. Satu, bahawa tawaran menterjemah itu diterima sebaik sahaja mendapat tahu bekas isteri meminta belanja anak RM500 sebulan. Kedua kerana demi perjuangan Ahlul Bait untuk akhir zaman. Dengan itu saya kembali ke rumah dengan membawa salinan dalam komputer isi buku untuk diterjemahkan. Hujung Februari baru Kak Suzana dapat menyediakan wang RM2,000 untuk bayaran awal. Katanya harap dapat disiapkan sebelum Julai.

Beberapa minggu seterusnya saya sibuk dengan pelbagai hal lain. Selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tamat hujung April baru saya dapat memulakan penterjemahan. Itupun pada kadar yang terlalu lambat akibat ada hal lain selain saya sering diserang demam-demam dan pening-pening kepala. Sekitar 3 minggu lepas kalau tak salah ingatan Kak Suzana ada menghantar e-mail bertanyakan perkembangan. Ketika itu saya baru siap cuma 50 mukasurat gitu lalu memberitahu bahawa kerja baru melepasi 10 persen. Tetapi jangan risau, saya dan isteri mahu ke Aceh pertengahan bulan Jun. Maka akan saya cuba usaha dan siapkan sebelum ke sana.

Hmm... baru sekarang saya mahu menyebut nama Aceh. Kalau tidak saya cuma menyebut mahu ke satu tempat di luar negara. Tak apa le, biar dilepaskan ini sebagai sebahagian daripada luahan demi meringankan beban. Oh, nanti dahulu. Ada satu perkara lagi mesti disebut terlebih dahulu.

Pada suatu hari saya telah berehat di zawiyah iaitu rumah tempat zikir Tariqat Naqshabandiah Haqqani di Bukit Damansara. Kemudian saya menyambung kerja penterjamahan lalu seorang kenalan yang merupakan seorang berbangsa Inggeris yang sudah lama memeluk Islam dan berkahwin dengan wanita tempatan bertanya apakah yang sedang dibuat saya. Jawab saya ada sedikit kerja penterjemahan. Kemudian saya tergerak pula untuk bertanya apakah dia tahu kos biasa untuk membuat kerja sebegitu.

Katanya, dia pernah bertanyakan sebuah syarikat penerbitan, tak ingat namanya Pustaka apa ketika mahu meminta menterjemahkan sebuah dokumen bahasa Melayu ke bahasa Inggeris. Lalu menurutnya, syarikat itu meletakkan harga 40 sen satu perkataan. Wah! Mahal tu kata saya. Saya telah melihat jumlah perkataan dalam buku Ahlul Bait karangan Kak Suzana dan Abang Muzaffar melalui program Office Words 2007 lalu mendapati jumlah perkataan yang ada ialah 142,211! Kalau dikali dengan 40 sen dah jadi RM56,884.40. Banyak tu!

Terus rakan berbangsa Inggeris itu bertanya, berapa banyakkah saya dibayar untuk kerja ini? Jawab saya RM4,000. Dia menggeleng-gelengkan kepala. "Way too little," katanya. "It's not worth it!". Katanya lagi, harga 40 sen satu perkataan itu adalah semasa tahun 1990an. Sekarang tentu lebih mahal! Saya tersenyum sahaja. Kemudian baru menyebut bahawa saya menganggap itu sebagai rezeki anak kerana mendapat tawaran untuk membuat penterjemahan itu sebaik sahaja mendapat tahu bekas isteri mahu menuntut belanja anak sebanyak RM500 sebulan melalui mahkamah.

Sejam dua kemudian selepas dapat menterjemah beberapa mukasurat lagi, saya meminta rakan ini membacanya lalu meminta komen. Selepas beberapa lama, dia setakat memberitahu bahawa terjemahan itu "dry", kering. Dan ayatnya kurang mengasyikkan. Ah. Tetapi saya cuma cuba mengikut sebaik mungkin struktur ayat asal yang ditulis mereka. Kemudian baru saya sedar saya tidak boleh lagi berbuat begitu. Saya harus memecahkan ayat mereka yang selalu panjang-panjang menjadi 2-3 ayat yang lebih jelas.

Kini saya sudah berjaya melepasi 255 mukasurat. Tetapi saya cuma ada 2 minggu sahaja untuk menyiapkan lagi 243 mukasurat dan saya terasa semakin letih, semakin terasa tidak berbaloi membuat kerja ini. Banyak ayat-ayat yang memeningkan dan ada masanya terlalu over terutama apabila asyik mengulang-ulang kebesaran Ahlul Bait dan watak-watak yang mahu dikaitkan dengan kebesaran keluarga Bendahara seperti Mani Purindan dan Tun Habib Padang Saujana sampai saya terasa menyampah!

Apakah ini semua cuma gangguan syaitan untuk mengganggu kelancaran saya bekerja menterjemahkan sebuah buku tebal penuh informasi tentang Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu? Mungkin juga dan memang tidak mustahil. Tetapi saya tidak dapat mengelakkan sesekali timbul rasa seperti dipergunakan. Betul ke Kak Suzana dan Abang Muzaffar memilih saya untuk kerja ini kerana pengetahuan dan kebolehan yang saya ada? Atau mereka memilih kerana tahu saya boleh bekerja dengan harga yang murah disebabkan semangat yang tinggi untuk mengenengahkan peranan Ahlul Bait sehingga tidak mempedulikan langsung bab kewangan?

Ya, memang saya kurang mempedulikan hal-hal kewangan kerana lebih memikirkan semangat perjuangan tanpa mengharapkan balasan tetapi biarlah masuk akal. Dahulu pun saya pernah membuat kerja selama lebih 2 tahun dengan Pak Habib tanpa mempedulikan bayaran, diberinya Rm50 atau RM100 sesekali untuk belanja makan. Pernah sekali dia memberi RM500 apabila saya memerlukan wang untuk membeli kambing buat qeqah anak. Rasanya kalau dicampur segala wang yang pernah diberinya selama lebih 2 tahun menolong pelbagai perkara termasuk menyunting dan memberi isi tak kurang 3 bukunya, masih tak sampai RM5,000.

Katakanlah kalau dikira sewa bilik tidur saya yang penuh dengan buku simpanannya itu, buku tulisan lalu yang nampaknya sampai berpuluh ribu naskah masih tak terjual memenuhi segenap ruang. Di Janda Baik RM200 sebulan boleh dapat sebuah rumah kampung dah, jadi setakat bilik macam tu RM100 ke bawah baru logik, kali le dalam 30 bulan, jadi le RM3,000 ya tak? Makan bujang untuk saya di rumah tu mungkin juga bernilai RM100 sebulan kalau nak dikira sangat. Maka jadi le semuanya RM6,000. Campur balik dengan RM5,000 tadi, baru RM11,000.

Sekarang RM11,000 tadi bagi balik dengan 30 bulan. Baru berapa? Baru bersamaan RM367 sebulan. Logik ke saya menyunting dan membuat isi apa-apa buku dengan gaji sebegitu? Tapi saya terima juga kerana menganggap Pak Habib sebagai ayah angkat yang akan menolong menerbitkan buku saya. Tengok-tengok hampeh! Kemudian dikutuknya saya tak sedar diri ada hati nak kahwin dengan artis sedangkan kalau dia betul-betul jujur sebagai ayah, tentu tidak dibiarkan saya melarat. Masa saya kerja New Straits Times dahulu gaji saya taklah berapa besar tapi dapat le jugak RM3,000-RM5,000 sebulan. Tengok apa jadi bila saya tak berkira?

Berbalik pada terjemahan buku Ahlul Bait. Saya membuat kira-kira lagi. Anggaplah 40 sen satu perkataan itu terlalu mahal walaupun menurut rakan berbahasa Inggeris, itu harga tahun 1990an. Katakan cuma 15 sen sahaja. 15 sen x 142, 211 = RM21,331.65, masih lebih 4 kali ganda daripada harga yang sudah saya terima. Ini bukan kerja senang. Tanya isteri saya berapa teruk keadaan saya demam-demam, sakit kepala sakit badan, tidur tak tentu masa dan sebagainya untuk menyiapkan kerja apabila terdaya. Saya sebut apabila terdaya kerana mana kita mampu terus-menerus 24 jam kerja menterjemah sahaja? Kita juga ada hal lain, misalnya masa bersama isteri dan berjumpa ahli keluarga

Kalau tak da hal lain pun, dengan ayat-ayat panjang yang memeningkan kepala, dengan fakta perlu dirujuk di tempat lain apabila kelihatan seperti kekeliruan, bukan setakat boleh diterjemah terus, kita pula perlu buat editting work sekali sambil mengolah balik ayat, tentu kepala akan jam apabila sampai satu peringkat. Nak tak nak kerja harus ditinggalkan seperti yang berlaku semalam di mana saya teringin untuk menyambung dari mukasurat 254 terus ke 300 kalau boleh tetapi tidak mampu. Melihatkan betapa panjangnya ayat dan isi mukasurat seterusnya saya jadi phobia.

Tanya isteri saya, rasa nak menangis pun ada, kerana saya betul-betul berazam untuk menyiapkannya sebelum kami pergi ke Aceh sedangkan semenjak dua menjak ini saya semakin sakit-sakit badan dan kepala akibat kerja ini. Pada masa yang sama, amat penting untuk saya melepaskan beberapa tulisan di blogspots agar saya dapat pergi ke wilayah kelahiran tok-nenek moyang saya itu dengan hati yang tenang, bebas langsung dari beban-beban lama. Dan saya juga diminta untuk menterjemahkan secara sukarela artikel-artikel di sebuah website dan ini sudahpun dimulakan atas rasa tanggungjawab. Lihat artikel Peranan Ahlul Bait lawan propaganda Zionis Illuminati!

Terus-terang cakap, saya sudah beberapa kali mahu give-up membuat penterjemahan buku Ahlul Bait ini. Sampai pernah terfikir mahu memulangkan sahaja duit RM2,000 yang saya sudah terima, tidak berbaloi dengan sakit dan beban yang saya dapat. Kini saya sudah menyiapkan lebih 50 peratus buku. Maka ikutkan, saya ada hak untuk menyimpan RM2,000 itu sambil menghantar apa yang sudah siap sahaja kemudian melupakan terus tentangnya. Pandai-pandailah Kak Suzana dan Abang Muzaffar mencari orang yang mampu menyambung kerja. Apakah Institut Penterjemahan Negara tidak mampu membuatnya? Tentu mampu kerana mereka ada tenaga pakar yang cukup berkebolehan. Tetapi soalnya adalah harga bukan? Kalau kena 40 sen satu perkataan, tentu terduduk mereka. Alangkan RM15,000 yang saya minta pada awalnya tu pun dah kira murah tapi tak mampu dan tak dipersetujui mereka.

Tetapi saya tetap ingat bahawa tawaran ini datang berkenaan rezeki anak. Maka itu demi Allah, akan saya cuba juga siapkan juga walaupun akibatnya saya harus menanggung sengsara sebelum dapat berlepas pergi ke Aceh. Harapan saya dapat pergi ke sana dengan jiwa yang ringan. RM4,000 pun RM4,000 lah, akan saya cuba hantar kerja yang siap. Tetapi lepas ini jangan haraplah saya akan membuat kerja dengan harga sebegini rendah lagi.

Saya faham RM15,000 kedengaran terlalu mahal tetapi itulah harga minimum di pasaran sebenarnya. Dalam hal ini biar saya luahkan lagi satu rasa yang berkenaan.

Kata Kak Suzana kita sudah sama-sama merasa perit jadi penulis buku yang berjuang untuk memartabatkan Ahlul Bait. Tidak Akak, perit kita tidak sama. Walaupun Akak kata keluarga Akak dahulu mencemuh kerana membuat kerja yang pada awalnya kelihatan sia-sia pada mereka, Akak dan suami tidak pernah merasa tidur merempat ke sana-sini dihina dan dipandang rendah orang, tidak pernah merasakan betapa peritnya runtuh rumahtangga dan hilang kerja. Walaupun Akak pernah buat buku dahulu tanpa hasil, manakan sama dengan saya yang dahulu tidak ada kerja langsung malah sebenarnya saya kurang sihat selama ini, baru sedikit demi sedikit dapat mengembalikan kesihatan. Akak ada suami mendapat gaji bulanan RM7,000-RM8,000 (ke lebih?), boleh hantar anak-anak belajar ke Yemen dan Timur Tengah, boleh masukkan ke sekolah agama persendirian dan sebagainya, boleh duduk di kawasan perumahan mewah di Bukit Jelutong.

Mungkin Akak pernah menghadiri majlis perkahwinan saya dan melihat keluarga saya boleh tahan berada. Itu keluarga saya, bukannya saya. Saya sebagai lelaki diharap dapat menanggung sendiri isteri dan anak. Alhamdulillah sedikit sebanyak saya dapat menanggung juga walaupun tidak seratus peratus kerana pendapatan yang tidak seberapa dan tidak tetap, bagaimana lagi mahu memberi RM500 sebulan untuk anak? Lainlah kalau saya dibayar harga kerja menurut pasaran semasa.

OK lah. Cukuplah luahan. Saya buat semua ini kerana tidak tahan lagi menanggung perasaan bermula semalam. Apabila mahu menyambung kerja penterjemahan terus saya jadi kaku, phobia. Moga-moga selepas ini dapatlah bergerak. Entah betul-betul boleh siap sebelum pertengahan Jun ke tidak, saya pun tak boleh jamin sebenarnya tetapi akan saya cuba juga sedikit demi sedikit. Sekian! :]



p/s: Biasa le, saya kan ada gila-gila nombor? Sukacita dimaklumkan ini adalah posting ke 515 di blogspot ini sedangkan lebih awal tadi saya telah membuat posting ke 323 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 232 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Cantik tak nombor-nombor ini?



Umrah 2005 - Madinah. Antara makam Rasulullah, persoalan antara Nur dengan bekas isteri juga anak, dan gatal melihat perempuan...

Al-Fatihah untukmu ya Rasulullah. Antal Hadi antal Haq!

Setelah melepaskan sedikit rasa yang terbuku melalui artikel Umrah 2005 - Pertolongan Nur dan percubaan berhenti merokok dan Umrah 2005 - Susahnya nak berhenti rokok! , barulah saya boleh bercerita tentang apa yang berlaku di kota suci Madinah... ikut apa yang saya ingat ya! Dan tak semestinya menurut turutan masa.

OK. Dalam kesibukan untuk meluahkan rasa tertentu dalam artikel-artikel sebelumnya, saya terlupa untuk menyatakan perasaan gembira dapat pergi ke Tanah Arab. Sebelum ini saya cuma pernah lalu sahaja dengan kapalterbang dalam perjalanan pergi dan kembali ke England juga sekali ke Peranchis dari Malaysia, paling dekat pun pernah mendarat di Dhubai kalau tak salah ingatan tapi tak keluar pun dari kapalterbang.
Dalam perjalanan menaiki kapalterbang Air Saudi untuk umrah ini pula, saya sempat melihat Banda Aceh dari tingkap tepi pesawat. Masyaallah, boleh kelihatan keputihan Masjid Baiturrahman, masjid utama bersejarah Aceh yang pernah dipukul ombak besar Tsunami 26 Disember 2004 tetapi tidak rebah... sebaliknya dari atas kapalterbang sana juga boleh kelihatan dengan terang bagaimana sebahagian Banda Aceh terus ditenggelami air sejak berlaku peristiwa itu.

Tiada apa yang dapat membayangkan kegembiraan saya apabila mula menaiki kapalterbang dengan kota-kota suci Mekah dan Madinah terbayang-bayang di fikiran, apalagi apabila kapalterbang mula bergerak. Perasaan ini jadi bertambah-tambah apabila mendarat di Jeddah... ah, aku sudah selamat sampai ke Tanah Arab rupanya, dan terus bertambah lagi apabila sudah sampai ke Madinah waktu malam selepas 6 jam menaiki bas dari Jeddah.

Siangnya baru saya tersedar betapa cuacanya begitu panas hingga terasa hampir sesak nafas dan hidung pun ada terasa pedih seperti hendak berdarah, begitu juga mata akibat silauan cahaya matahari yang terang-benderang. Tetapi panas di Tanah Arab, baik di Madinah mahupun sebelumnya di Jeddah terasa selesa kerana ia panas kering, bukan seperti di Malaysia dengan panas lembab menyebabkan saya sering berpeluh-peluh dengan ketiak terasa melengas.

Saya dan mereka yang sama jemaah termasuk ibu saudara dan suaminya duduk di sebuah hotel lebih kurang 500 meter sahaja dari Masjid Nabawi atau Masjid Nabi. Ketika jemaah saya diatur untuk perkongsian bilik, saya memilih untuk berkongsi dengan orang paling tua dalam jemaah, seorang pakcik berumur sekitar 70 tahun yang saya lihat ada sedikit masalah dengan isterinya. Ini kerana kelihatan orang lain nampak seperti cuba mengelak dari duduk sebiliknya. Pada saya tak apalah, dengan sesiapa pun saya boleh duduk dan saya menerimanya sahaja.

Oh, pemilihan perkongsian bilik itu berlaku waktu malam. Esoknya waktu Subuh kalau tak salah ingatan, pakcik itu terus berjumpa dengan isterinya untuk mengatur langkah bersama sedangkan saya terus bersendirian untuk bersolat ke Masjid Nabawi. Jalan yang perlu dilalui selari dengan tanah perkuburan besar Baqi' yang mengandungi makam beberapa orang sahabat Nabi. Tetapi saya lebih berminat untuk menziarahi makam beberapa orang Ahlul Bait Nabi yang ada di sana terutama makam Sayyidina Hassan. Tapi nantilah, tunggu siang sikit. Lagipun saya harus menziarahi dahulu makam Nabi Muhammad Rasulullah SAW tetapi biarlah selepas solat Subuh berjemaah.

Saya sudah lupa di sebelah mana saya pertama kali bersolat Subuh di dalam Masjid Nabawi yang sangat luas itu. Tetapi sepanjang 2 atau 3 malam berada di Madinah, insyaallah saya sudah pusing hampir seluruh bahagian masjid dan pernah bersolat wajib dan sunat di banyak tempat terutama sekitar Raudah dan hadapan makam Rasulullah SAW. Satu kegemaran saya samada apabila sampai ke masjid atau sudah sampai kemudian saja nak berjalan-jalan ialah keluar dari sisi kiri hadapan masjid menghadap ke Baqi' kemudian berjalan sepanjang luar hadapan sebelum masuk melalui pintu kanan hadapan yang dikenali sebagai Babussalam. Kemudian dari situ saya akan berjalan ke dalam masjid sambil membibit kasut dalam plastik mengikut laluan orang ramai untuk berziarah ke makam Rasulullah SAW diikuti makam sahabat baik baginda Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Uthman RA.

Sebagai adabnya saya akan menghadiahkan al-fatihah terutama kepada Rasulullah dan cuba untuk mengucup pintu makam sebagai tanda sayang terhadap paduka nenda. Maklumlah, nak pegang peluk cium Nabi semasa hidup tak dapat, cukuplah kalau dapat memegang makam, dapat mencuit pintunya pun jadilah sebagai tanda, bukannya kita menyembah-nyembah makhluk Allah, bukan menyekutukanNya. Begitu juga yang cuba dilakukan oleh banyak orang... tetapi seringkali petugas yang menjaga hadapan makam, ada yang berpakaian polis, ada berpakaian jubah dan merekalah yang selalu bersikap berlebih-lebih, akan cuba menghalang lalu menghalau. Katanya syirik, bidaah. Sah le depa ni orang Wahabi...

Tak cukup itu, orang berdoa menghadap makam pun dikatakannya salah, terus disuruh berpusing 180 darjah menghadap kiblat. Masyaallah! Bukannya kita berdoa nak menyembah Nabi. Sedangkan kalau kita pergi ke kubur orang biasa pun kita semua akan menghadap ke kubur tak kiralah di sisi mana kita berada. Tak semestinya menghadap kiblat malah ada yang memang membelakangkan kiblat, kemudian kita membaca Fatihah, Yassin dan doa, inikan lagi di makam Rasulullah? Apa punya adab disuruh membelakangkan makam Nabi? Kalau bersolat lainlah...

Perkara sebeginilah yang membuat saya jadi angin marah-marah apalagi ketika itu saya sudah mula berhenti merokok (sekurang-kurangnya di tanah suci le). Di kala rakan-rakan sejemaah terus merokok di hotel sebaik sahaja selesai makan dan sebagainya, saya terus melawan ketagihan. Dalam sedar tak sedar ditambah cuaca panas dan melihat keadaan pihak penguasa yang pada saya tidak menghormati hakikat sebenar Nabi Muhammad SAW sebagai kekasih Allah, terkeluar juga maki-hamun saya sekali dua kali, maki-hamun yang mungkin akan melarat jika tidak teringat kembali yang saya sedang berada di Tanah Suci.

Oh, lupa nak cakap. Bersolat di Masjid Nabawi ni memang perlu bersesak-sesak terutama jika di saf hadapan yang sebaris dengan pintu Babussalam dan pintu menghadapnya yang membawa ke Baqi'. Maklumlah, yang datang bukan setakat beribu malah beratus ribu jika tak pun berjuta. Paling teruk adalah di sekitar makam Nabi... satu saf atau dua hadapan makam memang tak boleh bersolat langsung kerana dijadikan laluan orang-ramai sebaik sahaja tamat solat fardu berjemaah sedangkan ke hadapan sedikit, juga di Raudah yang disebut sebagai salah satu taman syurga, orang berebut-rebut mengambil berkat lalu semuanya ingin bersolat dalam ruangan yang terbatas menyebabkan kita perlu 'mengecilkan' diri, apabila bersujud kepala perlu rapat ke lutut dengan dihimpit kiri-kanan adakalanya bertimpa-timpa.

Pada ketika-ketika itulah kadangkala hampir terkeluar lagi maki-hamun apalagi apabila menghadapi sikap orang Arab yang kasar-kasar. Sepanas-panas baran saya pun, sebagai orang Melayu saya akan tunduk membongkokkan diri seraya tangan kanan melunjur ke bawah sebagai tanda hormat apabila lalu di hadapan orang. Sebaliknya orang Arab cuma melangkah tanpa peduli, senang sahaja kepala kita yang sedang sujud dilangkahinya. Adakala pula kita ditolak dan disikunya begitu sahaja!

Saya boleh faham keperluan untuk melangkah di atas badan orang apabila keluar masuk ke ruang terpilih seperti Raudah yang mahu direbut semua orang. Tetapi saya tetap berhati-hati melangkah, kalau boleh lalu tepi badan orang maka saya cuba walaupun harus berjengket-jengket sehingga hampir hilang keseimbangan badan. Kalau perlu melangkah badan juga maka saya elakkan kepala. Tapi saya tengok orang Arab tidak peduli langsung dan beberapa kali saya hampir bertumbuk dengan mereka, sekurang-kurangnya begitulah keadaannya. Tetapi selepas maki-hamun dan sedikit tolak-menolak kami beredar begitu sahaja membuat hal masing-masing.

Sesungguhnya sampai di Tanah Suci inilah saya betul-betul terasa usaha untuk menghilangkan sifat panas-baran yang telah bersarang sejak kecil lagi begitu diuji. Walhal sejak 15 tahun sebelum itu saya telah secara sedar dan terancang memulakan usaha menghilangkannya dan cool down banyaklah jugak walaupun sesekali saya akan meletup juga. Mungkin juga panas-baran saya bertambah di Tanah Suci akibat percubaan mendadak berhenti merokok. Yang pelik, setelah beberapa waktu menahan ketagihan, saya dilanda lagi satu masalah iaitu gatal melihat perempuan. Masyaallah! Nanti saya ceritakan apabila kita masuk ke bahagian mengenai Mekah. Bayangkan memakai pakaian sekeping seperti tuala iaitu baju ihram tanpa apa-apa pakaian lain di dalam, dalam keadaan timbul rasa gatal melihat perempuan...

Saya sempat menziarahi tanah perkuburan Baqi' beberapa kali lalu mendapati bahagian yang menempatkan Ahlul Bait termasuk Saidina Hassan, rasanya ada Saidina Ja'afar as-Sadiq, cucu Saidina Hussein sekali diletakkan pagar batu dari jauh, siap ada orang berpakaian polis/tentera menjaga. Jadi orang tak boleh pergi dekat dan masuk ke dalam. Lagi satu saya dapati cuma jemaah dari Iran yang terang-terang berfahaman Syiah dan orang seperti saya yang menghargai makna Ahlul Bait sahaja yang sanggup bersusah-payah melawat makam-makam ini. Lain-lain orang kelihatan tidak peduli.

OK. Adapun ramai orang suka bersolat dan sanggup berhimpit-himpit teruk di tempat tertentu seperti Raudah mahupun di hadapan makam Nabi kerana dipercayai di situlah doa kita paling mustajab dan mudah dikabulkan. Bagi saya sendiri ada beberapa persoalan yang ingin dipanjatkan kepada Allah Subhanallah agar dapat menemui penyelesaian, salah-satunya tentang kerjaya bagaimana yang harus diceburi seterusnya memandangkan saya ketika itu sudah empat tahun tidak bekerja, setakat ada menolong sedikit membuat buku Pak Habib. Itupun bukan ada gaji kecuali diberi duit makan dan belanja sekali-sekala.

Ketika itu manuskrip asal untuk buku "Berpetualang ke Aceh" terasa tergantung tidak dapat pergi ke mana-mana. Walaupun sudah ada penerbit yang berminat, ia tidak menjadi. Hmm... biar dicopy and paste sahajalah persoalan yang bermain tentang ini seperti tercatat dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006, setahun selepas berlaku umrah ini. Ini dia, dari mukasurat 295...



Salah satu soalan utama yang bermain di benak Rasyid ketika mengadu nasib di hadapan Multazam iaitu pintu Kaabah, juga di hadapan Hajaratul Aswad dan Hijir Ismail adalah apakah buku yang diusahakannya dengan penuh penat-lelah itu memang tidak boleh disiarkan kepada khalayak ramai? Setakat boleh ditulis untuk tatapan sendiri dan keluarga serta sahabat-sahabat terdekat kerana isi yang terkandung di dalamnya?

Jika itu benar, maka dia pasrah menerima Takdir serta Qada’ dan Qadar. Pemuda ini sedia melupakan penulisan buku itu, sepertimana dia sanggup melepaskan usaha-usaha penulisannya yang terdahulu. Sepertimana dia juga sanggup kehilangan kerja, anak isteri, harta-benda, wang-ringgit serta nama baiknya, sanggup mengenepikan segala pencapaian hidup yang lalu malah apa sahaja yang perlu demi mencapai kebahagian sejati yang sudah lama didambakannya, amat lama, boleh kata pencarian seumur hidup!

Mungkin usahanya ini ibarat kolam ciptaan masyarakat India, lukisan di tanah ataupun lantai menggunakan pasir berwarna-warni yang dilakukan dengan cantik dan penuh teliti selama berjam-jam malah mungkin berhari-hari. Mungkin ia setakat untuk ditatap sejenak selepas siap, kemudian dipadamkan, dibuang begitu sahaja sebagai lambang tiada yang kekal di dunia yang fana’ ini? Mungkin juga usaha penulisan buku itu cuma satu episod kecil dalam perjalanan untuk mengenali dirinya sendiri...Tetapi Alhamdulillah, selepas lama “membodohkan diri”, Rasyid akhirnya mendapat gerak dan isyarat untuk meneruskan usaha menjayakan buku itu kembali. Cuma ia perlu disunting dan diperbaiki berkali-kali lagi. Masih terlalu banyak cacat celanya, seperti banyaknya kekurangan dalam dirinya sendiri.




Hmm... walaupun perenggan pertama sedutan di atas menyebut bahawa harapan tentang buku itu dipanjatkan di Mekah, sebenarnya ia turut dipanjatkan lebih awal di Madinah. Apapun, dah jadi pun buku "Berpetualang ke Aceh", bukan satu malah dah tiga. Lebih penting lagi yang bermain di kepala ketika itu adalah soal jodoh, soal harapan untuk mendapatkan home sweet home yang sejati.

Sejak penghujung 2002 tahun begitu, apabila hubungan saya dengan isteri lama semakin bercelaru, saya menjalinkan hubungan kembali dengan Nur yang sudah dikenali sejak tahun 1995. Rasanya cerita tentang Nur sudah banyak sangat diberikan di blogspot ini. Cukup untuk menerangkan bagaimana rapatnya hubungan kami dahulu lebih-lebih lagi kerana Nur yang membiayai perjalanan umrah 2005 ini. Tetapi Nur sudah berkahwin dengan politikus muda sedangkan hati saya ketika itu amat susah melupakannya. Dia juga masih menyatakan harapan untuk bersama dengan saya. Bagaimana ini?

Pada masa yang sama, timbul kembali rasa sayang terhadap bekas isteri. Sekitar 2 - 3 bulan sebelum ke Tanah Arab, saya ada beberapa kali berjumpa anak yang berada di bawah jagaannya. Saya rasa semakin mesra bermain-main dengannya dan tidak seperti sebelumnya di mana saya sering terasa marah dengan bekas isteri, sejak itu saya sering memikirkan bahawa saya juga banyak salah dan silap lalu mula terasa lembut hati pada isteri.

Cuma rasa lembut itu tidaklah muktamad menjadi betul-betul sayang kepadanya. Saya tahu saya dengan bekas isteri sangat berlainan minat dan cara fikiran dan itu yang membuatkan kami sering berselisih faham. Namun semenjak dua menjak itu timbul rasa bahawa saya sanggup mencuba sekali lagi belajar atas kesilapan masa lalu demi kasih sayang kepada seorang anak hasil perkahwinan kami dahulu.

Ah. Dengan Nur saya pasti akan keserasian kami tetapi ada masalah lain pula. Walaupun sejak mula 'tersangkut', dia pernah beberapa kali mencari jalan keluar sehingga sudah turun naik mahkamah syariah, tetapi si politikus muda lebih pandai memanipulasikan keadaan. Akhirnya saya cuma berdoa begini: "Ya Allah! Tunjukkan aku bagaimana aku harus berdoa tentang masalah Nur dan bekas isteri serta anak ini". Begitulah doa saya tentang masalah jodoh sepanjang berada di Madinah. Sementara itu rasa panas baran semakin menjadi-jadi apabila ketagihan rokok berlarutan dari hari ke hari.

Saya tidak ingat pada hari bilanya jemaah kami mula membuat lawatan ke beberapa tempat menaiki bas. Tetapi saya cukup ingat di Masjid Qubah, masjid pertama dibina Rasulullah SAW dalam sejarah Islam yang terletak di pinggiran Madinah lah saya pertama kali membeli seutas tasbih dari Tanah Suci, tasbih yang dibuat dari batang kurma gitu. Dengan tasbih itulah saya mula ligat berzikir secara nyata untuk menghilang rasa panas baran, ketagihan rokok juga rasa gatal melihat perempuan. Kemudian kami juga sempat melawat sekitar Jabal Uhud lalu saya mendaki bukit kecil yang pernah menjadi tempat pemanah Islam mengatur serangan dalam Perang Uhud.

Sayangnya para pemanah ini tidak mematuhi arahan Nabi yang menyuruh mereka mengekalkan posisi tak kiralah apa yang berlaku nanti. Sebaliknya apabila pihak Quraish berundur lalu kelihatan ada barangan milik mereka yang turut ditinggalkan, mereka bergegas turun untuk turut mengaut harta rampasan menyebabkan kedudukan tentera Islam terdedah apabila pihak Quraish menyerang. Akibatnya ramai orang Islam terkorban termasuk bapa saudari Nabi, Saidina Hamzah yang direjam dengan tombak secara curi. Kalau tak salah ingatan Nabi Muhammad SAW sendiri patah gigi malah disangkakan terkorban akibat terjatuh ke dalam lubang.

Atas puncak bukit itu saya ternampak satu-satunya orang yang berniaga di sekitar itu, seorang perempuan tua. Lalu saya membeli segenggam tasbih daripadanya, tasbih batang kurma juga, kalau tak salah 12 utas untuk dihadiahkan kepada orang. Jemaah kami juga sempat melawat kedai-kedai menjual pelbagai kurma. Tapi saya kurang berminat dengan semua ini, cukuplah dengan tasbih batang kurma di tangan untuk meredakan sedikit keadaan jiwa yang bergelora. Sekian buat masa ini... :]