Ahad, Mei 31, 2009

Buku Ahlul Bait yang membuat saya pening, rindukan anak dan hal-hal lain...


Saya perlu meluahkan sesuatu. Terlebih dahulu saya meminta maaf kepada Kak Suzana dan Abang Muzaffar, penulis buku "Ahlul Bait (keluarga) Rasulullah SAW dan Kesultanan Melayu" jika ada kata-kata yang bakal menyinggung di sini nanti. Tetapi saya harus meluahkannya kerana sudah terasa yang sangat berat di dada. Biar dimulakan dengan satu cerita.

November 2008, bekas isteri menelefon meminta saya agar dapat datang ke pejabat mahkamah syariah. Katanya dia perlukan kehadiran saya untuk mendapatkan kebenaran bertulis mahkamah bahawa dia adalah penjaga rasmi kepada anak kami. Selama ini memang anak kami berada di tangannya tetapi katanya dia perlukan surat pelepasan dari saya untuk memudahkan hal-hal anak ditentukan terutama untuk masuk sekolah rendah. Katanya lagi, anak saya turut dibawa bersama ke pejabat dan saya boleh melihatnya di situ.

Untuk pengetahuan, semasa itu saya sudah lebih sebulan, mungkin lebih dua bulan tidak dapat melihat anak. Saya pun terus keluar dengan motosikal besar pergi ke mahkamah syariah. Sampai sahaja di pejabat terus berjumpa mereka sebelum bekas isteri pergi ke kaunter meninggalkan anak dengan saya di belakang. Dapatlah berbual-bual sedikit bergurau-senda dengannya walaupun kelihatan dia lebih banyak membuat hal sendiri bermain-main seorang diri seperti kurang mahu mengendahkan saya.

Lalu saya teringat dalam beg saya ada 'paspot antarabangsa' yang diperolehi semasa pergi ke Taman Tamadun Islam di Terengganu dalam rangka kerja mahu membuat buku "Rumah Azan" hujung tahun lalu. Lihat artikel Projek buku masjid - Satu pandangan segar terhadap Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu. 'Paspot' itu mengandungi gambar-gambar replika masjid seluruh dunia yang terdapat di taman itu. Saya sendiri pun teruja apabila terlihat 'paspot' itu, inikan lagi kanak-kanak seperti anak saya. Saya pun menunjukkan 'paspot' itu kepadanya lalu bertanya jika dia mahukannya. Dia mengangguk kemudian memandang kiri dan kanan sebelum mengambil 'paspot' itu, terus disimpannya ke dalam beg kecil miliknya.

Kemudian saya mengajak dia berjalan keluar dari pejabat itu. Katanya tak boleh, ibunya tak bagi. Saya memujuknya. "Come, Abah want to show you something!". Dia pun mengikut saya berjalan keluar ke koridor mahkamah di tingkat satu, sampai ke satu bahagian saya pun menunjukkan motosikal besar saya. "Tengok tu, motosikal Abah!" kata saya. Maklumlah, ketika itu, motosikal itu baru empat bulan siap dibaik-pulih setelah 5 tahun terbengkalai di Janda Baik. Ketika motosikal itu masih elok dahulu, saya ada juga bertandang melihat anak tetapi rasa saya dia tidak pernah melihatnya. Mungkin kerana dia masih terlalu kecil ketika itu.

Anak saya setakat melihat dengan muka yang tak menunjukkan apa-apa reaksi. Katanya: "I've seen it. Mummy let me see pictures of you." Ya ke? Baguslah kalau begitu. Kemudian kami masuk kembali ke dalam pejabat dan duduk belakang membuat hal masing-masing. Saya cuba menarik perhatiannya tetapi dia kelihatan kurang berminat. Atau dia jual mahal? Kerana saya jarang berjumpa dengannya?

Saya ingat perjumpaan sebelum di pejabat mahkamah itu. Setelah menghantar SMS berkali-kali meminta agar dapat berjumpa anak, bekas isteri akhirnya menelefon lalu memberi syarat. Sediakan RM500 untuk diberi sebagai belanja anak, baru boleh berjumpa. Kalau tidak, lupakan sahaja. Ketika itu saya sudah lebih 4 bulan tak berjumpa anak. Saya pun bersetuju lalu kami berjumpa di sebuah kompleks membeli-belah.

Dalam perjumpaan itu nampak sangat yang anak itu merajuk dengan saya. Mungkin sebab sudah lama tidak berjumpa sedangkan dalam perjumpaan-perjumpaan sebelum itu kami sudah mula mesra berbual-bual dan bermain-main bersama. Cuma perjumpaan-perjumpaan itu dapat dibuat secara nasib sahaja iaitu apabila tergerak saya main bantai sahaja pergi ke rumah bekas mertua. Kalau nasib baik berjumpalah mereka. Tetapi setelah perjumpaan terakhir di dalam rumah mertua di mana si anak betul-betul kelihatan mesra dengan saya, kami tidak dapat berjumpa lagi di situ.

Kembali ke pejabat mahkamah syariah. Urusan bekas isteri pun selesai lalu dia memberi saya satu surat. Surat itu mengandungi arahan untuk saya menghadiri satu perbicaraan mahkamah tinggi syariah demi menetapkan hak penjagaan anak. Dia mengingatkan saya agar hadir nanti lalu saya bersetuju. Kata bekas isteri saya boleh berjumpa dengan anak lagi semasa perbicaraan nanti. Dengan itu kami pun berpecah membawa hal masing-masing.

Saya kembali ke motosikal lalu tergerak untuk membuka dan membaca betul-betul isi surat, Baru saya tersedar yang bekas isteri turut meminta belanja anak sebanyak RM500 sebulan. Terdiam panjang saya membacanya kerana saya bukan ada pendapatan tetap. Mana nak cari duit? Saya juga perlu wang untuk belanja lain. Selain itu bekas isteri mendakwa saya tidak pernah memberi apa-apa belanja untuk anak. Sampai hati dia berkata begitu. Sebusuk-busuk saya tidak bekerja, sesekali sahaja ada pendapatan selama beberapa tahun ini, saya tetap memberi sekurang-kurangnya RM50 setiap kali menjenguk ke rumah bekas mertua, selalu juga bagi RM100, pernah juga 4-5 kali bagi RM300-RM500.

Kebetulan tidak lama kemudian bekas isteri dan anak lalu di situ. Terus saya meminta agar belanja bulanan anak dapat dikurangkan. Bekas isteri terus marah. Katanya orang kerja kilang pun mampu bagi anak RM500 sebulan inikan lagi saya yang boleh pakai motosikal besar. Saya terdiam sedih kerana tak nak bergaduh. Pernahkah dia terfikir betapa selama beberapa tahun selama ini saya cuma naik bas ke sana ke mari selain jalan kaki berbatu-batu dan hitchike tumpang naik kenderaan orang? Sedarkah dia, motosikal besar yang nasib baik telah saya selesai bayar tahun 2001 itu pernah terbengkalai 5 tahun akibat saya tidak memiliki wang untuk memperbaikinya? Bertahun lama menunggu baru saya mampu. Itupun kalau saya terus menunggu, kemungkinan besar motosikal itu akan terus jadi besi buruk akibat kerosakan semakin teruk dan alat-alatannya dicuri orang...

Mereka meninggalkan saya dalam keadaan termangu-mangu kesedihan memikirkan bagaimana harus mencari wang RM500 sebulan untuk anak. Saya rasa kalau RM300 sebulan Insyaallah saya mampu. Mungkin ada yang pelik bagaimana penulis seperti saya yang ada ijazah Matematik daripada London dan pernah menjadi wartawan akhbar The New Straits Times tidak mampu untuk membayar RM500 sebulan untuk anak. Susah saya nak cerita apa yang terjadi. Bukan semua orang tahu bagaimana peritnya keadaan sebenar saya setelah terpanggil untuk menelusuri sejarah keluarga. Susah untuk menceritakan halangan yang dialami terus-menerus hingga kini, halangan yang sudah jadi semakin lapang sejak saya menyajikan siri buku "Berpetualang ke Aceh" hingga cukup tiga buku diikuti pula perkahwinan dengan isteri kini Disember lalu. Tetapi saya belum cukup lapang untuk mampu memberikan RM500 sebulan secara tetap untuk belanja anak.

Dalam keadaan masih duduk di atas motosikal itulah tiba-tiba saya mendapat panggilan telefon dari Puan Suzana Othman, adik kepada pengarah filem Aziz M. Othman, anak kepada arwah pelakon M. Othman. Kami sudah saling mengenali sejak tahun 2005 kalau tak salah ingatan apabila seorang kenalan yang saya suka sebut sebagai Nur mengenalkan kami kerana sama-sama menyokong perjuangan murni Ahlul Bait. Ini akibat saya terjumpa sebuah buku tentang Ahlul Bait (sudah lupa tajuknya, kalau tak silap ada perkataan "Akhir Zaman" sekali) tulisan Suzana lalu membelinya di kedai. Selepas membacanya, saya menghadiahkan pula kepada Nur. Nur turut membacanya sebelum menghadiahkan kepada seorang anak cucu Tokku Paloh semasa di Terengganu, kalau tak salah ingatan Syed Omar, penasihat sultan. Kemudian baru dia tergerak mencari Suzana.

Tidak lama kemudian Nur mengatur pertemuan saya dengan Suzana untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran tentang Ahlul Bait, kaitan dengan Raja-raja Melayu dan peranan untuk akhir zaman. Ketika itulah dia sempat mengadu tentang keadaannya yang sudah terperangkap dengan permainan politik tetapi tidak boleh keluar selain mengaku betapa kami ketika itu saling mencintai kerana serasi dan seperjalanan.

Tapi itu semua cerita dahulu. Yang mahu disebut di sini adalah bagaimana saya dan Suzana boleh saling mengenali. Lalu pada hari saya sedang termangu di atas motosikal besar di hadapan mahkamah syariah memikirkan hal belanja anak RM500 sebulan yang diminta bekas isteri, Kak Suzana pula menelefon meminta agar saya dapat menterjemahkan buku popularnya "Ahlul Bait (keluarga) Rasulullah SAW dan Kesultanan Melayu" ke dalam bahasa Inggeris. Saya terus bersetuju kerana menganggap ini rezeki untuk anak selain memang berminat tentang hal-hal berkenaan Ahlul Bait. Dan saya rasa berbangga kerana diberi kepercayaan untuk menterjemah buku yang sudah menjadi rujukan pelbagai pihak termasuk beberapa istana negeri.

Beberapa hari selepas itu saya pun menghadiri perbicaraan di mahkamah tinggi syariah. Saya bersetuju agar hak penjagaan anak diberikan kepada bekas isteri tetapi meminta agar belanjawan bulanan dikurangkan kepada RM300. Semasa itu saya sudah ada hujah menyatakan sebab-musabab agar jumlah yang dituntut dapat diturunkan dan sedia menjawab tuduhan tentang saya kononnya tidak pernah memberi walau sedikitpun wang belanja selama ini. Tengok-tengok bekas isteri terus bersetuju, alhamdulillah.

Tetapi dia menolak terus apabila saya meminta hak untuk sesekali membawa anak balik ke rumah bermalam dan bertemu keluarga sebelah saya yang tidak pernah dan tidak sempat anak itu kenali kecuali berjumpa paling akhir ketika dia berumur 2 tahun. Lalu mahkamah cuma memberi saya hak untuk melihat anak pada mana-mana waktu yang difikirkan munasabah. Kemudian di luar mahkamah bekas isteri mengherdik saya kerana meminta bayaran dikurangkan. Katanya dia cuma bersetuju kerana tidak mahu memanjangkan cerita.

Oh, anak saya tidak hadir semasa perbicaraan. Kata ibunya dia sakit demam dan mengigau-igau selepas bertemu saya di pejabat tempoh hari. Hujung tahun lepas, selepas berkahwin dengan isteri kini, ketika sama-sama berjalan-jalan menaiki motosikal besar di sekitar pinggir bandaraya, tiba-tiba muncul rasa untuk menjenguk rumah bekas mertua. Kami pun pergi ke sana, tengok-tengok ngam-ngam bekas isteri baru sahaja meletakkan kereta di hadapan rumah. Kiranya tak dapat lari le...

Saya pun turun menjengok mereka. Alhamdulillah dapat juga bersua muka dengan anak yang terus duduk dalam kereta walaupun tak sampai 3 minit berjumpa. Saya rasa mereka juga dapat melihat kelibat isteri baru saya yang ada menunggu di atas motosikal. Itulah kali terakhir saya berjumpa mereka. Sampai kini SMS saya tidak dilayan, telefon tidak berangkat, apalagi untuk berpeluang berjumpa anak walaupun sejak Disember saya terus membayar wang belanja melalui bank RM300 sebulan, la ni dah lepas 6 bulan.

Sekarang sampailah kita kepada luahan induk tetapi sangat berkaitan kerana ia soal rezeki dan belanja anak. Awal Disember 2008 , Kak Suzana dan suaminya Abang Muzaffar mengajak saya berjumpa untuk berbincang tentang penterjemahan buku Ahlul Bait (keluarga) Rasulullah SAW dan Kesultanan Melayu. Selepas bercakap seketika, si suami pun bertanya tentang harga. Sebelum itu saya ada bertanya seorang kawan berapakah harga pasaran untuk kerja penterjamahan bahasa Melayu ke bahasa Inggeris. Katanya minimum RM30 untuk satu kertas A4 bertulisan standard size iaitu 12 point dalam font Times. Ini untuk basic translation sahaja atau penterjemahan bahan dalam bahasa senang sedangkan harganya boleh meningkat sehingga RM80 satu kertas A4 untuk bahasa yang lebih teknikal dan melibatkan pengetahuan khusus misalnya dokumen guaman dan kertas projek sains.

Buku Ahlul Bait tulisan Kak Suzana dan Abang Muzaffar boleh dikira peringkat perantaraan. Ia tidak terlalu teknikal seperti kertas sains dan sebagainya tetapi boleh tahan rumit kerana memerlukan pengetahuan mendalam tentang Ahlul Bait, sejarah Melayu juga sejarah Islam, selain bakal melibatkan penterjemahan hadis dan ayat-ayat Al Quran. Saiz bukunya memang sebesar kertas A4 sedangkan isinya yang bernombor (tidak campur helaian luar yang juga mengandungi sedikit teks) meliputi 498 mukasurat. Maka kalau mengikut perkiraan rakan saya, tidak salah jika meletakkan harga RM15,000 iaitu RM30 x 500 mukasurat, masih kira harga minimum tu.

Kak Suzana tak kata apa. Abang Muzaffar terus membantah. Akhirnya dia cuma sanggup membayar RM4,000 sahaja, RM2,000 sebagai pendahuluan dan RM2,000 lagi setelah mendapat wang dari penerbit iaitu selepas buku siap dicetak gitu.

Saya bersetuju kerana memikirkan dua perkara. Satu, bahawa tawaran menterjemah itu diterima sebaik sahaja mendapat tahu bekas isteri meminta belanja anak RM500 sebulan. Kedua kerana demi perjuangan Ahlul Bait untuk akhir zaman. Dengan itu saya kembali ke rumah dengan membawa salinan dalam komputer isi buku untuk diterjemahkan. Hujung Februari baru Kak Suzana dapat menyediakan wang RM2,000 untuk bayaran awal. Katanya harap dapat disiapkan sebelum Julai.

Beberapa minggu seterusnya saya sibuk dengan pelbagai hal lain. Selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tamat hujung April baru saya dapat memulakan penterjemahan. Itupun pada kadar yang terlalu lambat akibat ada hal lain selain saya sering diserang demam-demam dan pening-pening kepala. Sekitar 3 minggu lepas kalau tak salah ingatan Kak Suzana ada menghantar e-mail bertanyakan perkembangan. Ketika itu saya baru siap cuma 50 mukasurat gitu lalu memberitahu bahawa kerja baru melepasi 10 persen. Tetapi jangan risau, saya dan isteri mahu ke Aceh pertengahan bulan Jun. Maka akan saya cuba usaha dan siapkan sebelum ke sana.

Hmm... baru sekarang saya mahu menyebut nama Aceh. Kalau tidak saya cuma menyebut mahu ke satu tempat di luar negara. Tak apa le, biar dilepaskan ini sebagai sebahagian daripada luahan demi meringankan beban. Oh, nanti dahulu. Ada satu perkara lagi mesti disebut terlebih dahulu.

Pada suatu hari saya telah berehat di zawiyah iaitu rumah tempat zikir Tariqat Naqshabandiah Haqqani di Bukit Damansara. Kemudian saya menyambung kerja penterjamahan lalu seorang kenalan yang merupakan seorang berbangsa Inggeris yang sudah lama memeluk Islam dan berkahwin dengan wanita tempatan bertanya apakah yang sedang dibuat saya. Jawab saya ada sedikit kerja penterjemahan. Kemudian saya tergerak pula untuk bertanya apakah dia tahu kos biasa untuk membuat kerja sebegitu.

Katanya, dia pernah bertanyakan sebuah syarikat penerbitan, tak ingat namanya Pustaka apa ketika mahu meminta menterjemahkan sebuah dokumen bahasa Melayu ke bahasa Inggeris. Lalu menurutnya, syarikat itu meletakkan harga 40 sen satu perkataan. Wah! Mahal tu kata saya. Saya telah melihat jumlah perkataan dalam buku Ahlul Bait karangan Kak Suzana dan Abang Muzaffar melalui program Office Words 2007 lalu mendapati jumlah perkataan yang ada ialah 142,211! Kalau dikali dengan 40 sen dah jadi RM56,884.40. Banyak tu!

Terus rakan berbangsa Inggeris itu bertanya, berapa banyakkah saya dibayar untuk kerja ini? Jawab saya RM4,000. Dia menggeleng-gelengkan kepala. "Way too little," katanya. "It's not worth it!". Katanya lagi, harga 40 sen satu perkataan itu adalah semasa tahun 1990an. Sekarang tentu lebih mahal! Saya tersenyum sahaja. Kemudian baru menyebut bahawa saya menganggap itu sebagai rezeki anak kerana mendapat tawaran untuk membuat penterjemahan itu sebaik sahaja mendapat tahu bekas isteri mahu menuntut belanja anak sebanyak RM500 sebulan melalui mahkamah.

Sejam dua kemudian selepas dapat menterjemah beberapa mukasurat lagi, saya meminta rakan ini membacanya lalu meminta komen. Selepas beberapa lama, dia setakat memberitahu bahawa terjemahan itu "dry", kering. Dan ayatnya kurang mengasyikkan. Ah. Tetapi saya cuma cuba mengikut sebaik mungkin struktur ayat asal yang ditulis mereka. Kemudian baru saya sedar saya tidak boleh lagi berbuat begitu. Saya harus memecahkan ayat mereka yang selalu panjang-panjang menjadi 2-3 ayat yang lebih jelas.

Kini saya sudah berjaya melepasi 255 mukasurat. Tetapi saya cuma ada 2 minggu sahaja untuk menyiapkan lagi 243 mukasurat dan saya terasa semakin letih, semakin terasa tidak berbaloi membuat kerja ini. Banyak ayat-ayat yang memeningkan dan ada masanya terlalu over terutama apabila asyik mengulang-ulang kebesaran Ahlul Bait dan watak-watak yang mahu dikaitkan dengan kebesaran keluarga Bendahara seperti Mani Purindan dan Tun Habib Padang Saujana sampai saya terasa menyampah!

Apakah ini semua cuma gangguan syaitan untuk mengganggu kelancaran saya bekerja menterjemahkan sebuah buku tebal penuh informasi tentang Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu? Mungkin juga dan memang tidak mustahil. Tetapi saya tidak dapat mengelakkan sesekali timbul rasa seperti dipergunakan. Betul ke Kak Suzana dan Abang Muzaffar memilih saya untuk kerja ini kerana pengetahuan dan kebolehan yang saya ada? Atau mereka memilih kerana tahu saya boleh bekerja dengan harga yang murah disebabkan semangat yang tinggi untuk mengenengahkan peranan Ahlul Bait sehingga tidak mempedulikan langsung bab kewangan?

Ya, memang saya kurang mempedulikan hal-hal kewangan kerana lebih memikirkan semangat perjuangan tanpa mengharapkan balasan tetapi biarlah masuk akal. Dahulu pun saya pernah membuat kerja selama lebih 2 tahun dengan Pak Habib tanpa mempedulikan bayaran, diberinya Rm50 atau RM100 sesekali untuk belanja makan. Pernah sekali dia memberi RM500 apabila saya memerlukan wang untuk membeli kambing buat qeqah anak. Rasanya kalau dicampur segala wang yang pernah diberinya selama lebih 2 tahun menolong pelbagai perkara termasuk menyunting dan memberi isi tak kurang 3 bukunya, masih tak sampai RM5,000.

Katakanlah kalau dikira sewa bilik tidur saya yang penuh dengan buku simpanannya itu, buku tulisan lalu yang nampaknya sampai berpuluh ribu naskah masih tak terjual memenuhi segenap ruang. Di Janda Baik RM200 sebulan boleh dapat sebuah rumah kampung dah, jadi setakat bilik macam tu RM100 ke bawah baru logik, kali le dalam 30 bulan, jadi le RM3,000 ya tak? Makan bujang untuk saya di rumah tu mungkin juga bernilai RM100 sebulan kalau nak dikira sangat. Maka jadi le semuanya RM6,000. Campur balik dengan RM5,000 tadi, baru RM11,000.

Sekarang RM11,000 tadi bagi balik dengan 30 bulan. Baru berapa? Baru bersamaan RM367 sebulan. Logik ke saya menyunting dan membuat isi apa-apa buku dengan gaji sebegitu? Tapi saya terima juga kerana menganggap Pak Habib sebagai ayah angkat yang akan menolong menerbitkan buku saya. Tengok-tengok hampeh! Kemudian dikutuknya saya tak sedar diri ada hati nak kahwin dengan artis sedangkan kalau dia betul-betul jujur sebagai ayah, tentu tidak dibiarkan saya melarat. Masa saya kerja New Straits Times dahulu gaji saya taklah berapa besar tapi dapat le jugak RM3,000-RM5,000 sebulan. Tengok apa jadi bila saya tak berkira?

Berbalik pada terjemahan buku Ahlul Bait. Saya membuat kira-kira lagi. Anggaplah 40 sen satu perkataan itu terlalu mahal walaupun menurut rakan berbahasa Inggeris, itu harga tahun 1990an. Katakan cuma 15 sen sahaja. 15 sen x 142, 211 = RM21,331.65, masih lebih 4 kali ganda daripada harga yang sudah saya terima. Ini bukan kerja senang. Tanya isteri saya berapa teruk keadaan saya demam-demam, sakit kepala sakit badan, tidur tak tentu masa dan sebagainya untuk menyiapkan kerja apabila terdaya. Saya sebut apabila terdaya kerana mana kita mampu terus-menerus 24 jam kerja menterjemah sahaja? Kita juga ada hal lain, misalnya masa bersama isteri dan berjumpa ahli keluarga

Kalau tak da hal lain pun, dengan ayat-ayat panjang yang memeningkan kepala, dengan fakta perlu dirujuk di tempat lain apabila kelihatan seperti kekeliruan, bukan setakat boleh diterjemah terus, kita pula perlu buat editting work sekali sambil mengolah balik ayat, tentu kepala akan jam apabila sampai satu peringkat. Nak tak nak kerja harus ditinggalkan seperti yang berlaku semalam di mana saya teringin untuk menyambung dari mukasurat 254 terus ke 300 kalau boleh tetapi tidak mampu. Melihatkan betapa panjangnya ayat dan isi mukasurat seterusnya saya jadi phobia.

Tanya isteri saya, rasa nak menangis pun ada, kerana saya betul-betul berazam untuk menyiapkannya sebelum kami pergi ke Aceh sedangkan semenjak dua menjak ini saya semakin sakit-sakit badan dan kepala akibat kerja ini. Pada masa yang sama, amat penting untuk saya melepaskan beberapa tulisan di blogspots agar saya dapat pergi ke wilayah kelahiran tok-nenek moyang saya itu dengan hati yang tenang, bebas langsung dari beban-beban lama. Dan saya juga diminta untuk menterjemahkan secara sukarela artikel-artikel di sebuah website dan ini sudahpun dimulakan atas rasa tanggungjawab. Lihat artikel Peranan Ahlul Bait lawan propaganda Zionis Illuminati!

Terus-terang cakap, saya sudah beberapa kali mahu give-up membuat penterjemahan buku Ahlul Bait ini. Sampai pernah terfikir mahu memulangkan sahaja duit RM2,000 yang saya sudah terima, tidak berbaloi dengan sakit dan beban yang saya dapat. Kini saya sudah menyiapkan lebih 50 peratus buku. Maka ikutkan, saya ada hak untuk menyimpan RM2,000 itu sambil menghantar apa yang sudah siap sahaja kemudian melupakan terus tentangnya. Pandai-pandailah Kak Suzana dan Abang Muzaffar mencari orang yang mampu menyambung kerja. Apakah Institut Penterjemahan Negara tidak mampu membuatnya? Tentu mampu kerana mereka ada tenaga pakar yang cukup berkebolehan. Tetapi soalnya adalah harga bukan? Kalau kena 40 sen satu perkataan, tentu terduduk mereka. Alangkan RM15,000 yang saya minta pada awalnya tu pun dah kira murah tapi tak mampu dan tak dipersetujui mereka.

Tetapi saya tetap ingat bahawa tawaran ini datang berkenaan rezeki anak. Maka itu demi Allah, akan saya cuba juga siapkan juga walaupun akibatnya saya harus menanggung sengsara sebelum dapat berlepas pergi ke Aceh. Harapan saya dapat pergi ke sana dengan jiwa yang ringan. RM4,000 pun RM4,000 lah, akan saya cuba hantar kerja yang siap. Tetapi lepas ini jangan haraplah saya akan membuat kerja dengan harga sebegini rendah lagi.

Saya faham RM15,000 kedengaran terlalu mahal tetapi itulah harga minimum di pasaran sebenarnya. Dalam hal ini biar saya luahkan lagi satu rasa yang berkenaan.

Kata Kak Suzana kita sudah sama-sama merasa perit jadi penulis buku yang berjuang untuk memartabatkan Ahlul Bait. Tidak Akak, perit kita tidak sama. Walaupun Akak kata keluarga Akak dahulu mencemuh kerana membuat kerja yang pada awalnya kelihatan sia-sia pada mereka, Akak dan suami tidak pernah merasa tidur merempat ke sana-sini dihina dan dipandang rendah orang, tidak pernah merasakan betapa peritnya runtuh rumahtangga dan hilang kerja. Walaupun Akak pernah buat buku dahulu tanpa hasil, manakan sama dengan saya yang dahulu tidak ada kerja langsung malah sebenarnya saya kurang sihat selama ini, baru sedikit demi sedikit dapat mengembalikan kesihatan. Akak ada suami mendapat gaji bulanan RM7,000-RM8,000 (ke lebih?), boleh hantar anak-anak belajar ke Yemen dan Timur Tengah, boleh masukkan ke sekolah agama persendirian dan sebagainya, boleh duduk di kawasan perumahan mewah di Bukit Jelutong.

Mungkin Akak pernah menghadiri majlis perkahwinan saya dan melihat keluarga saya boleh tahan berada. Itu keluarga saya, bukannya saya. Saya sebagai lelaki diharap dapat menanggung sendiri isteri dan anak. Alhamdulillah sedikit sebanyak saya dapat menanggung juga walaupun tidak seratus peratus kerana pendapatan yang tidak seberapa dan tidak tetap, bagaimana lagi mahu memberi RM500 sebulan untuk anak? Lainlah kalau saya dibayar harga kerja menurut pasaran semasa.

OK lah. Cukuplah luahan. Saya buat semua ini kerana tidak tahan lagi menanggung perasaan bermula semalam. Apabila mahu menyambung kerja penterjemahan terus saya jadi kaku, phobia. Moga-moga selepas ini dapatlah bergerak. Entah betul-betul boleh siap sebelum pertengahan Jun ke tidak, saya pun tak boleh jamin sebenarnya tetapi akan saya cuba juga sedikit demi sedikit. Sekian! :]



p/s: Biasa le, saya kan ada gila-gila nombor? Sukacita dimaklumkan ini adalah posting ke 515 di blogspot ini sedangkan lebih awal tadi saya telah membuat posting ke 323 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 232 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Cantik tak nombor-nombor ini?



31 ulasan:

  1. Maksudnya akan dibayar 8sen aje untuk satu muka surat. Gile la...
    Tak patut la harga tuh.

    Dulu thn 2000 pert time job saya taip surat. Dibayar 50sen untuk untuk satu A4. Bukan guna otak pun.

    BalasPadam
  2. Saya amat berdukacita tatkala membaca artikel di atas...bagaimana blogger-blogger dan pejuang-pejuang pembangkitan semangat Melayu mengharungi realiti liku-liku kehidupan....sedangkan bangsa asing yang tidak sama sekali menyelami kehidupan bangsa Melayu jauh sekali memiliki 'jatidiri Melayu' sewenang-wenangnya di'angkat' menerajui firma-firma bernilai berjuta-juta ringgit yang kononnya memperjuangkan Tradisi Melayu...



    sila klik ke http://www.ramuan.com
    youtube pun ada check di Gempamelayu under 'Traditional Remedies'

    p.s. BDW, saya pernah crossed path dgn Pn Suzana - she has excellent command of English Language...(D'shire apt Kota Damansara)


    Untuk Si Merah Silu...di harap bersabar...dan dilimpah kurniakan rezeki Allah SWT ke atas saudara dan penjuang-pejuang yang lain...

    BalasPadam
  3. Wassalam semua, Tak apa le...
    Untuk Mohd Fazli, bukan 8 sen tapi RM8 satu page A4. Memang satu harga yang sangat murah untuk translation. Selalunya satu page A4dianggap bersamaan 250 perkataan 12point text dengan, hmmm panggil apa tu ye. Single spacing ke double spacing, lupa pulak. Apapun RM8/250 = 3.2 sen satu perkataan. Memang cheap sale punya...
    Untuk Peacebuy, tak pa le. Saya terima keadaan ini. Cuma ada masa terasa tak tahan sangat jadi saya lepaskan le melalui tulisan. Tetapi adat saya kalau boleh, camana teruk pun akan saya cuba juga siapkan kerja. Ni kira nak sambung balik le translation work walaupun diakui ada rasa phobia kerana masa buat kerja ni le migraine saya semakin teruk...

    BalasPadam
  4. Saya amat bersimpati dgn saudara walaupun simpati saya tidak saudara pinta....jangan terlalu terlena dgn org tarikat,berjubah,berpurdah,berjanggut,ada antara mereka pembelit,belit mereka sebagaimana belit serban mereka,lagi besar serban lagi besar belit mereka....mereka tak kenal diri,bila tak kenal diri mereka tak kenal mana muhammad dan mana muhammad rasulullah...jangan diri dipermainkan!!

    BalasPadam
  5. SALAM SAUDARA MS.
    SABAR SAUDARAKU.ALLAH BERSAMA ORG YG SABAR.PASTI ADA HIKMAHNYA.
    MEREKA YG KONONNYA PANDAI MENGAMBIL KESEMPATAN PADA ORG ADALAH MEREKA YG BUTA HATINYA.TIDAK TERPANGGIL MAUPUN MENYAHUT SERUAN ATAU PANGILAN DARI ALLAH.
    USAHA MEREKA SIA-SIA SHJ.
    SAUDARA TERUSKAN DGN APA YG TERGERAK.MUNGKIN INI UJIAN UTK SAUDARA.
    MOGA DIRAHMATI ALLAH SEKELUARGA.

    BalasPadam
  6. Wassalam. Terimakasih Alya, terimakasih anon...

    Petang tadi baru saya menyambung lagi kerja penterjemahan. Dah siap sampai page 272 tadi, rehat kejap kemudian sambung lagi.

    Walau apapun, saya cuba sedaya-upaya untuk mengotakan kata-kata. Buat dulu le. Saya tidak suka membuat apa-apa kerja separuh jalan. Apa yang terjadi kemudian biar Allah yang menentukan.

    Sekian! :]

    BalasPadam
  7. Orang yang beradab bila sudah berakad dan maing2 bersetuju, tentu sudah tidak mengungkit lagi perjanjian, namun saudara memalukan diri sendiri dan memalukan saudara sesama islam.

    Ini bukan peribadi yang patut dicontohi. Banyakkan muhasabah diri.

    BalasPadam
  8. hihii..annoy your pharse on akad is true..but when people desperate had to take the chance..how about people how know he is desperate and taking advantage on it..also not a good muslim...so u also need to muhasabah your self ..think both side conditions

    BalasPadam
  9. ..mostly people how take advantage on others ...and never try to understand people is call yahudi..that why our prophets as us to think outside the box..and muhasabah diri.. at least we know ourselves & feel the suffering.

    BalasPadam
  10. pergh..murahnya nilai harga terjemahan tu..elok tak yah teruskan...jgn aniaya diri...jgn zalimi diri sendiri...

    BalasPadam
  11. Cakap melayu laaa, lagi senang, kalau bahasa orang putih pun dah teruk..

    kan dah menyahudi diri sendiri tu..

    BalasPadam
  12. Tak baik kau orang kutuk Pn Suzana sekadar membaca komen Radzi ni. Si Radzi ni pun satu, sudah terima assignment tu belajar2lah redha, atau kalau dah rasa diri tertipu, pergi sahajalah jumpa semula Pn Suzana, tak perlu nak burukkan nama dia di sini. Aku pelik, si Radzi ni mengaku macam serba pandai tetapi banyak perkara yang tak baik dia lakukan. Satu yang aku perasan, dia ni rasa takjub pada diri sendiri itu sebab semua orang asyik salah sahaja, dia seorang yang betul dan suci murni.

    BalasPadam
  13. anon 6:05

    Soalan
    Bila memburukkan Pn Suzana di sini, sikap itu dinamakan apa?

    Jawapan
    Itulah namanya adu domba. Kerana perasan diri tu betul. Perasan diri betul kerana Takjub pada diri sendiri. Riak dan Takabbur.

    Bila dah takda duit, mulalah cari kesalahan org. Lama2, bini yg ada ni pun salah jugak.

    BalasPadam
  14. ntah ntah, bendera merah ni bini dia

    BalasPadam
  15. Salam...

    semoga apa yang berlaku ini menyeimbangkan diri kita semula...

    menyentuh tentang aib kan abang MS, Alya ada satu artikel ni yang pernah Alya letakkan di blog untuk rujukan sendiri...

    Nurani 2 : Usah buka aib

    Wasalam

    BalasPadam
  16. Ayah saya kata..jgn bangga diri,wlaupun kita mempunyai ilmu yg TINGGI!!
    Mak saya kata..Hormatilah semua manusia atas muka bumi ini xkira dia pengemis,kaya,miskin,penyapu sampah,jaga toilet!!
    Atuk saya bilang..Bekerjalah kerana ALLAH dan jgn mengungkit!!
    Nenek saya ckp..Banyakkan Berfikir dan kurangkan bercakap@omong2 kosong.bercakap bila perlu.Think Before you Say Something(ckp omputih nenek aku)
    Aku pulak ckp..wlaupun aku bukan dari keturunan Ahli2 Ulama yg hebat2 tapi aku bersyukur dilahirkan dalam ISLAM.

    BalasPadam
  17. Aku rasa ni taktik dia je..sanggup mengaibkan org asal hajatnya tercapai.

    Terlalu berusaha nak tunjuk diri tu baik.

    BalasPadam
  18. Hmm. Nampaknya orang Anonymous ini betul-betul bertungkus-lumus mahu memburuk-burukkan saya. Sedangkan Kak Suzana sendiri boleh terima kerana dia tahu luahan artikel ini dibuat semasa saya sedang sangat tension. Begitu juga halnya apabila Anonymous dahulu ada menyebut tentang gadis di Singapura yang katanya dihina saya. Padahal gadis itu kemudian menghubungi saya mengucapkan tahniah atas perkembangan terbaru hidup saya dan kemudian terus menyokong usaha penulisan saya.

    Tak apa le. Saya memang banyak kekurangan. Memandangkan Anonymous begitu perihatin terhadap pelbagai perkara, apa kata hubungi Dewan Tok Kenali, hulurkan bantuan untuk mereka? Lihat apa yang disebut dalam artikel
    http://merahsilu.blogspot.com/2009/05/mari-kita-bantu-baik-pulih-dewan-tok.html.

    Daripada terus-menerus mencari salah silap saya di sini dalam usaha mempengaruhi pembaca agar membenci saya, kan lebih elok mewar-warkan pertolongan yang diperlukan mereka di Kelantan?

    Kalau nak buruk-burukkan saya pun terus tak apa. Pergilah ke semua blogspot yang ada di dunia ini, silalah sebut tentang saya yang sombong, suka menunjuk-nunjuk dan sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapai tujuan tersembunyi. Saya minta satu sahaja - jangan lupa war-warkan sekali pertolongan yang diperlukan Dewan Tok Kenali. Semoga masalah mereka berjaya diselesaikan secepat mungkin, Insyaallah!

    Salam sejahtera untuk kamu wahai Anonymous! :]

    p/s: Website http://www.shiar-islam.com/ kelolaan pendakwah Habib Hassan Aceh juga memerlukan pertolongan dana untuk mengupgradekan usaha dakwahnya melalui Internet. Kalau Anonymous keberatan untuk menghulurkan wang, anda juga boleh menolong menterjemahkan artikel-artikel yang ada kepada bahasa-bahasa lain seperti Inggeris, Arab, Cina dan Jepun agar dapat diikuti lebih ramai pembaca untuk menghayati Islam.

    BalasPadam
  19. Radzi, memang mungkin hati awak sudah tertutup untuk menghilangkan rasa takjub kepada diri sendiri.

    Jawapan awakpun sudah menunjukkan bahawa awak tetap merasa diri tidak bersalah dengan memberi pelbagai alasan kononnya Pn Suzana tidak terasa hati dan sebagainya.

    Semakin hari awak semakin diserang rasa inferiority complexs dan unsecure, ini mungkin BALA dari Allah kepada awak.

    Semuga kelak, isteri baru awak tidak menjadi mangsa rasa takjub awak itu, saya takut nanti bila apa-apa terjadi, awak akan menyalahkan dia dan lari dari mengaku kesilapan sendiri.

    Sekian.

    BalasPadam
  20. Salam...

    yang menegur menyindir... yang ditegur pulak membalas dengan sindiran jugak.. api dengan api makin marak la....

    wasalam...

    BalasPadam
  21. Jangan risau, lepas ni Radzi akan datang dengan komen Tun Suzana utk meyakinkan yang Tun Suzana tak marah sikit pun. Kemudian dia akan bawa cerita yg Tun Suzana akan bayar dia lebih kerana puas hati dengan terjemahan. Ini semua usaha untuk memberitahu dia suci murni dan boleh cakap apa saja tapi org tak terasa hati. Yang suka terasa hati korang2 aja. Maklum dia suci murni la tu. Tak cukup dengan itu dia mengajak korang menderma utk menunjukkan dia dipihak yg betul.

    BalasPadam
  22. Alhamdulillah. Jangan lupa ingatkan sekali orang ramai supaya menderma untuk pemulihan Dewan Tok Kenali ya. Seperti pernah disebut, mereka memerlukan RM350,000 tetapi baru dapat sekitar RM70,000. Cuba gantikan segala kata-kata kita yang sia-sia itu dengan perbuatan yang betul-betul berfaedah kepada orang ramai dan pihak yang memerlukan. Sekali lagi, lihat cerita mengenainya yang tertera di http://merahsilu.blogspot.com/2009/05/mari-kita-bantu-baik-pulih-dewan-tok.html.

    BalasPadam
  23. Iblis,kalau dah terdesak camtulah. Cover line nampak. Kesalahan sendiri tak ngaku.

    BalasPadam
  24. Dear Radzi,
    Hairan ye orang yang mengutuk you bertalu-talu tu, agaknya anjing kurap ke babi tonyok ke??? Anyway saya pun biasa membuat kerja terjemahan dan kadang-kadang rasa nak give up yang amat sangat bila deadline terlalu singkat, kita perah otak siang malam sampai tertidur-tidur depan laptop, angan-angan nak dapat berapa ribu, ratusan ringgit pun kita yang minta secara segan-segan.Saya tak fikir you merasa ujub atau riak kerana bila kita berusaha mendekati diri kepada Allah, memang kita akan mengalami pengalaman-pengalaman seperti yang you lalui. Saya pun ada buku Ahlul Bait tu, tapi usaha baca macam mana pun, tak berapa nak interesting.Saya berharap sangat, kalau benarlah dakwaan Anai-anai di Blog Empayar Siam Islam tu, dapatlah somebody mendedahkan kebenaran tentang kebesaran tamadun bangsa kita seperti dilakukan Kijang Mas dengan buku 'Pattani:The Accidental Border.'Wassalam.

    BalasPadam
  25. Wassalam Emilio. Tamadun bangsa kita memang besar, sangat besar tetapi tidaklah seperti disebut dalam blog Empayar Siam itu. Walaupun apa yang mereka ceritakan itu ada betulnya tetapi pada saya banyak fakta mereka sendiri selewengkan demi membesarkan keluarga mereka, kononnya pewaris mutlak untuk memerintah rantau ini. Untuk menghalalkan ini mereka menggunakan buku Undang-undang Kedah yang mereka tafsirkan sendiri sedangkan orang-orang yang membaca blogspot mereka samada tidak bekesempatan membaca buku Undang-undang Kedah atau tidak cukup pengetahuan untuk mengesan penyelewengan dan penipuan dalam penafsiran mereka.

    Blog itu bukan bertujuan untuk mendaulatkan Melayu tetapi mendaulatkan bangsa Siam di Kedah yang merupakan kaum keluarga mereka. Malah mereka sanggup menuduh perkataan Melayu sebagai sesuatu yang baru wujud dicipta oleh British, katanya untuk menidakkan kedaulatan Siam konon. Lalu kerajaan Melayu Melaka yang pernah berpusat di sekitar bandaraya Melaka sekarang dikatakan tidak wujud tetapi sekadar imaginasi seorang "raja daerah" yang kononnya bersekongkol dengan British.

    Ini ibarat wujudnya sebuah kerajaan besar yang pernah memerintah dari Ceylon, Nusantara ke Filipina sampai ke utara Australia juga selatan Cina. Malangnya kerajaan itu terpecah-belah sehingga wujud kerajaan-kerajaan serpihan yang kemudiannya mewujudkan kerajaan Siam, Jawa dan sebagainya. Lalu si Siam mengakui kerajaan besar dahulu itu adalah kerajaan Siam, yang Jawa juga begitu. Sedangkan hakikatnya seperti disebut dalam Al-Quran tentang Nabi Ibrahim yang berbunyi lebih kurang begini (type spontan aje yek) "Bukanlah Ibrahim itu Yahudi ataupun Nasrani bahkan dia adalah seorang hamba kami yang Hanif ataupun lurus).

    Orang Yahudi mengaku Nabi Ibrahim beragama Yahudi yang Nasrani pula kata baginda agama Nasrani. Sedangkan baik agama Yahudi mahupun Nasrani belum wujud semasa Nabi Ibrahim hidup. Bahkan kedua-duanya cuba tercipta beribu tahun setelah baginda wafat. Begitu le... :]

    BalasPadam
  26. Ada yahudi dialam besar maka pasti ada yahudi dialam kecil......tapi ramai yang lupa melihat dialam kecil sebagaimana seruan hikmat "kenali diri maka akan kenal akan Tuhan"....jihad akbar ialah melawan nafsu sabda nabi saww..permulaan mengenal diri ialah mengenal nafsu. Mari kita kita matikan yahudi didalam diri kita!

    BalasPadam
  27. merahsilu.blogspot.com is very informative. The article is very professionally written. I enjoy reading merahsilu.blogspot.com every day.
    quick cash loans
    bad credit loans

    BalasPadam
  28. Salam Sejahtera,

    Tuan blog bersungguh sungguh dalam menabur ilmu dan bagi pencerahan bab ilmu tersurat dan tersirat. Kita sebagai pembaca sepatutnya bersyukur, dan saya bersyukur apabila ada ilmu yg tersirat yg sanggup tuan blog kongsikan. Terima kaseh.

    Kepada semua anon-anon diatas, tulisan kalian yg menghuris hati lagi tajam tu dicatat malaikat, anon hanya tersembunyi di pandangan mata manusia, tapi Tuhan menyaksikan apa kita kerjakan. Berani sungguh kalian menghina insan lain tapi berselindungkan anon.

    Dizaman moden ni senang lagi nak dapat pahala dan dosa, org ramai yg baca komen anon ni, makin banyaklah pahala mereka(anon jahat) transfer kat Merah Silu, memang kalian ni pemurah pahala, suka sgt sedekah pahala kat org sampai muflis kat akhirat.

    Sebelum tulis bukan2, fikir2 kesannya wahai anon yg pengecut.

    Salam perjuangan pada Merah Silu

    BalasPadam
  29. Saya suka membaca tulisan2 anda kerana penuh dengan hiburan dan sekaligus ilmu pengetahuan yang tidak mungkin boleh didapati di blog2 lain.
    Semoga anda tabah dalam menghadapi ujian dan tohmahan orang2 yang membenci anda dan mahu menjatuhkan nama baik anda.......

    BalasPadam