Jumaat, Mei 22, 2009

Perjalananan terbaru ke Muar dan Ledang... ada kena-mengena ke dengan Ahlul Bait?

Ini adalah gambar Gunung Ledang diambil dari pekan Sagil pada waktu senja.


Gambar yang lebih dekat...

Ini pula gambar suasana langit merah dalam perjalanan menghala ke bandar Muar. Untuk pengetahuan, baik Sagil mahupun Gunung Ledang dahulunya terletak di dalam daerah Muar. Tetapi baru beberapa tahun ini daerah Muar dipecah dua dengan bahagian utara dari Sungai Muar dijadikan daerah baru dipanggil Ledang.

Adapun gambar-gambar in diambil pada petang Jumaat lepas masuk malam Sabtu. Inilah pertama kali saya kembali ke Muar tahun ini. Sudah enam bulan saya tidak kembali ke kampung ibu, daerah kelahiran saya dan kali terakhir saya ke Muar adalah pada Disember tahun lepas sejurus selepas kembali berumah-tangga.

Dalam tempoh enam bulan ini, saya dan isteri cuma bertemu ibu dan ayah di sekitar Kuala Lumpur apabila mereka bertandang ke sini, sekali di Pahang kemudian bersama pergi ke Perak. Kami kembali kali ini untuk memenuhi permintaan mereka agar dapat menghantar mereka pagi Isnin dari Muar ke lapangan terbang KLIA untuk menunaikan umrah di tanah suci Mekah. Kalau tak salah ingatan, ini adalah kali ke 6 atau 7 mereka ke sana. Isteri saya sanggup mengambil cuti kerja agar dapat bersama menghantar hari Isnin.

Oleh kerana saya dan isteri sudah lama tidak ke Muar, saya rasa elok juga kalau kami tidur di sana 3 malam. Untuk itu, kami perlu berlepas petang Jumaat sebaik sahaja isteri tamat waktu kerja lalu sempat sampai ke kawasan tol Tangkak sejurus sebelum waktu senja. Itu yang timbul rasa untuk bertandang ke Gunung Ledang sebentar, kali pertama saya pergi bersama isteri.

Cukuplah setakat dapat bermain-main air di bahagian bawah gunung kerana kami sampai ke sana waktu senja. Lagipun kali terakhir saya ke Gunung Ledang adalah lebih setahun lalu iaitu pada awal tahun lepas. Teringat pula artikel Sedikit lagi tentang Muar. Jalan Junid, Bukit Mor dan beberapa kenangan lama...

Ada orang bertanya kenapa sudah lebih seminggu saya tidak membuat apa-apa posting baru. Jawabnya saya sibuk dengan beberapa perkara. Selepas selesai menghantar ayah dan ibu ke lapangan terbang saya dan isteri berehat di Kajang 2 malam dan langsung tidak menghadap Internet.

Saya juga ada satu kerja penting yang perlu diselesaikan kalau boleh sebelum tengah bulan Jun. Nantilah, satu masa yang sesuai baru saya cerita. Di sini saya ingin meletakkan satu pengumuman yang diterima melalui e-mail. Insyaallah esok akan saya cuba hadiri acara yang disebut dalam e-mail itu, anda semua turut dijemput sama. Untuk makluman, ini adalah artikel ke 505 di sini. Selamat malam! :]

AHLULBAIT: PERANAN DAN TANGGUNG JAWAB

Salam semua,para jemaah dan ahli forum semua dijemput menghadiri sesi ceramah serta menimba ilmu di Program Anjuran Persatuan Keluarga Jamalullail Perak Malaysia. butiran adalah seperti berikut:

program: Majlis Ilmu

tajuk: AHLULBAIT: PERANAN DAN TANGGUNG JAWAB

tempat: Masjid UKM Bangi

tarikh: 23 hb Mei 2009

masa: pukul 2 petang

penceramah: Yang Mulia Ust. Syed Hassan Al Attas (Habeb Hassan Aceh)

no untuk dihubungi: 016 244 3539 (Abdullah Jamalullail) 019 337 3743 (Abu Hassan Jamalullail)


Cerita An-Nur - Pertemuan dengan keluarga Nur...

Entah kenapa, terasa hendak meletakkan gambar ini pula...


Setelah lebih seminggu tidak bercerita di mana-mana blogspots saya, baru tadi saya membuat sebuah artikel Mini Malaysia: Rumah tradisional Kedah (traditional house of Kedah) bertajuk di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Kini biar kita menyambung cerita tentang An-Nur ya, bersambung terus daripada Cerita An-Nur - Berubat menggunakan air kelapa gading di Janda Baik?

Maka Nur pun membawa An-Nur kembali ke rumahnya sementara saya kembali ke rumah sewa An-Nur di sebuah kondominium di pinggir pusat bandaraya Kuala Lumpur. Alhamdulillah, ibu bapa An-Nur terus menjemput saya berehat ke dalam bilik. Memang penat setelah siang tadi terkejar-kejar menyelesaikan hal dari Hospital Besar KL ke Janda Baik di Pahang.

Setelah solat Isyak gitu saya mendapat panggilan telefon dari Nur. Katanya An-Nur sedang berehat elok dalam biliknya di rumah. Malam itu kami beberapa kali saling berhubung. Sambil dia memaklumkan keadaan semasa An-Nur, kami bertukar-tukar berita akan apa yang berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan.

Masuk tengah malam baru saya melelapkan mata. Tiba-tiba saya mendapat panggilan lagi. Daaaa... dah masuk jam 3 pagi daaa. Rupa-rupanya An-Nur sudah buat hal. Dia masuk bilik air kemudian menguncinya dari dalam lalu duduk seorang diri sudah lebih setengah jam, lebih kurang sama keadaanya semasa di rumah Pak Ali malam sebelumnya. Saya harus memberi buah fikiran untuk menangani keadaan. Dipendekkan cerita Nur berjaya memujuk An-Nur keluar, baru saya dapat tidur kembali.

Masuk tengahari Nur menalifon lagi. Kali ini suaranya kedengaran lebih ceria. Katanya dia dan An-Nur sudah jadi baik seperti kawan lama. Dalam melayan perangai gila An-Nur, dia dapat membawa gadis itu agar turut berkongsi aktiviti bersama. Dari menyanyi melalak bagai membuat karaoke gila hingga ke membaca maulud malah membuat senaman pagi dan macam-macam perkara lagi. Rupa-rupanya itulah yang dibuat mereka sejak jam 3 pagi tadi, setelah berjaya memujuk An-Nur keluar dari bilik air. Masyaallah.

Tengahari sedikit saya tidak mendengar apa-apa berita. Rasanya kedua-duanya penat lalu masuk tidur. Masuk Maghrib, baru saya mendapat panggilan baru, kali ini suara Nur kedengaran sedih...

"Suami saya tak kasi An-Nur duduk lama lagi di sini," katanya hampa. "Dia suruh beritahu mak bapak An-Nur ambil balik dia malam ini juga!"

Aduh! Ingatkan dah elok-elok situasi dapat ditangani. Tapi apa boleh buat? Saya pun memberitahu ibu bapa An-Nur. Mereka akur. Selepas solat Isyak kami pun pergi ke rumah Nur.

Dalam perjalanan saya mendapat panggilan lagi. Kata Nur, suaminya tidak mahu saya datang ke rumah. Ait? Bagaimana ini? Saya sahaja yang tahu di manakah letaknya rumah Nur, yang dimaksudkan di sini sebenarnya rumah keluarganya. Rumah sendiri Nur terletak tidak jauh dari situ, rumah yang baru dibeli sejak berkahwin dengan politikus muda sekitar sebulan sebelum itu. Tetapi disebabkan ketika itu si politikus mahu menyorokkan perkahwinan mereka dari pandangan masyarakat (kerana Nur berjaya dijadikan isteri keduanya tanpa pengetahuan isteri pertama) , Nur dibiarkan duduk terus bersama ibu bapanya sementara si politikus pandai-pandai mengatur giliran.

Saya teringat kata si politikus muda ketika kami bersemuka di rumah Pak Habib di Janda Baik, setelah mendapat tahu mereka baru sahaja 3 atau 4 hari bernikah. "Datanglah ke rumah kami bila-bila. Kedatangan saudara amat dialu-alukan" sebelum kami berpeluk dan dia membawa Nur pergi. Ah... itulah kata-kata seorang ahli politik. Sanggup berkata apa sahaja ketika mahu mendapatkan sesuatu. Bila dah selesai, pi mampus...

Apapun, saya harus menunjukkan jalan. Saya ke rumah Nur bukan untuk merampas atau cuba menggodanya kembali. Saya bukan seperti politikus muda yang pandai mencipta pelbagai cerita dan senario untuk mendapatkan sesuatu. Saya cuma mahu An-Nur bakal isteri saya selamat sejahtera waras kembali.

Sampai di rumah, saya duduk menyorok di dalam kereta. Ibu dan bapa An-Nur masuk ke dalam. Kelihatan si politikus muda berdiri tegak di halaman rumah dengan muka masam. Gayanya seperti sedia hendak bertikam jika kelihatan kelibat saya berdekatan. Di luar halaman rumah kelihatan kereta rasminya dan saya pasti pemandu kereta merangkap pengawal peribadi yang merupakan bekas samada ahli Unit Tindakan Khas atau komando tentera menunggu di dalam.

Ibu bapa An-Nur dan suami Nur pun masuk ke dalam sementara saya membuat keputusan untuk terus sahaja tidur berbaring di kerusi belakang. Lebih kurang sejam kemudian baru ibu bapa An-Nur muncul kembali tetapi tanpa An-Nur bersama. Sebaliknya mereka kelihatan tersenyum riang lalu berlepas pergi kembali ke rumah sewa An-Nur.

Rupa-rupanya sudah berlaku semacam satu "reunion" di rumah An-Nur. Dari perbualan yang berlaku antara keluarga, baru mereka dapat tahu bahawa bapa An-Nur sebenarnya adalah saudara yang sangat dekat dengan bapa Nur. Pangkat sepupu dua pupu begitu. Masyaallah! Lalu suami Nur menukar keputusan membenarkan An-Nur duduk berehat mengembalikan kewarasan berapa lama yang perlu di rumah Nur. Lagipun Nur memang perlukan kawan, apalagi kawan yang dimaksudkan memang seorang saudara dekat yang dapat juga melayan cerita-cerita gilanya tentang peranan Ahlul Bait dan perkara berkaitan.

Alhamdulillah, senang hati saya. Sekurang-kurangnya selain dapat merapatkan kembali An-Nur dengan ibu bapanya, saya dapat juga merapatkan mereka dengan ahli keluarga dekat yang selama ini tidak mereka kenali kecuali melalui cerita saudara-mara. Tapi siapa sangka perkenalan keluarga ini akan digunakan untuk si politikus muda memburuk-burukkan lagi saya lalu merenggangkan saya terus dari keluarga An-Nur. Tapi itu cerita lain. Nanti ya... sekian! :]