Isnin, Disember 14, 2009

Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - 'Tersesat' ke Cameron Highlands pulak!

Setelah membuat 6 artikel baru di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 1 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) baru cerita perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan dapat disambung kembali. Mari! :]




1 September 2009, hari orang kembali bekerja setelah cuti hujung minggu diikuti cuti ulangtahun kemerdekaan Malaysia iaitu pada 31 Ogos. Sepatutnya saya dan isteri sudah kembali berada di Lembah Kelang, saya di rumah kami di Bandar Tasik Puteri, isteri di pejabatnya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Sebaliknya kami berada di satu tempat lain, bangun lewat pula akibat kepenatan sebelum keluar memandang persekitaran bandar di kawasan pergunungan...




Ya! Kami bukan sahaja tidak kembali ke Lembah Klang malah kami berada di satu tempat lebih 200 km dari KL. Bukan itu sahaja, kami berada pada ketinggian sekitar 1,500 meter dari paras laut. Inilah pemandangan dari bilik hotel kami di Tanah Rata, Cameron Highlands...



Bagaimana kami boleh berada di situ ? Biar penceritaan disambung balik daripada artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Deja vu Gunung Stong dan misteri 313... . Di atas adalah gambar keadaan jalan antara Dabong ke Gua Musang...



Selepas sejam gitu mengharungi perjalanan dari Dabong yang melalui tepian pergunungan Banjaran Titiwangsa, baru kami berhenti berehat dan bersolat sebentar di sebuah masjid kecil, mungkin sebuah surau...



Semasa bersolat jam sudah melepasi 6 petang. Saya ingatkan Gua Musang sudah dekat, rupa-rupanya masih boleh tahan jauh... jauh sehingga kami harus mengharungi lagi jalan-jalan pergunungan, sampai pula ke kawasan menarik di mana dua sungai ini bertemu. Untuk gambar-gambar sekitar perjalanan dari Dabong ke Gua Musang, lihat artikel The road from Dabong to Gua Musang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH .




Tidak lama kemudian kelihatan papantanda menunjukkan jalan masuk ke Cameron Highlands. Timbul rasa untuk ke sana. Memang sejak beberapa hari itu saya ada memikirkan kemungkinan mahu naik ke tanah tinggi itu... kemungkinan sahaja, bukan satu tekad yang kuat kerana kami sebenarnya sudah kekurangan masa untuk berjalan-jalan.


Apapun kami harus singgah ke Gua Musang terlebih dahulu untuk mengisi minyak juga makan menghilangkan kelaparan. Ternyata di sini juga saya akhirnya memutuskan untuk naik ke Cameron Highlands. Sudah beberapa tahun saya tidak ke situ dan kini ia sudah tidak begitu jauh. Lagipun saya belum pernah mengambil jalan yang menyambungkan Gua Musang dengan Cameron Highlands terus ke Simpang Pulai di Ipoh di mana seseorang boleh masuk ke Lebuhraya PLUS untuk terus kembali ke Lembah Klang.

Di Gua Musang juga saya membeli sehelai baju sejuk setelah terlupa membawa jaket untuk perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan. Sedangkan selama ini saya tidak pernah lupa membawanya apabila keluar berjalan jauh. Oh... ketika itu sudah masuk waktu Maghrib...


Perjalanan ke Cameron Highlands dibuat dalam kegelapan malam. Sampai ke Lojing yang menandakan hampir ke sempadan negeri Kelantan-Pahang baru kelihatan sedikit cahaya yang dapat menerangkan keadaan...


Cahaya apakah itu? Sila lihat artikel The night trip from Gua Musang to Cameron Highlands... . Berbalik pada perjalanan itu sendiri. Sebenarnya asalnya saya cuma bercadang untuk mengambil laluan ini hingga ke Simpang Pulai sebelum terus kembali ke Lembah Kelang. Cadangan itu sudah bersarang dalam hati sejak terpandang papan tanda menunjukkan simpang jalan ke Cameron Highlands dari Gua Musang, semasa bergerak dari Kuala Lumpur ke Kelantan petang Khamis 27 Ogos. Tak perlu pun untuk ke Cameron Highlands, sekadar lalu pun tak mengapa...

Apa yang saya teringin sangat ialah untuk melihat pemandangan pergunungan dalam perjalanan dari Gua Musang ke Simpang Pulai yang dikatakan sangat cantik. Jalanraya yang baru siap beberapa tahun lalu ini menyeberangi Banjaran Titiwangsa dan naik melepasi 1,000 meter dari paras laut. Sayangnya saya tidak sempat menikmati pemandangan tersebut. Hari itu sahaja iaitu 31 Ogos sudah cukup sibuk. Selepas meninggalkan Kuala Besut dan pantai Tok Bali (lihat balik artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Sampai masa untuk pulang... ) kami singgah di Pasir Puteh untuk membeli keperluan sekolah anak-anak. Kemudian baru kami menghantar mereka ke rumah bapa saudara berdekatan Kota Bahru, itupun mengambil masa untuk memujuk sebelum kami dapat berlepas pergi.


Hasilnya selepas 4 petang baru kami dapat meninggalkan KB, nak sampai ke Gua Musang lalu Jeli dan Dabong pun tetap memakan jarak sekitar 200 km, manalah sempat hendak menikmati pemandangan pergunungan sepanjang perjalanan Cameron Highlands hingga ke Simpang Pulai? Itu yang menyebabkan saya membuat keputusan untuk bermalam di Cameron Highlands. Selain dapat berehat menghilangkan kepenatan, sekurang-kurangnya boleh melihat pemandangan pergunungan esok siangnya walaupun bukan di jalanraya yang diinginkan.

Bayangkan, kami sampai ke persimpangan masuk pun sudah melepasi jam 10 malam... maklumlah dari Gua Musang ke persimpangan pun memakan jarak sekitar 120 km apalagi harus membuat pendakian gunung dalam keadaan hujan renyai-renyai. Saya pun bertanya isteri jika dia dapat melanjutkan cuti untuk satu hari lagi. Katanya boleh... lagipun dia juga sudah bertahun tidak ke Cameron Highlands, apalagi bersama saya sebagai suami isteri!


Dari satu segi, perjalanan ke Cameron Highlands sehingga bermalam sudah lebih awal 'dijanjikan'. Dalam artikel pembukaan siri iaitu Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Sungai Jelai di Kuala Medang dan Masjid Kampung Laut di Kelantan... yang dibuat sebulan lalu, saya ada menyebut betapa Sungai Jelai yang merupakan sebuah sungai utama di Pahang berpunca dari sekitar Cameron Highlands. Salah satu puncanya (mungkin juga punca utama!) adalah sungai dalam gambar yang melalui bandar Tanah Rata juga sungai lain (kalau tak salah) yang membentuk air terjun Robinson Falls yang agak terkenal di situ. Nampaknya persinggahan di Kuala Medang melihat aliran Sungai Jelai telah menyebabkan saya terpanggil untuk melihat puncanya. Terfikir juga apakah ada faktor mistik dalam hal ini... dah teringat satu pangkat bangsawan turun-temurun Pahang yang dipanggil Maharaja Perba Jelai...



Sungai di Tanah Rata turut membentuk sebuah air terjun lebih kecil iaitu Parit Falls. Lihat artikel Views around Tanah Rata sebelum melihat Parit Falls.... Hmm... apakah ini sebenarnya Sungai Jelai juga, sungai utama yang membentuk Sungai Pahang? Sila rujuk pada peta dalam artikel Foray to idyllic Kuala Medang in Pahang... yang dibuat sebulan lebih awal...



Dan kalau dah sampai Cameron Highlands tu, tak sah le kalau tidak bersantai sebentar di tepian ladang atau kebun teh di tepian jalan. Lihat artikel The tea plantations at Cameron Highlands... . Artikel seterusnya di blogspot BERPETUALANG KE ACEH iaitu The lower parts of Cameron Highlands - Habu and Ringlet... melengkapkan gerak rasa dan penceritaan tentang persinggahan akibat 'tersesat' ke Cameron Highlands.

Sekarang tinggal satu sahaja lagi artikel untuk melengkapkan siri perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan. Artikel itu akan melibatkan tempat-tempat di Perak terutama Chenderiang dan Lata Kinjang, ada juga persinggahan lewat malam di Tanjung Malim di mana saya sempat menamatkan beberapa surah Al-Quran di 2 buah masjid berdekatan. Selamat malam! :]



Tiada ulasan:

Catat Ulasan