Sabtu, Ogos 15, 2009

Berkejar ke Lampuuk... tempat matahari terbenam cantik dan masjid paling teruk diserang tsunami

OK. Sampai masanya untuk menamatkan cerita tentang aktiviti-aktiviti yang dibuat hari Selasa, hari kedua saya di Aceh. Bersambung daripada artikel Dayah / Pesantren / Sekolah pondok Tanoh Abee... dan perpustakaan lebih 300 kitab lama!

Selesai ziarah di Tanoh Abee, kami terus berkejar untuk kembali ke Banda Aceh...


Manakan tidak. Kami meninggalkan Tanoh Abee pun sudah jam 6.30 petang sedangkan kami mahu melihat matahari terbenam yang dikatakan sangat cantik di satu tempat, tempat yang memerlukan kami berkejar 42 km gitu melalui jalan bukan highway bersimpang-siur kembali ke Banda Aceh sebelum menghala 15 km lagi ke arah barat...


Aktiviti-aktiviti yang dibuat sepanjang hari sudah cukup memenatkan. Ya lah, bangun pagi awal berjalan-jalan di luar hotel kemudian naik ke bumbung menikmati pemandangan sebelum berziarah ke makam Syiah Kuala 5 km ke utara Banda Aceh, kemudian makam Teungku di Anjung dan makam Tuan di Kandang. Lepas makan tengahari pergi pula ke Masjid Indrapuri 25 km tenggara Banda Aceh, kemudian ke makam Teungku Chik di Tiro kemudian baru Tanoh Abee.

Hasilnya dalam perjalanan kembali ke Banda Aceh, saya dan isteri tertidur petang nyenyak. Sedar-sedar je dah 7 km melepasi Banda Aceh, berhenti le di hadapan rumah srikandi Aceh terkenal Chut Nyak Dien yang pernah giat mempimpin angkatan melawan penjajah Belanda dari tahun 1878 hingga 1905...


Inilah rumah peninggalan Chut Nyak Dien. Biar dipaparkan sedutan berkenaan dari buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke gagang?", daripada bab bertajuk "Aceh sekarang: Bilakah kembali Darussalam?"...

------------------



Antara mereka, Chut Nyak Dien dikira srikandi paling terserlah sehingga kisahnya diabadikan dalam sebuah filem Indonesia dengan wataknya dipegang pelakon terkenal Christine Hakim. Wanita cantik berketurunan Puteri Nanta Seutia Raja Ulebalang Mukim ini berkahwin dengan Ibrahim Lam Naga kemudian bersuamikan Teuku Umar apabila lelaki itu meninggal dunia 29 Jun 1878 semasa melawan Belanda. Ketika itu, banyak daerah kekuasaan hulubalang telah dirampas penjajah sehingga para pejuang Aceh tertekan untuk mengalah dan berdamai. Tetapi Chut Nyak Dien terus membakar semangat... Beliau kemudian menggantikan kedudukan ayahnya yang meninggal dunia untuk memegang jawatan hulubalang yang berkuasa ke atas daerah VI Mukim atau enam mukim.

Teuku Umar pernah menyeberang ke pihak Belanda dalam satu taktik untuk mengenal-pasti kelemahan musuh dan mendapatkan senjata mereka. Beliau kemudian kembali bersama hulubalang Aceh tetapi gugur lalu Chut Nyak Dien bertindak memimpin saki-baki perjuangan selama 16 tahun di tengah hutan rimba sehingga kesihatannya menjadi teruk dan matanya rabun. Beliau terus memimpin walaupun kurang nampak dan terpaksa dipikul para pengikut. Pada 16 November 1905 sepasukan askar Belanda telah menyerbu tempat persembunyiannya dan beliau pun ditangkap.

Mengikut satu cerita, Chut Nyak Dien sudah bersedia untuk mengorbankan diri sendiri. Beliau yang lebih rela mati daripada ditangkap penjajah sudah mencabutkan senjata rencongnya dan mengarahkannya ke dada sendiri namun berhasil dicegah oleh seorang pegawai Belanda. Srikandi wanita inipun dibuang daerah ke Sumedang di Pulau Jawa. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir lalu dimakamkan di sana.



Sayangnya, rumah serta kawasan sekitar yang telah dijadikan tempat lawatan kebudayaan telah ditutup untuk hari itu... maklumlah, dah masuk jam 7 petang!




Lagipun kami perlu berkejar ke Lampuuk untuk melihat matahari terbenam. Itupun sempat berhenti sebentar membeli kuih-muih di tepian jalan...





Perjalanan disambung sedikit terganggu akibat halangan seperti yang kelihatan...






Namun Alhamdulillah, kami sampai ke Lampuuk dalam keadaan matahari masih cukup terang!




Kami memang cukup masa untuk melihat matahari terbenam. Cuma langit pula tidak berapa terang akibat kepulan awan. Lihat gambar-gambar dan cerita pada artikel Catching the sunset over the Indian Ocean at Lampuuk... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH .



Masuk Maghrib, kami bersolat di sebuah masjid yang agak istimewa...



Apakah yang begitu istimewa tentang masjid ini? Lihat gambar lama di atas. Dan lihat gambar-gambar lain dan ceritanya pada artikel Masjid (mosque of) Rahmatullah, satu monumen tsunami Aceh (a tsunami monument of Aceh) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ...



Apapun, kawasan keliling masjid ini kini sudah kembali cantik. Banyak rumah-rumah baru dan kedai-kedai telah dibina termasuk banyak rumah bungalow dua tingkat kecil tapi menarik yang dibina kerajaan dan badan NGO dari Turki untuk penduduk yang selamat daripada serangan ombak ganas tsunami yang menelan lebih 200,000 nyawa dan menghancurkan banyak infrastruktur malah mengubah sedikit bentuk mukabumi di Aceh 26 Disember 2004.

Tetapi pertolongan material bukan segala-galanya. Pengisian hidup baru juga diperlukan Saya teringat cerita isteri saya yang sempat berbual-bual dengan dua orang wanita Aceh berumur yang duduk di sekitar. Dari segi rumah yang mereka dapat, kelihatan agak selesa dan mewah... maklumlah, bungalow dua tingkat setiap seorang yang walaupun kecil tetapi cantik teratur. Tetapi mereka telah kehilangan keluarga dan anak-anak. Untuk meneruskan kerjaya yang sudah mereka kenali lama iaitu bersawah pula sudah tidak boleh. Segala sawah berdekatan semuanya rosak akibat tsunami membawa batu dan pasir mengisi tanah.

Akhirnya apa yang mereka boleh buat adalah banyak mengisi masa di masjid bersolat, beribadat dan mendengar ceramah. Walaupun mungkin ini hikmah untuk membawa mereka lebih selalu mengimarahkan masjid, sebagai warga yang meningkat tua dan tidak ada lain ahli keluarga suami dan anak-anak untuk menemani mahupun dijadikan tempat bergantung dan mengadu nasib, sesuatu perlu dibuat untuk mengisi kekosongan selain memastikan pendapatan...



Malam selepas Isyak baru kami kembali ke Banda Aceh...




Kami makan malam satay Aceh di tengah bandar. Sataynya lebih kurang sama dengan apa yang ada di Malaysia... bezanya mereka tidak menggunakan nasi himpit mahupun ketupat. Sebaliknya satay dimakan dengan nasi biasa. Dan kuahnya sedikit lain, dah lupa bagaimana rasa untuk menerangkannya.

Selesai makan, baru saya dan isteri dihantar kembali ke hotel. Cerita akan disambung untuk perjalanan hari Rabu iaitu hari ketiga ke Aceh. Kali ini kami akan pergi lebih jauh keluar Banda Aceh, sehingga turun lebih 400 km ke tenggara sampai ke bandaraya Langsa tempat saya pernah terkandas sebelum dihalau keluar oleh imigresyen ketika pernah kali sampai ke Aceh Januari 2004, ketika bumi Serambi Mekah ini masih dalam darurat peperangan.

Walaupun perjalanan hari Rabu itu dirancang mahu pergi setakat sampai lebih sikit dari Lhoksuemawe iaitu kurang 100-150 km gitu perjalanan ke Langsa, ditakdirkan Allah SWT tanpa kami rancang, keadaan nanti akan membawa saya ke sana untuk menyambung kembali jejak perjalanan lama malah di tempat tertentu dapat pula sampai pada hari dan waktu seperti yang dihajatkan lebih 5 tahun lalu. Sekian, selamat malam! :]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan