Ya. Merujuk pada cerita pertama siri tentang umrah ini Umrah 2005 - Pertolongan Nur dan percubaan berhenti merokok yang terus terlajak jadi cerita tentang penglibatan Nur dalam umrah ini, maka sekarang baru betul-betul disentuh tentang percubaan berhenti merokok ya.
Ketika itu saya masih lagi penghisap tegar rokok-rokok Gudang Garam. Saya mula menghisap rokok ketika belajar di Tingkatan Tiga, kerana mengikut trend kawan-kawan selain terasa tension amat belajar di sekolah berasrama penuh. Dahulu saya pernah mencuba pelbagai jenama rokok sebelum menjadi peminat setia Dunhill. Kemudian apabila ke England saya beralih ke rokok Marlboro kerana Dunhill di sana kurang keras atau kaw-kaw.
Balik ke Malaysia 4 tahun kemudian baru saya menghisap Dunhill kembali. Tetapi apabila harga rokok tahun demi tahun semakin mahal, saya rasa lebih elok hisap Gudang Garam. Harganya lebih murah dan setiap batang rokok memiliki 'pukulan' seperti menghisap 3-4 batang rokok Dunhill. Kiranya penjimatan yang bijaksana le ni, hek eleh!
OK. Semasa sampai di lapangan terbang, saya ada sekotak lagi Gudang Garam yang isinya tinggal dalam 4-5 batang gitu. Saya berazam mahu berhenti sepenuhnya sebelum menaiki kapal terbang dengan menghabiskan semua rokok yang ada tetapi tiada peluang. Pertama semasa di dewan utama lapangan terbang, mana le saya sempat hisap rokok ketika sedang bersiap untuk mendaftarkan diri kemudian memasukkan barang. Lagipun saya tidak pernah menghisap rokok di hadapan ibu bapa kerana rasa hormat terhadap mereka sedangkan mereka pula sudah bersusah-payah menghantar dan menemani saya, kena le saya berada di ruang utama sehingga dipanggil masuk ke dalam.
Masuk ke dalam ruang berlepas pula saya masih tidak dapat menghisap rokok. Kalau mahu, cuma ada satu ruang untuk orang menghisap rokok, letaknya kalau tak salah ingatan lebih 400 meter dari ruang tempat saya akan mengambil kapal terbang sedangkan masa semakin suntuk. Dalam kapal terbang pun tak boleh hisap rokok. Maka sampailah saya ke Jeddah di Tanah Arab dengan 4-5 batang rokok masih berada di dalam poket serta rasa tidak puas hati yang amat sangat.
Saya sudah lupa jam berapa saya sampai ke Jeddah. Kalau tak salah ingatan waktu tengahari di Arab. Dari Jeddah kami mengambil bas untuk ke Madinah. Sebelum itu saya sempat menghisap sebatang atau dua rokok Gudang Garam dengan gaya naga berasap-asap melepaskan geram. Maklumlah, sejak 6-7 jam tadi tak dapat hisap rokok... ke lebih lama? Terlupa pula perjalanan dalam kapalterbang tadi 6 ke 8 jam lamanya.
Oleh itu saya perlu mengubah azam. Kalau tadi saya berazam untuk berhenti hisap rokok sebelum sampai Tanah Arab, maka kini saya menukarnya menjadi mesti berhenti sebelum sampai ke Madinah. Hmm... kira OK le sebab saya baru sampai ke Tanah Arab sahaja, belum boleh dikira sampai betul-betul ke tanah suci yang meliputi Mekah dan Madinah bukan?
Apapun, kami akan ke Madinah yang terletak lebih 400km di timur-laut Jeddah. Perjalanan menaiki bas memakan masa tidak kurang 6 jam. Di tengah perjalanan bas berhenti di satu tempat berehat di mana penumpang juga boleh turun makan. Di situlah saya melayan lagi satu dua batang. Hmm... berapa batang rokokkah yang tinggal selepas itu? Saya pun tak berapa pasti.
Oh, satu perkara yang saya ingat sangat. Tempat rehat itu terletak di kawasan mendatar tinggi di atas sebuah lembah gurun pasir dan batu bata. Sambil menghisap rokok saya berjalan ke tepian yang membawa ke jurang tepian lembah. Masyaallah! Kelihatan di bawah sana banyak beruk besar dengan bontot (maaf le, bahasa begini lebih senang menerangkan keadaan) yang berkepul-kepul sedang menyelongkar sampah untuk mencari makanan.... beruk jenis baboon yang selama ini saya ingat cuma wujud di benua Afrika sahaja. Siapa sangka ia juga wujud di Tanah Arab? Atau saya sahaja yang tersilap pandang?
Tidak lama kemudian kami pun menyambung perjalanan. Hari pun masuk malam dan kami berhenti singgah di satu tempat. Di situlah saya menghabiskan baki rokok yang ada. Dengan itu saya berazam tidak akan merokok lagi.
Kemudian baru kami sampai ke Madinah. Kelak di sana dan di Mekah, saya mengalami masalah cepat panas baran... sudah beberapa kali saya nyaris bergaduh dengan orang Arab. Masalah kedua adalah saya jadi gatal melihat perempuan, walaupun yang dilihat sekadar mata di sebalik purdah. Masyaallah! Apakah ini disebabkan percubaan berhenti merokok?
Tak apa le, nanti kita sambung cerita. Sementara itu dipersilakan baca artikel Bukan senang woo nak berhenti rokok! yang dibuat penghujung 2006. Sekian...
biar putus kasih jangan putus rokok,
BalasPadambiar putus rokok, jangan putus nyawa,
biar putus nyawa, jangan putus imaan...