Khamis, April 23, 2009

Queens of Langkasuka, Makam Chondong di Pekan dan lagi tentang pesta buku...



Semalam, setelah menunggu lebih sebulan, saya dan isteri akhirnya dapat menonton filem epik dari Thailand berjudul "Queens of Langkasuka". Tertarik dengan tajuk berkenaan sebuah kerajaan lama Melayu penuh lagenda dan gambar-gambar cantik yang terpapar pada poster-poster terutama pakaian tradisional Melayu yang disertakan dengan baju perisai besi, kami rasa ia patut ditontoni sekurang-kurangnya untuk melihat betapa jauh filem itu ada memaparkan ciri-ciri sebenar pakaian juga budaya orang Melayu walaupun ceritanya diterbitkan orang Thai dan memakai bahasa mereka.

Filem ini ditayangkan di pawagam-pawagam terpilih seluruh Malaysia sejak 2 minggu lalu tetapi baru semalam kami menontonnya kerana mahu mendapatkan harga diskaun hari Rabu. Di pawagam yang terdapat di kompleks membeli-belah Galaxy di Ampang, kita boleh menonton filem dengan harga tiket RM5 seorang pada hari itu... dengan syarat filem itu sudah ditayangkan masuk 2 minggu.

Melihat pada poster dan tajuk sejak dahulu, kita boleh meneka yang dimaksudkan sebagai Langkasuka dalam filem itu sebenarnya adalah kerajaan Melayu Pattani yang muncul kemudian. Adapun mengikut ceritanya Langkasuka telah diasaskan lebih lama, mengikut sesetengah pendapat sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW yang berlaku tahun 570 Masihi atau paling lambat pun abad ke 9 Masihi... oleh seorang anak raja dari Rum (yang menurut tafsiran sarjana sebenarnya merujuk kepada empayar Parsi). Sedangkan Pattani secara rasminya muncul sebagai sebuah kerajaan Islam abad ke 16. Wilayah Pattani merangkumi sebahagian wilayah sekitar utara Kelantan dan selatan Siam yang dahulu diketahui memang sebahagian wilayah kerajaan Langkasuka yang sering dinyatakan bersifat Hindu-Buddha. Maka itu Pattani sering dianggap sebagai kesinambungan kerajaan Langkasuka malah ada yang melihat Pattani sebagai Langkasuka yang telah Islam.

Poster yang menunjukkan raja-raja perempuan juga para pahlawan berpakaian tradisional Melayu jelas merujuk pada zaman Pattani, bukan Langkasuka. Dan lagi tiada pernah kedengaran cerita tentang raja-raja perempuan Langkasuka sedangkan Pattani memang diketahui dalam sejarah rasmi pernah diperintah oleh 4 orang raja perempuan. Menonton filem yang merujuk kepada zaman pemerintahan Ratu Hijau, raja perempuan pertama Pattani dengan disokong adinda-adindanya Ratu Biru (bakal menjadi raja perempuan kedua) dan Ratu Ungu (bakal raja ketiga) mengesahkan ini. Tetapi memandangkan ia diterbit dan dilakonkan oleh orang Thai, tidak hairanlah jika mereka memilih tajuk "Queens of Langkasuka". Ini lebih sesuai dengan budaya Thai yang beragama Buddha, bukan Islam. Dan lagi Pattani yang kini menjadi sebahagian wilayah negara Thailand dianggap sebagai wilayah pemberontak Islam yang sering membuat kacau. Maka buat apa dibesar-besarkan keIslaman mereka apalagi mahu menaikkan nama Pattani?

Kita tidak boleh menyalahkan orang Thai kerana berbuat begini. Mereka yang sanggup menerbitkan filem epik ini dengan kos yang amat besar, katanya sekitar US$4 juta jadi sukahati merekalah untuk membikinnya bagaimana. Untuk menarik perhatian ramai penonton wayang yang secara umumnya mahukan hiburan, sudah tentu fakta sebenar sejarah ditafsir longgar untuk dimasukkan unsur-unsur percintaan yang mengasyikkan malah ditambah unsur mistik yang merancakkan lagi cerita. Ini dilakukan dengan menonjolkan kuasa batin watak bernama Pari yang mampu menghancurkan isi gua besar dengan raungan berserta kuasa dalaman, juga memanggil dan memanipulasi ikan-ikan.

Pari yang berasal dari sebuah perkampungan nelayan yang penduduknya rata-rata berpakaian seperti orang asli dengan badan bertatu memberi gambaran dia bukan orang Islam tanpa perlu sedikit pun menyebut pegangan agama watak-watak dalam cerita. Saya tidak tahu bahasa Thai jadi tidak dapat mengaitkan nama watak Pari dengan apa-apa kecuali Pari ini memang ditonjolkan dalam cerita boleh 'menunggang' ikan pari raksasa! Pada pertengahan filem, Pari ada menyelamatkan Ratu Ungu dari penculikan orang jahat. Mereka kemudian terdampar di sebuah gua yang dihuni seorang pendita merangkap guru ilmu kuasa dalam Du Lum (disebut dulam) dan di situ Ratu Ungu yang diketahui dalam sejarah sebagai seorang perempuan Islam jatuh cinta dengan Pari yang pernah kehilangan isteri akibat serangan lanun ke atas kampungnya.

Fiksyen percintaan yang ditonjolkan mengingatkan kepada filem "Puteri Gunung Ledang" yang pernah menonjolkan aktress Tiara Jaquelina sebagai puteri lagenda itu. Cerita ini juga cuba menonjolkan 'percintaan' hulubalang besar Melaka Hang Tuah dengan Puteri Gunung Ledang sedangkan dalam sejarah yang diketahui semua orang, ini tidak pernah terjadi. Lebih jelik lagi apabila Melaka dikatakan melindungi kerajaan Majapahit yang diketahui mengamalkan agama Hindu dari serangan Demak. Mana boleh! Melaka adalah kerajaan yang mendaulatkan Islam sepertimana Demak yang berdiri lebih 70 tahun setelah berdirinya Melaka adalah sebuah negara Islam malah disokong para Wali Songo atau sembilan wali besar yang cukup terkenal di seantero Alam Melayu.

Dalam "Puteri Gunung Ledang", Demak digambarkan seperti kerajaan jahat yang ingin membuat kacau. Ditunjukkan askar-askar Demak yang berjubah berkopiah membakar rumah rakyat awam sedangkan ini adalah penipuan yang sangat besar tetapi halus. Dari segi ini cerita "Queens of Langkasuka" adalah jauh lebih baik walaupun ia juga menokok-tambah cerita. Walaupun keagamaan watak-watak di dalamnya tidak disebut dan ia satu hasil produksi orang Thailand beragama Buddha, penggunaan pakaian tradisional Melayu yang cukup terang dalam cerita malah ditambah pula mereka menggunakan senjata api seperti pistol dan senapang (yang memang benar kerana orang Melayu sejak zaman Melaka juga sudah memiliki pistol dan sebagainya, bukan sekadar memakai keris, tombak dan sebagainya) sedikit sebanyak membuat kita terasa bangga menjadi orang Melayu yang sebenarnya bertamadun tinggi.

Watak pahlawan paling menarik dalam cerita "Queens of Langkasuka" adalah seorang pengawal peribadi ratu yang dipanggil Jarang. Beliau memakai baju Melayu lengkap dengan berdestar tetapi turut memakai baju besi apabila keluar berperang. Lebih menarik adalah senjata utamanya berbentuk sundang, biasanya dipakai malah dikenali sebagai senjata pahlawan Bugis. Permainan sundangnya berserta gerak langkah kaki dan tangan lebih menggambarkan pergerakan tangkas silat berbanding aksi-aksi terakhir pergaduhan dalam "Puteri Gunung Ledang" yang kelihatan tidak ada seninya lagi kecuali sebagai perbuatan menunjuk-nunjuk memaparkan gerak kilat yang melampaui batas.

Tetapi saya lebih tertarik lagi dengan watak putera Pahang yang mula diperkenalkan apabila baginda menembak dengan pistol sebiji epal yang dilambungkan untuk Ratu Ungu berlatih memanah. Putera ini diperkenalkan sebagai Abdul Ghaffar Muhiuddin yang kemudian dikahwinkan dengan Ratu Ungu sebagai satu cara mendapatkan pertolongan Pahang untuk menghadapi musuh luar dan dalam. Ini membuat saya terfikir betulkah watak ini ada dalam sejarah atau ia cuma rekaan dalam filem untuk menyedapkan cerita.

Siang tadi saya membuat sedikit kajian melalui Internet lalu mendapati Abdul Ghaffar Muhiuddin bukan sahaja wujud malah pernah menjadi sultan Pahang dari tahun 1592-1614. Malah ternyata dalam sejarah Ratu Ungu memang berkahwin lalu menjadi salah seorang isteri baginda. Untuk pengetahuan, Sultan Abdul Ghaffar adalah dari keturunan Sultan Muhammad @ Raja Muhammad, anakanda Sultan Mansur Shah Melaka yang dipinggirkan dari takhta Melaka lalu dirajakan di Pahang akibat membunuh anak bendahara dalam satu peristiwa permainan sepak raga.

Nama Abdul Ghaffar Muhiuddin juga mengingatkan saya pada sesuatu. Lalu saya tergerak untuk melihat artikel-artikel lama di blogspot ini sehingga bertemu kembali artikel Berjalan ke Makam Chondong... Satu ulang-tayang filem di alam arwah? yang dibuat lebih setahun lalu. Lihat juga artikel (The place known as...) Makam Chondong yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) sekitar itu. Ternyata Abdul Ghaffar ialah salah seorang kerabat diraja yang dimakamkan di Makam Chondong, Pekan dengan menggunakan batu-batu nesan Aceh.

Sebelum menyambung cerita biar direkodkan menurut informasi yang diambil dari Wikipedia bahawa Ratu Hijau pernah memerintah Pattani tahun 1584 hingga 1616. Adindanya Raja Biru pula memerintah 1616-1624. Nampaknya ini berlawanan dengan cerita yang dipaparkan dalam filem "Queens of Langkasuka" kerana dalam filem itu, Abdul Ghaffar sempat datang ke Langkasuka @ Pattani dan menyaksikan kemangkatan Ratu Hijau serta kenaikan Ratu Biru sebagai pengganti. Sedangkan telah dicatatkan Abdul Ghafar yang menjadi sultan Pahang telah mangkat 1614, 2 tahun lebih awal.

Tak mengapa le... mungkin kedatangan Abdul Ghaffar yang sempat menyaksikan Ratu Hijau mangkat akibat pembelotan berserta serangan ke atas kerajaannya itu digarap sebegitu rupa untuk menambahkan kesan dramatik cerita. Ini kerana baginda mahu ditunjukkan muncul bersama Ratu Ungu yang baru dikahwininya sebagai membawa angkatan perang Pahang untuk turut mempertahankan pusat pemerintahan Langkasuka @ Pattani. Yang nyata, memang tercatat dalam sejarah bahawa Ratu Ungu menjadi isteri Sultan Abdul Ghaffar Muhiuddin. Maka itu cukup kenalah apabila Ratu Ungu menaiki takhta Pattani dan memerintah 1624-1635 setelah kehilangan suami. Kemudian puteri mereka Raja Kuning memerintah sehingga tahun 1649, ada yang kata hingga 1688 sebelum Pattani diperintah raja-raja lelaki dari kerajaan Kelantan.

Disebabkan menonton filem "Queens of Langkasuka", saya tergerak untuk membuat sedikit penyelidikan. Walaupun saya sudah lama mendengar nama Ratu Hijau, Ratu Biru, Ratu Ungu dan Ratu Kuning, baru siang tadi saya tahu bilakah mereka memerintah. Ternyata raja-raja perempuan Pattani telah memerintah lebih awal daripada raja-raja perempuan Aceh. Untuk pengetahuan, Aceh juga pernah diperintah 4 orang ratu dan mereka ialah Sultanah Ratu Safiatuddin Tajul Alam Shah (1641-1675 Masihi), Sultanah Naqiatuddin Nurul Alam Shah (1675-1677), Sultanah Zaqiyatuddin Inayat Shah (1678-1688) dan Sultanah Zinatuddin Kamalat Shah binti Al-Marhum Raja Umar (1688-1699).

Lagi satu yang membuat fikiran saya terngiang-ngiang tentang Abdul Ghaffar yang dipaparkan di dalam filem ialah baginda rupa-rupanya ayahanda kepada Raja Muda Abdullah (dari isteri lain) yang mengahwini Puteri Perak, anakanda kepada sultan kedua Perak Sultan Mansur Shah. Ini bermakna Raja Abdullah adalah adik-beradik Ratu Ungu sedangkan Puteri Perak pula adalah adik-beradik kepada Sultan Alauddin ibni Sultan Mansur Shah Perak, Sultan Aceh 1580 - 1585 bermakna pemerintah Aceh dan pemerintah Pattani beripar-duai jua.

Raja Abdullah dan Puteri Perak mendapat seorang puteri yang diberi nama Raja Puteri Fatimah, maka puteri ini ialah sepupu Ratu Kuning yang menjadi raja perempuan terakhir Pattani. Aceh pernah menyerang Pahang lalu membawa ramai kerabat dirajanya ke sana lalu disitulah Raja Puteri Fatimah dikahwinkan dengan seorang anak raja Siak yang kemudian dinaikkan sebagai sultan ke-10 Perak, Sultan Muzaffar Shah II. Hmm... saya sudah mula tenggelam dalam menyusur akar pertalian darah raja-raja Melayu. Cukuplah.

Apa yang saya nak bagitahu lagi satu adalah satu cerita yang baru saya sedari tadi... bahawa Sultan Abdul Ghaffar Muihuddin telah dibunuh oleh seorang anaknya sendiri. Turut dibunuh adalah Raja Muda Abdullah akibat adinda tirinya ingin menaiki takhta Pahang lalu muncul sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah tahun 1614 yang sanggup bersubahat dengan Portugis untuk berkuasa. Maka tidak hairanlah jika pemerintah Aceh ketika itu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah menyerang lalu membumi-hanguskan Pahang tahun 1615. Baginda kemudian mengangkut kerabat diraja Pahang ke Aceh dan seorang dari mereka naik menggantikan baginda menjadi pemerintah Aceh bergelar Sultan Iskandar Thani tahun 1636.

Adapun Iskandar Thani ialah anak saudara kepada Sultan Abdul Ghaffar Muhiuddin. Ayahanda baginda dan Abdul Ghaffar adalah adik-beradik tiri sedangkan ibunya Puteri Chendera Dewi, anak raja Siak juga bersaudara dengan kerabat Pahang. Maka tidak hairanlah jika Iskandar Thani telah memerintahkan satu armada Aceh datang ke Pahang semata-mata untuk mendirikan dengan penuh adat-istiadat beberapa buah nesan Aceh yang dibawa dari sana ke atas makam-makam di Pahang. Kerana di Makam Chondong di Pekan, Pahang lah bersemadinya jasad Sultan Abdul Ghaffar, Raja Muda Abdullah juga Puteri Chendera Dewi.


Dalam artikel Pesta buku dan siri "Berpetualang ke Aceh" saya ada menyebut akan kembali ke pesta buku di PWTC hari Rabu selepas makan tengahari untuk membuka lagi gerai ad-hoc di mana-mana. Setelah berbuat begitu hari Isnin, saya sekadar duduk rumah sahaja hari Selasa untuk menyiapkan sedikit kerja. Adapun salah satu sebab utama saya yakin akan keluar ke Kuala Lumpur hari Rabu adalah disebabkan mahu menonton filem "Queens of Langkasuka" pada waktu malam. Cadangnya, setelah menghantar isteri di tempat kerja, saya mahu berehat di masjid berdekatan kemudian menyambung sedikit kerja di dalam komputer. Kemudian tengahari nanti saya akan mengambil isteri untuk makan bersama sebelum dia menghantar saya untuk membuka gerai di PWTC.

Setelah makan pagi bersama isteri di pejabatnya saya pun ke masjid lalu tergerak membuka komputer. Allah! Ternyata saya terlupa membawa power chord atau wayar kuasa sedangkan ia amat diperlukan nanti untuk menghidupkan komputer dalam jangka-waktu yang agak lama jika mahu membuka gerai ad-hoc di pesta buku. Tak pernah berlaku lagi sebelum ini saya tertinggal wayar apabila membawa keluar komputer riba. Maka terpaksalah saya berpatah-balik ke rumah 40km ke barat-laut Kuala Lumpur. Alang-alang dah sampai rumah, buat aje le kerja di sana. Maka lepas Asar baru saya keluar untuk mengambil isteri dari tempat kerja lalu ke PWTC terus membuka lagi gerai.

Malam itu jam 10.30 baru kami menonton filem "Queens of Langkasuka". Cadangan asal kami, setelah selesai menonton kami akan bermalam di rumah milik keluarga di Kajang dan esoknya Khamis saya akan menghantar isteri di tempat kerja sebelum ke PWTC selepas makan tengahari. Sebaliknya petang semalam saya mendapat panggilan dari pihak LG untuk membetulkan televisyen plasma kami yang ada sedikit masalah keluar gambar berbintik-bintik. Oleh kerana pihak mereka mahu datang sekitar tengahari Khamis iaitu hari ini, terpaksalah saya menunggu di rumah bermakna tidak dapatlah saya bermalam di Kajang, harus pulang ke rumah setelah selesai menonton filem.

Keadaan ini membuat saya tidak dapat membuka gerai hari ini. Ditambah sakit demam batuk selsema yang semakin 'rancak' malam semalam, elok juga saya berehat sambil menunggu orang datang membetulkan televisyen. Tadi alhamdulillah, masalah TV berjaya diselesaikan tetapi batuk selsema pula masih belum pulih. Maka saya rasa elok juga saya terus duduk di rumah hari Jumaat sambil menyelesaikan apa-apa kerja yang tertunda dalam komputer.

Dengan ini dimaklumkan. Pada hari Sabtu dan Ahad, baru saya akan 'pulun' untuk menjual dan mempromosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" di pesta buku. Memandangkan hujung minggu orang ramai kerana cuti, insyaalah saya akan mula membuka gerai pagi hari dan bertahan sehingga semua gerai tutup jam 9 malam. Jika saya tiada di tempat seperti dalam gambar di atas, carilah sekitar gerai Karnadya di dalam Dewan Tun Hussein iaitu ruangan pameran di dewan bawah. Ingat, promosi tawaran potongan harga sekitar 20peratus dan lebih untuk semua buku juga DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" cuma akan bertahan sekitar pesta buku ini. Selamat malam! :]

1 ulasan:

  1. dan nak tambah satu lagi info tentang sultan abdul ghafur...baginda merupakan penulis hukum kanun pahang...

    BalasPadam