Selasa, Mac 31, 2009

Bunga-bunga orkid dan cerita An-Nur... juga cerita umrah 2005

Gambar di sebuah ladang bunga orkid berdekatan rumah saya dan isteri. Seronok juga membawa ayah dan ibu ke sana kerana mereka memang minat bunga-bunga... tengok sahaja sejumlah pokok yang 'diborong' mereka di dalam kereta...

OK. Dengan selesainya penulisan artikel Ziarah ke Batak Rabit dan sangkar ikan di Sungai Perak tadi maka selesailah segala proses penceritaan yang mahu dilepaskan berkaitan lawatan ke Jengka untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu. Adapun disebabkan majlis itulah berlaku beberapa perjalanan agak jauh selepas hampir 2 bulan mengekang diri dengan cuma berjalan paling jauh pun setakat ke Negeri Sembilan dan keliling Selangor. Disebabkan perkahwinan itu juga saya dan isteri dapat berjumpa ayah dan ibu setelah lebih 2 bulan tidak bersua. Malah disebabkan itu juga buat pertama kali ayah dan ibu datang bertandang ke rumah kami sehingga tidur 3 malam di situ selain pergi berjalan-jalan ke banyak tempat bersama.

Dengan ini bolehlah mood penceritaan di bawa ke peringkat seterusnya. Dalam artikel Perjalanan ke Jengka dan mood penceritaan terkini... yang dibuat seminggu lalu, saya ada menyebut :-

Mereka yang sudah membaca siri novel "Berpetualang ke Aceh" kemudian mengikuti tulisan-tulisan di blogspots saya mungkin sudah terbiasa mendengar nama Nur, gadis yang dijadikan watak wanita utama dalam siri itu. Itu yang menyebabkan ada yang terkeliru, apakah An-Nur itu sama dengan Nur walhal mereka memang watak yang berlainan malah ternyata berpangkat saudara dua pupu gitu...

Mungkin ada yang akan keliru dengan semua ini. Lebih-lebih lagi kemudian muncul watak yang saya panggil sebagai Nur kedua, gadis yang kemudian menjadi isteri saya kini, dalam dunia nyata. Ya, semua watak-watak ini wujud dalam dunia realiti, bukan watak angan-angan atau ciptaan fikiran atau garapan penceritaan semata-mata. Sesungguhnya memang siri novel "Berpetualang ke Aceh" diatur berdasarkan pengalaman sebenar saya.

Adapun watak-watak ini ditimbulkan bukan semata-mata untuk suka-suka bercerita tetapi untuk melepaskan beban gerak rasa... sebelum saya dapat meneruskan kerja-kerja lain dan mencapai peringkat kehidupan seterusnya kerana itulah saya, menangani hidup menurut gerak rasa dengan sejujur yang mungkin walaupun harus membuka pekung di dada. Sebab itu saya rasa cerita An-Nur tetap harus dinukilkan nanti. Selepas itu baru boleh diceritakan apa yang berlaku ketika umrah 2005, di mana satu watak wanita lagi akan diperkenalkan kerana itu yang berlaku sebelum kita beralih kembali kepada cerita Nur.

Sebelum itu, elok dilepaskan dahulu apa-apa rasa dan gerak penceritaan berdasarkan perjalanan terbaru yang berlaku dalam tempoh seminggu kebelakangan.

Oleh kerana gerak penceritaan berdasarkan perjalanan terbaru telah pun selesaikan bolehlah saya menyambung ke cerita An-Nur. Sambil itu bolehlah juga saya menyambung satu kerja terjemahan penting yang sudah hampir sebulan tertunda. Maka bila saya menulis lagi di sini, akan saya mulakan dengan satu cerita pembukaan tentang perkenalan dengan An- Nur. Dari situ dan cerita-cerita yang bakal menyusul nanti, insyaallah pembaca akan dapat mengikuti dengan lebih tepat apa yang berlaku ketika umrah 2005 yang membawa beberapa implikasi... salah satunya adalah kemunculan siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang nyaris-nyaris tak jadi. Dan lagi, mungkin umrah 2005 itu ada kena-mengena dengan mengapa saya begitu lama mendambakan kehadiran Nur pertama sebagai penyeri hidup tetapi ditakdirkan akhirnya beristeri kembali dengan orang lain iaitu gadis yang dikenali sebagai Nur kedua.

Oh, pertukaran mood bercerita yang muncul malam ini turut disentuh di dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH... melalui artikel Of orchids and old college memories... yang baru dibuat tadi. Dengan menggunakan satu gambar lain di ladang orkid yang sama, saya menyatakan azam untuk menyambung kembali cerita tentang kenangan lama semasa belajar "A" Levels di kolej 20 tahun lalu. Kebetulan artikel Of orchids and old college memories... adalah posting ke 303 di situ, satu nombor yang simmetrikal lagi menarik. Sedangkan artikel ini pula adalah yang ke 481 di sini. Oleh kerana blogspot saya yang satu lagi iaitu SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) sudah mempunyai 217 postings, ini membawa kepada jumlah keseluruhan 1001 artikel (303 + 481 + 217), satu nombor simmetrikal yang bukan sahaja cantik malah mengingatkan pada cerita 1001 malam. Selamat malam! :]

p/s: Hmm... kebetulan sekejap lagi masuk 1 April. Tapi apa yang saya ceritakan ini bukan April Fool ya. Adios!

3 ulasan:

  1. April fool byk versi yg didengar.sebetul2 cerita asal-usulnya macam mana?

    BalasPadam
  2. Nanti le diceritakan. Step by step n dalam konteks yang sesuai...

    BalasPadam
  3. April si penjual kacang fol.. - Orang Ber Ada

    BalasPadam