Selasa, Mac 31, 2009

Bertandang ke rumah pengantin lelaki di Selekoh, Bagan Datoh dan sedikit rasa tentang Perak...

OK. Memandangkan saya ada sedikit gambar-gambar sekitar majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki iaitu suami kepada sepupu saya, eloklah ia dikongsi lalu dijadikan penyambung gerak cerita. Mari... :]

Pada pagi Khamis 19 Mac 2009, saya, isteri, ayah dan ibu pun berlepas menghala ke Bagan Datoh dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri dengan menaiki kereta isteri, kereta ayah ditinggalkan di rumah. Malam sebelum itu, saya dan isteri telah menjemput ayah dan ibu yang berada di Kajang agar datang bermalam di rumah kami. Dari situ sudah jauh lebih dekat untuk ke Bagan Datoh... cuma 26 km gitu sahaja untuk ke Kuala Selangor yang terletak di tengah laluan sedangkan dari Kuala Lumpur jaraknya 70 km apalagi daripada Kajang, mahu lebih 90 km!

Rombongan ahli keluarga kami yang lain pula bermalam di rumah seorang adik-beradik kepada ibu pengantin perempuan (bapa pengantin adalah adik kepada ayah saya) di Gombak. Mereka bertolak lebih awal dan menghubungi kami yang masih lagi berada di rumah sebaik sahaja melepasi Ijok. Dari rumah kami mahu ke Ijok cuma sekitar 5 -7 km sahaja. Dipendekkan cerita kami bertemu di Sungai Besar sebelum sama-sama masuk ke Perak.


Kalau tak salah ingatan, inilah kali pertama saya masuk ke Perak bersama ayah sejak lebih satu tahun lalu. Kalau bersekali bersama adik-beradik ayah pula, ini mungkin julung-kali seumur hidup! Sejak datuk (ayah kepada ayah) meninggalkan Teluk Intan untuk berhijrah ke Raub, Pahang penghujung tahun 1940an, sesekali sahaja mereka akan datang beraya di wilayah tempat kaum kerabat nenek-moyang kami hidup dan mati selama beberapa kurun ini. Seingat saya pula, saya cuma pernah beraya bersama keluarga di Teluk Intan mungkin paling banyak pun 5 kali seumur hidup! Eh, ya ke? Atau setakat 2 kali? Ah... tak ingat...

Siapa sangka sepupu saya yang keluarganya sudah lama menetap di Bandar Muazzam Syah kemudian Jengka, kedua-dua tempat jauh di Pahang mendapat jodoh orang Perak, orang Selekoh di Bagan Datoh yang tempatnya sudah cukup dekat dengan Teluk Intan malah terletak lebih hampir ke kuala Sungai Perak yang memiliki banyak sejarah berkaitan keluarga. Walaupun suaminya katanya orang Jawa sedangkan keluarga kami di Perak berketurunan Melayu Perak campur Aceh campur Bugis, perkahwinan ini tetap membawa kami semua untuk memperbaharui pertalian dengan negeri bertuah ini!

Teringat perkahwinan saya sendiri dengan isteri kini, orang yang saya panggil dalam cerita-cerita di sini sebagai Nur kedua. Teringat bagaimana suatu masa dahulu saya seperti amat membenci orang Jawa lantaran marah dengan cara orang Jawa di Jakarta mencengkam Aceh sedangkan ibu kepada ibu saya berdarah Jawa. Kini saya berkahwin dengan isteri yang terang-terang diketahui berketurunan Jawa. Tetapi rupa-rupanya isteri saya juga ada berdarah Bugis, cuma tak pasti bagaimana asal-usulnya.

Isteri saya pernah bersekolah di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak ataupun SEMESTI sedangkan dia lahir dan dibesarkan di Selangor. Apakah kerana beliau juga sebenarnya ada kaitan dengan Teluk Intan? Yang pasti dia akhirnya menjadi isteri saya sedangkan saya memang ada asal-usul dari Teluk Intan. Begitulah aturan Tuhan...

Perkahwinan sepupu dengan orang Selekoh, Bagan Datoh seolah-olah mahu menyambungkan kami kembali dengan Teluk Intan dan Perak. Seperti disebut atas tadi, itulah buat julung-kalinya saya pergi ke Perak bersama ayah serta adik-beradiknya dan keluarga. Walaupun cuma dua adik ayah dan keluarga mereka sahaja dapat bersama ke Bagan Datoh, tidak seperti ketika majlis pihak perempuan di Jengka yang dihadiri semua 9 adik-beradik ayah dan keluarga kecuali satu, rasanya kedatangan kami ke Perak cukup bermakna. Ini kerana ia berlaku dalam keadaan Perak baru sahaja mengalami masalah politik yang rumit sehingga kedaulatan rajanya Sultan Azlan Shah dipersoalkan ramai pihak termasuk orang Melayu!

Di sini saya ingin melepaskan satu rasa. Sejak berlaku peristiwa pertukaran kerajaan negeri dengan sokongan sultan, ada pihak yang mempersoalkan kelayakan baginda untuk menentukan kerajaan. Ada yang sampai menghina raja seolah-olah mereka tiada tahu adat. Mungkin mereka merasa mereka boleh mempersoalkan kedudukan Sultan Azlan kerana tahu cerita-cerita yang menyebut baginda bukanlah waris yang paling layak untuk menduduki takhta. Malah ada yang menceduk sedutan siri "Berpetualang ke Aceh" tentang proses giliran menaiki takhta yang pernah dimuatkan dalam blogspot ini untuk merendahkan kelayakan baginda.

Kalau ikutkan, saya dan keluarga ada lebih hak untuk mempersoalkan ini. Kalau ikutkan cerita Nenek, ibu kepada ayah, kami dari keluarga Laksamana Raja Mahkota yang berkerabat dengan Sultan Abdullah yang dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877, dari keturunan raja-raja Melayu yang nasabnya sampai kepada sultan-sultan Melaka bercampur nasab raja-raja Aceh dan raja-raja Bugis ada hak untuk menuntut takhta walaupun dari segi rasminya kami tidak lagi dilihat sebagai berdarah kerabat apalagi memakai perkataan Raja di pangkal nama. Tetapi itu semua tidak penting bagi saya. Yang penting adalah kedaulatan Melayu dan untuk itu saya menyokong pemerintahan Sultan Azlan asalkan nasib orang Melayu Perak terbela dan bumi bertuah ini tidak difaraidkan orang Cina.


OK. Seperti biasa, saya sebenarnya lebih suka mengambil gambar bangunan, tempat dan alam sekeliling berbanding majlis-majlis kahwin dan perkara sewaktunya. Lalu saya tidak dapat menghalang diri dari mengambil gambar parit di depan rumah pengantin lelaki ini... kalau dulu-dulu mesti saya cari alasan untuk 'menceburkan' diri. Seronok woo... :]

Kiranya perjalanan ke Perak disebabkan mahu bertandang juga menghantar pengantin ini dibuat bersama 3 adik-beradik ayah dan keluarga... ayah, Ayah Chik (bapa pengantin) dan Pak Lang. Mula-mula terasa macam 'kureng' le sebab hanya 3 orang. Tapi apabila terfikir bendera Perak yang mengandungi 3 warna, rasa macam kena le sangat pulak.

Adapun bendera Perak terdiri dari warna putih di atas, kuning di tengah dan hitam di bawah. Putih melambangkan sultan, kuning raja muda dan hitam raja di hilir. Menurut cerita-cerita lama yang saya dapat, itulah asal-usul penggiliran raja-raja di Perak, tiada pangkat-pangkat lain seperti Raja Bendahara, Raja Kecil Besar dan sebagainya yang sebenarnya wujud kemudian atau sekadar pembayang kepada mereka-mereka yang bakal menduduki 3 pangkat utama raja bergelar.

Menurut cerita yang saya dapat lagi, 3 warna dan kedudukan itu melambangkan 3 keluarga induk yang layak memerintah. Walaupun moyang induk mereka itu bersaudara, ada yang adik-beradik, ada yang ipar, ia boleh disimpulkan sebagai hak kerabat dari keturunan raja Melaka digilirkan dengan hak keturunan raja Aceh seterusnya hak keturunan raja Bugis untuk bergilir-gilir menaiki takhta Perak.

Apabila memikirkan ini, mahu sahaja saya mengajak semua keluarga yang ada agar dapat singgah ke Beting Beras Basah yang terletak di tengah kuala Sungai Perak, tempat pertabalan sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah. Tetapi tempatnya agak jauh dan jalan masuk ke jeti terdekat agak menyusahkan. Cukuplah kami sekeluarga dapat singgah melihat kuala Sungai Perak di Bagan Datoh, cuma 7 km sahaja dari rumah pengantin lelaki di Selekoh.

Insyaalah akan saya letakkan beberapa gambar untuk dijadikan artikel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH sebelum menyambung lagi cerita di blogspot ini. Sekian buat masa ini...

1 ulasan:

  1. Eden pun Jawo gak, tu la ekau bonci bonar jawo dulu, las-las kawin ngan org jawo gak.

    BalasPadam