Rabu, Januari 21, 2009

Perjalanan ke Pantai Timur bersama isteri - dan anak-anak setelah hampir 2 bulan tak berjumpa...

OK. Bersambung dari cerita Perjalanan ke Pantai Timur bersama isteri - Jalan-jalan Terengganu dan makam 1,000 tahun!



Selepas bermalam di Kuala Besut, kami pun mula masuk ke Kelantan melalui jalan persisiran pantai, lalu di kawasan Tok Bali dengan jambatan tingginya sebelum berhenti sebentar di pantai. Sila lihat artikel A brief stop at the Tok Bali beach in Kelantan... yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi...


Sebenarnya kami ke Kelantan kerana ada misi tertentu. Saya tak ingat di mana ni... kalau tak salah ingatan di Bukit Jawa, dalam perjalanan selepas Pasir Puteh menghala ke Kota Bahru.

Di kawasan inilah misi bermula. Sebelum itu saya bersolat Jumaat di masjid ini...


Kemudian kami pergi ke Pantai Irama di Bachok.



Ah... gambar apa pula ini? Kalau nak tahu, inilah gambar isteri dan anak-anak di serambi motel tempat kami menginap untuk hari itu. Ait? Bagaimana pula boleh muncul anak-anak? Maka inilah cerita misi kami.

OK begini. Isteri saya sudah hampir 2 bulan tidak berjumpa anak-anak setelah bekas suami membawa mereka pulang ke kampungnya di Kelantan. Diakui, keadaan semasa itu kurang enak kerana perceraian yang berlaku juga hampir 2 bulan sebelum itu.

Sejak saya berkahwin dengan isteri, beliau selalu mengadu rindukan anak-anak. Saya kata selesaikan dahulu apa-apa perkara satu persatu, nanti Tuhan bukalah jalan untuk itu.

Pada petang Rabu 31 Disember 2008 kami pun memulakan langkah untuk ke Kelantan melalui Terengganu. Kenapa melalui Terengganu? Ini sudah pun diceritakan sedikit dalam artikel Perjalanan ke Pantai Timur bersama isteri - pusing-pusing di Kemaman . Apa yang tidak diceritakan adalah keadaan kami bermunajat sepanjang jalan agar dapat berjumpa anak-anak dengan aman seraya meleraikan segala kekusutan akibat apa yang berlaku kebelakangan itu.

Hajat isteri saya adalah dapat membawa anak-anak keluar berjalan selama 2 malam sebelum mereka disekolahkan di Kelantan atas kehendak bekas suami. Saya memberitahu isteri jangan terlalu berharap sangat dapat berjumpa anak, apalagi hendak dibawa berjalan keluar. Segalanya kita serahkan pada Allah. Kalau ada rezeki, ada le nanti. Kalau tak, anggaplah ia keputusan takdir yang terbaik untuk semua.




Adapun anak-anak ini diletakkan di rumah bekas abang ipar yang merupakan seorang ustaz bersama anak-anaknya sendiri yang berjumlah tujuh orang. Semasa datang ke rumah, isteri kepada abang ipar menyambut kami dengan baik, alhamdulillah... suaminya sedang bertugas di sekitar Pasir Mas. Tidak lama kemudian bekas suami kepada isteri saya datang bersama ibunya dan anak-anak. Itulah kali pertama saya berjumpa dengannya...

Suasana jadi tidak selesa dan sedikit tegang. Tetapi alhamdulillah sekali lagi, setelah bekas suami melepaskan apa yang terbuku di dadanya, keadaan jadi aman kembali. Alang-alang sudah menulis di sini, biar saya ulangi kata-kata yang disebut ketika itu. "Terus terang saya tak tahu apa yang patut dikatakan kecuali meminta ampun dan maaf atas apa yang berlaku". Terimakasih kerana sudi menyambut salam saya.

Terimakasih lagi kerana membenarkan kami membawa anak-anak bermalam keluar, walaupun ada kerisauan kerana takut kami mungkin akan membawa anak-anak lari. Tidak, itu bukan niat kami. Apapun, alhamdulillah, mereka cukup seronok bermain-main di pantai sedangkan isteri terasa gembira yang amat sangat dapat bersama anak-anak. Saya sekadar menumpang kegembiraan ini. Sila lihat artikel Enjoying the waters at Pantai Irama, Bachok... with the family! yang juga baru dibuat di BERPETUALANG KE ACEH tadi.

Di atas adalah gambar anak-anak sedang makan di Kota Bahru. Setelah puas mandi laut di Pantai Irama dan berehat di motel, kami keluar untuk makan malam... tergerak pula berjalan-jalan hingga ke ibunegeri Kelantan.





Keesokannya selepas Subuh, seperti dijanjikan kami meninggalkan Bachok membawa anak-anak siap dengan pakaian sekolah untuk proses pendaftaran yang katanya bermula 7.30 pagi. Sebenarnya saya ada tersilap jalan sehingga sampai ke Kubang Kerian 4 km lagi ke Kota Bahru. Nasib baik tersedar lalu dapat mencari kembali jalan untuk ke sekolah... singgah sebentar makan pagi di tepian jalan.



Kami sempat sampai di kedai makan yang sudah tidak jauh dari sekolah sebelum 7.30 pagi. Sebelum itu ada panggilan dari bekas suami kepada isteri menyebut pendaftaran dilewatkan hingga ke jam 9 pagi akibat cuaca buruk.

Ketika itu hujan lebat yang amat sangat. Tepian warung ditenggelami air setinggi paras buku lali sedangkan beberapa kawasan sekitar Kelantan malah hingga ke Terengganu dan Pahang telah mula dilanda banjir!



Sekolah baru anak-anak kami pun dibanjiri sedikit tapi tak lah teruk. Alhamdulillah, anak-anak dapat didaftarkan dengan kehadiran kedua ibu bapa kandung mereka. Terimakasih sekali lagi kepada bekas suami yang sudi menerima kehadiran saya.




Dalam pada itu, timbul rasa seronok bercampur sebak melihat keadaan sekolah yang sedang bersedia untuk dibuka. Teringat zaman permulaan persekolahan saya sendiri 33 tahun lalu... terfikir juga betapa akibat sibuk ke sana ke mari menziarahi makam-makam lama dan tempat-tempat sepertinya untuk menyusuri salasilah keluarga dan sejarah lama Melayu yang tersembunyi, kehidupan saya sudah jadi terlalu jauh dari normal.

Tidak sedikit orang yang terjumpa saya beberapa tahun lalu, ketika saya masih begitu taksub mengembara menggali cerita-cerita lama sambil mencari diri dan erti menyangkakan saya sudah gila isim atau apa-apa penyakit mental yang sewaktu dengannya. Pernah sekali di sekitar masjid jamek Kuala Lumpur, seorang perempuan tua yang kelihatan seperti pengemis menyebut begini: "Kesian, muda muda lagi dah gila!" sebaik sahaja ternampak saya berjalan dengan baju Melayu lusuh mengusung tikar mengkuang buruk...

Padahal ketika itu saya sedang menghampiri motosikal besar saya. Tergerak juga dalam hati untuk membalas... "Engkau ingat aku siapa? Aku ada motosikal ini, aku ada ijazah Matematik dari England, aku ada keluarga dan kenalan yang berada. Engkau tu yang pengemis tak tahu apa-apa". Tetapi saya diamkan setelah memikirkan itu satu ujian untuk melihat betul ke saya benar-benar mahu berusaha menghilangkan ego? Kalau betul , biarkan orang kata apa sahaja, yang penting saya terus bergerak mencari keredhaanNya walapun zahirnya kelihatan saya cuma membinasakan diri sendiri sahaja!

Kini alhamdulillah, setelah beberapa lama saya mengembara kemudian melepaskan banyak yang terbuku melalui penulisan dan penerbitan siri buku "Berpetualang ke Aceh", muncul pula isteri yang telah membawa saya jadi lebih normal kembali. Di sini sekali lagi saya ingin memohon ampun dan maaf kepada bekas suaminya kerana keadaan yang berlaku. Tidak pernah terfikir pun saya untuk membina kehidupan baru di atas keruntuhan rumahtangga orang lain. Saya harap saudara akan menemui kebahagian yang lebih baik tidak lama nanti.



Oh, terlupa pula... rupa-rupanya ada satu lagi gambar dihimpunkan bersama untuk cerita kali ini. Ia adalah gambar semasa perhimpunan di sekolah anak-anak, diambil pada keesokan harinya dengan kehadiran saya, isteri dan bekas suami.

Allah, sungguh engkau telah merancang segala sesuatu ya Allah! Kami datang ke Kelantan dengan isteri berharap dapat menghabiskan 2 malam bersama anak-anak. Saya pula mengharapkan agar apa yang kusut dapat dileraikan.

Dengan takdir Mu (juga kerana zahirnya ada sokongan bekas abang ipar suami dan isterinya), kami dapat berjumpa anak-anak kemudian membawa mereka bermalam keluar di tepian pantai. Pada hari berikutnya, selepas bersama mendaftarkan anak-anak, saya bercadang mahu ke Danau Tok Uban dan Masjid Brunei sebelum bermalam samada di sekitar Pasir Mas atau Tanah Merah. Sebaliknya semasa singgah di Masjid Kampung Laut, saya mendapat isyarat agar pergi ke lain arah untuk menziarahi makam Tok Kenali.

Petang itu timbul rasa untuk bermalam di rumah bekas abang ipar isteri. Apabila kami sampai ternyata anak-anak ada di situ... kalau tidak mungkin mereka bermalam di rumah nenek mereka bersama bapa. Lalu tertunailah hajat isteri untuk menghabiskan 2 malam bersama anak-anak. Keesokan pagi dapat terus menemani untuk hari pertama mereka di sekolah baru. Subhanallah! :]

p/s:
Saya masih belum dapat berjumpa anak kandung sendiri sejak pertemuan terakhir 2 bulan lalu. Tak apa le... harap-harap dia juga suka dapat masuk sekolah baru.




6 ulasan:

  1. salam..

    Semoga anak-anakku menjadi anak yang soleh dan solehah..buat Kakak..jaga Adik baik-baik. Dan Adik ingat janji Adik dan cita-cita Adik ingin menjadi seorang "Tahfiz" suatu hari kelak. Mummy sentiasa mendoakan kalian berdua semoga sentiasa dibawah payung RahmatNya juga keredhaanNya..Doa Mummy sentiasa mengiringi anda berdua..

    BalasPadam
  2. seronok baca cerita ni. hehehe.
    apa-apa pun. alhamdulillah.

    BalasPadam
  3. harap2 anak2 menjadikan kehidupan ibunya sebagai satu tauladan...
    nauzubillah..jika ini berlaku lagi ke atas anaknya...
    Harap2 mereka berdua menjadi anak yg soleh n solehah aatas bimbingan bapa tunggalnya itu..amin....

    BalasPadam
  4. aku tgk mcm mak saleh pun ade..daftar anak dgn 2 bapak sorang mak. ko rase sape yg bangga kat sini? si anak ada 2 bapak ke atau si mak yg ada 2 suami ( satu tu bekas jelah)

    BalasPadam
  5. haha..memang cam mat saleh jer...duk kat england..pompuan keliling pinggang pun dah berbangga apatah lagi kalau berhadapan dengan bekas laki isteri..sure bangga...

    BalasPadam
  6. Assalamualaikum...

    Suatu kisah menarik... Satu fakta yg tak dapat dielak ialah... jodoh pertemuan dan takdir adalah ketentuan Allah... Berbuat Baik adalah kemuliaaan...

    BalasPadam