Isnin, Oktober 20, 2008

Open house di Ampang, barbecue geng moto beso di Rawang dan perjumpaan kawan lama SMSJ di Kajang

OK, satu cetusan rasa...

Di bawah adalah gambar-gambar sekitar majlis terbuka Hari Raya di rumah ibu saudara saya di Ampang pada hari Sabtu 18 Oktober...





Kebanyakan yang datang adalah saudara-mara terdekat saya serta sahabat-handai ibu saudara saya dan suaminya. Pun begitu, walaupun seperti disebut dalam bahagian tambahan artikel Hari raya dan rumah terbuka. Jemputan untuk semua! , saya tidak dapat menjemput pembaca untuk datang menjamah juadah kerana majlis terpaksa diterhadkan untuk jumlah tertentu, ada juga beberapa orang pembaca datang memeriahkan suasana. Terimakasih kerana sudi menjenguk ke teratak tempat saya menumpang yang tidak seberapa ini.

Di bawah pula adalah gambar-gambar sekitar majlis barbecue melibatkan geng motosikal besar yang diadakan di kedai Mail Motor di Rawang pada malam harinya, tempat menghidupkan kembali motosikal saya yang 5 tahun tidak berjalan. Sila lihat artikel Wajah baru motosikal besarku, tanda satu peralihan zaman?






Kelihatan malam itu tidak kurang 50 buah motosikal besar, semuanya milik orang Melayu. Ada pula yang datang menaiki kereta kerana membawa isteri dan anak-anak. Apapun, boleh kata rata-rata mereka yang datang adalah orang Melayu yang berpendapatan sederhana hingga tinggi. Kalau tidak, macamana nak maintain pakai motosikal besar?

Keesokannya, saya turut pergi menghadiri majlis-majlis lain. Tetapi tiada yang lebih bermakna daripada majlis seterusnya, perjumpaan dengan kawan-kawan lama daripada Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang yang diadakan di Restoran Satay Haji Samuri di Kajang... Bayangkan sudah lama tidak bertemu, sejak saya ditendang sekolah tahun 1986 iaitu 22 tahun lalu. Bayangkan!

Saya begitu teruja berjumpa kawan-kawan lama sehingga terlupa untuk mengambil walaupun satu gambar. Jadi biarlah saya gunakan gambar motosikal saya diletakkan di sebelah 2 buah lagi motosikal Virago sebagai hiasan ya!

Hmm... Kalau nak cerita, banyak juga boleh cerita tetapi saya harus berkejar ke Kelana Jaya sebentar lagi. Cukuplah diberitahu bahawa saya terasa begitu terharu dapat bertemu kawan-kawan lama. Tak sangka sungguh, akibat artikel Memori lama pahit getir SMSJ, Kluang, Johor... yang disiarkan di blogspot ini 8 bulan lalu tetapi baru disedari oleh rakan-rakan satu batch saya (ia telah disedari bekas pelajar lain lebih lama) beberapa hari kebelakangan ini, dapatlah kami bersua muka semula.

Walaupun yang dapat datang cuma 7 orang - Amali, Adrian, Faris, Zulsafari, Tom, Lokman dan saya sendiri, ia sudah cukup bermakna. Walaupun hujan lebat teruk semalam, saya gagahi juga menaiki motosikal untuk bertemu kawan-kawan yang sudah lama terputus hubungan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah.

Rasanya itu sahaja luahan malam ini. Sila lihat juga artikel A freak 'accident' at Sri Hartamas yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi juga artikel Surau (small praying hall of) Haji Yusuf, Rembau di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Sekian, selamat malam. :]