OK. Pada akhir Projek buku masjid - perjalanan selatan 2 ada disebut bahawa selesai menziarahi sebuah masjid di Umbai di mana terdapat makam Sultan Ali @ Baginda Ali, saya dan jurukamera Shamsul Yunos pun berkejar masuk ke Pulau Besar, Melaka. Alhamdulillah, kami sampai pulau sekitar jam 9, terus menuju ke surau untuk bersolat sebelum menziarahi makam wali Allah, Sultanul Ariffin Sheikh Ismail di sebelah surau.
Lewat malam baru kami menuju ke rumah (atau pondok) tempat saya sering bermalam apabila sampai di pulau ini. Kali ini saya, juga Shamsul yang baru kali pertama sampai bermalam di sebuah pondok lain berdekatan milik orang yang sama. Sila lihat artikel Pondok rehat di (resting hut in) Pulau Besar, Melaka... yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) semalam.
Kalau ikutkan, mahu sahaja saya berehat lebih lama lagi di sana tetapi memandangkan ada kerja yang belum selesai lagi di Muar, kami harus juga keluar dari pulau sebelum petang. Itupun kami nyaris-nyaris tersangkut di pulau. Sila baca cerita Pulau Besar, Melaka again... After almost getting stucked there! yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.
Sebaliknya akibat kepenatan, kami masih lagi terbaring pada jam 10.30 pagi di sekitar pondok sedangkan bot atau feri seterusnya cuma datang jam 12.30 pagi, itupun ada sedikit pertukaran masa seperti disebut dalam artikel Pulau Besar, Melaka again... After almost getting stucked there! Maka kami terlepas nasi beringin 'asal' yang dimaksudkan.
Oh... Kenapa saya sebut nasi beringin 'asal'? Kerana nasi beringin adalah satu hidangan orang Muar tetapi mungkin dihidangkan sedikit berbeza bergantung pada sesiapa yang memasaknya. Untuk pengetahuan, di perkarangan pejabat akhbar The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur terdapat sebuah gerai nasi beringin yang sangat laris sejak sekurang-kurangnya 15 tahun lalu! Lalu nasi beringin itu menjadi bualan ramai orang dan memang ia pun sedap. Cuma bagi saya yang dilahirkan dan dibesarkan di Muar, rasanya tidak sama dengan nasi beringin 'asal; yang saya kenali di Muar!
Pada saya, rasa nasi beringin 'asal' ialah seperti yang saya rasa di sebuah kedai sejak kecil lagi. Walaupun kedainya sudah beralih tempat dan rasanya tidak seenak dahulu yang saya ingat, tetapi saya kenal ciri-ciri rasanya (yang entah kenapa cukup susah untuk saya nyatakan dalam tulisan tetapi tetap dikenali melalui rasa). Dan Shamsul yang memang sukakan rasa nasi beringin di Bangsar sudah lama teringin merasa nasi beringin 'sebenar' di Muar.
Sayang sekali, nasi beringin 'asal' yang dimaksudkan sudah habis semuanya apabila kami sampai. Begitu juga telur pindang yang cukup sesuai dimakan bersama nasi beringin itu, dan menurut Shamsul, dia sekeluarga (8 beranak woo, ada 6 orang anak termasuk kembar tiga!) amat sukakan telur pindang!
Maka kami terpaksa makan nasi beringin di kedai sebelah yang rasanya sedikit lain. Walaupun ia juga boleh tahan sedap, pada saya ia tidak menggambarkan rasa nasi beringin yang 'asal'. Apapun, kemudian kami pergi ke masjid jamek Muar. Di atas adalah gambar menara masjid diambil dari bukaan di atas kolam utama mengambil wudhuk...
Adapun masjid ini terletak di tepian Sungai Muar hampir ke kuala...
Masjid jamek Muar ini sangat bermakna dalam hidup saya. Di sinilah saya banyak menghabiskan zaman kanak-kanak samada ketika bersolat jemaah mahupun ketika bermain-main memanjat keliling masjid. Malah saya ingat, di hadapan masjid ini jugalah kanak-kanak dan pemuda sekitar generasi saya sering berlatih (juga bermain) silat termasuk permainan batin Nasrul Haq, boleh pula dilawankan dengan Kuda Kepang dan sebagainya... macam-macam! :]
Ya, saya menyambut. Memang ada sedikit kekeliruan. Walaupun senibinanya tetap menarik, tetapi ada kelihatan unsur-unsur kekeliruan dari segi mentaliti dan identiti. Dan ini dikuatkan lagi dengan pernyataan di hadapan masjid itu sendiri yang menyebut ia dipengaruhi senibina Inggeris. Kenapa pula saya kata keliru apabila dikaitkan dengan Inggeris? Saya rasa tak perlulah dipanjangkan sangat, takut ada pihak yang sensitif dan akan melenting nanti. Cukuplah disebut yang di bawah ini...
Awal sebelum itu, Shamsul ada bertanya kenapa saya memilih masjid jamek Muar ini untuk diketengahkan dalam projek buku mengenai masjid-masjid di Malaysia ini. Jawab saya, saya cuma menurut konsep penceritaan latar-belakang sejarah yang ingin diketengahkan... adapun masjid jamek Muar ini melambangkan satu era sejurus selepas naik-naiknya Raja-raja Melayu yang disokong Inggeris.
Dalam kes ini ia berlaku selepas kejatuhan empayar Johor-Riau-Lingga yang dipecah-belahkan melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 (yang boleh dikaitkan dengan Masjid Tengkera di Melaka di mana terdapat makam Sultan Hussin yang memerintah empayar ketika itu). Demi memecah-belahkan lagi jajahan takluknya agar dapat dipengaruhi Inggeris, para pembesar Melayu digalakkan mendapatkan autonomi untuk memerintah jajahan takluk sendiri. Dalam keadaan itulah muncul Bendahara Wan Ahmad mengisytiharkan diri sebagai Sultan Pahang juga Temenggung Abu Bakar diisytiharkan sebagai Maharaja Johor membawa kepadaSultan-sultan dan kerabat diraja Johor kini.
Pernah tengok gambar Raja-raja Melayu zaman itu (penghujung abad ke 19 hingga awal abad ke 20 Masihi) memakai baju-baju kebesaran Inggeris? Rasanya itu sudah cukup menerangkan makna 'keliru' yang dinisbahkan Shamsul pada masjid jamek Muar. Cukuplah tentang itu!
Adapun perjalanan hari sebelum itu telah menyebabkan bukan sahaja tubuh-badan kami kehilangan tenaga, peralatan yang dibawa termasuk kamera, flash (Shamsul menggunakan 3 set flash) juga komputer laptop, tak lupa juga telefon bimbit kehilangan tenaga. Nasib baik di masjid ini ada power-point yang boleh digunakan. Maka kesempatan ini digunakan untuk mengecas bateri mana yang patut sedangkan kami sempat 'tumbang' sebentar merehatkan badan sebelum menyambung kerja.
Di sini juga saya menyambung sedikit penulisan untuk projek buku yang telah dimulakan awal pagi Sabtu di Masjid Kampung Hulu. Hasilnya, masuk waktu Asar baru kami bergerak meninggalkan masjid ini sedangkan ada lagi masjid di Muar yang perlu diziarahi untuk kerja. Allah!
Jam 6 petang, baru kami bersedia untuk berlepas ke destinasi seterusnya di Pagoh, sekitar 30km dari rumah ibu-bapa saya. Sampai di Bukit Pasir, dalam 10km perjalanan begitu, saya mendapat panggilan telefon dari ibu... katanya beg saya yang mengandungi komputer laptop juga paspot antarabangsa dan beberapa barangan lain tertinggal di rumah. Dah, terpaksalah berpatah balik...
Sampai di kawasan bukit-bukit menghampiri Pagoh di mana terdapat sebuah ladang rempah besar, video kamera yang digunakan untuk merekod sedikit cerita perjalanan pula buat hal. Shamsul cuba membetulkannya tetapi tidak berjaya sedangkan langit semakin gelap menandakan masuk waktu Maghrib. Akhirnya kami sampai ke masjid seterusnya ketika orang sedang bersolat Maghrib...
Hmm... Mungkin ada hikmahnya berlaku pelbagai perkara yang melambatkan perjalanan hari itu, Ahad... dari kepenatan di Pulau Besar yang menyebabkan kami keluar lewat dicampur bot yang tidak mengikut jadual, kepenatan lagi di masjid jamek Muar ditambah beg yang tertinggal lalu video kamera rosak. Kalau katakan kami masih ada masa tadi, tentu saya akan menyuruh Shamsul bergegas ke sebuah lagi masjid iaitu masjid lama Olak Sepam (lihat artikel Masjid lama (old mosque of) Olak Sepam, Pagoh, Muar ) sekitar 2-3km ke utara lagi sebaik sahaja selesai mengambil gambar di Masjid Sultan Alauddin. Sebaliknya keadaan seolah 'memaksa' kami untuk menutup pengembaraan ke selatan dalam kerangka projek buku masjid ini di hadapan makam Sultan Alauddin!
Beberapa hari kemudian, saya mendapat pembentangan belanjawan untuk projek yang turut mencadangkan agar jumlah masjid yang diliputi diturunkan kepada 20 sedangkan dalam rancangan asal saya terdapat sekitar 50 masjid agar dapat membuat penceritaan yang mantap! Lalu saya mengambil jalan tengah mahu mengenengahkan mungkin sekitar 36 masjid... Maka sejurus sebelum bergerak ke selatan ini, saya asyik terfikir, perlukah kami bergerak sehingga ke Singapura sedangkan perjalanan bermula dari Negeri Sembilan masuk ke Melaka hingga ke Muar sahaja bakal mengenengahkan 13 buah masjid... belum dikira perjalanan ke Pantai Timur, utara dan juga mungkin sekitar Lembah Kelang yang akan dibuat nanti.
Alhamdulillah, persoalan ini terjawab dalam perjalanan ke Seremban apabila Shamsul baru tersedar yang dia terlupa membawa paspot antarabangsa. Dengan ini kami tidak perlu memakan masa menghabiskan minyak dan sebagainya untuk ke Singapura jadi apa perlu sampai ke Johor Bahru sedangkan ciri-ciri masjid di sana boleh diketengahkan melalui masjid jamek Muar juga?
Dengan itu juga timbul keputusan bahawa perjalanan ke selatan ini paling jauh sampai ke Muar sahaja. Ini membolehkan kami turut membuat keputusan untuk bermalam satu malam di Pulau Besar lalu surau di sebelah makam Sultanul Ariffin Sheikh Ismail yang sebelum ini tiada dalam rancangan turut dapat diketengahkan dalam projek buku kami. Dan kemudian hari Ahad pula, keadaan membawa kami untuk menamatkan perjalanan dan penceritaan belah selatan di hadapan makam Sultan Alauddin Riayat Shah pula!
Sebagai akhir artikel ini, renungkanlah kata-kata yang terdapat pada papan-tanda di sebelah makam Sultan Alauddin ini, kata-kata yang saya minta Shamsul supaya ambil gambar dengan terang kerana ia perlu diketengahkan. Untuk makluman, kami sampai waktu gelap. Jika tidak kerana saya pernah sampai ke sini beberapa kali (Shamsul kali pertama sampai), mustahil kami dapat menyedari kewujudan kata-kata keramat penuh makna ini tertera di hadapan makam...
Adapun kata-kata ini terdapat pada ukiran batu nesan Sultan Alauddin yang termasuk dalam kategori batu nesan Aceh. Ia ditulis dalam bentuk seni khat berbahasa Arab lalu terjemahannya berbunyi begini...
p/s: Baru teringat. Sila jenguk juga artikel-artikel yang baru dibuat tentang kewujudan kerajaan lama di tengah-tengah Putrajaya seperti pernah dipaparkan dalam berita malam di TV3 beberapa bulan lalu. Sila lihat artikel In Putrajaya, to look for the seat of an ancient kingdom di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan Tapak kerajaan lama di Putrajaya? (Site of an old kingdom in Putrajaya?) di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)
MS
BalasPadamWalaupun majalah tu belum keluar, tp moleklah kiranya dapat reserve senaskah untuk saya
Cicit Riau Bayan Putih
Tg Rambai
Bukan majalah tapi coffe-table book, buku mewah saiz besar dengan banyak gambar-gambar cantik. Harganya kemungkinan sekitar RM100 senaskah... Bukan terbitan saya tetapi pihak lain...
BalasPadamRM100 senaskah??
BalasPadamPergh...saya amat meminati buku encik tapi saya hanyalh pelajar sekolah menengah, takkanla sampai RM100...
RM50 takpe lagi..RM100 ??
agak mahal harganya bagi saya..
Maaf saudara. Ia memang mahal, RM108 senaskah!
BalasPadamIa bukan terbitan saya tetapi terbitan syarikat lain. Memang ia buku mewah yang bergambar dan saiz besar, memang disasarkan kepada golongan berduit dan syarikat korporat. Kos untuk percetakaan pun agak mahal inikan dicampur kos penerbitan, penyelidikan dan sebagainya...