Assalamualaikum semua. Sampai masanya untuk kita menyambung bercerita di sini setelah senyap tidak membuat apa-apa postings selama 2 minggu, mungkin akibat 'penangan' sambutan Hari Raya Aidilfitri. Adapun tadi saya telah membuat 3 postings baru di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 2 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Sampai masanya untuk membuat posting di sini pula walaupun saya sudah rasa terlalu penat. Sebabnya saya kurang tidur, semalam keluar malam hingga lewat bertungkus-lumus mengangkut dan mengalihkan 2,200 buku dari Bandar Tasik Selatan... Nasib baik ada pertolongan saudara Raizul. Hmm, rasanya saya harus membuat satu posting cerita tentang ini nanti.
Apapun, saya dah terasa cukup penat setelah selesai mengupload dan mengatur gambar-gambar di bawah ini sehingga hilang terus gerak untuk bercerita. Lalu saya rasa mahu sahaja melelapkan mata dahulu untuk berehat. Tetapi sebelum itu harus meletakkan tajuk sebelum posting ini disimpan dalam bentuk draft untuk disambung kemudian...
Melihatkan gambar-gambar ini, timbul ilham untuk memakai tajuk cerita "Jalan-jalan lepas raya... Dari Muar ke Pagoh ke Melaka" (perkataan "entah le nak cari apa!" cuma ditambah kemudian!). Terus terasa pula tajuk itu seperti membayangkan perjalanan Sultan-sultan Melaka dahulukala, entah kenapa... Lalu biarlah saya lepaskan sahaja sedikit rasa nak bercerita walaupun mungkin tak tentu hujung pangkalnya ya. Kalau mampu, saya mahu melepaskan gerak bercerita sampai habis apa yang patut sebelum berehat. Ini dia... :]
Ini gambar bandar Muar diambil dari tengah jambatan lama menyeberangi Sungai Muar. Sila lihat artikel My latest views of Muar and some thoughts... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH ...
Aduh! Nampaknya saya betul-betul dah tak larat. Dah lah saya sebenarnya sedang demam selsema, badan pun terasa panas semacam. Biarlah saya berehat dahulu ya...
OK. Sekitar setengah jam kemudian selepas 'berehat'... jam di laptop masuk pukul 6.24 petang ketika menulis ayat ini...
Sebenarnya saya bukan pun berehat sangat... walaupun keinginan untuk melelapkan mata itu ada akibat kepenatan daripada malam semalam bercampur tubuh badan kurang sihat, saya terasa teruja pula ingin mengetahui berita semasa terutama berkenaan perkembangan politik tanah-air lalu masa berikutnya dihabiskan menelaah berbagai sumber berita dan cerita rasmi dan tidak rasmi di dunia Siber.
Berbalik pada penceritaan yang tak tentu hujung pangkal ini. Pada hari Isnin 6 Syawal, timbul gerak untuk menziarahi makam Sultan Alauddin Riayat Shah (memerintah Melaka 1477-1488) di Kampung Raja, Pagoh, satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih wujud di Malaysia. Saya pun bergegas ke sana... Apabila masuk masjid di sebelah makam, terjumpa pula imam masjid lalu selepas menunaikan solat tahiyatul masjid, kami pun bercerita.
Adapun sebaik sahaja selepas bersolat itu, timbul rasa dalam hati bahawa masjid Kampung Raja ini sebenarnya didirikan di atas tapak istana hinggap Sultan Alauddin di sini (sudah tentu istana utama terletak di sekitar bandar Melaka malah menurut sesetengah cerita di atas Bukit St. Paul sebenarnya tetapi segala kesan telah dimusnahkan penjajah Portugis!). Pelik juga saya memikirkannya. Bukan pelik sebab istana terletak di masjid ini... Malah ini sangat logik apabila memikirkan kedudukan masjid di atas satu-satunya tanah paling tinggi dalam lingkungan 1-2km di sekitarnya. Dan sudah menjadi semacam adat bahawa seorang raja dimakamkan tidak jauh daripada istananya walaupun istana hinggap.
Yang saya rasa pelik adalah kerana baru kali ini terbetik dalam hati bahawa istana Sultan Alauddin terletak di sini. Sedangkan rasanya saya sudah lebih 10 kali bertandang di sini malah pernah sekali bermalam seorang diri dalam masjid... atas kebenaran imam kedua yang mengingatkan - bersedialah untuk diganggu atau dialih jika niat saya tidak betul atau kehadiran saya tidak diterima!
Apapun, saya pun bertanya kepada imam yang baru ditemui kali ini, imam utama masjid tentang itu. Jawab pak imam, ya, memang masjid ini didirikan di atas tapak istana baginda. Malah dia cukup senang saya bertandang ke sana untuk menziarahi makam. Katanya, kalau dia dan orang sekitar itu bertandang memanglah patut kerana mereka orang sini. Kalau orang luar seperti saya sanggup bertandang, itu tanda anak cucu prihatin sanggup menyampaikan hajat tok nenek untuk diziarahi!
Saya tersenyum sahaja. Jawab saya memang saya ada kena-mengena, itu sahaja. Dalam pada itu saya tergerak untuk bertanya tentang satu bukit yang pernah saya lihat dalam satu mimpi sekitar setahun lalu. Pelik lagi memikirkan betapa lama saya telah melupakan mimpi dan pencarian bukit yang tercetus selepas itu... tetapi boleh pula ia timbul kembali di sini, pada 6 Syawal 1429 Hijrah ini...
Adapun cerita mengenai mimpi dan pencarian ini pernah saya tulis dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH yang berbahasa Inggeris hujung tahun lepas. Tajuknya ialah The hill I saw in a recent dream? . Apabila menceritakannya kembali kepada pak imam terutama apabila menyebut bahawa keluar nama tempat bernama Olak berdekatan bukit dalam mimpi, terus pak imam menyebut bukit yang dimaksudkan terletak tidak jauh dari masjid ini... berhampiran satu kawasan dipanggil Olak Sepam. Sedangkan sebelum itu saya pernah cuba mencari bukit yang dimaksudkan di Tanjung Olak yang terletak lebih hampir ke pekan Panchor menghampiri Jorak.
Kata pak imam, nama bukit itu ialah Bukit Sebabi. Hah? Bukit Sebabi? Ya, itulah namanya. Tak tahulah kenapa. Dia menerangkan jalannya... katanya kena masuk satu simpang sebelum masjid lama Olak Sepam yang terletak di tepian Sungai Muar. Selepas meminta diri untuk bertafakur dan membaca Surah Yassin di makam Sultan Alauddin, saya pun keluar mencarinya. Pesan pak imam dan seorang dewasa di sebelahnya, berjaga-jaga sedikit... tempat itu keras.
Apapun saya sampai juga ke situ, sekitar 15 minit kemudian. Jam pula sekitar 6.30 petang begitu. Bayangkan keadaan... memang kawasan itu menyeramkan. Manakan tidak? Bukan sahaja ia sunyi dengan kedudukan agak terpencil, seluruh puncak bukit dipenuhi tanah perkuburan di sebalik belukar dan pepohon getah yang menutup cahaya matahari.
Yang penting saya puas hati kerana ia memang ada ciri-ciri bukit yang dilihat dalam mimpi lebih-lebih lagi dengan kedudukan yang membolehkan saya melihat Sungai Muar dengan jelas. Lihat artikel The hill I saw in a recent dream... Is it Bukit (hill of) Sebabi at Olak Sepam? yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.
Kemudian baru saya keluar untuk masuk ke sebuah jalan lain di tepian Sungai Muar. Tergerak untuk menziarahi masjid lama Olak Sepam.
Untuk pengetahuan, saya pernah sampai ke sini sekali awal tahun ini, dalam bahagian terakhir perjalanan mengelilingi Johor seperti yang tercatat dalam artikel Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan... di sini. Boleh juga lihat koleksi cerita perjalanan di bahagian tengah side-bar kanan.
Dalam perjalanan dahulu, saya setakat dapat melihat hingga keliling tetapi dari luar sahaja kerana kesuntukan masa. Dalam perjalanan kali ini baru saya dapat melihat hingga ke dalam dan ke atas. Sila lihat artikel Masjid lama (old mosque of) Olak Sepam, Pagoh, Muar yang baru dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) , juga tadi...
Dari situ, saya menurut kembali laluan yang pernah dilalui bersama seorang pembaca blogspot ini, saudara Khairul dari Segamat dalam perjalanan lalu. Walaupun dalam perjalanan terbaru ini juga sudah hampir waktu Maghrib, ia mungkin cepat sedikit sekitar 5-10 minit... lalu ada lebih sedikit cahaya matahari untuk saya melihat dan merekodkan keadaan. Lagipun kamera yang dipakai kini lebih terang berbanding kamera digital murah dahulu yang langsung tidak dapat menangkap gambar dalam samar...
Maka dapatlah saya mengambil gambar ini, gambar makam seorang pahlawan Melayu yang dikenali sebagai Panglima Mat Berani. Kalau tak salah ingatan, panglima ini berasal dari Pahang. Beliau gugur menentang Portugis ketika mempertahankan kedudukan Sultan Mahmud Melaka (anak Sultan Alauddin dari ibu berdarah Bendahara) di Pagoh, selepas Sultan berundur akibat Kota Melaka ditawan penjajah itu tahun 1511.
Sebenarnya keadaan lebih samar daripada yang kelihatan dalam gambar. Tetapi kamera lebih canggih (dan tentunya lebih mahal) memungkinkan kualiti gambar yang lebih menarik dan memberangsangkan.
Maka kelihatanlah bahawa makam ini menggunakan batu nesan Aceh. Cuba bandingkan dengan gambar yang dapat dirakamkan dengan kamera digital lama seperti terpapar dalam artikel Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan...
Saya juga mengulangi lawatan ke Bukit Setaki, sebuah bukit berdekatan yang terasa ada misterinya yang tersendiri. Ini sudah pun dinyatakan dalam artikel Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan... . Bezanya jika dahulu, saya sampai ke puncaknya berdua dengan Khairul menaiki kereta sekitar jam 8 malam dalam kegelapan, selepas menunaikan solat Maghrib di masjid berdekatan, kali ini saya sampai berseorangan dengan menaiki motosikal besar sedikit lebih awal iaitu sejurus selepas masuk waktu Magrib jam 7.30 gitu.
Maka dapatlah saya mengambil gambar di sekitar... lalu saya cuba menyelami kembali keadaan untuk mengaitkannya dengan mimpi tahun lepas tentang bukit. Sila baca artikel baru The hill I saw in a recent dream... Or is it Bukit (hill of) Setaki... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH ...
Malam itu, selepas menghampiri pekan Panchor melalui jalan estet dari Bukit Setaki, saya cuba meneroka laluan kecil jalan kampung dengan harapan dapat sampai ke Jorak tanpa perlu keluar balik jalan utama sekitar Pagoh. Sampai le saya ke lorong menyeberangi bawah Lebuhraya Utara-Selatan membawa ke kawasan rehat Pagoh... singgah sebentar untuk minum kopi sebelum bersolat kemudian menyambung perjalanan melalui laluan semakin kecil yang pecah-pecah jadi tanah merah berbatu-batu. Alahai betul ke jalan ini atau aku sudah tersilap? Nak patah balik terasa rugi pula... jauh, mahu patah balik 5-6km ke belakang...
Nasib baik kelihatan sebuah kereta mengambil laluan yang sama walaupun harus bergerak perlahan. Walaupun saya terpaksa mengharungi serpihan batu dan habuk tanah merah dengan laluan pecah-pecah yang tidak patut dilalui motosikal besar langsung, sekurang-kurangnya saya yakin ada jalan keluar...
Sekitar 15 minit kemudian baru saya tersedar bahawa jalan tanah merah yang dilalui itu adalah jalan untuk ke kawasan kuari bukit-bukit dalam perjalanan dari Pagoh ke Bukit Pasir tetapi dari arah lain. Saya kenal laluan ini kerana pernah pertama kali masuk bersama adik saya Khairi penghujung tahun lepas untuk mencari bukit dalam mimpi seperti disebut dalam artikel The hill I saw in a recent dream? . Dan saya pernah masuk kembali laluan ini bersama Khairul selepas singgah sebentar di Bukit Setaki dan Panchor!
Apapun, saya dapat keluar balik ke jalan besar lalu berhenti rehat di Bukit Pasir. Keesokannya, 7 Syawal, saya pun bersedia untuk kembali ke Lembah Kelang meninggalkan rumah keluarga di Muar.
Oh... Terlupa nak beritahu. Adapun sejak beberapa hari lepas di rumah ayah dan ibu, entah kenapa, datang dari mana (sebab ibu pun tertanya-tanya daripada mana pula muncul benda alah ini!), terdapat sebuah majalah apa entah nama, lupa pula namanya. Tetapi seperti Mastika yang ada memaparkan cerita-cerita misteri yang diyakini benar. Gerak hati saya pula menyebut, ia muncul di situ, tak kiralah mungkin ditinggalkan salah seorang saudara yang bertandang kerana ada sesuatu di dalamnya yang perlu diteliti. Untuk pengetahuan, majalah ini adalah edisi lama tahun 1999! Jadi apa logiknya majalah lama berusia 9 tahun harus tertinggal di situ?
Apapun, dalam majalah itulah saya mendapat tahu akan apa yang ada di Bukit Senjuang, selatan bandaraya Melaka. Sedangkan selama ini saya sering lalu di kawasan itu apabila lalu di Melaka tetapi belum tergerak untuk singgah di sana.
Apa yang ada di sana? Sila lihat artikel Bukit (Hill of) Senjuang, Melaka yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) petang tadi. Sekarang lepaslah gerak penceritaan awal di blogspot ini untuk sesi penceritaan terbaru, yang pertama selepas kita menyambut Hari Raya Aidilfitri 1429 Hijrah ini. Insyaallah akan saya sambung cerita lain di sini, selepas solat Maghrib sebentar lagi ya! Wassalam... :]
p/s: Peh... Dalam penat-penat tadi asyik rasa nak terlelap mata, dapat juga melepaskan cerita ini. Alhamdulillah... Lega!
Salam MS, "Selamat Hari Raya Aidilfitri"
BalasPadamBest baca cerita u g melawat Pagoh n selalu2 lah melawat kesana...semoga banyak lagi cerita yg akan terbongkar....kambing tanduk pusing tu u dh jumpa ker??? kt bawah kaki bukit setaki ada 1 kandang kambing boer....rasa2 x lama lagi keluar la tanduknya tu.
Wassalam. Kambing tu dah jumpa dah masa first-time sampai Bukit Setaki awal tahun dahulu. Masa tu sampai kat sana malam. Ada le beberapa ekor kambing tanduk pusing tengah lepak dekat bangunan macam bangsal/reban sebelah bungalow besar tu...
BalasPadamBang,
BalasPadamSori xtau camne nak email..jadi sy letak kat bahagian komen ni wlupun tak berkaitan dgn topik. Cume sy nak tanye yakjuj dan makjuj sebenarnye dlm bentuk manusia atau bangsa. pasal ade org ckp penjelajahan bangsa eropah bermula british,portugis,belanda dll yg mane mereka adalah keturunan yakjuj dan makjuj. ade plak ckp yakjuj makjuj belum muncul lg..klu free pls respon to me at rusli2030@gmail.com ok.tq
nih nk tanya pendapat sikit la....ada rumah warna kuning kalu u menghala ke bukit setaki tu.....rasa cam misteri tak???
BalasPadam