Assalamualaikum semua. Dalam posting sebelum ini bertajuk Perjalanan terbaru ke Perak... Mencari makam Keramat Sungai Durian dan membuka sedikit taraf sebenar keluarga Laksamana Raja Mahkota! yang dibuat hari Jumaat, saya ada menyebut ini... Copy and paste balik aje le yek...
Adusss!!! Terlupa pula. Saya dan rakan baik saya Zaidi @ Perpatih Tulus telah menetapkan pagi esok untuk menyambung perjalanan ke Negeri Sembilan sambil membuat klip video... Tiba-tiba petang tadi sepupu saya Nizam bertanya apakah saya sudah bersedia untuk pergi ke Pulau Besar, Melaka esok!
Allah! Sungguh saya terlupa sedangkan Nizam dan rakannya yang turut terlibat dalam perjalanan terbaru saya ke Perak sebulan lalu telah mengambil cuti untuk ke Pulau Besar. Dan mereka perlukan saya sebagai penunjuk arah... Bagaimana ni?
Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan, sebaik sahaja selesai membuat posting itu, terus terpancar jawabannya... Selesaikan dahulu sambungan perjalanan ke Negeri Sembilan kemudian baru ke Pulau Besar, Melaka. Dan sukacita dimaklumkan, ia telah pun selamat dilakukan hari Sabtu lalu disambung pada hari Ahad setelah bermalam di sebuah pondok milik seorang sahabat saya di sana yang sudah 15 tahun menjadi warga pulau itu...
Oh... Sebelum menyambung cerita saya mahu memberitahu... Posting ini sebenarnya adalah posting ke 353 di blogspot ini, bukan posting Perjalanan terbaru ke Perak... Mencari makam Keramat Sungai Durian dan membuka sedikit taraf sebenar keluarga Laksamana Raja Mahkota! ... Rupa-rupanya ada draft posting kosong yang turut dikira sama dalam jumlah posting di blogspot ini, draft yang sepatutnya telah dibuang hari Jumaat. Tadi baru saya tersedar ini dan delete draft itu, maka jadilah posting ini posting ke 353 di blogspot ini...
OK. Dalam bahagian awal perjalanan ke Negeri Sembilan yang dibuat lebih sebulan lalu, saya telah mengambil jalan dari Ampang masuk ke Kuala Klawang melalui Ulu Langat untuk melawat beberapa tempat di sebelah sana terutama makam Moyang Salleh... Kemudian baru ke Seremban menziarahi makam Sheikh Muhammad Said Linggi sebelum ke Rembau untuk pergi ke Astana di mana terdapatnya makam Raja Melewar, Yam Tuan pertama Negeri Sembilan. Maka untuk sambungannya yang dibuat Sabtu lalu, saya merancang untuk memulakan perjalanan di makam Raja Melewar sebelum pergi menziarahi makam Sheikh Ahmad Majnun dan batu-batu hidup di Pengkalan Kempas lalu ke Tanjung Tuan kemudian naik melalui Port Dickson ke Lukud di mana terdapat tinggalan Kota Lukud dan makam kerabat diraja Bugis yang membuka Kota Lukud iaitu Raja Jumaat.
Sebaliknya disebabkan saya juga harus ke Pulau Besar, Melaka maka pusingan perjalanan ditukar dari arah melawan jam kepada arah ikut jam... Dari Kajang di mana cameraman saya saudara Zaidi @ PerpatihTulus mengambil saya, kami menghala terus ke Lukud (ke Lukut? Lebih kurang aje le...) melalui jalan lama Salak menyeberangi Sungai Sepang masuk ke Negeri Sembilan sebelum sampai ke Lukud. Kemudian kami pergi ke Port Dickson di mana kami bertemu dengan sepupu saya Nizam dan rakannya Asri (baru ingat nama... Merekalah yang bersama saya dalam perjalanan terbaru ke Perak seperti disebut dalam posting Perjalanan terbaru ke Perak... Mencari makam Keramat Sungai Durian dan membuka sedikit taraf sebenar keluarga Laksamana Raja Mahkota! ) yang mahu pergi ke Pulau Besar... Saya harus menunjukkan jalan kerana mereka tidak pernah pergi ke sana sedangkan sepupu saya akan bertukar kerja kembali ke Sarawak dalam tempoh seminggu begitu!
Dari Port Dickson kami berempat dalam dua kereta pergi ke Tanjung Tuan... Sempat berjalan kaki mendaki ke atas hingga ke rumah api kemudian pergi menuruni denai ke penghujung tanjung sebelum naik balik untuk masuk ke denai menghala ke sebuah tapak kaki atas batu yang katanya tapak kaki Hang Tuah pula. Banyak masa dihabiskan di sana. Lalu kami sampai ke Pengkalan Kempas hampir waktu Maghrib sebelum berkejar ke makam Raja Melewar pula!
Allah, dah lah penat, tersilap jalan beberapa kali lalu sampai ke makam Raja Melewar jam 8 malam lagi sepertimana dalam perjalanan awal ke Negeri Sembilan yang dibuat sebulan lalu! Apapun, kali ini timbul satu gerak untuk membuka beberapa rahsia berkaitan kerajaan lama, di hadapan makam Raja Melewar! Dan kali ini kami juga melihat bahawa makam itu ditanda dengan batu nesan Aceh, begitu juga makam isteri baginda di sebelah.
Seperti yang dirancang, kami dapat mengambil banyak klip video yang menarik sepanjang jalan. Kualiti klip video kali itu juga lebih baik... Cuma ada sedikit masalah. Zaidi belum berapa biasa dengan perakam video baru dan lebih canggih yang digunakan kali ini jadi ada sedikit masalah gambar kadang-kadang gelap dan rakaman bunyinya ada ketika kedengaran kuat, ada ketika perlahan pula... Masalah ini boleh diatasi dengan sekadar menaikkan volume sahaja pada paparan video yang akan diletakkan di blogspot nanti. Tapi tak sedaplah jika ia tak selari sedangkan nak bagi ia selari kesemuanya melibatkan banyak kerja dan masa!
Dan lagi satu masalah, jika dengan perakam video dahulu, kami boleh terus memasukkan klip video ke dalam komputer, untuk perakam video ini pula ia harus dimasukkan melalui satu program khas dan setiap klip harus diteliti terlebih dahulu... Jadi kali ini saya tidak dapat memasukkan semua rakaman yang dibuat ke dalam komputer laptop saya... Harus menunggu Zaidi memproses ke semuanya satu persatu...
Apapun, insyaallah akan kami paparkan klip-klip video ini apabila ada peluang dan masa. Kali ini kami bercadang akan memasukkannya melalui YouTube... Tugas ini akan dijalankan oleh Zaidi lalu attachment atau embedded HTML code nya akan saya masukkan ke dalam blogspot ini satu persatu nanti berserta sedikit penerangan. Gambar-gambar bukan video atau still pictures akan saya paparkan mengikut kesesuaian di blogspot-blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) berserta huraian yang lebih lanjut, insyaallah!
Oh... Demi memenuhi gerak yang telah ditunjukkan Allah Ta'ala, maka posting-posting akan datang memaparkan klip-klip video serta ulasan daripada saya ini akan dipaparkan di bawah siri perjalanan ke Negeri Sembilan kerana ia sememangnya adalah sambungan dan pelengkap kepada siri perjalanan ke Negeri Sembilan yang terdahulu. Namun, apabila selesai ini insyaallah akan kami paparkan satu siri artikel dengan klip video di Pulau Besar pula...
Dengan video di ambil di sekitar Makam Nenek Kebayan, Gua Yunus, kawasan apartment 5 bintang yang terbengkalai dan pandangan Pulau Besar dari menara kelab golf tinggal, Batu Belah di atas puncak tertinggi di sana, Tasik Biawak dan Batu Tengkorak, Makam Tujuh Beradik, Makam Seribu dan sudah tentunya di Makam Sultanul Ariffin Sheikh Ismail sebagai makam utama milik seorang wali besar tersohor, percayalah ia adalah satu pengalaman yang tersendiri yang saya percaya sangat ditunggu-tunggu untuk ditatapi setiap pembaca setia blogspot ini. Malah ada rakaman lawatan malam ke Makam Tok Putih dan Makam Tok Janggut walaupun kawasan makam cuma dapat diterangi dengan lampu kecil yang perlu 'dikayuh' seperti basikal sehingga mengeluarkan bunyi agak pelik!
Insyaallah semuanya akan dipaparkan menurut Qada' dan Qadar'nya... Lalu bersedialah untuk perjalanan terbuka ke Perak akan datang nanti, seperti yang dicadangkan 16-17 Ogos ini ya. Sekian, selamat malam! :]
Terbaca mengenai Batu Belah, teringat kepada posting bertajuk "Batu Belah (split stone) of Pulau Besar, Melaka ". Teringat pula kepada Panglima Lidah Hitam yang juga digelar sesetengah orang sebagai Ibu Lintau. Apapun, Makam Panglima Lidah Hitam ini terdapat di Parit Sakai, Muar Johor kalau2 saudara tergerak hendak meneroka dan mengenali siapakah Panglima Lidah Hitam ni.
BalasPadamHmm... Nanti ada le cerita tu kat klip video. Tapi kena tunggu le sebab kena keluarkan klip video sambungan perjalanan ke Negeri Sembilan satu persatu sampai habis baru ke klip-klip video Pulau Besar...
BalasPadam