Sabtu, Mei 10, 2008

Bahasa jiwa bangsa... Jadi apa lagi? Buktikan kata-kata itu!


Kalau ikutkan, saya tak mahu buat apa-apa posting baru sehingga minggu depan kerana seronok tengok gambar "mahkamah mata" saya terletak betul-betul sebelah chatbox. Tapi malam ini timbul rasa yang sangat kuat untuk menyatakan sesuatu walaupun ini akan menyebabkan gambar kesukaan saya buat masa ini (hehe... seronok woo layan kreatif gila sekali-sekala, hehe!) ditolak jauh ke bawah nanti!

Begini... Kita sering berkata tentang terhakisnya ketuanan Melayu dan sebagainya, bagaimana subjek sains dan matematik patut diajar kembali dalam bahasa Melayu untuk mendaulatkan bangsa dan bahasa... Tetapi kita lupa bahawa nama parti besar yang dikatakan pembela Melayu itu sendiri masih lagi berbangga dengan sebutan bahasa penjajahnya, sebutan bahasa Inggeris iaitu UMNO, United Malay National Organisation.

Di sini saya menyeru kepada para pembaca, sila khabarkan kepada ramai terutama mereka yang ada kuasa untuk mengubah keadaan... Minta tukar balik nama UMNO ini kepada sebutannya yang asal dalam bahasa Melayu seperti yang boleh kelihatan pada logonya dengan huruf-huruf Jawi... Fa, Kaf, Mim, Ba, Rho. Untuk PEKEMBAR (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu).

Kalau dahulu, nama UMNO itu timbul semasa hendak berunding meminta kemerdekaan daripada British maka logiklah juga kerana kita perlu memberitahu dan berunding dalam Bahasa Inggeris dengan penjajah... Semasa itu juga timbul nama MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress). Sekarang kita sudah lebih 50 tahun merdeka tetapi nama parti utama yang sepatutnya membela orang Melayu masih berbangga dengan nama dalam bahasa penjajah. Di mana mahu ditunjukkan contoh kepimpinan bahawa bahasa itu jiwa bangsa? Jika perkara semudah inipun kita masih terjajah, bagaimana kita mahu mengharap agar jiwa bangsa kita kembali jadi diri Melayu yang sejati?

Jadi ayuh! Saya bukan orang politik dan tidak ingin terlibat dengan politik. Tapi saya perihatin akan nasib bangsa Melayu dan saya ingin melihat bangsa saya kembali maju dan yakin dengan jatidiri sebenar yang pernah membentuk orang-orang Melayu dahulukala, bukan jatidiri palsu berasaskan kekayaan dan harta-benda yang telah merosakkan jiwa ramai orang zaman sekarang! Sekian...


p/s: Kepada saudara Mohd yang menegur saya tentang artikel yang meleret-leret dan penggunaan banyak link yang boleh mengelirukan pembaca... Pada malam ini, di sebalik ketenangan yang timbul setelah semalam berjumpa kawan-kawan lama, setelah meluahkan perasan sejujur-jujurnya walaupun dalam keadaan marah dan kecewa awal pagi semalam, baru saya rasa senang menerima teguran itu dengan lebih konstruktif.

Adapun disebabkan begitu banyak luka dan kesakitan yang terpendam di jiwa, maka saya luahkan panjang-panjang di blogspot-blogspot saya sambil hendak mendapatkan gerak bercerita yang lebih memanfaatkan ramai. Dalam kesakitan yang mahu dilepaskan secepat mungkin, saya lupa akan cara membaca serta daya penerimaan kebanyakan orang... Kerana saya sendiri sudah terbiasa membuat penyelidikan dan membaca dokumen-dokumen panjang sehingga berjam-jam sekali duduk lalu terlupa bahawa kebanyakan orang tidak dapat menumpukan perhatian apabila cerita terlalu panjang.

Sejak umur 6 tahun lagi saya juga sudah terbiasa membuat cross-referencing sehingga menggunakan 6 ensaiklopaedia sekali gus melompat-lompat mencari dan mengaitkan informasi daripada pelbagai tempat. Kalau dalam zaman komputer sekarang, kira multitasking le sambil menelaah isi pelbagai laman web sekaligus, bukan satu demi satu hingga selesai.

Lalu mungkin cara yang sama terbawa-bawa dalam penceritaan di blogspot. Sekali lagi, saya lupa akan cara penerimaan umum. Maka maafkan saya jika kelihatan saya begitu melenting dan tidak menerima teguran... Ini berlaku kerana kesakitan dalaman yang saya rasa sudah begitu lama akibat asakan-asakan orang yang tidak faham keadaan saya yang sebenar...

Begitu juga saya meminta ampun dan maaf kepada semua yang memberikan nasihat dan teguran dengan niat jujur betul-betul mahu memperbaiki kelemahan seorang saudara tetapi saya pula bertindak kurang enak!
Selepas ini saya akan cuba tidak membuat apa-apa cerita panjang lagi... Kecuali kalau ada menyertakan sedutan daripada mana-mana bacaan termasuk buku saya sendiri dan kecuali untuk cerita banyak gambar yang perlu dilepaskan pada masa ini untuk meluahkan beban dalaman berkaitan dengan perjalanan terbaru ke Pantai Timur yang belum selesai... Cerita-cerita yang kini saya tidak sertakan apa-apa penjelasan di bawah gambar sejak baru-baru ini.

Terimakasih atas keprihatinan semua. Sesungguhnya ketenangan malam ini begitu menyejukkan hati sehingga semakin terang akan gerak pengajaran Ilahi yang kadang-kadang datang kelihatan seperti kasar daripada pelbagai arah padahal bertujuan untuk mempercepatkan proses kematangan kerohanian ke tahaf yang sepatutnya boleh dicapai berdasarkan zat yang wujud dalam diri ini... Wassalam! :]

5 ulasan:

  1. Marilah wahai UMNO,
    Memulakan perjalanan ke alam ghaib yg di sanalah Nabi kita sedang menunggu dan menangisi iman dan islam kita. Bertemu nabi secara hati dan mental, kita akan dapatkan semula kekuata yg kian hilang, percayalah. Mengadulah kepadaNYA utk mendapatkan pertolongan Allah yg hanya Dialah yg mampu mmberi jalan keluar dari kebuntuan yg mencekik ini. Dan jgnlah kamu terkejut bila mendengar RSAW bersabda nantinya : "Untuk dapatkan keselamatan diri dan perjuangan kamu, datangilah Putera Bani Tamim sekalipun merangkak di atas salji"

    Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mengu­tus pada umat ini di setiap awal 100 tahun seorang (mujad­did) yang akan memperbaharui urusan agama mereka.” (Ri­wayat Abu Daud)

    Sabda Rasulullah SAW:

    Maksudnya: Dari Abdullah bin Mas’ud dia berkata: “Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang sekumpulan anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terpandang akan mereka, maka kedua mata Rasulullah SAW berlinang air mata dan wajah baginda berubah. Aku pun bertanya, “Mengapa kami melihat pada wajahmu sesuatu yang tidak kami sukai?”

    Baginda menjawab, “Kami Ahlul Bait telah Allah pilih untuk kami Akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari sebelah Timur dengan membawa bersama-sama mereka panji-panji berwarna hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerima sehinggalah mereka menye­rahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang memenuhi bumi dengan keadilan seba­gai­mana ia dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa di antara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah Al Mahdi.”
    (Riwayat Ibnu Majah) (Lihat kitab Al Hawi lil Fatawa, m.s. 71-72)

    BalasPadam
  2. Hmm... Dalam posting ini saya ada menyebut bahawa selepas ini saya akan cuba tidak akan membuat apa-apa cerita panjang. Tetapi apabila diteliti kembali rasa penulisan saya yang sejati walaupun sekadar berdasarkan gerak penulisan untuk posting ini juga posting seterusnya tentang keadaan terbaru motosikal kesayangan saya, sebenarnya saya tidak mampu dan tidak patut membuat janji sebegini.
    Hmm... Bila diteliti balik tulisan pada posting itu, ternyata saya tidak pernah berjanji tetapi menyatakan azam sahaja akan cuba tidak lagi menulis panjang... Nasib baik sebab saya ini adalah orang yang mengotakan janji... Kalau tidak, akan jadi konflik besar tentang hal ini dalam jiwa saya yang sensitif ini!
    Adapun saya akan menulis apa yang mengalir keluar daripada hati tanpa tapisan kecuali apabila disedari kata-kata yang bakal dikeluarkan itu tercetus berdasarkan rasa amarah dan sifat-sifat mazmumah yang belum betul-betul bersih. Selain itu, saya akan menulis sejujur-jujurnya tanpa niat menyinggung mana-mana pihak kecuali menyatakan rasa yang sepatutnya untuk kebaikan semua...
    Sekarang ini pun kiranya saya sudah memaksa diri supaya tidak menulis lebih panjang lagi tetapi paksaan sebegini sebenarnya menyakitkan diri saya zahir dan batin!
    Maka itu saya ingin memberitahu, Terimalah penulisan saya seadanya dan dengan sejujur-jujurnya, tak kiralah samada panjang ataupun pendek... Tak kiralah samada saya sedang kecewa, marah mahupun gembira, juga dalam ketenangan.... Kerana itulah diri saya yang sebenar tanpa selindung, bukan satu entiti diri palsu yang boleh dibentuk dengan teori Public Relations dan sebagainya supaya kelihatan muluk sentiasa.
    Yang menentukan panjang, pendek, bersimpang-siur, meleret-leret ataupun elok teratur sehingga dapat difahami semua peringkat pembaca, tak kiralah daripada peringkat tadika sehingga ke peringkat PhD adalah apa yang keluar pada sesuatu ketika tanpa diatur. Saya pohon ampun dan maaf terlebih dahulu kepada semua jika cara penulisan saya ini tidak dapat memenuhi kehendak dan citarasa pihak tertentu dan memaksa anda bertungkus-lumur untuk mengekorinya atau menyinggung anda secara tidak sengaja... Saya tidak boleh mengekang gerak hati saya semata-mata untuk menjaga hati orang lain sedangkan hati dan jiwa saya sendiri jadi sakit kerana cuba menyekat aliran pengetahuan semulajadi juga cetusan rasa yang mengalir dalam diri. Malah untuk makluman, sekatan yang dipaksakan ke atas cara pemikiran saya termasuk oleh ibu bapa dan keluarga saya sejak kecil lagi semata-mata untuk menjaga hati kebanyakan orang lah yang membuat saya menanggung kesakitan dalaman sehingga kini. Sedangkan salah satu tujuan utama blogspot ini dibuat adalah untuk menyembuhkan sakit ini... Harap faham! Wassalam... :]

    BalasPadam
  3. Thanks saudara atas keterbukaan,
    Bukan ditekankan pada panjang pendeknya cerita yg disampaikan, tetapi lebih kepada isi cerita yg diluahkan.
    Tak salah dengan cerita yang panjang lebar, tapi punya isi yg mantap dan berkesan dihati pembaca, terutama sekali yang masih mencari...
    Jadikanlah Blog saudara ini sebagai satu landasan untuk mencari keredhaan dengan cara yg tersendiri..
    Thanks..

    BalasPadam
  4. Ya, betul cakap saudara mohd. Panjang atau pendek asalkan kemas dan tak meleret. Walaupun pendek punya isi.

    Sungguhpun panjang tetapi kemas ceritanya dan tidak melompat-lompat.

    Berlainan sungguh kata-kata saudara kali ini. Inilah yang dimaukan. Pemahaman tanpa kata-kata cercaan balik kepada pemberi komen seperti selalu.

    Apa sudah berlaku? Adakah kerana hasil dari berjumpa kawan-kawan lama menyedarkan saudara. Bagus. Alhamdullilah.

    BalasPadam
  5. Salam radzi.. maaf...

    Melayu dibumi semenanjung memang semakin kepupusan identiti. Kalau dulu pinjam bahasa orang putih, sekarang dah tukar dengan meminjam bahasa orang arab pula. Bukan sahaja UMNO, nama seperti Parameswara, Teja, Hang Tuah, Jempol dah diganti pula dgn Ibrahim, Faroq, Abu Bakar, Aziz, Abdul ...
    NAMA Melayu tertinggal disungai-sungai, daerah, banjaran dan bukit bukau shj.

    Entahlah.
    Allhu...

    BalasPadam