Sabtu, Februari 23, 2008

Dari Tangkak ke Kuala Lumpur... Sangkut sebentar di Linggi...

OK... Gerak hati ini memaksa saya terus bercerita walaupun mood sedikit terganggu akibat masalah virus komputer yang menyerang pen-drive hingga saya nyaris-nyaris kehilangan 1,000 buah gambar yang diambil dalam penat-lelah siri pengembaraan di Johor mahupun di Kedah dan Perak... Beginilah keadaan saya, apabila "disuruh" (tentu pelik bukan, entah siapa yang suruh?), maka berjalanlah saya... Kemudian berkongsi cerita pula dengan harapan ada yang mendapat manfaat... Dan mungkin juga apa yang saya terlepas pandang dalam gambar-gambar yang dipaparkan ini dapat dilihat orang lain lalu mereka boleh menegur atau memberi komen untuk faedah semua?
Cerita ini boleh dikatakan kesinambungan daripada cerita-cerita Johor... Pada 7 haribulan Januari, setelah tamat berjalan-jalan di Muar seperti yang dipaparkan dalam artikel Sedikit lagi tentang Muar. Jalan Junid, Bukit Mor dan beberapa kenangan lama... kemudian ke Gunung Ledang( lihat A quick trip up Gunung Ledang... ), saya pun bermalam di Tangkak (lihat Tangkak, the textile town! ). Keesokannya, saya meninggalkan Tangkak, melalui jalan yang seingat saya tidak pernah saya lalui sebelum itu seumur hidup...


Tengahari itu, setelah check out daripada hotel, saya pun berjalan-jalan di sekitar bandar Tangkak. Kemudian menghala ke stesyen bas, ngam-ngam sebuah bas ke Melaka baru sahaja meninggalkan stesyen... Nasib baik saya berjalan ke stesyen melalui lorong yang sering dilalui bas ketika keluar stesyen dan sempat bertembung... Kalau tidak, tak tahu le berapa jam lagi baru dapat...



Setelah beberapa ketika, masuklah ke negeri Melaka... Bas ini singgah sebentar di sebuah bandar yang dekat dengan sempadan Melaka/ Johor @ Muar, lupa pula nama bandar ini. Tetapi daripada bandar ini, seseorang boleh sampai ke Asahan di mana terletaknya sebuah lagi laluan utama untuk mendaki Gunung Ledang...



Hmm... Kalau tak salah, ini di sekitar Jasin. Hmm... Mungkin bandar yang disinggahi tadi adalah Jasin? Saya tak pasti...

Kemudian baru sampai ke bandaraya Melaka... Saya tergerak turun bas di Tesco dan makan tengahari di sana sebelum menaiki jejantas pejalan kaki ini untuk ke stesyen Melaka Sentral...

Bentuk jejantas in mengingatkan saya akan rupa dalam kapal angkasa cerita Star Wars juga Battle Star Galactica. Hati-hati! Mungkin penjahat merbahaya seperti Darth Vader dan askar Cylon sedang menunggu di balik sana...



Sebahagian bandaraya Melaka dilihat daripada jejantas pejalan kaki di Melaka Sentral...

Stesyen Melaka Sentral... Daripada sini, saya boleh mengambil bas ekspres terus untuk kembali ke Kuala Lumpur. Tetapi semasa perjalanan daripada Tangkak tadi, timbul pula rasa untuk pergi ke Pengkalan Kempas di Linggi, Negeri Sembilan, satu tempat yang saya belum pernah kunjungi sebelum itu. Seharusnya saya sudah lama pergi ke sana kerana nilai sejarahnya. Ternyata daripada stesyen ini, ada bas lompat-lompat (ertinya bukan ekspress le tu) sehingga ke Pengkalan Kempas...

Di sana, terdapat makam seorang ulamak dahulukala yang dikenali sebagai Syeikh Ahmad Majnun, katanya hidup semasa zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah Melaka pertengahan abad ke 15 Masihi...


Di sana juga terdapat batu-batu hidup yang agak menarik, menjadikan tempat di Pengkalan Kempas ini sangat terkenal sehingga ceritanya ada disebut dalam buku-buku teks sejarah sejak saya berada di sekolah rendah lagi. Tapi baru kali inilah berpeluang menziarahi tempat ini walaupun saya sudah mengembara merata tempat seluruh Malaysia (kecuali Sarawak) juga beberapa negera lain termasuk di Eropah. Untuk melihat banyak lagi gambar-gambar batu sebegini, sila klik The megalithic stones of Pengkalan Kempas


Di sebelah bangunan makam tadi, terdapat bangunan seperti surau kecil terbuka di mana para pengunjung boleh berehat. Timbul rasa ingin bermalam di sini jika tidak kerana saya harus kembali ke KL untuk menunaikan janji berjumpa seseorang keesokan harinya, hari Rabu...

Lihat, betapa enaknya saudara-saudara kita ini terbongkang membuat taik mata di sini... Mesti mereka tersenyum jika terbaca...

Selepas mengambil gambar candid ini, saya pergi ke tandas sebelah untuk menunaikan hajat. Apabila keluar dan melalui kawasan ini lagi, ternyata salah seorang mereka sudah bangun tidur lalu menegur.

Kami pun berkenal-kenalan... Namanya saya masih ingat, Helmi... Tetapi nama rakan seorang lagi saya tidak ingat.

Helmi kemudian menghantar saya menaiki motor ke pekan Linggi di mana katanya lebih senang untuk mendapatkan bas untuk ke Seremban. Sementara menunggu dan minum petang, kami bertukar-tukar cerita... Rupa-rupanya dia ini salah seorang pembaca blogspot ini!

Setelah lebih sejam menunggu dan saya pula terasa tidak sabar bergerak lalu mahu meninggalkan kedai makan untuk berjalan kaki dengan harapan akan dapat hitchike kereta orang nanti, Helmi menawarkan untuk menghantar sehingga ke pekan Rantau hampir 20km daripada situ. Katanya di situ lebih senang mendapatkan bas... Jika perkhidmatan bas ke Linggi dan Pengkalan Kempas sudah tamat sekali pun (kerana dia tidak pasti akan jadual bas di sebelah sini yang jarang-jarang), sudah pasti ada bas pergi balik Seremban-Rantau yang lebih kerap.

Dalam perjalanan itu, Helmi menunjukkan ke arah sebuah surau lama yang ada aura tersendiri. Kami pun singgah ke sana... Katanya, surau lama yang tidak digunakan ini adalah sebuah tempat persinggahan wali-wali! Sila klik Sebuah surau lama di Linggi (An old praying hall in Linggi) ...


Daripada situ, timbul pula rasa untuk melawat sebuah masjid lama yang ada kaitan dengan keluarga Sheikh Muhammad Said Linggi, seorang ulamak Negeri Sembilan yang terkenal awal abad ke 20 Masihi. Ulamak yang dikatakan bertaraf wali ini disenaraikan sebagai seorang daripada Tujuh Wali Melayu moden!


Tidak jauh daripada masjid, terdapat makam ayahanda kepada Sheikh Muhammad Said Linggi iaitu Sheikh Jamaluddin. Untuk cerita lanjut, klik Masjid lama (old mosque of) Linggi ...

Setelah itu kami pun ke Rantau... Di Rantau, Helmi dan rakannya sudi menunggu di perhentian bas sehingga bas dari Seremban sampai. Rupa-rupanya ada lagi bas ke Pengkalan Kempas tetapi disebabkan jadual tidak menentu, kelihatan seperti sudah tamat untuk hari itu... Tetapi belum ada jaminan lagi bas ini akan kembali ke Seremban. Maka mereka terus menunggu sehingga ternyata bas ini kembali ke Rantau untuk menghala ke Seremban dan saya pun naik...

Kata mereka, jika ternyata tidak ada bas ke Seremban malam itu maka mereka akan terus menghantar saya ke sana, 20km lagi daripada Rantau. Terimakasih saya ucapkan kepada Helmi dan rakan... Juga mereka yang seperjuangan daripada pondok ahli Tasawuf di Linggi. Insyaallah saya akan bertandang lagi. Tak tahu bila tetapi rasanya saya patut bermalam sekurang-kurangnya satu hari di sebelah makam lama di Pengkalan Kempas. Sekian! :]

1 ulasan:

  1. ya.. bemalam di makam lagi...
    malam banyak perkara indah berlaku
    berbading siang yang bingit dan menyesakkan..
    steady bro..

    BalasPadam