Khamis, November 08, 2007
Sedikit tambahan teks pada grafik-grafik di atas... Dan pengumuman tambahan
Sinopsis BKA III
“Akan datang Panji-Panji Hitam dari sebelah Timur, seolah-olah hati mereka umpama kepingan-kepingan besi. Barangsiapa mendengar tentang mereka, hendaklah datang kepada mereka dan berbai’ahlah kepada mereka sekalipun merangkak di atas salji.”
- Sabda Rasulullah SAW mengenai akhir zaman!
Jika buku satu “Berpetualang ke Aceh” dengan tajuk kecil “Mencari Diri dan Erti” boleh diibaratkan sebagai perjalanan permulaan masuk ke hutan tebal untuk mendaki sebuah gunung yang tinggi lagi mencabar dalam keadaan teraba-raba mencari jalan, buku kedua yang menyusul hampir setahun kemudian dengan tajuk kecil “Membela Syiar yang Asal” pula boleh diibaratkan sebagai tanda kejayaan si pengembara menawan puncak gunung idaman setelah lama berhempas-pulas mencuba sedaya-upaya. Tetapi ini tidak akan bermakna jika dia tidak dapat kembali dengan selamat ke kampung halaman... Maka siri novel unik ini perlu dilengkapkan dengan buku ketiga yang boleh diibaratkan sebagai perjalanan menuruni gunung keluar hutan sebelum kembali ke pangkuan masyarakat dan keluarga!
Masalahnya, perjalanan ini tidaklah semudah yang disangka... Selain kepenatan amat akibat lama melangkah membelah hutan belantara, masih terdapat banyak lagi ranjau di sepanjang jalan pulang. Maka itu buku ketiga pun diberi tajuk kecil “Sirih Pulang ke Gagang?” dengan tanda soal di belakang, tanda yang menunjukkan mungkin perjalanan itu akhirnya selesai, mungkin juga tidak!
Jika “Mencari Diri dan Erti” cuba merungkai makna besar Melayu sebagai gabungan bangsa-bangsa bersatu yang diikat oleh agama Islam berserta budaya Melayu seperti yang tersurat dan tersirat di dalam perlembagaan, “Membela Syiar yang Asal” pula cuba menyusuri makna Islam yang lebih luas... Islam yang bermula sejak Nabi Adam AS muncul sebagai manusia pertama entah puluhan ribu tahun lalu, bukan setakat Islam syariat Nabi Muhammad SAW, syariat akhir zaman yang bermula sekitar 610 Masihi.
Ini disertai pemahaman mendalam Islam bertunjangkan amalan Tasawuf sejati sehingga nyatalah kaitan persaudaraan setiap manusia di mukabumi yang harus diikat kembali melalui penghayatan Islam yang tulin. Lalu ternyata juga kenapa ada pihak jahat seperti puak Yahudi Zionis mahu menghancurkan semua ini... Dengan mencipta pelbagai fahaman palsu yang akhirnya memecah-belahkan manusia. Kerana mereka mahu menguasai dunia dan ini cuma boleh dilakukan melalui cara pecah dan perintah!
Setelah beberapa konsep dan pemahaman sejarah dirombak semula, barulah cerita boleh diteruskan dengan buku ketiga. Lalu sejarah bumi Melayu yang pernah menyaksikan kota Melaka dijajah Portugis 1511 diikuti kejatuhan Samudera-Pasai beberapa tahun kemudian dapat dilihat dalam konteks lebih luas! Konteks yang melibatkan Perang Salib di Timur-Tengah yang melarat ke bumi Melayu demi memadamkan syiar Islam sejati di mukabumi.
Ditambah pemahaman tentang penghijrahan ramai Ahlul Bait anak cucu Nabi ke bumi Melayu sejak 1,200 tahun lampau akibat pelbagai faktor terutama pergolakan politik Islam di Timur Tengah, akan ternyata juga kenapa penjajah Barat begitu rakus mahu menakluki rantau ini. Keturunan berdaulat yang bermastautin di sinilah yang akan menjadi penyebab akan kemunculan Panji-panji Hitam dari Timur yang disebut Nabi. Apakah kita sudah bersedia untuk menyambutnya nanti?
Sinopsis BKA II
“Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkau lah segala kebajikan. Sesungguh Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”
- Surah Ali Imran, ayat 26.
Bagi mana-mana penulis, buku pertama adalah buku yang paling berat hendak ditulis. Di sinilah letaknya ketika di mana seseorang itu harus membuat keputusan nekad, apakah mesti terjun seratus peratus ke dalam dunia penulisan dengan penuh dedikasi untuk menghasilkan karya yang bermutu atau mengambil jalan selamat - membuat kerja lain untuk menjamin pendapatan lalu menulis secara sambilan sehingga tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan.
Jalan yang jauh lebih selamat jika hendak menulis sepenuh masa, jalan yang boleh menjamin kesejahteraan hidup malah mendapatkan imbuhan lumayan pula adalah ‘melacurkan’ diri... Gunakan kelebihan yang ada untuk menulis bagi pihak yang berkepentingan walau mereka ternyata pengkhianat agama, bangsa dan negara yang cuma pandai bermain wayang kulit!
Bagi penulis pula, ketentuan Qada Qadar Ilahi atas kehidupan ini berserta tanggungjawab yang wujud akibat darah keturunan yang mengalir dalam diri mengharuskannya menulis dengan sepenuh hati. Masalahnya tidak ramai yang faham ini... Kenapa perlu menulis siri buku yang menongkah arus zaman, apalagi dibuat dengan belanja sendiri tanpa sokongan penerbit besar, persatuan atau kuasa-kuasa politik seperti lazimnya kini? Harus menanggung segala risiko seorang diri di kala ramai yang mencemuh usaha ini lalu menganggap niat penulis untuk memperkasakan makna Melayu Islam sejati sebagai satu cita-cita gila yang bersifat angan-angan Mat Jenin atau kerja sia-sia orang yang ‘perasan’.
Risikonya sangat tinggi. Jika ia berjaya, dapatlah penulis terus berkecimpung menulis buku dan novel dengan yakin... Sebaliknya jika gagal, kemungkinan besar keyakinan diri ini akan tergugat teruk hingga tidak mampu membuat apa-apa lagi penulisan sepanjang hayat!
Alhamdulillah buku pertama penulis, “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti” berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan. Lalu cerita pun dapat diteruskan dengan buku dua. Maka pembaca dibawa pula untuk menelusuri kaitan kerajaan-kerajaan Samudera-Pasai, Melaka dan Aceh juga kepentingan darah keturunan dan amalan Tasawuf sejati dalam membentuk seseorang pemimpin, faktor-faktor yang cuba dikaburkan pihak Yahudi Zionis yang sangat mengagung-agungkan sistem demokrasi sebagai wadah terbaik mengatur masyarakat.
Tembelang sebenar demokrasi harus ditelanjangkan dan kepentingan darah keturunan yang membawa sifat kepimpinan semulajadi diketengahkan demi menangani masalah ummah. Maka turut disentuh makna jihad membela syiar yang asal agar terserlah satu perjuangan besar...
Sinopsis BKA I
“Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu,serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan jadi wali Allah. Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu, hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri, bawalah fakir itu bersama-sama”
- Sabda Nabi Muhammad SAW seperti yang tersebut di dalam Hikayat Raja-raja Pasai
Bayangkan menulis sebuah buku, buku pertama seumur hidup dalam keadaan amat tertekan setelah lebih 3 tahun tidak bekerja dan tidak memiliki apa-apa sumber pendapatan... Dalam keadaan terpisah daripada keluarga, anak dan isteri... Terasing juga daripada rakan-rakan malah masyarakat umum akibat kekalutan hidup yang sedang dihadapi.
Bayangkan menulis sebuah novel Melayu yang cuba menggali balik makna Melayu itu sendiri sedangkan penulis tidak pernah pun membuat apa-apa penulisan dalam bahasa itu kecuali untuk karangan di sekolah lantaran lebih fasih menulis dan bercakap dalam bahasa penjajah iaitu bahasa Inggeris daripada menggunakan bahasa ibunda sendiri...
Bayangkan, mengupas sejarah Melayu yang hilang malah cuba menghuraikan permasalahan umat Islam zaman berzaman seperti konflik Sunni-Syiah dan mencari jalan tengah sambil menyentuh mutiara ilmu keTuhanan dan cara mempraktikkannya dalam dunia sekarang di mana agama boleh dijual-beli... Sedangkan sang penulis sendiri pernah menjadi seorang yang agak ke Baratan, malu dilahirkan Melayu dan pernah hidup dalam dunia penuh kemaksiatan.
Bayangkan melakukan kesemuanya seorang diri, penulisan, penyuntingan, rekabentuk dan rekaletak buku sehingga ke grafik dalam keadaan dikhianati orang-orang yang dipercayai.
Buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti” mengupas banyak persoalan kehidupan melalui pengalaman sebenar penulis dalam memahami liku-liku kehidupan diri sendiri yang membawanya untuk mencari salasilah keturunan keluarga sehingga berjaya menemukan banyak cerita-cerita lama Melayu tersembunyi melibatkan raja-raja dan para wali. Maka terciptalah satu olahan kata-kata yang InsyaAllah boleh jadi berguna untuk semua.
Segala jerit-payah yang dilalui dinukilkan kembali dalam bentuk fiksyen bercampur travel-log melalui kacamata watak pengembara yang diberikan nama Muhammad al-Aminul Rasyid. Pencarian yang bermula dengan pengkajian salasilah diraja Perak membawa kaitan Istana Aceh hingga ke kerajaan lama Samudera-Pasai malah memutar masa 1,200 tahun ke belakang untuk meliputi kerajaan Perlak yang pernah diperintah para Ahlul Bait anak cucu Nabi. Turut terkait adalah jurai keturunan cucu sulung Rasulullah SAW iaitu Saidina Hassan... Termasuk juga keturunan raja para wali, Sheikh Abdul Qadir al-Jilani yang tersembunyi!
Selasa, November 06, 2007
Promosi baru siri buku "Berpetualang ke Aceh" sudah bermula!
Cuma proses pengedaran memakan masa... Maka mungkin para pembaca perlu menunggu lagi seminggu dua sebelum buku terbaru ini keluar di toko-toko buku seluruh Malaysia.
Tetapi sesiapa yang tak sabar boleh membeli terus daripada saya... Klik CARA-CARA MEMBELI BUKU BKA untuk maklumat lanjut.
Atau beli terus di kedai Pustaka Mukmin berhadapan panggung wayang Coliseum di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur (gambar atas) dan Pustaka Rezeki Harapan di Wisma Yakin berhadapan Masjid India (gambar bawah)... Harganya RM27.90 senaskah, mahal sedikit daripada buku-buku terdahulu "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" dan "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" yang masing-masing berharga RM24.90 senaskah...
Selepas meletakkan bunting di kedai-kedai tersebut, saya terus ke Masjid Jamek, Kuala Lumpur untuk menunaikan solat Jumaat. Sempat juga menggantungkan bunting untuk kegunaan sendiri di hadapan masjid sementara ada waktu....
Ini pula adalah bunting lama yang pernah diletakkan di Pustaka Mukmin 2 bulan kebelakangan... Bunting ini telah saya ambil kembali untuk digantikan dengan yang baru...
Petang Jumaat itu, sementara menikmati sepinggan mee rebus di kedai bersebelahan, saya telah menggantungkan bunting lama di suatu tempat seperti yang kelihatan.
Adapun, bunting lama ini kini sedang "menikmati persaraan" di Pulau Besar, Melaka... Ceritanya serta cerita-cerita berkaitan akan dibuat di blogspot ini atau/dan blogspot-blogspot saya yang lain iaitu BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) nanti ya!
Oh... Baru teringat, tadi saya baru sahaja menyiapkan satu cerita tentang ziarah ke pejabat lama saya di The New Straits Times. Ceritanya ada di A visit at my old haunt at The New Straits Times . Sekian buat masa ini! Teruskan perjuangan!