Khamis, November 08, 2007

Sinopsis BKA I



“Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu,serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan jadi wali Allah. Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu, hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri, bawalah fakir itu bersama-sama”


- Sabda Nabi Muhammad SAW seperti yang tersebut di dalam Hikayat Raja-raja Pasai


Bayangkan menulis sebuah buku, buku pertama seumur hidup dalam keadaan amat tertekan setelah lebih 3 tahun tidak bekerja dan tidak memiliki apa-apa sumber pendapatan... Dalam keadaan terpisah daripada keluarga, anak dan isteri... Terasing juga daripada rakan-rakan malah masyarakat umum akibat kekalutan hidup yang sedang dihadapi.

Bayangkan menulis sebuah novel Melayu yang cuba menggali balik makna Melayu itu sendiri sedangkan penulis tidak pernah pun membuat apa-apa penulisan dalam bahasa itu kecuali untuk karangan di sekolah lantaran lebih fasih menulis dan bercakap dalam bahasa penjajah iaitu bahasa Inggeris daripada menggunakan bahasa ibunda sendiri...

Bayangkan, mengupas sejarah Melayu yang hilang malah cuba menghuraikan permasalahan umat Islam zaman berzaman seperti konflik Sunni-Syiah dan mencari jalan tengah sambil menyentuh mutiara ilmu keTuhanan dan cara mempraktikkannya dalam dunia sekarang di mana agama boleh dijual-beli... Sedangkan sang penulis sendiri pernah menjadi seorang yang agak ke Baratan, malu dilahirkan Melayu dan pernah hidup dalam dunia penuh kemaksiatan.

Bayangkan melakukan kesemuanya seorang diri, penulisan, penyuntingan, rekabentuk dan rekaletak buku sehingga ke grafik dalam keadaan dikhianati orang-orang yang dipercayai.

Buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti” mengupas banyak persoalan kehidupan melalui pengalaman sebenar penulis dalam memahami liku-liku kehidupan diri sendiri yang membawanya untuk mencari salasilah keturunan keluarga sehingga berjaya menemukan banyak cerita-cerita lama Melayu tersembunyi melibatkan raja-raja dan para wali. Maka terciptalah satu olahan kata-kata yang InsyaAllah boleh jadi berguna untuk semua.

Segala jerit-payah yang dilalui dinukilkan kembali dalam bentuk fiksyen bercampur travel-log melalui kacamata watak pengembara yang diberikan nama Muhammad al-Aminul Rasyid. Pencarian yang bermula dengan pengkajian salasilah diraja Perak membawa kaitan Istana Aceh hingga ke kerajaan lama Samudera-Pasai malah memutar masa 1,200 tahun ke belakang untuk meliputi kerajaan Perlak yang pernah diperintah para Ahlul Bait anak cucu Nabi. Turut terkait adalah jurai keturunan cucu sulung Rasulullah SAW iaitu Saidina Hassan... Termasuk juga keturunan raja para wali, Sheikh Abdul Qadir al-Jilani yang tersembunyi!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan