Ahad, September 23, 2007

Apa ada kat makam Tok Temong...

Gambar Sungai Perak dilihat daripada tebing selepas menuruni tangga di tepi makam Tok Temong, Kuala Kangsar, Perak...

Allah! Ingatkan mahu berehat setelah semalaman menghadap komputer, belum pun tidur malam setakat ini... Ingatkan selepas membuat beberapa posting dalam blogspot-blogspot saya selesailah satu bab tetapi ternyata saya masih gelisah. Ada sesuatu yang perlu diluahkan. Bila dilihat balik, rupa-rupanya posting mengenai makam Sheikh Abdul Qadir al-Jilani tadi adalah posting ke 180 untuk blogspot ini. Nombor itu terasa macam tergantung pula... Maka biarlah saya buat posting ini pula, posting ke 181 ya...



Setelah selesai melawat makam Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Kuala Kangsar, kami pun pergi ke Bukit Chandan... Pusing-pusing di Kampung Padang Changkat yang terletak di belakang Istana Iskandariah, sempat singgah ke makam Maharajela Pancung Tak Bertanya pertama Perak, Daeng Selili yang hidup semasa Sultan ke 13 Perak, Sultan Muzaffar Shah III memerintah abad ke 18. Kemudian baru masuk ke makam diraja Perak di sebelah Masjid Ubudiyah.
Selesai ini baru kami ke destinasi seterusnya, makam Tok Temong, seorang pembesar wanita yang dikatakan hidup semasa zaman Sultan Muzaffar Shah I menjadi raja pertama Perak 1528.
Untuk pengetahuan, saya sudah bertandang ke makam ini lebih 5 kali tapi inilah kali pertama saya melihat ia diletakkan kain tiga warna - Putih, kuning, hitam - warna-warna bendera Perak pada 3 sudut makam. Saya pun tak tahu sebab apa...

Perhatikan lagi kain-kain berwarna itu... Mengikut huraiannya, putih adalah warna Sultan Perak, kuning warna Raja Muda dan hitam warna Raja di Hilir. Ada apa-apa ke?


Ini adalah batu nesan Aceh yang menandai makam Tok Temong... Menurut cerita tempatan, Tok Temong telah ghaib tanpa kesan. Yang tertanam di makam cuma tongkatnya sahaja.

Adapun mengikut adat-istiadat diraja Perak, seorang Sultan yang sedang ditabalkan mesti menziarahi makam Tok Temong terlebih dahulu sebelum menghilir Sungai Perak dengan perahu besar yang dipanggil Balai Gambang lalu menziarahi makam Sultan-sultan tertentu. Acara ini tamat di Beting Beras Basah, Kuala Sungai Perak. Cukuplah cerita ya...


Ini adalah gambar tepian Sungai Perak bersebelahan makam Tok Temong yang diambil untuk suka-suka... Bolehlah digunakan untuk menutup cerita. Sekian! :]

Makam Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Kuala Kangsar, Perak?


Gambar lama motosikal besar saya di hadapan pintu sebuah empangan di Kelantan sebagai penghias dan pembuka cerita, kalau tak salah ingatan Empangan Pergau. Semasa itu penghujung 1997, saya sedang mengembara seorang diri menunggang motosikal selama sebulan mengelilingi Semenanjung Malaysia...

Beberapa tahun lepas saya pernah mendapat satu mimpi... Ketika sedang menunggang motosikal besar kesayangan menghala ke Kuala Kangsar, saya sampai ke sebuah selekoh menghampiri bandar lalu ternampak papan-tanda kayu besar dengan tulisan "Makam Sheikh Abdul Qadir al-Jilani" terpapar jelas. Terperanjat saya melihat itu malah saya masih lagi terperanjat besar apabila terjaga daripada tidur! Mana boleh makam Sheikh Abdul Qadir al-Jilani berada di Kuala Kangsar? Sedangkan Sultanul Awliya atau raja para wali itu diketahui wafat sekitar 1166 Masihi di Baghdad dan dikebumikan di sana.
Beberapa tahun kemudian iaitu 2006 saya telah pergi ke Kamunting untuk mencari Makam Bidan Susu Lanjut, seorang watak wanita legenda yang dikira keramat oleh mereka yang mengetahui. Sedikit ceritanya telah dinukilkan di dalam blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH dengan tajuk Perak trip of September 2006... A look at the tombs... . Kebetulan pula saya sempat bertemu dengan seorang waris Bidan Susu Lanjut dan berkenal-kenalan. Dalam bercerita macam-macam perkara daripada hal ehwal Ahlul Bait anak cucu keturunan Nabi sampai ke perjuangan akhir zaman memartabatkan Islam, terkeluarlah cerita tentang Sheikh Abdul Qadir al-Jilani.
Sebenarnya saya setakat memberitahu bahawa menurut kajian peribadi saya, Sultanul Awliya itu ada meninggalkan ramai keturunan di Nusantara. Hamba Allah ini pula boleh menambah, berhampiran bandar diraja Kuala Kangsar terdapat sebuah makam Sheikh Abdul Qadir al-Jilani! Kalau begitu siapa pula yang di makamkan di Baghdad? Pemuda ini tersenyum sahaja...
"Yang di Kuala Kangsar itu adalah makam persinggahan baginda!" katanya. Jadi wali besar ini pernah singgah di Perak... Itulah ceritanya!
Sheikh Abdul Qadir al-Jilani memang diketahui pernah sampai di Tanah Melayu terutama di Aceh dan Kedah sehingga naik ke Gunung Jerai. Tapi inilah kali pertama saya dapat tahu baginda pernah pergi ke Perak malah meninggalkan sebuah makam!
Cucu (atau cicit, mungkin piut) Bidan Susu Lanjut ini memberitahu makam itu terletak di jalan lama Taiping ke Kuala Kangsar... Hmm... Tiba-tiba teringat posting yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dengan tajuk Taiping to Kuala Kangsar... A dangerous look at Malaysian history? sebelum bersahur tadi. Silalah jenguk... Jangan lupa juga membaca 2 cerita yang dibuat sebelum itu, Gunung Semanggol... The threat from the mountains dan
From Kedah to Perak... The show must go on! .
Hamba Allah ini cuba menerangkan lokasi makam itu secara terperinci tetapi ketika itu saya terasa penat dan malas hendak menghafal. Mungkin kerana terdapat banyak lagi tempat yang perlu dilawati... Jika saya menghafal, takut terasa wajib singgah sedangkan memang saya kepenatan ketika itu kerana sudah berhari-hari hari keluar mengembara naik bas, hitchiking tumpang kenderaan orang dan berjalan kaki berbatu-batu.
"Tak mengapalah," kata pemuda ini. "Tempat inipun kalau dicari belum tentu berjumpa. Tapi kalau dah rezeki kita, tak cari pun akan terserempak."
Petang itu, saya bergerak daripada Taiping ke Kuala Kangsar menaiki bas. Dalam pada itulah timbul rasa mahu mencari makam yang dikatakan terletak di tepi jalanraya itu...
Sepanjang perjalanan, saya cuba mencari-cari dengan melihat ke luar tingkap bas tetapi tak berjumpa... Tak sangka pula akan terjumpa makam Sheikh Abdul Qadir al-Jilani ini dalam perjalanan jauh terbaru saya yang meliputi Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor, perjalanan yang dibuat lebih 2 bulan lepas!

Ketika itu 21 Julai 2007 saya baru sahaja sampai ke Perak setelah bermalam 4 hari di Pahang, 5 hari di Kelantan dan 6 hari di Kedah. Cerita ini ada saya huraikan dalam artikel From Kedah to Perak... The show must go on! . Petang itu saya pun menaiki bas daripada Taiping ke Kuala Kangsar melalui jalan lama dengan harapan dapat menemui makam itu...
Tidak seperti perjalanan tahun lepas, kali ini saya tidak mencari-cari. Saya cuma berehat bersandar di kerusi bas... Masuk malam hari, ketika melepasi sebuah surau, terus hati saya berkata ada petunjuk kedudukan makam di situ.
Keesokannya, saya telah menalifon seorang kawan yang berasal daripada Lenggong agar berjumpa saya di Kuala Kangsar. Tidak seperti perjalanan yang lepas-lepas di mana saya sanggup jalan berbatu-batu di bandar diraja itu untuk menziarahi beberapa tempat yang ada kaitan dengan keluarga, kali ini saya terasa amat penat lalu berharap agar kawan ini dapat menolong saya bergerak ke sana ke mari dengan kereta. Lagipun saya sedang membawa barangan lebih seperti kit promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" dan sudah pun berjalan kaki jauh ke pelbagat tempat dalam tempoh 2 minggu sebelumnya. Dengan kereta inilah kami mencari surau itu, surau yang gambarnya tertera di atas.

Ketika itu, sekitar jam 10 pagi, tiada siapa pun di surau itu. Bagaimana mahu mencari makam tersebut? Tidak ada papan-tanda atau apa-apa petunjuk nyata terdapat di sekitar.

Seketika itu juga saya mendapat gerak supaya masuk ke lorong sebelah surau lalu sampai lah ke rumah di atas. Tuan rumah itulah yang menunjukkan arah ke makam... Dia pun tak tahu makam siapa tapi dia tahu makam mana yang dimaksudkan kerana itulah satu-satunya makam yang berdekatan dan terletak di tepi jalan...


Dipendekkan cerita, Alhamdulillah, dapatlah kami menemui makam itu. Ternyata kedudukannya sangat dekat dengan bandar Kuala Kangsar malah terletak di dalam kawasan bandar!

Dalam pada itu, saya menggeleng-gelengkan kepala... Saya selalu melalui jalan ini apabila ke Kuala Kangsar, kenapa baru sekarang boleh sedar? Allah!


Terserlahlah tulisan "Makam Sheikh Abdul Kadir Waliyullah"... Tidak disebut Sheikh Abdul Qadir al-Jilani atau Abdul Qadir (bukan Kadir ya sebab huruf Arab nya ialah Qob, bukan Kaf)... Tetapi seperti pernah diingatkan keturunan Bidan Susu Lanjut di Kamunting tahun lepas, tak semua orang tahu makam itu milik Sultanul Awliya... Lagipun ia makam persinggahan, bukannya makam menanam badan. Bukankah perkataan makam itu sendiri bermaksud satu tempat, atau satu taraf?


Di sebelahnya pula terletak sebuah makam lain... Katanya makam Sheikh Abdul Ghani juga seorang waliyullah. Mungkin ada sesiapa di sini boleh menerangkan siapakah Sheikh Abdul Ghani ini. Sekian! :]