Jumaat, Disember 28, 2007

Salam daripada Mersing pula!

Gambar di dalam Masjid Jamek Kuala Lumpur yang diambil selepas solat Zuhur berjemaah pada hari Rabu minggu lepas sejurus sebelum mengambil bas untuk kembali ke Muar demi menyambut Aidil Adha bersama keluarga. Adapun pada masa itu, saya bercadang untuk mengambil beberapa gambar lagi agar dapat dimuatkan ke dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) yang ada menyentuh sedikit-sebanyak tentang senibina bangunan, rumah dan masjid yang menarik perhatian saya ketika mengembara...
Walaupun saya selalu singgah di masjid itu untuk bersolat, saya sudah lama tidak masuk ke ruang dalaman kerana lebih selesa bersolat di serambi. Baru saya sedar rupa-rupanya ada terpahat maklumat yang menyatakan masjid ini dibina sekitar 100 tahun lalu (lupa pula tahun sebenarnya)...
Selama ini saya sudah menceritakan dan mengenengahkan banyak gambar masjid-masjid di seluruh tanah-air. Ternyata saya terlupa untuk bercerita tentang Masjid Jamek Kuala Lumpur, masjid utama di daerah saya bermastautin kini!
Sayangnya, kamera digital saya ketika itu kehabisan bateri. Maka tak dapatlah saya membuat posting tentang masjid ini buat seketika....


Assalamualaikum... Setelah meluahkan apa yang patut termasuk kata-kata di posting tadi bertajuk Laptop aku kena attack dengan virus Indon daa...! baru saya boleh meneruskan cerita.
Adapun seperti disebut dalam posting itu, saya sebenarnya bercadang untuk membuat beberapa posting baru di blogspot-blogspot saya... Gambar-gambar yang mahu digunakan adalah gambar-gambar yang diambil di Muar minggu lepas termasuk gambar-gambar di tapak Kota Buruk yang pernah didirikan Parameswara sebelum membuka Melaka 600 tahun lalu. Tetapi proses ini terbantut kerana gangguan disebabkan virus tadi...
Hmm... Memandangkan beberapa keping gambar dapat dimasukkan ke pen-drive tanpa gangguan virus (baca Laptop aku kena attack dengan virus Indon daa...! untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku) mungkin juga saya akan membuat posting berkenaan Kota Buruk ini sebentar lagi jika sempat... Tapi di dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH ya.. Insyaallah.
OK... Berbalik pada tajuk posting ini sendiri. "Salam daripada Mersing pula!"...
Ya, saya kini berada di Mersing, Johor... Bandar utama negeri Johor di Pantai Timur dan tempat untuk berlepas ke pulau-pulau menarik dalam negeri ini di perairan Laut Cina Selatan terutamanya Pulau Tioman.
Adapun tidak terfikir langsung saya akan menjejakkan kaki ke bandar ini dalam masa terdekat. Kali terakhir saya sampai di sini (kalau tak salah ingatan) adalah pada tahun 1997... Ketika mengembara secara solo menaiki motosikal besar mengelilingi seluruh Semenanjung selama sebulan!
Semasa itu, saya baru setahun bekerja sebagai wartawan di The New Straits Times dan baru itulah saya dibenarkan mengambil cuti. Dan ketika itu, saya baru 6 bulan memiliki motosikal baru Yamaha Virago 535cc... Lalu peluang itu digunakan untuk mengembara jauh, sempat naik ke Cameron Highlands, pusing di Perak, pergi ke Pulau Pinang, masuk Kedah pergi pula ke Perlis lalu menaiki feri ke Langkawi dengan meninggalkan motosikal di jeti Kuala Perlis. Kemudian baru saya kembali menunggang motosikal pergi ke sampai ke sempadan Perlis/ Thailand yang bertemu dengan Selat Melaka sebelum bergerak hingga ke Tasik Pedu.
Seterusnya saya masuk ke Kelantan di mana saya bermalam di Rantau Panjang pada hari pertama bulan Ramadhan tahun itu. Seterusnya sempat pergi ke Pengkalan Kubur sehingga berjumpa sempadan negeri Kelantan/ Thailand yag bertemu di Laut Cina Selatan...
Eh... Melalut pula bercerita tentang perjalanan lalu. Pendek-kata, semasa itu saya sempat pergi ke keempat-empat penjuru Semenanjung termasuk penjuru Tenggara di Teluk Ramunia (ingat masa sekolah dahulu ada belajar, Teluk Ramunia tempat galian bauksit) dalam daerah Kota Tinggi, Johor dan Tanjung Piai di Pontian, tempat yang dikatakan hujung paling ke selatan bagi tanah besar Asia!
OK... Berbalik pada cerita sekarang. Ah! Baru teringat... Selepas perjalanan motosikal dahulu, saya pernah sekali sampai ke Mersing iaitu sekitar tahun 2001... Sebagai seorang wartawan sukan yang meliputi acara jelajah berbasikal seluruh Semenanjung Malaysian anjuran Polis Diraja Malaysia.
Adapun, sejak kebelakangan ini, timbul kembali rasa ingin mengembara jauh tapi tidak pasti ke mana lebih-lebih lagi setelah buku ketiga saya "Sirih Pulang ke Gagang?" atau BKA III yang melengkapkan siri buku "Berpetualang ke Aceh" selamat menemui khalayak ramai. Antara tempat-tempat yang bermain di fikiran adalah Kota Bahru di Kelantan dan Kampung Pulau Manis di Terengganu. Apapun, saya rasa perlu kembali ke kampung ibu di Muar, Johor untuk menyambut perayaan Aidil Adha. Lagipun, beberapa hari sebelum itu saya ada mendapat satu mimpi tertentu melibatkan satu tempat di daerah kelahiran saya!
Sebelum kembali ke Muar juga, seorang kawan yang duduk di Kuala Lumpur telah menalifon mengajak untuk berjumpa. Ketika itu saya sedang dalam perjalanan ke Pahang dan jadual perjalanan beberapa hari seterusnya agak penuh. Oleh kerana kawan ini selalu ke Kluang, Johor kerana ada membuat kerja di sana, saya pun mencadangkan agar kita berjumpa di bandar itu selepas Aidil Adha nanti. Lagipun saya pernah duduk lama di sana, 1983-1986 semasa menuntut di Sekolah Menengah Sains Johor... Dan kali terakhir saya di bandar itu adalah sekitar 2001, semasa melaporkan acara jelajah basikal anjuran pihak polis seperti yang disebut di atas...
Setelah selesai Aidil Adha serta melawat beberapa tempat tertentu di Muar, sampailah masa yang sesuai untuk ke Kluang. Cadang saya, selepas itu saya akan mengambil keretapi, samada untuk kembali terus ke Kuala Lumpur atau menghala ke Pantai Timur... Tengoklah, apa isyarat perjalanan yang saya dapat nanti.
Adapun hari saya hendak bergerak itu adalah hari Isnin. Memandangkan Batu Pahat terletak di antara perjalanan Muar ke Kluang (kalau mengikut jalan biasa ya, bukannya highway...), saya pun bercadang hendak ke sana. Lagipun ada orang berpesan supaya saya menziarahi Habib Ali, seorang tua berumur 90 tahun yang dikatakan bertaraf wali di sana dan saya pun telah beberapa kali menziarahinya... Orang-orang daripada Singapura pun selalu menziarahinya malah orang-orang daripada Yaman di Semenanjung Tanah Arab juga ramai orang-orang dari seluruh dunia yang menghormati dan menyanjung tinggi para Ahlul Bait anak cucu Nabi turut menziarahi orang tua ini!
Allah! Dah jadi panjang pula saya bercerita. Baiklah... Dipendekkan cerita hari itu saya sempat menaiki Gunung Banang di Batu Pahat, juga ke Pantai Minyak Beku untuk melihat Perigi Batu Pahat yang dipahat oleh tentera Siam ketika berperang dengan Melaka 600 tahun lalu sebelum bermalam di rumah Habib Ali. Keesokannya baru saya menghubungi kawan dari Kuala Lumpur yang kadang-kadang bekerja di Kluang.
Ketika itu kawan tersebut sedang berada di Danga Bay, Johor Bahru dan perlu kembali ke Kuala Lumpur malam itu juga, Khamis nanti baru ada di Kluang. Maka itu saya membuat keputusan untuk ke berjalan ke Pontian, sempat singgah di Muzium Bugis dan bercerita beberapa perkara peribadi dengan pemilik muzium itu. Seterusnya saya bercadang untuk ke Johor Bahru tetapi perubahan keadaan membuat saya bermalam dahulu di bandar Pontian sebelum pergi ke ibunegeri Johor itu.
Di Johor Bahru, saya telah menyewa bilik di hotel murah lalu mendapat bilik nombor 44. Saya merasakan nombor itu cuba memberitahu sesuatu... Dan memang beberapa ketika kemudian saya asyik ternampak nombor 4 di merata tempat.... Salah satunya, saya ada terjumpa motor (atau kereta? lupa pula) yang ada plet nombor 4444.
Saya singgah di MPH City Square untuk melihat peta Johor. Ternyata kedai itu adalah menjual BKA III, alhamdulillah!
Sebenarnya saya kurang pasti ke mana saya harus mengembara lagi selepas itu. Yang saya tahu, apapun saya perlu ke Kluang kerana satu... Saya telah menyatakan mahu berjumpa kawan tertentu di sana jika tidak ada halangan... Kedua, kerana saya sudah lama tidak ke sana sedangkan di situlah saya membesar memasuki alam remaja lebih 20 tahun lalu!
Saya pun membelek-membelek peta Johor yang terdapat di kedai buku MPH... Sambil mengkaji perjalanan yang telah dibuat beberapa hari kebelakangan, saya cuba meneliti jalan-jalan lain dengan harapan gerak hati ini akan memberi petunjuk seterusnya.
Oh... Sebenarnya saya ada terfikir untuk pergi ke Kota Tinggi untuk menziarahi makam-makam kerabat diraja lama terutama yang berkaitan dengan kerajaan Melaka lama di sana. Selama ini saya lebih berat kepada jurai keSultanan Melaka di Perak. Mungkin sudah sampai masanya saya menyambung wasilah kepada pecahan di Johor pula...
Kemudian saya membalikkan peta yang dipegang... Terserlahlah peta 8 bandar-bandar utama yang mewakili 8 daerah utama di Johor... Dengan peta bandar Muar di sudut atas kiri.
Apabila dilihat melawan arah jam, ternyata terdapat satu aturan dengan Muar di ikuti Batu Pahat, Pontian seterusnya Johor Bahru... Masyaallah! Ini sama gilirannya dengan bandar-bandar yang telah saya singgah dan tidur di Johor dalam perjalanan jauh kali ini! Dan Johor Bahru adalah bandar ke 4 dalam perjalanan ini... Ada lagi 4 bandar kalau mengikut peta ini... 4 dan 4? Apakah ini makna 44 yang tersirat di sebalik nombor bilik hotel saya di Johor Bahru?
Lebih menarik lagi, mengikut aturan lawan arah jam ini, bandar seterusnya adalah Kota Tinggi! Maka memang patutlah saya ke Kota Tinggi. Cuma saya ada terfikir apakah harus ke Mersing selepas Kota Tinggi. Atau perlu terus ke Kluang?
Dipendekkan cerita, saya pun ke Kota Tinggi, sempat menziarahi Makam Laksamana Bentan, Makam Sultan Mahmud mangkat dijulang dan Makam Bendahara Tun Habib Padang Saujana, moyang kepada Sultan-sultan Johor, Pahang dan Terengganu sekarang sebelum bermalam di rumah seorang kenalan baru. Esoknya saya pun ke Mersing, sempat bersolat Jumaat buat pertama kalinya di masjid jameknya yang terletak di atas bukit.
Oh... Sahaja nak mengadu agaknya... Bibir depan atas saya sedang bengkak dengan sedikit darah juga di gusi dan bahagian hidung yang tercalar. Inilah bahana tadi saya memanjat pagar batu masjid untuk mengambil gambar-gambar yang dirasakan menarik terutama gambar-gambar pulau-pulau di perairan Mersing. Dalam seronok berjalan, saya terlupa yang badan saya yang sedikit demam-demam sebenarnya agak kepenatan sehingga langkah saya mula sumbang.
Selesai mengambil gambar, saya melompat ke bawah. Ketika itu, beg sandang kecil yang mengandungi komputer laptop (beg besar dan sebuah beg lain telah ditinggalkan di hotel awal sebelumnya) pun bergoncang lalu saya menggunakan kedua-dua tangan yang ditarik ke belakang untuk mengstabilkan beg itu kembali...
Sambil itu kaki saya melangkah untuk melompat naik ke satu aras bahagian jalan dan tempat letak kereta bertar di hadapan masjid. Ketika itulah saya tergelincir dan buat pertama kali seumur hidup, berdebuk saya jatuh dengan muka di bahagian hidung dan mulut menyentuh tar terlebih dahulu sebelum bahagian lain jatuh! Allah! Sakit sungguh... Langsung tak sempat bertongkatkan tangan mahupun siku. Selalunya kalau terjatuh, saya sempat mengalih tubuh badan supaya mana-mana bahagian yang sensitif terlindung dan selamat. Kali ini langsung tidak!
Tetapi dalam kesakitan sehingga saya terduduk lama di tepi jalan berhadapan serambi masjid memikirkan apa yang berlaku, saya cuma berzikir subhanallah dan alhamdulillah sahaja! Alhamdulillah, ini bermakna sudah ada peningkatan dalam perjalanan musyahadah saya di mana saya bersyukur dengan kesakitan ini... Bersyukur kerana mungkin ia adalah satu kesakitan kecil berbanding dengan bala-bala yang lebih besar yang mungkin sahaja boleh berlaku bila-bila masa sahaja pada saya tetapi telah dijauhi Allah. Maklumlah, saya dah jauh berjalan dan dilindungi Allah. Tentu kurang sopan kalau timbul walau sedikit pun rasa kesal oleh kerana diberi sedikit kesakitan sedangkan selama ini Allah telah menjaga saya dalam banyak keadaan yang lebih mencabar. Dan syukur juga kerana saya dapat mengingati Allah, bukan keluar maki hamun atau marah-marah.
Mungkin juga saya kena menerima kesakitan ini akibat tidak mempedulikan keadaan.... Terus sahaja berjalan-jalan mengambil gambar di atas tembok masjid ketika imam sedang membaca khutbah kemudian melompat ke bawah dan terus bergerak melangkah tanpa berhenti untuk memerhatikan keadaan sekeliling sehingga timbul sedikit riak akibat langkah saya yang dirasakan selalunya mantap... Siapa tahu, bila-bila masa sahaja Allah boleh membuat langkah kita jadi sumbang sehingga jatuh berdebab tanpa sebab?
OK lah... Saya rasa cukuplah bercerita kali ini... Internet Cafe pun akan tutup sebentar lagi. Selamat ya...

p/s:
Lupa hendak beritahu. Adapun sesi temuramah bersama saudara Syed Munawar untuk program Resensi di Selamat Pagi Malaysia, RTM 1 yang dibuat sebelum Hari Raya Aidilfiri dahulu telah pun ditayangkan pada pagi 28 November.
Pihak RTM tidak memaklumkan bila ia akan terbit walaupun saya sudah berkali bertanya. Tak mengapa. Saya faham, mereka sibuk... Tidak ada masa mahu menjaga semua ini. Sama juga semasa saya menjadi wartawan dahulu... Orang selalu bertanya bilakah akan keluar sesuatu artikel melibatkan pihak mereka sedangkan ini bergantung pada sidang pengarang dan lain-lain, bukannya di tangan saya...
Lalu saya melupakan langsung sesi temuramah ini dengan niat jika Allah mahu saya melihatnya, saya tetap akan dapat menontonnya tanpa perlu dirancang atau menunggu-nunggu. Lalu Alhamdulillah, 2 hari selepas harijadi ke 37 saya pada 26 November 2007 saya telah terbangun tidur dalam keadaan lebih segar. Selalunya, saya bangun Subuh kemudian tidur balik sehingga selepas jam 8 pagi tapi kali ini saya bangun dan kebetulan makan sarapan di hadapan TV.
OK... Cukuplah. Internet Cafe mahu tutup ni. Selamat ya... :]

3 ulasan:

  1. sorilah abang, aku gelak sakan tadi. terbayang aku macam mana abang jatuh tadi (walaupun cuma membaca ajer). Tuler sapa suruh tak duduk masa imam baca khutbah? kan dah cash dah. Jgn mare. keh keh keh. Malunya.. mesti ramai orang tengok, yeler..lagaknya macho, alih2 bedebup hancooor. saborlah yer. nanti mai sungai siput wa blanja makan, pagi petang malam. ok.slamat!

    BalasPadam
  2. Hehe... Memang memalukan. Tapi bila fikir bab malu, ertinya ego aku masih kuat le tu... Kena tepis buat tak tau... Lagipun memang sakit wooo... Tu yang aku terduduk lama sambil berzikir nak bagi cool down sakit tuh...
    Cuma yang peliknya gusi aku sakit, kepala and badan sakit (sakit penat mengembara campur sakit jatuh ngan kepala bergegar) tapi luka calar kat hidup ngan atas bibir rasa panas nyaman semacam... Sampai sekarang dok rasa cam ni. Pelik betul!

    BalasPadam
  3. Apa da... Bukan calar kat hidup le, kat hidung...

    p/s: Aku dok jalan kat bandar Mersing ni semua orang pelik tengok bibir aku bengkak besar ngan luka n calar tapi aku tetap dok berjalan layan makan walaupun siksa jugak le nak makan senget mulut nak elakkan tempat yang sakit.
    Satu budak pompuan tengok aku dia pun tak tahan... Dia kata tengok muka aku pun dia dah boleh terasa sakit. Bayangkan aku punya sakit pulak macamana sedangkan aku dok buat dek dan masih perlu mengembara beberapa hari lagi dengan bawak beg-beg berat jalan kaki and turun-naik public transport.
    Malam tadi pulak budak-budak polis plainclothe kat satu kedai makan tanya aku kena accident... Tak, aku jawab... Aku terjatuh pas tu senyum je. Nak buat camana... Tuhan dah bagi aku jatuh... Aku dah mengaku Esa kan Tuhan. Takkan aku nak marah Tuhan... Karang lagi teruk plak aku kena karate.
    Lagipun ini bukan soal bala atau karate... Ini le salah satu praktis dalam ilmu nak mendapatkan Ikhlas... Allah punca segala sesuatu. Hak dia nak bagi aku jadi camana... Selagi boleh tahan, tahan le... Kalau boleh bersyukur lagi cantik. Kalau tak tahan, baru le mengadu. Itupun malu wooo... Mengaku nak bawak tawakal khusul wal khusus tapi masih mempersoalkan tindakan Tuhan terhadap kita. Tak elok tu...
    Apa nak buat, kita cuma makhluk yang lemah.
    Hmm... Panjang plak aku cerita. Insyaallah le kalau aku pegi Sungai Siput aku singgah. Ada siput sedut ke? Hehe! :]

    BalasPadam