Selasa, November 14, 2006

Menunggu masa untuk bersinar!

Buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari diri dan erti" ada menyertakan watak perempuan bernama Nur, orang yang selalu menyokong watak utama iaitu Muhammad Al-Aminul Rasyid dalam susah dan senang. Kebetulan watak Nur muncul dalam bab mengenai Keramat Kuala Bidor, maka biarlah kisah Nur ini disiarkan di sini untuk kesinambungan cerita...
Hmm... Rasanya elok disambung terus daripada perenggan terakhir dalam posting "Keramat Kuala Bidor" di blogspot ini... Biar nampak bagaimana pentingnya watak Nur lebih-lebih lagi apabila Rasyid mengalami pelbagai masalah yang menekan jiwanya... Bacalah!

Selepas bermalam tiga hari di rumah nenek, pemuda itupun meminta diri lalu bergegas ke Perak untuk mencari makam hamba Allah itu yang terletak terpencil di dalam sebuah ladang kepala sawit. Kemudian dia mengikut gerak hati berkelana sekeliling negeri lalu melawat mana-mana makam-makam lama yang terasa ingin diziarahi. Dalam keadaan tidak dirancang itulah Rasyid terjumpa makam Sultan ke-2 Perak, Sultan Mansur Shah (memerintah 1549-1577), makam Sultan ke-10, Sultan Muzaffar Shah II (1636-1654) dan makam seorang pembesar perempuan yang dikenali sebagai Tok Temong, semuanya mempunyai kaitan dengan Aceh.
Tetapi makam Sultan Mansur lebih merupakan sebatang batu nesan yang didirikan di dalam sebuah masjid untuk menandakan tempatnya ghaib semasa bersolat Jumaat dahulu. Apapun makam-makam ini mengandungi cerita-cerita lama yang akan menjadi sebahagian daripada kepingan-kepingan jigsaw puzzle untuk memahami dirinya sendiri nanti...
Sayangnya, perbualan dengan nenek itu adalah perbualan dengan Rasyid yang terakhir. Tidak sampai tiga bulan kemudian, nenek jatuh sakit, tidak mampu berkata-kata, setakat boleh memberi isyarat dengan tangan dan mata... Lima bulan selepas itu, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, dalam pangkuan Rasyid ketika sedang dibawa kembali ke rumah dari hospital dengan ambulans. Innalillaha innalihiraji’un. Al Fatihah untuk nenek. Semoga Allah SWT sentiasa mencucuri rahmat ke atas rohnya. (Ampun Nek, selama ini Rasyid tidak ambil tahu banyak perkara...)
Pemergian nenek meninggalkan rasa terkilan yang amat sangat. Masih banyak persoalan yang belum terjawab dan neneklah ahli keluarga yang sebenarnya paling memahami apa yang sedang pemuda ini alami. Saudara-mara lain masih lagi teraba-raba menduga apakah yang sebenarnya ingin dicari pemuda ini... Sudahlah ini berlaku selepas lebih enam bulan dia tidak bekerja, dipaksa berhenti atas sebab-sebab tertentu. Ramai pula termasuk isteri sendiri menganggapnya sudah hilang akal ataupun gila, sibuk merantau ke sana ke mari melawat makam-makam purba mencari cerita-cerita lama sehingga sanggup meninggalkan segala-galanya...
Tahun 2002 adalah satu tempoh yang amat mencengkam jiwa. Tiga bulan selepas nenek pergi, adik lelaki bongsu Rasyid pula maut akibat kemalangan jalan raya. Ini berlaku sehari selepas isteri pemuda itu melahirkan anak pertama mereka. Tidak cukup itu, seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri, ibu kepada bondanya, orang yang dipanggil “Mak” kerana menjaga dan membesarkannya sejak kecil turut serta menyambut panggilan Ilahi.
Ketika itu, anak muda yang mula kelihatan seperti orang sasau dengan penampilan tidak terurus akibat terlalu taksub mengembara mencari jawaban di samping memendam rasa sedih yang mencengkam jiwa akibat musibah yang kunjung tidak putus baru setakat tahu bahawa Keramat Kuala Bidor itu mempunyai kaitan dengan Sultan Malikus Salih yang mengasaskan kerajaan Samudera Pasai abad ke 13 Masihi. Tetapi hamba Allah ini bukan berasal dari kerajaan tersebut. Kerana beliau hidup hampir 1,000 tahun lalu! Masih belum terjawab persoalan yang nenek kemukakan dahulu...
Awal tahun 2003, selepas lebih setahun mencari dan mengembara lagi, barulah dia faham maksud nenek. Mengapa beliau menyebut Keramat Kuala Bidor berasal dari keturunan orang baik-baik, dan siapakah orang baik-baik yang dimaksudkan... Rasyid juga dapat tahu hamba Allah ini berasal daripada sebuah keSultanan purba yang telah wujud 400 tahun lebih dahulu daripada Samudera Pasai dan 600 tahun sebelum Melaka iaitu Perlak. Pencarian ini telah memperkenalkannya kepada sejarah keSultanan Perlak yang diasaskan tahun 840 Masihi. Lalu terbukalah kaitannya dengan perjuangan Samudera Pasai untuk menegakkan syiar Islam di bumi Timur, perjuangan yang akan diwarisi Melaka seterusnya Aceh nanti.
Lebih penting lagi, sejarah penubuhan Perlak berkait pula dengan pergolakan empayar Islam di Timur Tengah melibatkan kerajaan-kerajaan Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah. Dari sinilah, Rasyid mula mengenali siapakah itu Imam Ja’afar Al-Sadiq yang sangat diagung-agungkan pengikut Syiah, juga tokoh-tokoh lama Islam seperti Muhammad Nafs Al-Zakiyah yang pernah mewarnai persada politik Islam di Baghdad.
Lalu anak muda ini dibawa menelusuri perjuangan anak cucu Rasulullah SAW, para Ahlul Bait yang penuh ranjau dan duri, lebih-lebih lagi kisah suka-duka keturunan cucu sulung baginda iaitu Saidina Hassan, kisah perjuangan yang entah mengapa, banyak digelapkan sejarah lalu hilang ditelan zaman. Dan sekarang Rasyid mahu ia didedahkan kerana pemuda ini percaya ia berkaitan dengan kesejahteraan umat Islam juga...
Keturunan Saidina Hassan diketahui ramai terdapat di Afrika Utara terutama sekitar Morokko ataupun Maghribi. Jurai-jurai tertentu pula dikenali sebagai para penguasa berwibawa seperti Al-Idrisi yang memerintah Maghribi dan keturunan Qitada yang menjadi para Sharif atau Raja-raja Mekah dan Madinah selama 800 tahun, sebelum digulingkan keluarga Bani Saud yang menubuhkan kerajaan Saudi Arabia tahun 1920an.
Dari keturunan Sharif ini juga terbit Raja-raja Jordan sampai sekarang serta Raja-raja Iraq sebelum negara itu menjadi Republik. Tetapi tidak ramai yang menyedari bahawa anak cucu Saidina Hassan juga wujud memainkan peranan membela ummah di bumi Timur ini.
Untuk pengetahuan, satu-satunya keSultanan Melayu yang masih kekal dan diketahui berasal dari keturunan ini adalah keSultanan Brunei. Kesinambungan keturunan Saidina Hassan ini diteruskan melalui Sharif Ali, bekas Raja Mekah yang meninggalkan Tanah Arab kerana kecewa dengan perang saudara merebut tampuk kekuasaan Mekah 600 tahun lalu.
Dari Saidina Hassan lah bermula kisah suka duka keluarga yang terbuang dari takhta, kisah berulang-ulang yang terpaksa dilalui anak-cucunya zaman berzaman. Demi kesatuan ummah, baginda melepaskan takhta keKhalifahan kepada Muawiyah bin Abu Sufyan. Kerajaan Bani Umaiyah pun diasaskan sedangkan pengorbanan baginda dilupakan!

————————

“Masyarakat umum lebih mengenali perjuangan Saidina Hussein yang gugur syahid di Karbala menentang kekejaman Yazid anak Muawiyah,” kata Rasyid kepada Nur, satu-satunya teman setia yang sedia menyokongnya dalam susah dan senang. Wanita yang sering menjadi tempatnya mengadu masalah terutama dua tahun kebelakangan.
“Mereka lebih melihat keberanian dan kehebatan Saidina Hussein yang turun ke medan perang dengan angkatan kecil sekitar 70 orang melawan beribu orang musuh tetapi tidak mampu menggapai bahawa Saidina Hassan mengalah kepada Muawiyah demi menyelamatkan ummah daripada terus berbalah. Lalu ada pihak termasuk penyokong lamanya sendiri dengan biadab menuduh cucu sulung Rasulullah SAW itu pengecut! Walhal hakikatnya, tindakan baginda itu lebih berani kerana sanggup kehilangan nama baiknya, sanggup dituduh dayus asalkan rakyat bahagia.”
Nur mendengar penuh simpati. Walaupun wanita cantik bertubuh langsing ini bukannya seorang yang berpelajaran tinggi, sedikit sebanyak dia dapat menghayati apa yang ingin diketengahkan Rasyid. Dapat menyelami jiwanya yang lain dari yang lain serta hati nuraninya yang sensitif...
“Saya percaya cakap awak,” kata Nur lembut. “Saya tahu banyak perkara awak hendak beritahu orang because you want them to know the truth. Tetapi tidak semua manusia mahu memberi perhatian terhadap apa yang awak ingin kemukakan sebab awak sedang susah. Mereka tengok pada luaran sahaja, bukannya dalaman awak. Agaknya kalau orang politik kaya, ada kuasa yang cakap semua ini, mesti orang dah beri perhatian walaupun hakikatnya dia penipu besar, penjual maruah agama, bangsa dan negara...”
“Awak tahu kenapa saya rasa marahkan?” Rasyid meminta kepastian.
“Of course I do!” jawab temannya. “I can feel your frustration! Awak sanggup hilang segalanya because you always stick to your principles no matter what. Saya tahu awak berjiwa perjuangan, selalu teraniaya because of what you believe in.”
“It’s OK,” sambung pemuda itu balik. “Saya bukan hendak menagih simpati ataupun balasan. Tak kisah pun orang kata saya gila atau mengarut. Yang penting mereka tahu cerita sebenar, faham apa yang terjadi kepada dunia ini, apa yang sudah berlaku kepada ummah dahulu dan sekarang.”
“Awak jangan risau,” Nur memberi sokongan. “Saya simpan dalam hati apa yang awak beritahu saya selama ini. Saya tahu sifat mulia Saidina Hassan yang lebih mementingkan kesejahteraan ummah daripada kesenangan diri sendiri wujud dalam diri awak. Saya faham jiwa awak!”
“Thanks a lot Nur for believing in me!” Rasyid membalas. Sedikit sebanyak, hatinya yang sering remuk kerana dugaan hidup merasa terhibur setiap kali menatap wajah wanita kesayangannya. Walaupun Nur adakalanya kelihatan garang dan berperangai tomboy mengalahkan lelaki, pemuda itu dapat melihat di sebalik semua ini ada satu kemanisan, ada cahaya terang menunggu masa sahaja untuk bersinar menyerlahkan keperibadiannya yang sebenar. Permata yang terpendam. Namanya pun Nur... Manis!
“Agaknya saya terikut cara hidup keluarga Saidina Hassan kot?” sambung pemuda itu. “Lebih suka hidup low-profile di sebalik bayangan orang ramai. Tidak mahu dikenali apalagi sebagai anak cucu Nabi. Biarlah anak cucu Saidina Hussein terus terserlah. Biar keturunan Saidina Hassan dituduh pengecut, disisih daripada kedudukan yang haq asalkan kesejahteraan ummah terjaga, tidak kiralah siapa yang memegang kuasa.”
Nur tersenyum simpul. Tahu lelaki yang dikaguminya itu berseloroh di celah serius. Sudah faham hati budinya yang luhur walaupun adakalanya dia agak nakal. “Nakal sahaja, bukannya jahat,” bisik hati kecilnya.
Gadis ini teringat perkenalan mereka di kota London 10 tahun lalu. Teringat dirinya ditegur Rasyid yang sedang berambut panjang melepasi bahu. Rugged dengan seluar jeans koyak di kepala lutut, t-shirt lusuh separuh lengan dan rantai kayu besar ala orang Asli Afrika meliliti lehernya.
“Is this seat taken?” pemuda itu membuka bicara, sopan. Terbayang wajah Rasyid dengan senyuman datang menuju meja makannya dengan knapsack besar tersandang di belakang. Dengan mata coklat tajam bersinar tidak berkerdip merenung tepat ke mukanya.
Nur tersenyum lagi. “Tak malu! Punyalah banyak tempat kosong, meja aku juga yang dituju.” bisik hatinya. Tetapi wanita menarik yang aktif bergiat dalam dunia seni tanahair ini memang mengharapkan pemuda itu datang. Memang ada niat hendak mengenalinya sejak terpandang penampilan unik pemuda itu muncul dari balik pintu masuk kantin tempatnya makan. “Boleh tahan cute,” getus hati kecilnya menahan malu.
Ketika itu, Nur berserta dua orang rakan perempuan sedang bercuti musim panas di ibukota Great Britain. Tergerak pula hendak menikmati masakan Melayu di Malaysia Hall, tempat pertemuan penuntut dan pekerja Malaysia yang mengandungi Malaysian Student Department. Macam dah janji nak berjumpa pula... Jodoh pertemuan di tangan Tuhan.
Lalu dia teringat hari-hari seterusnya. Makan tengahari udon dan sushi di restoran Jepun di Knight’s Bridge sebelum window shopping di Harrod’s. ‘Melalak’ sampai Subuh, diselang-seli sembang dan gelak ketawa di bawah rimbunan pepohon di Hyde Park dengan iringan petikan gitar Ovation Rasyid, gitar mahal semi-electric yang dicuri orang dua bulan kemudian ketika pemuda itu sedang nyenyak tidur di sebuah kawasan lapang di Amsterdam, Belanda semasa mula-mula mengembara hitchiking di Eropah dahulu. Katanya gitar itu hendak digunakan untuk bermain muzik di jalanan, untuk menampung perbelanjaan tetapi apa boleh buat, dah lesap...
Tetapi paling Nur tak dapat lupakan, ikut Rasyid ke Trafalgar Square, mercu tanda terkenal kota London. Lebih seronok lagi kerana mereka pergi berdua sahaja, kerana kawan-kawan Nur kata ada hal lain. Atau mereka sengaja beri peluang? Sahaja mahu Nur dan Rasyid jadi merpati dua sejoli, boleh lawan merpati-merpati lain yang banyak berterbangan?
Mula-mula biasalah, mereka setakat relaks makan ais krim, tengok orang ramai bersantai. Melihat burung merpati terbang beribu-beribu mengelilingi kawasan sebelum turun mematuk makanan dan biji-bijian yang dilemparkan orang. Adalah cakap-cakap sedikit. Segan-segan konon, malu-malu kucing... Yalah kali pertama dapat keluar dua orang...
Tiba-tiba datang angin gila si Rasyid. Terus ditariknya tangan Nur menuju salah sebuah air pancut cantik yang menghiasi mercu tanda kebanggaan wargakota London itu. Terus “menceburkan diri” ke dalam kolam. Habis basah kuyup pakaian wanita itu. Lepas itu berendam keliling kolam, siap dengan kuak dada, kuak kupu-kupu pun ada. Konon-konon berenanglah itu walhal airnya tidak sampai pun 3 kaki dalam. Seronok!
Pemuda itu pula memakai seluar pendek sahaja, santai bagai di tepian pantai. Awal-awal tadi semasa mula sampai ke Trafalgar Square, Rasyid sudah menyalin pakaian yang tersedia dalam knapsacknya. Katanya sebab panas... Sudah empat tahun duduk di England, sudah merasa semua empat musim. Hinggakan apabila masuk musim bunga, suhu baru meningkat ke 15 Celsius pun sudah terasa bahang. Inikan lagi musim panas, 30 Celsius ke atas. Lagipun ramai juga Mat Saleh keluar berlenggeng, tidak memakai baju dan ada dua tiga orang yang sama memakai seluar pendek. Tetapi kalau mandi dalam kolam di tempat pelancongan di tengah-tengah kota ini, siap beriya-iya berenang, Mat Saleh pun tak buat. Ini kerja budak-budak...
Rasyid tidak peduli semua itu. Ini kota London, dunia nafsu nafsi. Setakat pasangan “bercium-mulut” depan khalayak umum perkara biasa. Kalau di taman bunga, silap-silap ada orang “buat kerja” dalam semak. Cuma takut polis atau penjaga taman nampak. Boleh ditangkap, sebab buat indecent behaviour at public places. Bukan sebab langgar hukum Syariat...
Apapun, tidak ada siapa hendak marah kalau setakat mandi kolam di Trafalgar Square. Tinggal orang sahaja segan hendak buat. Rasyid pula seperti tidak tahu malu langsung, siap boleh memanjat naik air pancut yang tingginya 15 kaki, lepas itu duduk di atas muncung tempat air keluar, dialihkan pula air yang memancut itu dengan punggung untuk ‘menyerang’ orang-orang di bawah! Kemudian pemuda itu boleh menemani Nur berjalan kaki hampir 1 kilometer ke gedung barang-barang permainan Hamley’s di Regent Street dengan memakai tuala sahaja! Siap dengan knapsack di belakang, mana tidak orang kata dia gila? Tetapi adalah pakai seluar pendek di dalam. Takut juga tuala tercabut di tengah jalan...
“Woit... Ini apa sengih-sengih ni?”
Nur tersentak. Jauh rupanya rohnya mengembara, memutar masa melangkaui benua... 10 tahun lalu, 10,000km jauhnya...
“Ingat London heh...?” Rasyid menegur sambil melirik mata.
“Taklah! Ingat Abah dengan Umi. Tengah buat apa agaknya ya?” Nur cuba berdalih. Ingat orang tak tahu? Muka pun tersipu-sipu...
“Yalah tu. Ini ha... cuba awak baca apa yang saya tulis ni, OK ke tak...” Rasyid menghulurkan sebahagian print-out tulisannya mengenai Aceh.
Walaupun Nur bukan pakar penulisan, pemuda itu percaya kepada kejujuran dan keikhlasannya. Pada Rasyid, wanita itulah satu-satunya manusia yang dapat memahami dan menghargai jiwanya yang sebenar. Ketika orang lain menuduhnya tidak betul, gila, sudah hilang akal, buat kerja mengarut melawat makam-makam lama, Nur masih lagi mempercayai dan menyokongnya. Malah wanita inilah yang banyak mengembalikan semangat Rasyid yang hilang selepas tidak putus-putus dilanda dugaan demi dugaan hatta cemuhan daripada ahli keluarga sendiri...

————————

Memang keturunan Saidina Hussein jauh lebih terserlah, baik di sini mahupun di mana-mana. Sampai sekarang mereka boleh dikenali dengan gelaran Sayyid atau Syed, juga Habib untuk lelaki dan Sharifah untuk perempuan, meneruskan tradisi menjaga nasab dan nama baik keluarga yang dimulakan nenek moyang mereka yang ramai beranak pinak di Hadramaut, hujung semenanjung Arab.
Lalu para ulamak dan pendakwah dari golongan mereka sering disebut sebagai para peneraju, orang-orang yang bertanggungjawab menyebarkan agama Islam di Nusantara, para perintis yang diagung-agungkan dalam sejarah bumi sebelah Timur. Apakah anak cucu Saidina Hassan tidak pernah memainkan peranan? Apakah mereka tidak pernah memikul amanah?

“OKlah tu!” Nur memberi penilaian ikhlas. “Awak ada natural touch. Saya percaya awak akan berjaya dalam bidang penulisan satu hari nanti...”
Rasyid terdiam menatap wajah wanita kesayangannya. Mungkin pada hari itu nanti, mereka akhirnya dapat bersama sebagai suami isteri? Ah... Dia berangan lagi. Sudah 10 tahun kenal masih belum dapat bersatu lagi...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan