Sabtu, Mac 07, 2026

Umrah sekeluarga 2026 - Umrah ke-2 dari Hudaibiyah

Saja nak beritahu. Batuk, selsema, demam-demam saya sejak hari terakhir di Mekah hampir 3 minggu lalu belum baik lagi. Cuma ada kurang sedikit 2 hari kebelakangan. Dalam keadaan itu ada dibuat perjalanan ke kampung isteri di Tanjung Sepat lalu menginap satu malam, kemudian ke rumah bapa di Muar 3 malam kemudian di rumah milik saya di Hulu Langat satu malam. Khamis petang 5 Mac baru kembali ke rumah. 

Pun begitu mendapat sedikit kekuatan untuk mempersembahkan artikel Umrah sekeluarga 2026 - Dari Jabal Thur ke Jabal Nur dan Gua Hira' malam Jumaat selepas itu malam Jumaat diikuti Umrah sekeluarga 2026 - Jumaat di Masjidil Haram semalam petang Jumaat. Sekarang, walaupun masih belum sihat biar diteruskan gerak dengan mempersembahkan cerita hari ke-6  perjalanan.



Pagi Sabtu 14 Februari 2026 bersiap untuk keluar berjalan  lagi di persekitaran Mekah.






Kali ini ke Hudaibiyah, salah satu tempat miqat untuk menunaikan umrah. Singgah di satu ladang haiwan milik orang Malaysia sebelum ke masjid lalu masuk ihram. Lihat artikel Visit to Wadi D'Fajr di blogspot BERPETUALANG KE ACEH diikuti Masjid (Mosque of) Hudaibiyah, 2026 dan Masjid lama (Old mosque of) Hudaibiyah, 2026 di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART.



Kembali ke hotel berehat sebentar sebelum mengambil bas ke  Masjidil Haram.



Ketika itu sedang menunggu masuk waktu Asar.



Seperti biasa laluan-laluan yang boleh membawa terus ke halaman Ka'abah sudah ditutup.



Kena masuk melalui pintu utama masjid.



Menunggu solat Asar dekat penghadang laluan situ ke halaman Ka'abah.



Selesai solat baru boleh masuk.



Bermulalah tawaf bagi umrah ke-2 kami anak beranak. Oh. Makcik berumur 76 tahun dan sepupu yang duduk sebilik tak ikut. Mereka masih kepenatan juga tidak sihat setelah mendaki Jabal Nur dan masuk Gua Hira' malam Jumaat.



Kami memulakan sa'e sekitar jam 5.30 petang.



Alhamdulillah dapat menyelesaikan umrah sejurus sebelum waktu  Maghrib lalu berehat menunggu waktu solat di atas batuan bukit Marwah.









Malam selepas Isyak saya dan isteri pergi ke menara jam Mekkah untuk satu urusan.




Lepak sejenak di restoran serambi tingkat 11 menikmati pemandangan. Lihat Masjidil Haram from a terrace restaurant at the Mecca clock tower.


Jumaat, Mac 06, 2026

Umrah sekeluarga 2026 - Jumaat di Masjidil Haram

Salam petang Jumaat. Cerita hari ke-5 perjalanan umrah. Bersambung daripada Umrah sekeluarga 2026 - Dari Jabal Thur ke Jabal Nur dan Gua Hira' malam Jumaat.



Awal pagi Jumaat 13 Februari 2026. Ke Masjidil Haram untuk solat Subuh.




Seperti biasa laluan untuk ke halaman sekitar Ka'abah telah ditutup.



Selepas selesai solat baru dibuka.



Dapatlah membuat tawaf sunat. Oh. Sekarang ni cuma orang lelaki yang berpakaian ihram sahaja dibenarkan masuk ke halaman Ka'abah. Selain itu cuma boleh ke dalam masjid sahaja, itupun disuruh masuk melalui laluan yang terpisah dengan mereka yang berpakaian ihram.



Cuma isteri dan anak bernama Rasyid sahaja yang ikut. Makcik berumur 76 tahun yang duduk sebilik dengan sepupu sedang berehat kepenatan akibat mendaki Jabal Nur malam Jumaat. Anak lelaki bongsu serta abang lebih tua dan kakaknya pun masih kepenatan di hotel. Makcik yang memimpin rombongan bersama kawannya berjalan sendiri. Mereka tak ikut naik Jabal Nur.



Jam 9.50 saya dan tiga anak lelaki keluar untuk bersolat Jumaat. Tengok-tengok takda bas.



Kenalah berjalan kaki ke Masjidil Haram hampir 2 km melalui terowong yang membelah gunung yang memisahkan kawasan persekitaran hotel yang dikenali sebagai Aziziah dengan masjid.










Ketika berjalan baru nampak anak bongsu, si Johan kurang sihat. Padahal malam sebelumnya kelihatan begitu bersemangat dan kuat mendaki Jabal Nur. Sehingga haversack yang saya pakai membawa sejumlah barangan pun dimintanya hendak dibawa. Untuk senaman katanya.




Saya pula yang terasa begitu kuat dan bersemangat berjalan kaki agak laju. Sehingga harus berhenti beberapa kali menunggu anak-anak.



Nah. Ketika gambar ini diambil jam 10.15 masih ada lebih 2 jam sebelum masuk waktu Zohor dan solat Jumaat. Tapi banyak laluan sudah dihadang. Begitulah cara pihak berkuasa mengawal jemaah.







Kami masuk ke laluan sa'ie antara Safa dan Marwah. Ketika itu semua laluan ke halaman Ka'abah telah ditutup.



Diambil satu sudut untuk berehat beriktikaf sambil menunggu masuk waktu solat.




Johan yang tidak sihat boleh baring dan tidur.



Selepas selesai solat Jumaat baru laluan ke halaman Ka'abah dibuka.



Buatlah tawaf sunat.



Selepas beberapa lama pergi ke tapak tanah milik moyang, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Saya telah menandakan kawasan dalam Google Map sebagai tempat untuk bertemu seorang anak buah isteri yang sampai ke Mekah sehari dua selepas kami.



Pergi ke bangunan menara jam Mekah.



Makan tengah hari lewat di medan selera sementara menunggu isteri, anak perempuan dan sepupu sampai.



Selepas mereka sampai saya berjalan seorang diri lalu menunaikan solat Asar di perkarangan bangunan menara jam yang bersambung dengan perkarangan Masjidil Haram kemudian masuk ke masjid.



Selepas menunaikan lagi tawaf sunat mendapat tempat menghadap Multazam dan pintu Ka'abah untuk menunggu masuk waktu Maghrib.




Selepas Isya' di halaman luar baru kembali ke hotel.


Khamis, Mac 05, 2026

Umrah sekeluarga 2026 - Dari Jabal Thur ke Jabal Nur dan Gua Hira' malam Jumaat

Cerita untuk malam Jumaat. Bersambung daripada Umrah sekeluarga 2026 - Mekah selepas 13 tahun.



Gambar ini diambil jam 4.09 awal pagi Khamis 12 Februari 2026. Saya telah beriktikaf di Masjidil Haram sejak malam sebelumnya.



Selepas Subuh baru kembali ke hotel untuk berehat. Jam 8 pagi bersedia untuk keluar melawat tempat-tempat bersejarah di sekitar Mekah.






Mula-mula sekali ke kaki Jabal Thur, gunung di mana terletaknya gua tempat junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW pernah berlindung sebelum berhijrah ke Medinah.




Ketika itulah baru dapat tahu gunung ditutup kerana ada kerja hendak mendirikan kereta kabel sehingga beberapa bulan akan datang. Tak dapatlah melaksanakan rancangan hendak mendaki ke puncak lalu ke gua sebelum ke Medinah minggu akan datang. Lihat artikel Quick look at Jabal Thur di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Seterusnya ke Padang Arafah lalu mendaki bukit terkenal ini. Lihat  Jabal Rahmah 2026. Berhenti sebentar di masjid berdekatan yang cuma dibuka musim haji. Lihat Masjid (Mosque of) Arafah di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART.




Dalam perjalanan kembali ke pusat bandar raya Mekah lalu di tempat jemaah haji harus bermalam sebelum melontar batu di Jamrah. Lihat Passing through Mina 2026.




Lalu di kawasan bernama Ma'ala di mana terdapat tanah perkuburan menempatkan jasad Saiditina Khadijah RA, isteri kesayangan baginda Nabi Muhammad SAW.



Turun sekejap mengambil gambar dari luar.



Teringat pernah dikejar polis ketika hendak masuk ke dalam bersama isteri malam-malam 13 tahun lalu. Lihat artikel lama Ziarah dan umrah 2013 - Dari Jabal Rahmah ke makam Siti Khadijah hingga jadi botak.



Kami masuk kembali ke pusat bandar raya kerana bergerak dari Arafah yang terletak di barat.



Selepas itu bergerak jauh ke timur untuk ke sempadan Mekah-Jeddah.



Ini kerana hendak singgah di sebuah muzium kecil tapi menarik yang memaparkan cara kehidupan tradisional orang Arab. Lihat Muzium (Museum of) al-Amoudi, Mekah (Mecca).



Selepas berehat di hotel keluar lagi lewat petang.



Kali ini untuk mendaki Jabal Nur lalu ke Gua Hira', tempat Rasulullah SAW mendapat wahyu pertama.



Ikut mendaki sama makcik, adik kepada almarhum ibu saya, yang berumur 76 tahun. Ketika itu sudah malam Jumaat. Pada awalnya saya memikirkan mahu mengkhatamkan bacaan Al-Quran bagi bulan Sya'aban di tepian atau atas Gua Hira'. Cadangnya ketika di Masjidil Haram baca Juz 30 sampai sebelum Iqra'. Nanti di gua baru sambung sehingga selesai. Sebaliknya timbul rasa untuk mengkhatamkan di masjid. Di gua, selepas solat Maghrib jamak bersama Isya' baca Surah Yassin untuk malam Jumaat kemudian baru baca Iqra'.



Bergambar di tempat tertinggi di Jabal Nur setelah selesai ke gua.



Nah. Semua orang senang hati alhamdulillah. Lihat artikel Climbing Jabal Nur with family diikuti Gua (The cave of) Hira' pada malam (at night) 2026.