Sabtu, Mei 24, 2025

Forum tentang semangat ketamadunan Palestin dan Al-Aqsa - Apa yang kita boleh buat?

Pergi lagi ke perkongsian majlis ilmu, ke-4 sejak setengah bulan lalu.



Buat entah ke berapa kali, sekali lagi biar dimulakan penceritaan dengan makan nasi beringin, di medan selera bersebelahan pejabat lama saya, The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar, tengah hari Jumaat 23 Mei 2025 bersamaan 25 Zulkaedah 1446 Hijriah.



Sama seperti halnya seminggu sebelum itu iaitu seperti diceritakan dalam artikel Menghidupkan semangat perjuangan Palestin dan Al-Aqsa melalui seni dan tinggalan aluminium Kubah As Sakhrah, selepas makan pergi ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku untuk menunaikan solat Jumaat. Bezanya, kali ini dengan menaiki kereta.




Parkir di satu sudut berseberangan dengan masjid ISTAC. Ini mungkin kali pertama parkir di belah sini.




Sebelum masuk waktu dapat menghabiskan bacaan 10 muka surat terakhir Al Quran lalu mengkhatamkan bagi bulan Zulkaedah.




Selepas solat Jumaat beriktikaf di masjid lalu menyambung sedikit kajian dan penulisan tesis PhD di ISTAC.



Adapun kali ini datang ke ISTAC untuk majlis seperti tertera dalam poster, forum tentang semangat ketamadunan Palestin dan Al-Aqsa. Ia adalah kesinambungan daripada perkongsian juga syarahan seperti diceritakan dalam Menghidupan semangat perjuangan Palestin dan Al-Aqsa melalui seni dan tinggalan aluminium Kubah As Sakhrah. Untuk pengetahuan, majlis ini, syarahan sebelumnya juga pameran berkenaan diusahakan oleh Profesor Dato' Dr Murad Merican yang menerajui unit dunia Melayu ISTAC. Hampir sahaja ia tidak jadi, atau sekadar jadi atas talian. Ini kerana ditakuti orang tak datang akibat banyak laluan di Kuala Lumpur terganggu disebabkan mesyuarat  kemuncak ASEAN yang bermula baru ini.




Tentang gangguan laluan saya sebenarnya mendapat kesan positif daripada itu. Sejak meninggalkan rumah 50 km ke Bangsar kemudian ke ISTAC perjalanan menjadi mudah kerana kurang kenderaan, hampir tiada langsung kesesakan yang biasa melanda pada waktu itu. Oh. Saya menyertai majlis jam 3 petang. Cukuplah dinyatakan kali ini lebih banyak dibincangkan tentang nasib orang Palestin di Gaza selain hal berkenaan Masjidil Aqsa. 

Turut dibincangkan langkah-langkah yang boleh dibuat untuk membantu pada kala negara-negara Arab sekeliling Palestin pun dilihat seperti dicucuk hidung supaya mengikut sahaja kata-kata Amerika Syarikat yang menyokong kuat kekejaman Israel terhadap Palestin. Ini antaranya adalah berdasarkan realiti semasa bahawa sudah banyak pihak termasuk di Eropah dan Amerika sendiri mengecam Israel lalu menyokong hak Palestin untuk melawan. Malah dikatakan negara Cina baru ini telah menyatakan kecaman kuat di ICJ (International Court of Justice - Mahkamah Keadilan Antarabangsa) di Belanda. Kelihatan ada kemungkinan kuat kecaman kuat dan desakan untuk bertindak terhadap Israel yang selama ini asyik dipatahkan oleh kuasa veto Amerika di PBB, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu boleh dizahirkan. Ada caranya insyaallah. Salah seorang pembentang merupakan antara yang terlibat mengusahakan di ICJ.




Tak perlulah dinyatakan secara terperinci apa yang dikatakan oleh setiap pembentang. Pergi terus pada sebahagian rumusan yang dibuat oleh dekan ISTAC, Profesor Datuk Dr Abdelaziz Berghout (tiada dalam gambar kerana diambil awal majlis). Dikongsikan bagaimana negara asal beliau iaitu Algeria  pernah bangkit daripada kekejaman Perancis yang pernah menjajah. Dikatakan bahawa ketika berlaku perang bagi membebaskan Algeria (1954-1962) sekitar 7 juta warga tempatan terbunuh! 

Pernah berlaku dalam satu hari sahaja hampir 50,000 orang terbunuh. Berbanding dengan jumlah penduduk Gaza yang terbunuh setakat ini iaitu hampir 55,000 jiwa sejak tercetus konflik terbaru 7 Oktober 2023 keadaan di Algeria adalah jauh lebih teruk. Namun mereka dapat bangkit selepas itu. Daripada pengalaman tersebut muncul seorang cendekiawan besar iaitu Malik Bennabi.

Tentang tokoh yang hidup 1905-1973 ini ada dikongsikan sedikit dalam artikel Pemikiran dan pendekatan Malik Bennabi dalam pembaharuan ketamadunan dan reformasi lebih setahun lalu. Abdelaziz menambah satu perkara sangat penting dinyatakan oleh Bennabi - Kenapa Algeria malah umat Islam secara umum dapat dijajah oleh kuasa-kuasa Barat? Ini disebabkan apa yang disebut sebagai colonialisibility - keupayaan untuk dijajah. Ini merujuk pada kelemahan diri sendiri memberikan ruang untuk orang lain masuk menjajah. Cukup perkongsian.


Nota "faham-faham jelah" : Sebetulnya saya hendak meletakkan video acara di bawah ini supaya boleh diikuti sendiri segala isi perbincangan. Semalam ketika mengikut acara secara fizikal ada nampak rakaman sedang berjalan lalu boleh ditelaah secara atas talian. Namun hari ini cari dah tak jumpa. Mungkin kerana banyak perkara sensitif  telah dibincangkan. 

Maklumlah kita ni orang kecik je. Hajat untuk membantu saudara seIslam amat kuat. Tapi kemampuan tak seberapa, setakat mampu bersuara. Itupun kalau silap cara boleh mendapat bahana.

Misalnya menyatakan ada negara Islam begitu kuat mengikut telunjuk Amerika lalu langsung tidak mengecam Israel, apatah lagi hendak menolong Palestin. Silap cara, individu yang menyuarakan boleh dihalang daripada masuk menunaikan haji. Kalau dibesar-besarkan malah boleh menjejaskan hubungan antara negara. 

Rumit sebenarnya keadaan. Bukan semudah melaungkan slogan-slogan perjuangan di jalanan. Inilah realiti satu perjuangan. Hendak menjayakan perlu bijak. Jangan hanya menang sorak tapi kampung tergadai.


Isnin, Mei 19, 2025

Menghidupkan semangat perjuangan Palestin dan Al-Aqsa melalui seni dan tinggalan aluminium Kubah As Sakhrah

Salam. Lagi sekali tentang majlis ilmu. Tapi kali ini agak lambat hendak dikongsikan cerita kerana entah kenapa kepala asyik terasa berat semacam setiap kali apabila memikirkan hal berkenaan iaitu tentang Masjid Al-Aqsa dan nasib orang Palestin terutama di Gaza.



Seperti beberapa cerita yang berlaku hari Jumaat, cerita kali ini yang berlaku Jumaat baru ini 16 Mei 2025 boleh dianggap dibuka dengan menikmati hidangan nasi beringin di medan selera bersebelahan pejabat lama saya iaitu akhbar The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar.



Saya pergi dengan menaiki motosikal besar kesayangan. Kebetulan ada ruang parkir betul-betul di hadapan pintu masuk utama pejabat. Jumaat minggu sebelumnya ada datang menaiki motosikal bersama isteri, selepas menghantar beliau untuk  mesyuarat persatuan sekerja di satu bangunan agak berdekatan. Tetapi kali itu dapat ruang parkir sedikit jauh dari pintu masuk ini.



Apapun, tujuan utama keluar hari itu adalah untuk ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Kalau sempat selalunya saya akan makan tengah hari nasi beringin di Bangsar sebelum ke ISTAC.



Suasana selepas selesai solat Jumaat di masjid ISTAC.



Sekarang pergi pada majlis ilmu yang bermula jam 3 petang itu. Ia adalah syarahan yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Al-Aqsa - Sekarang di Malaysia" oleh Dr Osama Odeh, seorang jurutera warga Palestin. Syarahan diadakan sempena pameran "Al-Aqsa Hidup : Semangat Ketamadunan dan Kebebasan Palestin" yang baru bermula di ISTAC.



Kelihatan Osama yang dinyatakan dalam poster sebagai pengerusi sebuah syarikat yang menjadi satu-satunya pembeli/pemilik logam aluminium yang pernah meliputi kubah as Sakharah di Masjidil Aqsa. Pelik juga memikirkan kenapa hal itu ditekankan. Sabar. Nanti akan diterangkan.



Beliau memulakan dengan menceritakan kepentingan kedudukan kota Jerusalem atau Baitul Maqdis dalam peradaban dunia. Ia pernah dilihat sebagai pusat dunia, pertengahan dan penghubung antara benua Asia, Eropah dan Afrika. Turut diceritakan kedudukan dalam peristiwa Isra' dan Mikhraj. Sesungguhnya di kota itulah Nabi Muhammad SAW pernah mengimamkan solat bersama para nabi terdahulu selepas sampai dari Mekah. Dari Baitul Muqaddis baginda kemudian dibawa menaiki langit.




Lakaran Masjidil Al Aqsa di Baitul Muqaddis.



Kubah As Sakhrah, disebut sebagai "Dome of the Rock" (oleh dunia Barat. Ini kerana kubah tersebut dibina melindungi sebuah batu besar yang menjadi kedudukan Rasulullah SAW mula diangkat ke langit.




Gambar-gambar lama kubah.




Pada tahun 1964 kubah diliputi aluminium kerana struktur lama sudah mudah dimasuki air hujan. Kata Osama proses pembuatan aluminium baru ditemui waktu itu. Ia dianggap logam terbaik untuk meliputi bangunan. Pada masa itu harganya lebih mahal dari perak.




Tahun-tahun kemudian menyaksikan penemuan-penemuan baru menyebabkan aluminium menjadi lebih mudah untuk dihasilkan lalu turun harga. Sambil itu muncul logam brass atau loyang yang dilihat lebih baik dan tahan. Tahun 1992 hingga 1994 diadakan projek bagi memperbaiki lagi Kubah As Sakhrah. Aluminum yang pernah meliputi sejak tahun 1964 dicabut keluar digantikan dengan loyang yang disadur emas, membentuk kubah berwarna keemasan yang wujud hingga sekarang.




Osama adalah jurutera utama yang terlibat dalam proses pembaikan. Kelihatan beliau di sisi kubah dalam gambar paling kanan atas.




Syarikat beliau adalah satu-satunya pembeli dan pemilik aluminium yang pernah melindungi kubah.




Daripada aluminium itu dibuat sejumlah barangan sebagai lambang Masjid Al-Aqsa serta perjuangan warga Palestin akan terus bertahan. Anda boleh lihat sendiri sebahagian di pameran di ISTAC. Lihat artikel "Al-Aqsa Alive" exhibition in ISTAC  di  blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Nota : Pada awal artikel ada disebut cerita ini agak lambat dikongsikan kerana entah kenapa kepala terasa berat semacam setiap kali apabila memikirkan hal berkenaan iaitu tentang Masjid Al-Aqsa dan nasib orang Palestin terutama di Gaza. Sebetulnya saya sangat sedih dengan apa yang sedang berlaku di Gaza, tetapi jarang sekali menyatakan rasa dalam apa-apa penulisan. Bukan kerana tidak prihatin tapi dah tak terkata apa. Apabila menulis ini baru dapat menyatakan sedikit rasa. 

Nak turun padang pergi berperang tak mampu. Kita boleh cakap dan mengaku macam-macam. Tapi kalau setakat sampai ke lapangan terus kena letup tidak mampu membawa perubahan yang cukup bermakna apa guna? Sedangkan di negara kita sendiri ini pun banyak yang perlu dibela. 

Lihat sahaja tanah-tanah kita yang diambil orang bukan Melayu dan bukan Islam sesuka hati, kes durian Musang King, kes kuil haram. Dalam keadaan begini tak guna bercakap banyak. Lagipun dah ramai yang melakukan "kerja" bercakap banyak itu. Tak perlu menambah rencah.

Adakalanya rasa yang terbuku itu lebih elok dizahirkan secara isyarat. Misalnya melalui syarahan dan pameran berkenaan. Biar orang lain yang mahu kelihatan lebih hero memekik terlolong melaungkan slogan perjuangan.