Isnin, Januari 20, 2025

Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun - Webinar pertama selesai


Merujuk pada artikel  Bersedia untuk webinar "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" jam 9.15 malam 20 Januari yang dipersembahkan seminggu lalu. Alhamdulillah acara sudah berjaya dilaksanakan pada waktunya, sempena hari ini 20 Januari 2025 tepat 151 tahun selepas berlakunya peristiwa Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Cuma muncul hal tak dijangka. Namun dapat juga dilaksanakan walau sekadar secukup rasa.



 

Sudah dimaklumkan bahawa pembentangan atas talian mahu dibuat sendiri menggunakan Zoom percuma yang ada had masa 40 minit sahaja bagi setiap sesi. Ini kerana ia baru difikirkan 11 hari lalu. Tak sempat untuk mendapatkan sokongan mana-mana pihak bagi mengadakan secara profesyional kalau hendak mengejar tarikh 20 Januari. Dengan itu dibuatlah persiapan sepatutnya termasuk sesi-sesi ujian. Ini ada dikongsikan dalam Bersedia untuk webinar "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" jam 9.15 malam 20 Januari.

Yang tak dijangka ada yang sudah masuk menyertai lebih awal sedangkan acara mahu dimulakan jam 9.15 malam. Sepatutnya ada butang "start" untuk saya memulakan. Sebaliknya yang nampak cuma butang "join" untuk menyertai. Ini nampaknya disebabkan telah membuat setting atau tetapan "Allow participants to join anytime" (benarkan peserta menyertai pada bila-bila masa). Fikirnya bila-bila itu adalah ketika acara sedang berlangsung selepas dimulakan oleh saya. Rupa-rupa boleh menyertai lebih awal...

Ketika menyedari itu belum tahu lagi kesan. Namun terbit dalam fikiran ada kemungkinan had masa 40 minit bermula sebaik sahaja ada menyertai, tinggal berapa minit entah untuk membentang. Dengan itu terus ditetapkan satu sesi sokongan kalau berlaku sesi asal dipendekkan masa. Memang betul, tidak lama selepas masuk menyertai lalu membentang keluar tanda amaran sesi tinggal 10 minit sahaja lagi. Itu yang cuma dapat berjalan lalu dirakamkan sepanjang sekitar 15 minit dalam video atas. 



   

Dalam sesi asal saya ada memberitahu kalau menjadi pendek atau 'terpotong' maka masuk ke sesi sokongan yang baru ditetapkan kurang 10 minit sebelum sesi asal dijadualkan bermula jam 9.15. Pautannya telah diletakkan di Facebook. Sampai masanya masuklah pada sesi sokongan. Kali ini tidak perlu tergopoh gapah untuk menyampaikan pembentangan seperti halnya pada sesi asal.

Cuma walaupun ada masa 40 minit untuk menggunakan kemudahan Zoom percuma saya sendiri memendekkan. Ini untuk memberikan sedikit rehat sebelum masuk sesi soal jawab pada jam 10 malam seperti dirancang sejak lebih seminggu lalu. Dapatlah video 22 minit seperti di atas.




   

Sesi soal jawab. Rupa-rupanya ini pun ada orang sudah masuk lebih awal lalu bermulalah had 40 minit sebelum saya sendiri masuk jam 10. Tahu-tahu je dah terpotong, habis sesi. Dapatlah buat rakaman dalam 11 minit lebih.

Pun begitu tak mengapalah. Pada saya, walaupun kurang sempura kerana dibuat sendiri menggunakan kemudahan percuma lalu timbul hal kependekan masa yang tidak dijangka ia adalah pembentangan yang berjaya. Cukuplah untuk memberikan gambaran tentang betapa serius dan penting perkara yang mahu dibincangkan. 

Selain itu isteri ada membuat Live Facebook lalu dapat dilihat pembentangan daripada sudut yang lebih "candid" atau bersahaja. Cuma tidak diambil sepenuhnya. Namun untuk sesi soal jawab siaran yang dibuat isteri menyambung selepas sesi 'terpotong'. Sekurang-kurangnya saya berusaha untuk menjawab sehingga rasa cukup.  Lihat siaran yang dibuat isteri melalui pautan-pautan berikut :-






Sebagai mengakhiri artikel biar dikongsikan sebahagian daripada isi cadangan webinar akan datang tentang isu sama kepada Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) cawangan Perak. Sebelum membuat sendiri webinar saya ada bertanya jika boleh dibuat di bawah persatuan. Jawab mereka sediakan kertas cadangan untuk dibincang dalam mesyuarat. Saya pun diberikan format. Namun mesyuarat cuma akan berlangsung bulan Februari. Memang tak sempat nak buat 20 Januari.


------------------



1. Judul : "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun : Satu Penilaian Semula"

2. Pencadang : Radzi Sapiee

3. Mukadimah : Pada tahun lalu sejumlah acara termasuk satu seminar besar telah dirancang mahu diadakan sempena Perjanjian Pangkor 1874 telah 150 tahun berlalu. Antaranya adalah seminar melibatkan tokoh sejarawan terkenal Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di Pulau Pangkor. Tetapi hampir tarikh acara tiba-tiba dimaklumkan ia ditunda. Setelah dimaklumkan tarikh baru tidak lama kemudian ditunda lagi sehingga akhirnya tak jadi. Sehingga habis tahun 2024 lalu terlepaslah tempoh 150 tahun itu.

Saya sendiri pernah diminta untuk membentang tentang perkara di tempat belajar saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Guru saya Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, pemegang Kursi Al-Ghazali di ISTAC, sekarang turut menjadi Rektor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), badan yang menaungi ISTAC, memberitahu mahu menganjurkan seminar setengah hari di kampus. Saya pun mula membuat kajian dan mencari bahan. Tetapi setelah beberapa lama tidak ada berita susulan tentangmya.

Baru ini , setelah lama melupakan perkara, tergerak untuk menyemak kembali bahan. Terus timbul rasa apa yang ada sudah cukup untuk terus dibentangkan. Dan lagi pada tahun ini, pada tarikh 20 Januari 2025 adalah genap 151 tahun berlakunya Perjanjian Pangkor. Masih tidak terlewat untuk meraikan bahkan nombor 151 itu sebenarnya kelihatan lebih cantik berbanding 150  tahun lalu.

 4.  Tujuan : Meluruskan sejarah. Perkara ini pernah dinyatakan mahu diusahakan oleh seorang kerabat diraja Perak, Raja Azam bin Raja Kamaralzaman bin Raja Mansor bin Sultan Abdullah Muhammad Syah II (yang dibuang ke Pulau Seychelles itu). Ini dinyatakan dalam artikel suratkhabar The New Straits Times bertarikh 26 Mac 1996. Beliau ada menyatakan mahu melaksanakan hajat bapa dan datuknya supaya menyampaikan cerita daripada pihak mereka. Mereka mahu meluruskan perkara. Terma yang digunakan dalam artikel suratkhabar adalah “setting the record straight”. Lihat lampiran.

5. Rasional (Kepentingan) : Membersihkan nama Sultan dan para pembesar yang terlibat. Ini juga melibatkan anak cucu mereka. Untuk makluman saya adalah keturunan langsung laki-laki Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, generasi ke-5. Almarhum yang merupakan saudara tiga pupu Sultan di satu pihak, bapa saudara di satu lagi pihak, sama-sama menandatangani Perjanjian Pangkor. Jadi secara peribadi saya ada kepentingan. Sebagai pengkaji pula ini melibatkan sejarah negeri Perak. Ramai orang sebenarnya ada kepentingan bagi meluruskan sejarah berkenaan.

6. Sinopsis Isu : Ada yang melihat Sultan Abdullah dan para pembesar yang menandatangani/menurunkan cap mohor ke atas Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874 sebagai kurang bijak. Ini kerana banyak terma perjanjian sebenarnya merugikan agama, bangsa dan tanah air. Kenapa sanggup menandatangani? Kelihatan seperti kerana gopoh mahu mendapatkan pengiktirafan Inggeris terhadap keabsahan Sultan demi kepentingan peribadi.

Yang sebenarnya perjanjian ada dua versi. Satu dalam bahasa Inggeris, satu dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi. Yang biasa diwar-warkan adalah terma-terma daripada versi bahasa Inggeris yang  dibuat terjemahan ke dalam bahasa Melayu. Itu yang dijadikan rujukan sejak sekian lama.

Sedangkan yang difahami, dipersetujui lalu diturunkan tandatangan/cap mohor adalah versi bahasa Melayu dalam tulisan Jawi. Ada banyak perbezaan daripada segi penggunaan kata-kata. Sejumlah sebenarnya membawa maksud yang sangat berlainan berbanding versi bahasa Inggeris.

Ringkasnya, jika dalam versi Inggeris Sultan mesti meminta nasihat Residen lalu melaksanakannnya versi Melayu cuma menyarankan, tidak mewajibkan. Ada beberapa hal lagi yang sebenarnya difahami begitu begini oleh orang Melayu tetapi lain oleh Inggeris. Lalu orang Melayu dilihat tidak mematuhi perjanjian sehingga membawa kepada konflik demi konflik yang akhirnya menyebabkan Perak jatuh ke tangan Inggeris. Walaupun daripada segi dokumen dan surat menyurat Perak cuma ‘dilindungi’ mereka.


Ahad, Januari 19, 2025

Bersama saudara mara pada majlis hari jadi ke-80 bapa saudara

Salam. Daripada hal-hal majlis ilmu dan pengembaraan beralih sejenak ke hal keluarga.



Tadi tengah hari Ahad 19 Disember 2025 saya membawa isteri dan anak ke rumah seorang bapa saudara di Bukit Damansara.




Ada majlis hari jadi ke-80 bapa saudara. 




Kami sampai lebih sejam selepas majlis bermula lalu mendapati ruangan telah dipenuhi saudara mara.







Ini adalah saudara mara daripada sebelah ibu saya. Tetapi ada juga daripada belah bapa saudara yang merupakan suami kepada adik ibu.




Yang berbaju biru itu adalah bapa saudara. Beliau adalah Datuk Dr Hamid Arshat pakar sakit puan terkenal tapi sudah beberapa tahun pencen. Sebetulnya beliau banyak membantu saya dalam pelbagai hal sehingga dewasa. Ketika lahir tak cukup bulan iaitu selepas 8 bulan dalam kandungan berlaku satu masalah kesihatan yang kalau tidak ditangani cepat boleh membawa maut. Menurut ceritanya, beliau yang ketika itu baru bergelar doktor dapat mengesan. Lalu dibawa ke hospital dan diambil tindakan. Yang keluarga cerita, saya kena tukar darah untuk menyelamatkan.




Beberapa tahun kebelakangan saya banyak bercerita tentang keluarga sebelah bapa yang merupakan keturunan pejuang Perak abad ke-19 Masihi, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Ini disebabkan pencarian sejarah saya lebih menjurus ke arah itu. Selain itu ada kes mahkamah 3 tahun kebelakangan yang membuat lebih keterlibatan dengan saudara mara belah situ. Lihat Perbicaraan hak faraid harta Laksamana Muhammad Amin dan hal-hal berkaitan.




Tapi saya sebenarnya banyak kali juga menyebut tentang keluarga belah ibu yang bapanya berdarah Bugis, dipercayai daripada keturunan Daeng Parani, ibunya berdarah Jawa, dipercayai daripada keturunan Sunan Gunung Jati. Malah sebelum mengeluarkan buku tentang keluarga belah bapa tahun 2023 (lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023) saya telah lebih awal mengeluarkan buku tentang keluarga belah ibu iaitu pada tahun 2011. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia diikuti Sneak peek "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah". Untuk makluman bapa saya anak sulung, begitu juga ibu. Saya adalah cucu sulung dalam kedua belah keluarga.




Cuma saya membesar bersama keluarga belah ibu di Muar iaitu sejak dilahirkan tahun 1970. Maka asalnya memang lebih rapat belah sana. Keluarga itu lebih mengidentifikasikan diri dengan ibu kepada ibu yang berdarah Jawa. Bila bercerita apa-apa selalu terbawa ke arah itu walau seorang pun tak pandai cakap Jawa. Seingat saya lama kemudian baru ambil tahu hal Bugis belah bapa kepada ibu.




Bapa saudara saya Dr Hamid pula memang pandai bercakap Jawa. Memang ibu bapanya Jawa, kampung di Parit Pinang Seribu memang rata-rata orang Jawa. Tapi tak sampai pada anak-anaknya, sepupu-sepupu saya. Mereka membesar di Kuala Lumpur kemudian menyambung pengajian di luar negara. Malah dua orang berkahwin bangsa luar.




Saya sendiri tidak pernah mengidentifasikan diri dengan belah mana-mana. Selepas memasuki umur 31 baru didorong oleh pelbagai alamat dan peristiwa untuk lebih mendekati keluarga belah bapa yang didapati berdarah  Aceh-Bugis. Sejak itu lebih merasakan diri sebagai keturunan Aceh. Tetapi tidak sampai melupakan keluarga belah ibu yang berdarah Bugis-Jawa itu. Majlis hari jadi bapa saudara memberi peluang untuk kami berkumpul beramai-ramai lalu dapat membincangkan hal-hal keluarga.