Ahad, Jun 09, 2024

Musafir ilmu dan buku - Dari diskusi buku ke majlis persilatan ke walimatul urus

Meneruskan cerita permusafiran 6 hari 6 malam baru ini. Bersambung daripada artikel Musafir ilmu dan buku - Antara ISTAC dan PBAKL.



Pagi Sabtu 1 Jun 2024. Saya telah beriktikaf dan bermalam di surau yang kelihatan di tengah gambar, di suatu bahagian kampung Janda Baik, Pahang.




Tujuan bermalam adalah supaya mudah mengambil anak yang belajar di tahfiz berdekatan keluar bercuti hujung minggu. Beliau boleh mula keluar jam 9 pagi.




Selepas bersarapan bersama dibawalah anak ke ISTAC (Institut Antabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di mana isteri datang dengan kereta lain bersama seorang lagi anak. Berehat sebentar di masjid sana. Oh. Sebelum itu ada menghantar kawan anak yang menumpang dari Janda Baik turun di LRT Gombak, Taman Melati. Kemudian dicari Poslaju berdekatan untuk mengepos sejumlah buku baru.




Di masjid kami berehat sebentar sebelum bersiap ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024. Saya dijadualkan untuk berkongsi cerita tentang buku baru. Rujuk artikel Coming - Diskusi buku "Adam(a.s) and the Origin on Man" di 2 tempat petang Sabtu 1 Jun di PBAKL 2024 yang dipersembahkan 28 Mei.




Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar...




Pada mulanya ada kerisauan disebabkan saya dilanda sakit tekak dan batuk-batuk sejak seminggu sebelum itu.




Ada masa itu sehingga 3 hari suara tak dapat keluar. Malah sakit tekak jadi sampai berjangkit ke telinga kiri. Sehingga hendak menelan air liur pun begitu perit rasa.




Namun alhamdulillah ada cukup suara semasa diskusi. Cuma ada serak-serak sedikit dan tekak masih sakit. Suara dapat ditinggikan tak sampai setengah kemampuan biasa. Dalam keadaan sihat suara saya boleh jadi cukup kuat untuk didengari dalam dewan sederhana besar tanpa bantuan pembesar suara.




Rakaman video sesi pertama diskusi di reruai Akademi Jawi/Taman Pustaka. Banyak perkara terkeluar secara spontan dalam membincangkan isi buku, sebab dan hala tuju...




Rakaman video sesi kedua diskusi di reruai Everbest Media. Yang ini dibuat pendek sahaja kerana tidak dapat bersaing dengan bunyi daripada pembesar suara di pentas utama yang terletak berdekatan. Kami ambil rakaman pun apabila aktiviti di pentas utama berhenti beberapa minit kerana bertukar pengguna.




Dari pesta buku kami anak beranak bergerak ke sebuah madrasah di Kanchong Barat, berdekatan bandar Banting, Selangor.




Ini adalah untuk menyertai majlis tahlil anjuran madrasah dengan satu kumpulan persilatan yang berpengkalan di Kuala Langat.




Sudah agak lama juga tidak menghadiri majlis sebegini. Lalu saya diminta memberikan sepatah dua kata.



Ada makan-makan diikuti persembahan silat...




Gambar ini pula diambil tengah hari Ahad 2 Jun di rumah abang kepada isteri di Tanjung Sepat. Ada majlis perkahwinan dua orang anak abang ipar itu diadakan serentak.




Inilah sebenarnya tujuan utama kami bergerak jauh anak beranak selepas diskusi buku di PBAKL.




 Persinggahan ke majlis kawan-kawan silat di Kanchong berlaku kerana ia terletak dalam perjalanan.




Jam 4 petang bergerak kembali ke ISTAC.




Di situ isteri mengambil kereta lagi satu untuk kembali ke rumah bersama anak bongsu. Saya dan anak yang lebih tua bergerak lagi ke pesta buku.




Sebetulnya agak seronok melihat suasana beberapa jam terakhir pesta buku. Ahad 2 Jun adalah hari terakhirnya, jam 10 malam habislah ia. Cuma kami tidak boleh menunggu lama kerana anak harus dihantar kembali masuk ke asrama tahfiz di Janda Baik malam itu juga. Beliau tidak dapat memanjangkan cuti walaupun Isnin 3 Jun adalah cuti am seluruh Malaysia, Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong. Ini kerana tahfiz itu mengikut sistem di Indonesia. Pengasasnya Sheikh Nuruddin al-Banjari berasal dari sana dan turut menjalankan berapa buah lagi madrasah/tahfiz di negara itu. Anak cuma dibenarkan kembali sedikit lambat. Kalau tidak, sebelum Maghrib sudah kena masuk balik ke asrama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan