Ahad, Jun 30, 2024

Kenapa ciptaan adalah wahyu : Mengimbau teori dua kitab

Lagi sekali cerita melibatkan ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Memang 2-3 bulan kebelakangan ini saya rajin ke sana.



Gambar ini diambil tengah hari Jumaat 28 Jun 2024 di pejabat lama saya, Balai Berita di Jalan Riong, Kuala Lumpur yang menempatkan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times juga akhbar berbahasa Melayu Berita Harian dan Harian Metro. Ketika saya menjadi wartawan di NST tahun 1996-2001 ia turut menempatkan akhbar berbahasa Inggeris The Malay Mail dan Business Times.




Saya ke situ kerana mahu menikmati hidangan istimewa kegemaran nasi beringin di medan makan bersebelahan. Selepas itu ke ISTAC di Bukit Tunku untuk menunaikan solat Jumaat di masjidnya.







Selepas solat duduk menghadap air pancut lalu membaca keseluruhan Surah Sad, pada kala hujan lebat. Ini adalah dalam proses untuk mengkhatamkan Al-Quran bagi bulan Zulhijjah. Ketika itu sudah hampir penghujung Juz 23.




Kemudian baru mengikuti majlis ilmu yang menjadi asbab utama saya ke ISTAC hari itu. Lain-lain perkara berlaku kerana seperti biasa saya akan memanfaat masa sebaik mungkin apabila perlu keluar  ke luar kawasan dari rumah. Hendak pergi ke ISTAC perlu memandu searah sejauh lebih 40 km. Tu yang ambil sekali manfaat makan nasi beringin dekat pejabat lama dan bersolat Jumaat.




Poster tentang  majlis ilmu kali ini. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Kenapa Ciptaan Adalah Wahyu : Mengimbau Teori Dua Kitab". Ia adalah yang ke-8 dalam siri "Wacana Falsafah Kursi Al-Ghazali 2024). Wacana ini diadakan setiap bulan.

Sekali lagi, buat kali ketiga berturut ia mengenengahkan perkongsian ilmu daripada pemegang Kursi Al-Ghazali di ISTAC, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Ini adalah untuk mengembangkan lagi hal-hal berkenaan ilmu berdasarkan wahyu berbanding ilmu berdasarkan akal fikiran yang telah disentuh sebelum itu. Sementara syarahan pertama beliau tentang hal dalam siri (beliau sebenarnya telah beberapa kali menyentuh hal-hal sama dalam siri wacana lain walaupun dahulu tidak bercakap secara spesifik tentang perkara) pula tercetus akibat soal jawab pada wacana sebelum itu. Rujuk cerita-cerita berkenaan menurut turutan :-


1. Bermusafir mengikuti pelbagai majlis dan aktiviti selama 2 hari (disentuh sedikit sahaja tentang majlis berkenaan pada 1 Mac namun ada rakaman video yang walaupun tidak penuh mengandungi sesi soal jawab yang mencetuskan perkongsian Osman pada edisi wacana yang seterusnya)

2. Jurang antara akal dan wahyu tidaklah sejauh yang kamu sangka (ada ulasan panjang lebar tentang perkongsian Osman)

3. Musafir ilmu dan buku - Antara ISTAC dan PBAKL (disebut sepintas lalu antara pelbagai aktiviti namun boleh menjadi jambatan untuk cerita dalam artikel terbaru).




Syarahan dibuka dengan menerangkankan dahulu apakah itu creation, saya terjemahkan sebagai "ciptaan". Ini kerana ada perselisihan ideologi tentang ini. Pada mereka yang tidak percaya akan kewujudan Tuhan, perkataan creation yang merujuk pada segala bentuk wujud yang diketahui seperti dunia, alam dan sebagainya mahu ditolak. Ini kerana creation atau ciptaan menggambarkan adanya creator atau pencipta. Lalu mereka lebih senang dengan perkataan seperti alam maya dan dunia kerana ia dilihat tidak menjurus kepada adanya pencipta.

Daripada segi falsafah pula ada perselisihan tentang bagaimana asal-usul, rupa, unsur alam, baik daripada segi material, spiritul dan sebagainya. Manusia juga berselisih dengan saiz alam, adakah ia mempunyai had saiz tertentu, atau besarnya tidak terhingga/infiniti?



Bagi mereka yang beragama, boleh menerima akan kewujudan Tuhan sebagai Pencipta, maka creation atau ciptaan itu adalah seluruh alam atau seluruh tingkat alam, seluruh alam maya, seluruh dunia-dunia dan apa yang terkandung di dalamnya (bagi orang Islam kita percaya akan adanya 7 petala langit, syurga, neraka malah tingkat-tingkat wujud yang lebih tinggi seperti Sidratul Muntaha yang melepasi langit ke-7). Atau bahasa mudahnya segala yang wujud selain Tuhan. Ciptaan meliputi semua lapisan wujud selain Tuhan baik material/fizikal juga spiritual dan halus (seperti alam jin, bagi orang Melayu ada juga kepercayaan terhadap alam bunian yang mana masih diperdebatkan apakah orang bunian itu suatu jenis jin, atau jenis manusia yang dighaibkan daripada mata kasar, atau campuran manusia-jin, atau memang jenis makhluknya yang tersendiri). Ciptaan adalah kesan tindakan kreatif Ilahi. Ia membawa pesanan daripada Tuhan bahawa "Aku ingin diketahui" (boleh rujuk hadis Qudsi yang berkenaan).





Namun ciptaan bukanlah satu-satunya unsur yang mendefinisikan hubungan antara Tuhan dengan alam. Ada yang melihat hubungan ini dalam bentuk Emanation atau pancaran. Ini ibarat hubungan antara matahari dengan cahaya matahari yang mana cahaya itu dilihat 'tidak putus' memancar daripada matahari. Cahaya matahari itu ibarat ciptaan, Tuhan ibarat matahari. Dalam pemahaman sebegini ciptaan bukanlah seperti sebuah jam yang dibuat oleh pembuat jam lalu jam boleh ditinggalkan untuk terus berjalan sementara pencipta meninggalkannya untuk membuat hal lain. Dalam konsep Emanation yang boleh diterjemahkan sebagai pancaran itu, segala bentuk ciptaan hanya boleh wujud selagi matahari terus memancarkan cahayanya. Secara hakikinya ia tidak pernah putus hubungan.




Sekarang, setelah boleh faham bagaimana ciptaan boleh dilihat sebagai pancaran, biar dilihat kenapa ciptaan juga adalah sebuah kitab. 

Segala isi ciptaan, alam ini dan segala yang ada baik dapat dilihat atau tidak, fizikal atau spiritual sebenarnya semuanya adalah 'pesanan' daripada 'pengarang' kitab iaitu Tuhan. Ciptaan terbentuk daripada ayat-ayat keTuhanan sepertimana sebuah buku atau kitab tulisan manusia terbentuk daripada ayat-ayat tulisannya. Maka itu sering ditekankan di dalam Al-Quran bagaimana pada penciptaan langit dan bumi, pertukaran antara siang dan malam dan perkara-perkara berkaitan ada isyarat-isyarat bagi mereka yang memahami.

Sebetulnya hal mengenai alam sebagai ayat-ayat Tuhan ini sudah beberapa kali dinyatakan Osman dalam wacana-wacana terdahulu lalu saya ada menulis tentangnya. Tetapi untuk mencari balik artikel-artikel tersebut memerlukan masa yang agak panjang. Apa yang dapat ditemui secara singkat adalah Gambar-gambar keQuranan alam - Satu alam, banyak dunia yang ditulis hampir 3 tahun lalu. Walaupun ia tidak menyebut hal ayat-ayat Tuhan sebagai ciptaan itu secara harfiah konsepnya ada di situ.




Ciptaan boleh dilihat sebagai buku autograf yang penuh dengan 'tanda tangan' Ilahi, tanda tangan yang ada pelbagai rupa dan ragam kerana Tuhan juga memiliki banyak nama, Yang dijelaskan di dalam Al-Quran adalah 99 nama-nama indah Asmaul Husna sedangkan yang sebenarnya ada lagi nama yang jumlahnya tidak terhingga. Setiap nama boleh menggambarkan satu sifat/perbuataan yang setiap satu ada kesan yang tersendiri. Apabila digabungkan perbuatan atas 2 atau lebih nama jadi lagi pelbagai ragam ciptaan.

Ciptaan juga adalah pentas bagi penzahiran atau Tajaliyat Ilahi. Hakikat ini memerlukan pendalaman yang lebih mendalam. Namun pada lapisan paling rendah penerangannya adalah sama seperti pada perenggan atas tadi. Ciptaan adalah penzahiran nama-nama Tuhan.




Maka masuklah pada hal "teori dua kitab". Ini adalah tentang bagaimana Al-Quran yang biasa kita baca itu adalah satu kitab yang boleh dibaca seiring dengan ciptaan dan segala isinya, alam, dunia, haiwan dan sebagainya sebagai isi sebuah lagi kitab. Kata Osman ilmuwan Islam sudah lama melihat dan menelaah perkara ini. Daripada kitab Al-Quran yang bersumberkan wahyu mereka boleh dapat manfaat untuk memahami ciptaan 'dalam kitab' lagi satu. Dan daripada ciptaan mereka dapat memahami lebih mendalam Al-Quran. Sila ikuti sendiri syarahan melalui rakaman video di bawah.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan