Rabu, Mac 06, 2024

Pertemuan kefalsafahan : Islam dan keagamaan lain

Salam semua. Adapun artikel Bermusafir mengikuti pelbagai majlis dan aktiviti selama 2 hari yang dipersembahkan 3 hari lalu telah meliputi secara ringkas 5 majlis akademik, satu majlis zikir/ maulud serta pelbagai aktiviti lain termasuk mendaki bukit. Sekarang biar dipersembahkan satu artikel untuk satu majlis ilmu sahaja seperti kebiasaan saya sejak bertahun lama walau tidaklah panjang dan terperinci.



Tajuk majlis kali ini boleh diterjemahkan sebagai "Pertemuan Kefalsafahan : Islam dan Keagamaan Lain". Dianjurkan secara atas talian oleh S. Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University Singapore ia mengenengahkan guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar sebagai pembicara.



Sampai masa jam 3 petang saya pun mula mengikuti melalui Zoom. Kelihatan pihak penganjur sedang memperkenalkan majlis. Mereka kemudian memperkenalkan Osman. Cuma saya tidak dapat memberikan tumpuan 100 peratus kerana fikiran asyik memikirkan tentang tesis saya di ISTAC yang sedang dalam usaha suntingan untuk dijadikan buku. Rujukan cerita berkenaan dalam artikel Bermusafir mengikuti pelbagai majlis dan aktiviti selama 2 hari.  Sampai tak tidur sejak malam sebelumnya lagi kerana turut membuat reka bentuk kulit lalu lalu asyik mencuba pelbagai gaya.




Nasib baik saya sudah biasa mengikuti syarahan, pembentangan dan bicara beliau lalu dapat menangkap apa yang dibicarakan. Sekurang-kurangnya pasti ada mendengar Osman memberitahu beliau cuma menyediakan 2 slaid. Menggunakan slaid pertama Islam diberi 4 makna yang berlainan tetapi saling berkait rapat. Ia adalah :-


1. Ia membawa makna etimologikal (sejarah asal usul dan perkembangan penggunaan suatu perkataan) yang bermaksud penyerahan dan aman. Aman adalah hasil daripada penyerahan.

2. Ia membawa makna konseptual dan kefalsahan-teologikal (persoalan keTuhanan) yang bermaksud "penyerahan terhadap Kehendak Ilahi.

3. Ia membawa makna skriptural (berdasarkan kitab) agama yang lebih tepatnya adalah Ad-Din, cara kehidupan yang menyeluruh.

4. Ia membawa makna keinstitusian (diinstitusikan, dijadikan pegangan suatu kelompok besar) sebagai tiang kemasyarakatan agama.

Kesemua empat makna ini boleh didapati di dalam Al-Quran. Dalam kitab suci itu makna konseptual dan kefalsahan-teologikal Islam adalah sama dengan makna etimologikal.




Empat makna itu pun dikembangkan sebelum disatukan dalam satu makna serba meliputi iaitu menTauhidkan atau mengEsakan Allah SWT. Daripada situ disebutlah bahawa semua umat manusia sejak zaman Nabi Adam AS dihantar utusan untuk membawa agama yang sama, tiada lain iaitu Islam dalam erti katanya yang sebenarnya. Dalaman atau hakikatnya semua sama, menTauhidkan atau mengEsakan Allah SWT. Luaran atau kaedah luaran, syariat dalam menjalankan kehidupan beragama itu sahaja yang boleh berbeza disebabkan keadaan masyarakat dan perbezaan zaman.

Beginilah Islam yang difahami sekarang, Islam syariat Nabi Muhammad SAW, nabi dan rasul terakhir, utusan akhir zaman melihat  "the religious other" atau keagamaan lain. Ini merujuk kepada orang-orang lain agama yang setia pada agama lalu berbuat baik mengikut kepercayaan mereka. Islam hari ini melihat mereka sebagai penganut agama yang berasal daripada syariat-syariat Islam yang terdahulu lalu menerima baik mereka. Pada ajaran-ajaran mereka ada kebaikan yang diakui sama (kerana berasal daripada Islam jua). 

Falsafah, yang merupakan ilmu mencari dan memahami kebenaran tentang kewujudan alam, juga berasal daripada ajaran sebegitu. Dalam Islam sekarang falsafah lebih merujuk pada hikmah. Maka memang ada pertemuan kefalsafahan antara Islam dengan "keagamaan lain". Pada zaman perkembangan Islam (syariat Nabi Muhammad SAW) misalnya ia berlaku apabila jangkauan pengaruh dan penganut Islam berkembang luas sehingga memasuki benua Hindi lalu terserempak dengan orang agama sana, baik yang dikenali sebagai Hindu mahupun ajaran Buddha. Kelainan" memang wujud tetapi ada persamaan yang boleh diharmonikan. Ini boleh didefinisikan pada tingkat kerapatan mereka dengan Tauhid iaitu tahap pengEsaan terhadap Yang Maha Pencipta.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan