Khamis, November 30, 2023

Peranan wartawan dalam menerbitkan kesedaran dan membangkitkan perjuangan

OK. Lagi melibatkan ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).  Ahad malam Isnin 26 November saya telah bercerita tentang hal ijazah yang diterima siang itu, dalam artikel Menerima ijazah Sarjana ISTAC pada hari lahir ke-53. Hari sebelumnya Sabtu malam Ahad 25 November bercerita tentang majlis ilmu yang dihadiri di kampus ISTAC petang Jumaat 24 November. Lihat Dari nasi beringin ke hal ilmu pengetahuan ke Janda Baik. Sebelum itu pula iaitu pada petang Rabu 22 November tentang majlis ilmu di bahagian lain kampus petang Selasa 21 November. Lihat Penyalahgunaan maklumat sejarah di media sosial - Bagaimana hendak menanganinya?. Sekarang biar dipersembahkan satu lagi cerita tentang majlis ilmu di ISTAC.


Majlis ilmu kali ini berlangsung semalam petang Rabu 29 November 2023. Ia adalah yang pertama di bawah siri baru yang namanya boleh diterjemahkan sebagai "Syarahan-syarahan Kewartawanan, Pembaharuan dan Masyarakat". Tajuk edisi pertama boleh diterjemahkan sebagai "A Samad Ismail (1924-2008) dan Haji Muhammad Said (1905-1995" : Wartawan, Intektual Awam dan Nasional". Ia merujuk kepada dua tokoh besar, seorang di Malaysia, seorang di Indonesia yang sangat memainkan peranan dalam memupuk kesedaran masyarakat bagi mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah di tempat masing-masing. 



Penyampai adalah Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican dan Profesor Madya Dr Mehmet Ozay, kedua-duanya daripada ISTAC. Murad yang turut bertindak sebagai moderator/pemudah cara pun memperkenalkan majlis. Sebetulnya apabila isteri memberitahu telah dibenarkan bekerja dari rumah (work from home) hari itu saya bercadang untuk hadir secara fizikal ke majlis. Saya turut bercadang untuk menghadiri satu majlis besar bertajuk "Islam-Confucianism Leadership Dialogue" - Dialog Kepimpinan Islam dan Confucianism (satu pegangan falsafah masyarakat Cina yang hampir menyerupai agama) - di bahagian lain bandar raya Kuala Lumpur pada hari sama pagi hingga petang. 

Guru dan penyelia tesis saya di ISTAC, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar adalah seorang penyampai utama dalam majlis dialog. Bahkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir untuk  merasmikan sebuah buku tulisan beliau yang sangat relevan dalam tajuk. Saya boleh hadir sebahagian daripada majlis dialog sebelum bergegas ke ISTAC. Namun hendak dijadikan cerita saya harus menguruskan beberapa perkara melibatkan kereta dan rumah 

Ada kemalangan kecil telah berlaku petang sebelumnya menyebabkan saya harus membuat usaha gantian sendiri barangan berkenaan. Ada pula barangan lain harus dibeli lalu dicari merata untuk kegunaan rumah yang sedang dibuat sedikit tambahan. Bila dah keluar baru tersedar rupa-rupanya lesen kereta tamat 26 November belum diperbaharui. Jadi macam-macam kena buat dan ia tidak boleh ditunda.

Akibatnya saya harus berada di Bukit Beruntung sehingga jam 3 petang. Memang tak terkejar ke ISTAC 40 km dari rumah. Sampai rumah sekitar jam 3.11 terus mengikuti majlis yang telah bermula melalui Youtube. Dengan itu biar dikongsikan tangkapan-tangkap gambar yang dibuat apabila menonton kembali petang Khamis 30 November bagi menyokong penceritaan.



Murad menyebut bahawa kita harus tahu sejarah dunia kewartawanan untuk lebih faham keadaan dan ia harus merentasi sempadan (yang memisahkan Malaysia dengan Indonesia itu).  Disebutlah tentang akhbar terawal berbahasa Melayu yang bermula tahun 1870an iaitu Jawi Peranakan diterbiktan di Singapura tetapi turut dibaca di Pulau Pinang,  Medan, Batavia (nama lama Jakarta) dan Pontianak membawa pemikiran yang bersifat kosmopolitan . Kemudian muncul akbar seperti Al-Islam tahun 1906 mengangkat isu Islam dan modernisma dibaca di seluruh Alam Melayu. Akbar-akbar ini memainkan peranan yang bersifat ketamadunan dalam tempoh waktu berkenaan.



Di sini tidak larat saya untuk menceritakan semua perkara penting yang disampaikan dalam majlis. Saya berusaha untuk membuat perkongsian ini pun dalam keadaan badan kurang sihat dan penat, begitu juga kepala berat semacam. Cukuplah dinyatakan, menurut Murad tanpa dunia kewartawatan melibatkan wartawan dan akhbar kedua-dua Malaysia dan Indonesia tidak akan berjaya mendapatkan kemerdekaan. A Samad Ismail muncul sebagai tokoh besar dunia kewartawanan di Negeri-negeri Melayu yang kemudian membentuk negara Malaysia.




Sebetulnya banyak maklumat boleh dicari tentang Samad melalui pelbagai cara. Umumnya beliau pernah menjadi wartawan prolifik di akhbar Utusan kemudian menerajui Berita Harian.




Seingat saya, semasa bertugas sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times tahun 1996-2001 pernah beberapa kali terserempak dengan beliau di ibu pejabat di Jalan Riong, Bangsar. Seorang anak perempuannya pula wartawan senior sepejabat. Untuk pengetahuan Berita Harian adalah antara akbar di bawah kumpulan NST.



Murad menceritakan bahawa beliau sendiri pernah menjadi wartawan. Walaupun bukan di Berita Harian tetapi di Bernama tetap berpeluang bertemu dan bertukar cerita dengan Samad. Lalu dinyatakan tokoh besar wartawan itu turut membuat lain-lain bentuk penulisan termasuk kumpulan karangan (essays) dan novel. Warna warni kehidupan turut menyaksikan beliau pernah dituduh menyokong komunisma.



Selepas beberapa lama sampai masa untuk pembentang kedua Mehmet Ozay berkongsi tentang tokoh kewartawanan Indonesia, Haji Muhammad Said yang lahir hampir 20 tahun lebih awal.




Disebutlah tentang latar belakang keluarga dan keturunan Mohd. Said yang merupakan orang-orang beragama, bagaimana ini dilibat membentuk hala tuju beliau.





Dinyatakan bagaimana hal perubahan zaman melibatkan kemasyarakatan ditanggapi para pemikir, golongan intektual juga agamawan.




Dinyatakan bagaimana wartawan seperti Mohd Said yang juga merupakan seorang intelektual menyumbang pada usaha bagi menghidupkan kembali budaya dan ketamadunan Islam dalam persekitaran yang sudah lama dijajah bangsa Barat,



Pertembungan antara 'kemodenan' yang dibawa Barat dengan realiti sosio-politik tempatan yang sedang berusaha menolak penjajahan menjadi latar belakang untuk wartawan yang prihatin bertindak.




Cukuplah sedikit perkongsian daripada saya ini ya.  Sila ikuti sendiri majlis melalui rakaman di sini.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan