Sabtu, Julai 29, 2023

Penat lelah menjayakan buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad

Gambar, teks berikut dan pautan-pautan berkenaan sebenarnya telah dibuat lebih awal untuk diletakkan ke side bar kanan blogspot. Namun untuk menyediakannya harus diatur terlebih dahulu segala isi dalam tetingkap penulisan artikel di blogger.com.  Alang-alang  begitu biar dipaparkan sekali sebagai satu artikel...


Buku ke-13 + 1 (saya lebih suka menyebutkan begitu berbanding buku yang ke-14) ini terbit Mei 2023 setelah lama berehat daripada menulis buku bagi memberikan tumpuan kepada pengajian dan penulisan tesis pascasiswazah di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadan Islam). Sebetulnya sejak menulis buku ke-7 iaitu Jejak Keluarga Yakin : Satu Sketsa Sejarah yang terbit Oktober 2011 saya sudah memikirkan akan menulis buku tentang Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Ini kerana Jejak Keluarga Yakin melibatkan nenek moyang saya sebelah ibu. Laksamana Muhammad Amin yang berkhidmat di Perak abad ke-19 Masihi pula adalah moyang sebelah bapa.

Cuma belum timbul keberanian kerana Muhammad Amin yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan Residen pertama Inggeris ke Perak iaitu J.W.W. Birch pada 2 November 1875 adalah satu nama besar, sedangkan saya belum cukup berpengetahuan. Untuk makluman, beliau kemudian dibuang negeri ke Pulau Seychelles pada tahun 1877, bersama Sultan ke-26 Perak Sultan Abdullah Muhammad Syah II, Menteri Ngah Ibrahim dan Syahabandar Ma'amor. Selepas beberapa lama mereka semua dialih ke Singapura di mana Laksamana meninggal dunia lalu dikebumikan tahun 1904. Pada tahun 2006 baru jenazah dibawa kembali ke Perak lalu dikebumikan kembali di kawasan pemakaman diraja di Bukit Chandan.

Selepas musim raya Aidilfitri tahun 2022, setelah penulisan tesis terasa cukup siap untuk diserahkan bagi penilaian institut saya mula terlibat dengan satu kes mahkamah melibatkan harta Laksamana di Mekah. Apa yang berlaku adalah, hak datuk kepada datuk saya Orang Kaya Muhammad Arsyad yang merupakan anak lelaki utama Muhammad Amin untuk mendapatkan bahagian faraid telah dipertikaikan, atas tuduhan beliau kononnya meninggal awal. Lalu saya diminta membuat kajian bagi mendapatkan bukti untuk menunjukkan beliau masih hidup ketika bapanya meninggal dunia 1904. Lihat Misi keluarga Laksamana dan mencari jejak melalui dokumentasi lama.

Apabila semakin banyak bahan kajian dapat dikumpulkan timbul rasa untuk menjadikannya lebih teratur supaya mudah ditelaah dan dihubungkaitkan antara satu sama lain. Alang-alang begitu elok dijadikan buku tentang Laksamana Muhammad Amin lalu dimasukkan sekali hal Orang Kaya Arsyad. Daripada kajian melibatkan pelbagai sumber primer dan sekunder termasuk jurnal tulisan Birch saya mendapat tahu Arsyad melangsungkan perkahwinan dengan isterinya Haji Halijah pada 13 Mei 1875. Dengan itu saya pun mengejar masa agar buku dapat dilancarkan pada tarikh tersebut. Lihat artikel-artikel berikut :-


1. Buku "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad" sedia untuk tempahan

2. Buku Laksamana Muhammad Amin dan Orang Kaya Arsyad dah masuk kilang

3. Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Persediaan dalam kegelisahan



7. Pulau Besar tahun 2023 atas asbab jengok ibu bapa di Muar

8. Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023 

9.  Membawa buku Laksamana Raja Mahkota pusing Perak

10. Maklum balas pembaca tentang buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad



Alang-alang sudah membuat persediaan di atas biar juga diletakkan video melibatkan bicara buku oleh sejarawan ulung negara Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali seperti terdapat dalam artikel Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023


Untuk makluman beliau bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku. Video nanti boleh diletakkan di bahagian tengah atas blogspot iaitu sebelum artikel-artikel sebagai paparan tetap.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan