Jumaat, Julai 01, 2022

Misi keluarga Laksamana - Urusan tanah di Teluk Intan

Salam pagi Jumaat 1 Julai 2022 bersamaan 1 Zulhijjah 1443 Hijriah. Ada siri kecil mahu dimulakan berdasarkan perjalanan terbaru saya ke negeri Perak Isnin 27 Jun hingga Rabu 29 Jun. Perjalanan dibuat kerana beberapa urusan. Ia melibatkan hal keluarga besar saya di sana iaitu keluarga waris keturunan Laksamana Raja Mahkota, orang besar Perak. 

Asalnya perjalanan mahu dimulakan pada petang Selasa 28 Jun, atas asbab mahu hadir di Mahkamah Tinggi Syariah di Ipoh pada pagi Rabu 29 Jun. Tetapi tiba-tiba saya diminta untuk membawa seorang bapa saudara di Teluk Intan ke Ipoh pada petang Selasa. Oleh kerana memang ada perkara mahu diuruskan di Teluk Intan saya pun membuat keputusan untuk bergerak lebih awal iaitu pada pagi Isnin 27 Jun...



Saya mula bergerak meninggalkan rumah pada jam 10.38. Pergi seorang diri kerana isteri bekerja dan anak bersekolah...




Terus masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke utara.




Keluar tol awal untuk menuju ke pekan Tanjung Malim.







Singgah sebentar di 'Klinik Kampung Pisang' lalu dijamu dengan durian oleh keluarga arwah sutradara terkenal Mamat Khalid.




Sebenarnya saya ke Tanjung Malim kerana satu urusan lain. Selesai urusan tersebut perjalanan ke arah utara diteruskan melalui jalan lama.




Sampai ke Teluk Intan jam 4 petang terus menuju ke Pejabat Tanah. Saya telah mengambil tanggungjawab untuk menangani urusan tanah arwah datuk saya yang sepatutnya sudah diwakafkan kepada masjid warisan keluarga di Batak Rabit hampir 40 tahun lalu. Tetapi rupa-rupanya tidak berlaku pertukaran nama, mungkin akibat urusan berkenaan yang dikatakan ada dilakukan pada tahun 1980an tidak cukup syarat. Yang pasti ia tidak selesai.




Seperti biasa kalau sampai di Teluk Intan saya akan berusaha untuk menziarahi seberapa banyak tempat dan makam yang ada kena mengena dengan keluarga besar saya, keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak.













Di makam moyang utama kami iaitu Keramat Kuala Bidor saya duduk lama untuk membuka satu kitab yang sudah bertahun rasanya tidak dibuka lalu membaca satu Hizib. Dikeluarkan sekali sebilah pedang. Sesungguhnya ada urusan besar melibatkan keluarga harus dihadapi di Ipoh. Ada pihak bersungguh-sungguh mahu menafikan hak keluarga belah kami sedangkan satu lagi pihak yang sepatutnya membantu kelihatan berbuat khianat...




Saya juga ke tanah perkuburan umum di sebarang jalan dari masjid keluarga untuk melihat tanah milik datuk seluas seekar di sebelah kubur yang sepatutnya sudah hampir 40 tahun diwakafkan kepada masjid. Sebetulnya terdapat beberapa keping tanah di Teluk Intan dan sekitarnya telah diwakafkan oleh keluarga besar kami belah Batak Rabit kepada masjid. Saya sebut belah Batak Rabit kerana keturunan anak cucu Laksamana sangatlah ramai. Merata ada di Semenanjung, yang di Perak ini pula ada telah bersemenda dengan keluarga Menteri Paduka Tuan, keluarga Panglima Kinta, keluarga Temenggung, Panglima Bukit Gantang juga dengan kerabat diraja Perak.

Lagipun kami sendiri memang berasal daripada keturunan kerabat diraja Aceh, Bugis dan Perak. Kalau di belah Batak Rabit ini boleh dikatakan semua tanah yang ada asalnya adalah milik keluarga kami, selepas beberapa lama baru dijual lalu menjadi hak milik orang lain. Kami berasal daripada keluarga bangsawan yang kaya raya. Sultan Perak ke-26, Sultan Abdullah pun bersemayam dalam kawasan kota keluarga kami ketika bertakhta tahunn 1874 hingga 1877.




Selesai itu baru ke masjid di mana saya ingin beriktikaf dan bermalam. Untuk makluman di celah-celah singgah di pelbagai tempat itu saya pergi melihat Sungai Perak juga Sungai Bidor yang merupakan cawangan terbesar Sungai Perak dari beberapa tempat. Artikel-artikel berkenaan telah dibuat dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH  dengan corak 1-3-1 yang tidak dirancang, sekadar mengikut kronologi lawatan iaitu bermula di Sungai Perak diikuti tiga tempat di Sungai Bidor dan ditutup di bahagian lain Sungai Perak. Lihat :-







Tiada ulasan:

Catat Ulasan