Sabtu, Jun 25, 2022

Masuk komputer riba yang ke-9 daaa...

Salam hari Sabtu malam Ahad 26 Zulkaedah 1443 Hijriah. Merujuk pada artikel Akhirnya komputer ribaku yang ke-7 tewas juga yang dipersembahkan hampir 2 bulan lalu. Adapun artikel itu ditulis dan diberi tajuk sebegitu rupa kerana menjadi perbandingan bagi cerita yang dikongsikan dalam artikel Komputer-komputer riba yang pernah dimiliki kira-kira 8 minggu lebih awal. Kiranya saya hendak menunjukkan hal komputer riba ke-8 yang menggantikan komputer ke-7 itu. 

Saya sebut "akhirnya komputer ribaku yang ke-7 tewas juga" kerana antara tujuh biji komputer riba yang dimiliki sejak yang pertama tahun 2002 ia dapat bertahan paling lama iaitu lebih sedikit dari 4 tahun. Paling sedikit waktu suatu komputer riba saya dapat bertahan pula adalah lebih sedikit dari 2 tahun, walaupun 3 daripada 7 komputer itu adalah dibeli terpakai. Dengan itu saya mengharapkan komputer ke-8  yang dibeli  pada 26 April, juga terpakai, harus dapat bertahan sehingga sekurang-kurangnya Mei 2024. Namun apa yang berlaku sangat mengecewakan. Ini ceritanya...



Ini adalah komputer ke-8 itu. Dalam artikel Akhirnya komputer ribaku yang ke-7 tewas juga saya ada menyebut begini :-


Saya pun ke bandar Rawang untuk mencari komputer terpakai yang cukup elok. Alhamdulillah dapat komputer dalam gambar dengan harga RM700, processor pun bagus, I5 walaupun jenis lama iaitu generasi kedua. Ia hampir sama rupa dengan komputer ke-5 saya (rujuk kembali senarai dalam artikel Komputer-komputer riba yang pernah dimiliki). Jenama komputer pun sama iaitu Sony Vaio. Cuma warna sahaja lain (dahulu berwarna merah kejambuan gitu). Model pula yang dahulu adalah PCG-61213W, yang ini PCG71311N.


Sekarang. Biar dinyatakan. Komputer ini tidak memiliki processor I5. Setelah disemak betul-betul yang ada sebenarnya processor Intel jenis lama dengan kelajuan 1.87GHz gitu. Kalau I5 harus sekurang-kurangnya 2.3GHz. Cuma label pada komputer sahaja menyebut I5.

Tak mengapa. Saya tolak itu ke tepi dahulu. Mungkin kerana berkenan pada rupa luarannya. Tak disangka pula selepas baru sebulan gitu memakainya ia tak boleh hidup. 

Hal ini ada diceritakan dalam artikel Dari ISTAC ke PBAKL 2022 (ditulis 8 Jun) sebegini :-


Salam awal pagi Rabu 8 Zulkaedah 1443 Hijriah. Adapun cerita kali ini sepatutnya sudah dipersembahkan selewatnya Ahad lalu. Tetapi mood penulisan saya terganggu akibat komputer riba rosak lalu harus dihantar ke kedai untuk diperbaiki. Petang semalam pula baru mendapat tahu perlukan masa lagi seminggu sedangkan komputer sudah dihantar seminggu sebelum itu. Nak tak nak kena pinjam komputer riba isteri bagi melepaskan cerita. Ini dia..


Saya mendapat tahu komputer siap diperbaiki pada hari Rabu malam Khamis 15 Jun lalu mengambilnya keesokan hari. Masalahnya adalah processor dahulu rosak lalu digantikan dengan processor I3 model paling awal. Itupun saya sudah bersyukur amat sangat. Tengok-tengok pagi Khamis 23 Jun komputer tidak dapat dihidupkan lagi. Nampaknya sama masalah, processor rosak lagi. Cuma bezanya dahulu masih dalam tempoh warranty sebulan. Kali ini tiada lagi warranty.

Nak ganti processor baru bukan sahaja memakan belanja. Yang masalah takut kena lagi. Takkan semata-mata masalah processor boleh jadi rosak begitu cepat? Harus ada masalah lain yang nampaknya tidak berbaloi untuk cuba diperbaiki.




Nasib baik isteri prihatin terhadap keperluan saya lalu mengajak ke Kuala Lumpur untuk mencari komputer baru siang tadi. Kali ini tak cari langsung komputer 2nd hand. Terus cari yang baru. Alhamdulillah dapat ketemu yang sesuai pada harga yang berpatutan. Cukuplah disebut ia jenama Lenovo (pertama kali saya memakai komputer jenama ini) model V14 Gen 2 dengan processor I3 1115g4 (11th generation), 8Gb RAM, 128 SSD + 1Tb HHD pada harga kurang RM2,000. Sedangkan komputer-komputer saya sebelum ini walau ada yang I3, I5 dan I7 tetapi semua jenis lama 1st atau 2nd generation

Merujuk kembali pada komputer ke-8 yang rosak . Yang jumlah penggunaannya saya kira cuma meliputi tempoh berjumlah 6 minggu sahaja. Walaupun rugi RM700 saya tetap bersyukur kerana sebelum rosak kali pertama saya sempat menyempurnakan peringkat ke-3 penulisan tesis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadan Islam) membawa kepada peringkat akhir sebelum dirasakan cukup lengkap untuk diserahkan kepada penyelia saya Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Selepas diperbaiki sebelum rosak kembali pula saya sempat menyiapkan satu formaliti berupa amended thesis proposal lalu menjadikannya sebagai Bab 1 (sebagai ganti Bab 1 sebelum itu) untuk disambungkan pada keseluruhan tesis lalu membuat beberapa perubahan berkaitan. Saya sempat menulis dua buah artikel pada malam sebelum ia rosak lagi iaitu Kerohanian Islam, keSufian dan percambahan saintifik diikuti Mat Kilau : Antara realiti dan fantasi. Esoknya pagi ketika hendak memulakan pengumpulan bahan bagi satu projek buku akan datang tengok-tengok komputer tak boleh hidup langsung.

Sedikit kerja berkenaan buku tersebut telah dibuat menggunakan komputer isteri  iaitu komputer pejabat dengan processor I5 10th generation pada 2 malam lepas. Selepas ini bolehlah disambung kerja dengan komputer baru yang merupakan komputer riba saya yang ke-9! Oh. Setakat memberitahu. Maghrib tadi telah saya merasmikannya dengan membuat artikel Pemenang dirham Webinar logam berharga HIKMAH di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) Untuk makluman penulisan ini menjadi artikel ke-2,272 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan