Ahad, April 03, 2022

Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - Antara Gunung Besout dan Teluk Intan

Salam 1 Ramadhan 1443 Hijriah. Selamat berpuasa semua. Merujuk pada artikel Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Menyahut dahulu panggilan 'keLinggian' dan Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Melengkapkan panggilan Ulu Muar dengan Az-Zukhruf. Adapun selepas membuat pengembaraan berkenaan pada hujung minggu lalu 26-27 Mac saya fikir tidak mahu lagi membuat apa-apa lagi perjalanan lebih 40 km dari kawasan rumah sehingga paling awal penghujung bulan April. Tengok-tengok muncul satu hal menyebabkan saya harus bergegas ke Teluk Intan sekitar 130 km ke utara. Petang semalam baru sampai kembali ke rumah. Sekarang biar dikongsikan cerita...



Lewat petang Rabu 30 Mac 2022 saya mendapat panggilan telefon daripada seorang saudara meminta agar dapat hadir untuk dua sesi mesyuarat di Teluk Intan pada hari Jumaat 1 April. Oleh kerana ia melibatkan hal warisan keluarga saya rasa harus bersama walaupun kepenatan. Selain penat asyik berjalan jauh boleh kata hampir setiap hujung minggu sejak dua tiga bulan kebelakangan saya juga sibuk dengan kerja-kerja bagi menyiapkan penulisan tesis bersama ISTAC (Institut Antarabanga Tamadun dan Pemikiran Islam).

Nasib baik isteri memberikan semangat. Beliau menyarankan agar saya keluar bermalam lalu bersedia untuk mengambil alih urusan persekolahan anak yang biasa saya buat. Petang Khamis 31 Mac selepas Zohor saya pun mengorak langkah ke Teluk Intan. 




Terus mengambil Lebuh Raya PLUS supaya cepat sampai...











Sebetulnya yang nak cepat sampai tu bukan Teluk Intan sangat. Saya tidak perlu cepat sampai pun pada hari Khamis sebenarnya. Tetapi ada tempat yang hendak disinggahi dalam perjalanan. Saya teringin sangat hendak memanjat gunung kecil yang kelihatan.




Namanya Gunung Besout, dekat-dekat Sungkai, Trolak dan Slim River. Saya telah mendapat tahu laluan terdekat untuk menuju ke puncak tertingginya iaitu sekitar 1,300-1,400 kaki dari paras laut adalah melalui jalan masuk di ladang kelapa sawit berdekatan MRSM Trolak. Saya pun masuk sejauh mungkin yang boleh dicapai dengan kereta kecil. Selepas itu menyambung dengan berjalan kaki...




Namun didapati jalan kelapa sawit banyak bercabang. Seharusnya puncak boleh dicapai dalam tempoh 30 minit hingga sejam. Tetapi saya tidak tahu laluan yang perlu diambil, cuma main jalan sahaja kemudian agak-agak le simpang mana nak ambil. Dalam keadaan begitu banyak masa terbuang. Lihat artikel Exploring the ways to Gunung Besout di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Selepas jam 4.30 baru menyambung perjalanan ke Batak Rabit. Terus menghala ke Kampung Batak Rabit lalu singgah di sebuah restoran mamak untuk makan petang.




Sekitar jam 6.30 gitu baru sampai ke Batak Rabit lalu terus ke rumah ibu saudara. Ini adalah pemandangan selepas matahari terbenam dari jeti berdekatan menghadap Sungai Perak. Saya ada mengambil gambar ketika hari terang. Lihat Late afternoon at a jetty in Batak Rabit.

Keadaan begitu menenangkan sehingga saya terus duduk seorang diri di jeti sampai selepas jam 8 malam. Di situlah dihabiskan bacaan juzuk ke-29 Al-Quran. Di situ juga dijamakkan solat Maghrib dan Isyak sebelum membuat zikir malam kemudian membaca Surah Yassin bagi malam Jumaat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan