Khamis, Januari 13, 2022

Semangat pedang bagi tahun 2022

Salam hari Khamis malam Jumaat 13 Januari 2022 yang tarikh Islamnya sudah jatuh pada 11 Jamadil Akhir 1443 Hijriah. Adapun dengan selesainya cerita-cerita perjalanan ke Pantai Timur 18-25 Disember lalu terbitlah artikel Kompilasi cerita perjalanan Pantai Timur penghujung 2021 pada 2 hari lalu barulah saya betul-betul boleh beralih pada tahun baru 2022 yang sudah masuk hampir 2 minggu. Walaupun ada membuat beberapa perjalanan kecil sebelum masuk tahun baru termasuk melihat kesan kemusnahan akibat banjir di Selangor tidak ada keperluan untuk memanjangkan cerita. Cukuplah ia menjadi nota kecil dalam artikel ini supaya tidak lupa. Sekarang beralih pada cerita baru yang boleh dikatakan mewakili semangat saya bagi tahun 2022.



Petang Sabtu 8 Januari isteri memberitahu telah keluar dalam Facebook seorang rakan gambar beberapa pedang menarik yang boleh menepati citarasa saya.




Kawan tersebut adalah seorang peniaga senjata tradisi Melayu. Beliau selalu datang berniaga membawa barangan seperti keris, badik, tumbuk lada dan sebagainya ke majlis-majlis yang melibatkan persilatan dan busana tradisional Melayu.




Namun sejak setahun lebih kebelakangan beliau lebih banyak menumpukan pada pedang.




Adapun pada malam tahun baru 31 Disember lalu saya dan isteri ada bertandang ke tempat beliau di Bangi untuk majlis Maulidur Rasul. Selesai majlis sekitar 12.30 saya pun meneliti segala macam pedang yang ada.




Namun tidak ada yang betul-betul berkenan di hati. Yang ada setakat sipi-sipi...




Beliau pun memberitahu tunggu dalam seminggu lagi. Insyaallah beliau akan menerima stok baru. Mungkin akan ada yang saya berkenan?




Ternyata memang ada stok baru menarik datang seminggu selepas itu. Ini dapat dilihat dalam FB beliau.




Melihat pada gambar-gambar yang ditunjukkan dalam FB (boleh klik sini) saya dapati pedang yang kelihatan (pertama dari kiri dalam gambar pertama dan kedua) boleh menepati cita rasa saya.




Ya. Bentuk matanya kelihatan sesuai. Bilahnya pun cukup melengkung tetapi tidak terlalu melengkung. Sesuai dengan permainan peribadi saya. Yang perlu seterusnya adalah 'menimbang' dan 'merasanya' secara nyata.




Petang Isnin 10 Januari sampailah saya sekali lagi ke kedai rakan di Bangi lalu terus mendapatkan pedang tersebut.




Alhamdulillah terasa ia cukup serasi...




Hal ini dikongsikan dalam FB berserta 3 gambar atas. Pergi kepada 'batin' cerita...


-------------


Malam itu saya pergi ke sebuah rumah lama milik keluarga di Kajang untuk bersendirian bersama pedang. Tiba-tiba mendapat berita abang sulung isteri tidak sedarkan diri. Tidak lama kemudian beliau menghembuskan nafas terakhir. Ketika semua  ini berlaku saya sedang leka membelek dan bermain dengan pedang. Timbul rasa seperti ada kena mengena dengan satu mimpi. Hal ini membuat saya berkongsi satu artikel lama yang pernah ditulis di blogspot ini pada tahun 2007. Pautannya diletakkan berserta teks berikut di FB awal pagi Selasa 11 Januari iaitu pada jam 00.45...



APA CERITA PEDANG INI SEBENARNYA?
Hampir 15 tahun lalu aku menulis tentang mimpi berkenaan pedang yang terasa serasi. Setelah lama mencari baru malam semalam ternampak di Internet lalu petang tadi dapat memiliki pedang sebegitu, cuma sarungnya sahaja tidak sama dengan yang dalam mimpi. Dalam mimpi pedang diterima setelah berlaku kematian dalam keluarga, rasanya di belah seorang bapa saudara yang terkait dengan keluarga Maharajalela Perak. Sedangkan realitinya sebelum tengah malam tadi abang iparku, abang sulung isteri yang berdarah Jawa tetapi dipercayai berdarah kerabat Banjar campur keturunan Wali Songo baru sahaja meninggal dunia setelah tiba2 tidak sedarkan diri. Apa cerita ni?




Artikel yang memperincikan mimpi berkenaan berserta beberapa hal yang mungkin berkaitan diberi tajuk  Merah Syahir Nuwi, Aceh, Siam dan mimpi pedang. Oh. Semasa menulis teks atas di FB tiba-tiba kipas angin berdiri dalam bilik di Kajang berbunyi "grok grok" seperti ada batu-batu kerikil kecil tersangkut pada kipas. Hal ini hampir serupa ketika saya menerima sehelai selempang merah, dalam bilik sama sekitar penghujung tahun 2001 atau awal tahun 2002 gitu. Ketika itu kipas kedengaran seperti dijolok dengan batang penyapu. Ini membuat saya terbangun sekitar jam 4 pagi. Ketika itulah kelihatan selempang di atas lantai sebelah kipas entah datang daripada mana.

Selepas itu saya diberitahu bahawa selempang itu ada 'kawannya' iaitu sebilah pedang. Kedua-duanya adalah hak pengenalan diri selain alatan perang. Sejak itu saya cuba mencari tetapi tidak tahu ciri-ciri. Bila dapat mimpi tahun 2007 baru tahu apakah ciri-ciri tetapi masih tak ditemui pedangnya. Baru kini dapat sebilah seperti dalam mimpi.

Apapun malam itu, awal pagi Selasa 11 Januari susah betul hendak tidur. Dalam jam 4.30 saya pun membuat keputusan untuk mandi. Selepas menunaikan solat Tahajud lalu membaca beberapa muka surat Al-Quran saya bergegas ke rumah arwah abang ipar di RTB (Rancangan Tanah Belia) Bukit Changgang. Isteri telah lebih awal bertolak iaitu sekitar jam 3 pagi bersama anak-anak.

Dipendekkan cerita di sanalah kami mengikuti segala macam urusan jenazah, pengkebumian, kehadiran saudara mara dan majlis tahlil sehingga keesokannya hari Rabu 12 Januari. Jika asalnya selepas bermalam di Kajang saya mahu kembali ke rumah di Bandar Sungai Buaya petang Selasa keadaan membuat saya ingin memanjangkan lagi pengembaraan sehingga hari Khamis. Timbul gerak untuk menyusuri Sungai Langat dari kuala ke hulu. Bergeraklah petang Rabu itu ke Jugra di mana terletaknya kuala, naik Bukit Jugra hingga ke puncak dan bermacam hal sebelum bergerak ke hulu lalu menginap dalam masjid di Pangsun dekat kaki Gunung Nuang malam semalam. Selepas tengah hari baru meninggalkan persekitaran untuk kembali ke rumah,. Seperti biasa singgah bermacam tempat termasuk mandi sungai.

Perjalanan yang tercetus atas asbab mahu mengambil pedang tetapi dipanjangkan setelah berlaku kematian abang ipar ini memakan jarak keseluruhan 390 km. Sejak mengambil pedang ia hampir tidak lekang dari tangan, sampai masuk tidur pun ikut sama jadi seperti bantal. Pedang sudah cukup serasi, sekarang dalam proses untuk menjadikan ia sebati. Dengan ini sukacita diisytiharkan bagi tahun 2022 saya membawa semangat pedang. Entah apakah maknanya? Ada le tu.


Nota : Sambil menulis ini saya juga mengikuti syarahan tentang ilmu Martabat Tujuh oleh Tokku Ibrahim, seorang keturunan Tok Pulau Manis (wali besar Terengganu 300 tahun lalu). Dah open dah, tanpa berselindung lagi ilmu tinggi ini. Terasa ada kena mengena dengan diri sendiri mengisytiharkan semangat pedang bagi tahun 2022. Hmm...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan