Khamis, November 18, 2021

Pulau Pinang milik siapa? Dari pendudukan Light 1786 sehingga merdeka 1957

 OK. Daripada cerita perjalanan beralih kita ke majlis ilmu...



Sekitar 3-4 hari lepas saya mendapati poster atas timbul di salah satu grup WhatsApp juga ada keluar di Facebook. Melihat pada tajuk yang sangat menarik disertai barisan panelis yang amat berwibawa saya berazam mahu mengikut majlis apabila sampai masanya nanti petang Khamis. Namun sejak pagi tadi saya disibukkan dengan hal-hal lain termasuk mahu menyiapkan artikel Panggilan Musuh Bisik : Membawa aura perjuangan sehingga ke Beting Beras Basah untuk dipaparkan sebelum waktu Zohor. Kemudian disediakan dahulu isi artikel pelengkap gerak iaitu Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah bagi paparan malam Jumaat. Sedar tak sedar dalam keadaan diri juga kurang sihat masuk jam 3.15 petang baru teringat tentang majlis. Itupun selepas ternampak poster dipaparkan lagi di FB.

Saya pun cepat-cepat mencari FB page berkenaan untuk mengikuti majlis. Kelihatan Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali yang disebut dalam poster sebagai ahli panel pertama sedang berkongsi ilmu. Namun saya mengikuti majlis dalam keadaan sudah penat dan mengantuk amat. Lalu ada masanya tertidur ada masa terbangun. Maka biar diberikan semacam ringkasan isi berdasarkan apa yang saya dapat tangkap dan ingat.

Ketika saya masuk mengikut majlis Abdullah Zakaria sedang menyatakan bahawa memang benar sebenarnya tidak ada perjanjian tahun 1786 seperti sering disebut orang. Ini merujuk kepada apa yang sering disebut orang sebagai perjanjian yang memulakan pajakan British atau lebih tepat, Syarikat Hindia Timur Inggeris terhadap Pulau Pinang. Dikatakan Kedah telah bersetuju untuk memajak lalu Pulau Pinang secara efektifnya menjadi milik British sejak itu.

Disebabkan 'perjanjian' itulah maka bendera Union Jack mula dinaikkan di Pulau Pinang lalu pegawai SHTI (hampir sama ejaan dengan shit) Francis Light disebut sebagai orang yang 'menemukan' pulau tersebut. Sebetulnya tiada perjanjian 1786 kata Abdullah. Yang ada cuma surat kerajaan Kedah menawarkan perjanjian dengan syarat-syarat tertentu, syarat yang tidak pun dipenuhi Inggeris.

Namun kemudian berlaku perjanjian tahun 1791 yang menurut Abdullah memang bersifat perjanjian diikuti perjanjian tahun 1800 yang mana wilayah Seberang Perai pun turut dimasukkan ke dalam penguasaan SHTI. Seterusnya berlaku Perjanjian Burney tahun 1826  yang mana antara kesannya adalah pembentukan apa yang dipanggil sebagai Negeri-negeri Selat (Straits Settlements). Pulau Pinang pun termasuk di dalamnya selain Melaka yang diperolehi Inggeris melalu perjanjian dengan Belanda tahun 1824 dan Singapura melalui perjanjian dengan Sultan dan pembesar Melayu di sana tahun 1819. Negeri-negeri Selat ini kemudian dipegang oleh Colonial Office di London. Ini menandakan statusnya jelas menjadi jajahan takluk Raja Inggeris.

Tahun 1946 Negara-negara Selat disekalikan dalam pembentukan Malay Union. Tetapi Malay Union yang bakal menghilangkan kuasa raja-raja Melayu ditentang oleh rakyat lalu sebagai gantinya terbentuklah Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 tetapi tanpa Singapura. Dalam pembentukan ini Pulau Pinang dan Melaka mendapat status yang sama dengan negeri-negeri lain. Seterusnya berlaku kemerdekaan negara Malaysia atau lebih tepat kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 lalu status Pulau Pinang sebagai negeri yang boleh berdiri sendiri diteruskan hingga kini.

Profesor Dato' Dr Ahmad Merican yang disebut poster sebagai ahli panel kedua pula lebih menekankan apa yang berlaku pada tahun 1786. Kata beliau status 'perjanjian' yang sebenarnya tidak menjadi perjanjian menentukan segala sesuatu selepas itu. Dr Ahmad Jelani Halimi yang disebut sebagai ahli panel ketiga memberikan latar belakang lebih besar yang membawa kepada Pulau Pinang dijajah Inggeris. Diceritakan tentang bagaimana serangan Burma terhadap kerajaan lama Siam Ayuthia (tahun 1767) sehingga hancur kota Ayuthia menyaksikan kemunculan dinasti baru yang lebih aggresif berpusat di Bangkok. 

Dalam keadaan dinasti baru (yang disebut ramai pengkaji sebagai berbangsa Sukothai dari selatan China, bukan Siam asal) sering mengancam negeri-negeri Melayu yang terletak ke selatan Segenting Kra inilah kehadiran Inggeris dialu-alukan oleh Sultan Kedah supaya dapat membantu menghilangkan ancaman. Namun kemudian berlaku Perang Musuh Bisik tahun 1821 menyaksikan Bangkok menjajah Kedah secara terus buat suatu waktu. 

Lalu Pulau Pinang milik siapakah sebenarnya? Kalau dahulu jelas ia milik Kedah. Namun kemudian menjadi jajahan Inggeris kemudian merdeka sebagai negeri sendiri. Hendak tahu lebih lanjut sila ikuti rakaman video di sini. Pergi terus ke minit 31 agar tidak tertunggu-tunggu lama. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,200 di blogspot ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan