Selasa, Oktober 19, 2021

Tempat kelahiranku Muar, kerinduan pada ibu bapa dan Maulidur Rasul

Salam semua. Salam pagi 12 Rabiuawal, hari Maulidur Rasul. Untuk hari ini ada perkongsian istimewa yang sangat dekat dengan hati. Kiranya berkesinambungan dengan artikel Aku, ISTAC, pandemik Covid-19 dan Jumaat yang berkat yang ditulis pada hari Jumaat 1 Rabiuawal, hari pertama bulan Maulidur Rasul.



Rabu 13 Oktober 2021 malam Khamis yang tarikh Islamnya sudah masuk 7 Rabiulawal 1443 Hijriah, sekitar jam 10.30 saya dan keluarga bertolak meninggalkan rumah untuk satu perjalanan jauh.




Kami mahu mengambil kesempatan di atas kelonggaran PKP (Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan virus Covid-19) yang mana rakyat Malaysia boleh membuat perjalanan rentas negeri bermula pada hari Isnin 11 Oktober. Kali terakhir kami berjalan rentas negeri adalah pada bulan Disember tahun lepas. Tidak lama kemudian PKP diperketatkan kembali. Buat satu tempoh hendak keluar daerah pun tak boleh. Kemudian boleh, kemudian tak boleh lagi.

Hal ini menyebabkan rata-rata rakyat Malaysia tidak dapat kembali ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri pada pertengahan Mei, satu perkara yang turut berlaku pada musim raya tahun 2020. Cuma pada tahun itu perjalanan rentas negeri dibenarkan sekitar sebulan selepas Syawal lalu rakyat boleh kembali ke kampung untuk Hari Raya Aidil Adha hampir penghujung Julai. Tahun ini langsung tak boleh kerana situasi jangkitan Covid-19 lebih teruk berbanding dahulu. Maka masuk 11 Oktober itulah baru orang ramai boleh balik kampung...



Kami sengaja memilih lewat malam pada 13 Oktober untuk bertolak supaya tidak berselisih dengan ramai orang yang juga mahu balik kampung. Alhamdulillah perjalanan kami lancar tanpa melalui sebarang kesesakan sehingga sampai ke kampung di Muar, sekitar 240 km dari rumah kami di Sungai Buaya, Rawang. Gambar ini diambil pada pagi Khamis 14 Oktober. Kami mahu keluar bersarapan di bandar Muar bersama ibu bapa.



Kami mahu makan nasi beringin tapi sudah habis. Maka tukarlah pergi ke kedai jual satay...



Satu perkara menarik tentang Muar adalah satay biasa dimakan untuk sarapan bukan untuk makan tengah hari atau malam seperti di tempat lain.



Dan ada kedai masih mengamalkan cara lama yang mana satay pelbagai jenis terus dihidangkan di atas meja tanpa perlu menyatakan apa yang kita mahu dan berapa cucuk. Kita cuma perlu membayar beberapa cucuk yang sudah dimakan.  Berbeza dengan tempat lain di mana kita perlu membayar harga bagi jumlah yang diminta walau satay tidak disentuh.



Pagi Jumaat 15 Oktober saya keluar seorang diri ke bandar.




Singgah ke tempat makan di Tanjung Emas pekena asam pedas. Dah habis makan baru teringat nak ambil gambar.



Saya keluar seorang diri kerana mahu menunaikan solat Jumaat di masjid jamek Muar di sebelah tanjung, dekat kuala Sungai Muar. Bapa menunaikan solat di masjid kampung 7 km ke timur laut sementara dua orang anak laki-laki tidak dapat ikut kerana menurut SOP (standard operating procedure) bagi PKP tidak cukup umur untuk bersolat Jumaat di mana-mana masjid.



Alhamdulillah dapat juga bersolat Jumaat di masjid tempat saya selalu bersolat juga bermain semasa zaman kanak-kanak. Gembira rasa hati dapat melakukannya setelah sekian lama. Oh. Kali terakhir saya, isteri dan anak-anak kembali ke kampung bertemu ibu bapa adalah pada cuti Krismas penghujung tahun lalu. Kali terakhir bersolat Jumaat di masjid jamek? Tak ingat. Mungkin pada awal tahun 2020, mungkin sebelum itu.

Kali ini saya mengambil peluang untuk beriktikaf sedikit lama di masjid jamek Muar. Dapatlah mengaji satu juz Al-Quran hingga tamat. Hari itu adalah giliran untuk menamatkan juz ke-8 kerana tarikh Islamnya adalah 8 Rabiulawal. Bila melihat gambar di tempat makan tadi ada pula nombor 8 sebagai nombor gerai. Padahal tak rancang pun hendak makan di situ malah ke tempat makan pun tak rancang. Cuma perlu singgah kerana terasa lapar lantaran keluar awal dari rumah tanpa sempat makan kerana tidak mahu terlepas kuota masuk bersolat di masjid.



Ketika keluar untuk meninggalkan masjid sudah hampir jam 4 petang. Alhamdulillah saya juga dapat membuat sedikit kerja untuk penulisan tesis. Rujuk hal berkenaan dalam artikel Aku, ISTAC, pandemik Covid-19 dan Jumaat yang berkat. Gambar atas menunjukkan masjid jamek kedua Muar. Rupanya hampir sebijik dengan masjid jamek pertama. Jika masjid pertama siap dibina pada tahun 1930an masjid kedua yang terletak di seberang Sungai Muar hampir setentang dengan masjid pertama pula siap dibina sekitar 70 tahun kemudian. Cuma bahagian seberang ini kemudian masuk dalam daerah Tangkak yang tercipta akibat daerah Muar dipecah dua sekitar tahun 2008 (kalau tak salah ingatan).



Gambar ini pula diambil pada pagi Sabtu 16 Oktober. Kelihatan anak kecil saya sedang merenung Sungai Muar dengan masjid jamek kedua kelihatan di sebelah kanan.




Kali ini kami sekeluarga dapat menikmat hidangan nasi beringin yang didambakan. Kali ini kami keluar lebih awal.



Selepas makan kami keluar berjalan-jalan ke seberang sungai yang telah masuk ke dalam daerah Tangkak itu. Gambar ini diambil di atas jambatan ketika hampir kembali ke bandar Muar.




Singgah membeli air kopi sejuk di kedai khas Kopi 434. Anak bongsu saya suka bebeno kopi ais sini.




Lewat petang itu kami bergerak ke Melaka untuk melawat seorang adik saya yang menetap di Bukit Katil. Keesokannya selepas menginap di rumah beliau kami bergerak ke arah barat laut.



Lalu di pekan Masjid Tanah jam 1.16. Kami mahu melawat seorang ibu saudara. Suaminya yang merupakan adik kepada bapa saya sudah kembali ke rahmatullah.



Gambar ini pula diambil pada jam 4.14, ketika menyeberang Sungai Linggi dekat Kuala Linggi lalu masuk ke Negeri Sembilan meninggalkan negeri Melaka.




Seterusnya kami menziarahi seorang kawan warga Aceh yang telah lama berumah tangga dengan seorang wanita Malaysia di rumah ibunya di Sendayan. Gambar ini diambil kemudian pada jam 6.38. Ketika itu kami sedang menghampiri Kuala Lumpur.

Malam itu kami melawat seorang adik ibu dan suaminya di Bukit Damansara. Oh. Perjalanan dari Muar ini sebenarnya dibuat bersama ibu bapa. Bapa memandu kereta sendiri, dia yang mahu walau saya sedia untuk mengambil dan menghantar mereka. Ibu bapa saya kedua-duanya berumur 79 tahun, lahir tahun 1942. Alhamdulillah, bapa masih cekap memandu, cuma penglihatan waktu malam ada sedikit kurang.

Pada ketika ini mereka ada di rumah kami insyaallah hingga minggu hadapan. Mereka perlu kembali ke Muar nanti kerana ibu ada temu janji di hospital. Cukuplah perkongsian daripada saya untuk pagi 12 Rabiuawal. Allahumma soli ala Saidina Muhammad wa ala ali Saidina Muhammad.



1 ulasan:

  1. Rindu bila teringatkan kenangan di Tanjung Ketapang alias tanjung yang dipenuhi monyet... Rindu juga suasana di medan selera Tanjung emas, melihat pesisiran muara sungai Muar.. rindu juga suasana di sabak awor... Tapi itu cuma kenangan sahaja...

    Edit: Berapa banyak rindu daa

    BalasPadam