Rabu, Mac 03, 2021

Wacana Pak Ungku - Profesor Diraja teladan sepanjang zaman

OK. Satu lagi artikel tentang majlis ilmu. Kali ini berlaku semalam.


Pagi Selasa 2 Mac 2021 berlangsung satu majlis atas nama "Siri Wacana Pak Ungku : Jejak-jejak di Pantai Zaman". Ia adalah yang pertama antara empat edisi yang mahu dianjurkan oleh Universiti Islam Antaranbangsa Malaysia (UIAM) dan persatuan kakitangan akademiknya (ASA) bersama Dewan Bahasa dan Pustaka, Edisi pertama itu diberi judul atau topik  "Profesor Diraja Sepanjang Zaman". 




Nama Pak Ungku merujuk kepada cendekiawan besar tanah air almarhum Profesor Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid (lahir 28 Januari 1922, meninggal dunia 15 Disember 2020). Moderator, Puan Mizan Muhammad (atas paling kiri dalam gambar) memperkenalkan beliau sebagai satu-satunya Profesor Diraja yang pernah ada di Malaysia juga satu-satunya orang yang pernah menjadi naib canselor universiti selama 20 tahun (di Universiti Malaya atau UM). Seterusnya diperkenalkan dua orang panelis yang akan mengupas topik. Beliau adalah Profesor Emeritus Dato' Dr Asmah Omar, pakar bahasa (linguistik), penulis buku biografi Pak Ungku (sebelah Mizan dalam gambar) dan Profesor Datuk Dr Osman Bakar,  pakar matematik dan falsafah Islam (kanan atas). Kedua-dua mereka pernah bekerja lama di bawah Pak Ungku di UM. Dipanggil untuk memberikan kata-kata aluan dan pembukaan adalah Rektor UIAM Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (bawah dalam gambar). 



Seperti biasa pada mana-mana majlis melibatkan beliau Dzulkifli memberikan banyak maklumat yang boleh mendasari suatu topik. Selepas memberikan sedikit pengenalan ringkas tentang apa yang diketahuinya tentang tokoh beliau menyatakan empat perkara sebagai ketegasan Pak Ungku. Ini adalah keberaniannya, kejujuran beliau, kebebasannya berfikir dan bertindak. Menurut beliau empat perkara ini perlu ada untuk mentadbir pusat pengajian tinggi. Kalau tiada kita (dunia akademik) tak akan ke mana-mana. Kata Dzulkifli beliau pernah menjadi naib canselor empat buah universiti lalu mendapati dunia akademik masih berlegar-legar dalam persekitaran yang sama (tidak ada kemajuan yang sepatutnya).

Dengan itu contoh harus diambil daripada Pak Ungku. Beliau memiliki jiwa di tanah air sendiri. Walaupun dilahirkan di London dan membesar di sana, pendidikan pertengahan baru di Malaysia beliau kemudian terus berkhidmat di sini terutama untuk masyarakat marhaen. Sedangkan ada orang Malaysia membesar di sini kemudian menyambung pelajaran di luar negara tetapi jadi lupa diri kemudian tak mahu balik tetapi sibuk pula mengkritik negara sendiri.

Kedua, walaupun beliau seorang ekonomis tetapi merentas bidang. Boleh bercakap tentang apa sahaja, budaya, world affairs (hal ehwal dunia), sains dan berbagai lagi perkara. Kita perlu jadi seperti itu sambil dapat membawa nilai sendiri, nilai orang Melayu. Dzulkifli mengkritik sifat orang kita yang sering bangga menumpang budaya orang. Sanggup pakai kot bagai walaupun panas kerana merasakan ia lambang orang berjaya.

Pak Ungku hatinya kepada rakyat kata Dzulkifli. Lima contoh sumbangan pentingnya kepada orang banyak dibuat iaitu Tabung Haji (semua orang harus tahu ini), Angkasa (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia), RIDA (Rural & Industrial Development Authority atau bahasa Melayunya Lembaga Kemajuan Kampung & Perusahaan - sebelum ditukar menjadi MARA iaitu Majlis Amanah Rakyat), Dewan Bahasa dan Pustaka juga Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dzulkifli pun bertanya kalau lima perkara ini diletakkan pada mana-mana naib canselor di manakah kita?

Akhir sekali Pak Ungku katanya tidak percaya pada ranking atau penarafan. Ini menurut Dzulkifli kini menjadi ketaksuban bagi para naib canselor. Beliau kemudian meletakkan Pak Ungku sebagai beyond renaissance man. Ini  faham saya merujuk pada takfir renaissance man yang membawa makna orang yang memiliki pelbagai jenis bakat dan bidang pengetahuan. Maknanya Pak Ungku melangkaui itu.

Pun begitu Dzulkiflu menyebut renaissance man sebagai ditakrifkan Barat melebihkan pengetahuan duniawi, tidak ada dimensi kerohanian dalam diri. Menurut beliau walaupun Pak Ungku bukan jenis orang yang pandai melaung-laungkan ayat-ayat Al-Quran perbuatan seperti menubuhkan Tabung Haji (untuk memudahkan orang ramai menunaikan ibadah haji di Mekah) cukup untuk menunjukkan beliau orang yang bagaimana.



Sampai masa untuk para panelis berbicara moderator pun memberitahu ia mahu diadakan secara santai borak-borak. Diajukan soalan kepada panelis pertama iaitu Asmah tentang karakter Pak Ungku yang menurut beliau tidak mahu memegang apa-apa gelaran (maksudnya gelaran Dato', Tan Sri dan sebagainya) sehingga dikatakan pernah disisihkan dalam suatu majlis. 

Sebetulnya saya merasa pelik dan geli hati mendengar ini. Pada saya apa 'barang' sekadar bergelar Dato', Tan Sri malah Tun sekali pun? Pak Ungku bergelar atau memilik nama awal Ungku itu bukan main-main. Gelaran keturunan tersebut diwarisi daripada ayahnya Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid sedangkan datuknya Ungku Abdul Majid itu adalah adinda kepada Sultan Abu Bakar Johor. Bermakna beliau adalah kerajat diraja rapat Johor, memang daripada keluarga orang berada dan kaya raya. Tetapi begitulah orangnya, amat merendah diri. 

Bandingkan dengan ramai orang lain sekarang ini. Belum lagi kaya, kerabat diraja malah bijak pandai seperti beliau... kalau ada muka iras Mat Saleh pun ramai dah berlagak bagus, tidak lagi Melayu konon, lebih tinggi taraf daripada orang lain. Sedangkan Pak Ungku dah memang muka 'Omputih', ada darah keturunan Barat terutama bangsa Turki, lahir dan membesar di London tidak berlagak membesarkan diri malah amat sayang Melayu. Hmm. Saya pula dah terlebih merapu...

Asmah memulakan jawaban dengan menyatakan bagaimana beliau boleh mengenali Pak Ungku sehingga terlibat dalam penulisan biografi yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa. Kata beliau banyak yang diperkatakan oleh Pak Ungku kepadanya perlu dirahsiakan kerana itu janji antara mereka. Namun boleh diceritakan pemerhatian sendiri berdasarkan pengalaman sejak mula mengenali Pak Ungku apabila masuk tahun 1963 sebagai penolong pensyarah di Fakulti Sastera UM yang mana Pak Ungku adalah dekan. Antara yang dinyatakan adalah bagaimana Pak Ungku mengangkat penghayatan Melayu dan Islam di universiti pada kala ia masih begitu kuat dipengaruhi legasi peninggalan kolonialisma Barat sebelum membawa kepada sumbangan lebih besar seperti penubuhan Tabung Haji. 

Apabila sampai giliran Osman sebagai panelis kedua untuk berbicara beliau terus ditanya apakah yang dikira sebagai sumbangan terbesar Pak Ungku kepada negara? Osman yang juga mula mengenali Pak Ungku di UM tahun 1960an tetapi sebagai pensyarah matematik menyatakan susah hendak menjawab itu kerana sumbangan Pak Ungku sangat banyak dan semuanya penting. Dapat memimpin UM sebagai naib canselor selama 20 tahun itu sendiri sudah penting dalam keadaan rata-rata orang lain dapat memegang jawatan sebegitu selama sepenggal sahaja (bersamaan lima tahun). Ini kerana ia penting untuk mengekalkan kestabilan dalam menentukan arah tuju institusi dan menjalankan segala macam polisi. Untuk penerangan lanjut sila ikuti sendiri rakaman majlis di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan