Isnin, Mac 22, 2021

Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Mati kereta dalam perjalanan dari Birmingham ke London

Salam semua. Nampaknya kadar perkongsian cerita-cerita lama saya semakin laju. Sekarang tinggal satu sahaja artikel untuk melengkap siri kecil ini. Seperti disebut dalam artikel sebelum ini iaitu Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Blackpool dan kebenaran yang muncul melibatkan Manchester yang dipersembahkan kurang 8 jam tadi walaupun ada maklumat baru bercanggah dengan apa yang saya ingat selama ini biar perjalanan terus dianggap berlaku pada musim panas tahun 1994.


Walau sudah 'goyang' akibat muncul maklumat baru daripada kawan-kawan lama malam tadi saya pasti ada singgah di bandar raya Birmingham selepas Manchester. Cuma tak ingat jika ada singgah mahupun menginap di tempat lain antara itu. Tetapi apabila melihat peta ini rasanya ada berhenti di Stoke on Trent juga Wolverhampton.


Yang ingat lagi dan terasa cukup pasti adalah kami tidak menginap di Birmingham atau sekitarnya. Walaupun ada pelajar Malaysia di sana seingat saya tidak ada menemui mereka. Walaupun sedikit kagum dengan fakta bahawa ia adalah bandar raya kedua terbesar di United Kingdom iaitu selepas London secara rata saya merasakan ia agak hodoh. Pada saya ia lebih menyerlahkan industri atau perusahaan dan kilang-kilang. Saya tidak minat perkara begini.

Seingat saya lagi saya dan teman wanita lama seperti mengejar waktu. Kami cuma masuk berjalan-jalan sebentar di tengah bandar raya sebelum meneruskan perjalanan ke arah London. Entah kenapa terkejar-kejar sangat itu? Ke sebab esoknya perlu memulangkan kereta kerana sudah cukup tempoh seminggu sewa? Mungkin...



Menurut Google Map laluan terdekat dari Birmingham ke London berjarak 191 km. Seperti biasa jarak dikira dari suatu titik pusat ke suatu titik pusat, bukan dari pinggir ke pinggir tempat. Kalau tidak tentu harus ditolak beberapa kilometer kerana dari pinggir ke pusat ada jarak yang terserlah jauh terutama di bandar-bandar. Misalnya jarak dari pusat bandar raya London ke pinggir lingkungan besar apa yang dipanggil sebagai Greater London boleh melebihi 25 km. 

Apa yang ingat memang ada mengambil lebuh raya dalam perjalanan ke London seperti dicadangkan oleh Google Map sebagai laluan terbaik dan terpantas. Cuba zaman itu tidak ada Google Map dan kemudahan telefon bimbit pintar seperti hari ini. Saya gunakan dan baca peta atas kertas secara manual. Masih ingat sampai suatu bahagian kereta tiba-tiba mati enjin. 

Ketika itu kami berada di fast lane atau jalur laju. Selepas berapa lama kereta tetap tidak dapat dihidupkan saya keluar untuk menolaknya lalu tempat wanita lama mengemudi. Saya ingat lagi harus menolak sehingga ke susur keluar terdekat. Nasib baik letaknya tidak berapa jauh dari tempat kereta mati. Tak ingatlah berapa kilometer tetapi tidak begitu jauh. Seterusnya saya menolak ke stesyen minyak yang juga tidak berapa jauh dari susur keluar. Alhamdulillah ternyata masalah kami cuma kehabisan minyak. 



Perjalanan pun diteruskan ke arah London. Ini adalah gambar lebuh raya berkenaan diambil menggunakan kemudahan Street View pada Google Map. Ia diambil berdekatan Luton kurang 100 km ke pusat bandar raya London. Seingat saya ketika kereta mati sudah tidak begitu jauh dari London. Namun ingatan seterusnya adalah kami sampai ke kawasan Bermondsey di London dalam keadaan gelap. Ia adalah tempat di mana keseluruhan perjalanan ini bermula .

Saya ingat bersama teman wanita menginap dalam kereta menunggu sehingga hari esok. Tujuannya adalah untuk memulangkan kereta ke bengkel tempat ia disewa pada siang hari. Saya ingat ada meletakkan kereta di lapangan berhadapan flat tempat pernah menyewa bilik seperti diceritakan dalam artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Sedikit kenangan kehidupan di London sebelum pusing ring road lalu ke Bradford. Cuma kini setelah mendapat maklum balas daripada kawan-kawan seperti diceritakan dalam artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Blackpool dan kebenaran yang muncul melibatkan Manchester nampaknya perjalanan berlaku dekat musim sejuk, bukan musim panas seperti diceritakan sebelum ini.

Ya. Sekarang baru ingat ada merasa begitu kesejukan dalam kereta menunggu siang hari. Musim sejuk juga boleh menjawab kenapa ketika sampai ke Bermondsey itu sudah gelap sedangkan perjalanan dari Birmingham boleh diliputi dalam tempoh kurang 3 jam dengan lebuh raya. Campur tempoh masa kereta mati lalu perlu ditolak keluar ke tempat minyak pun mungkin 4 jam sahaja. Adapun pada musim sejuk jam 3-4 petang sudah gelap. Nampaknya ini juga menjawab kenapa ketika memulakan perjalanan dengan membuat pusingan ring road keliling London hari sudah gelap sebelum pusingan selesai.

Apapun jarak perjalananan dari Birmingham sehingga sampai Bermondsey adalah sekitar 200 km. Kalau campur pusing-pusing di tengah bandar rasanya lebih 210 km. Sebagai mengakhiri artikel biar dua sahaja perkara lagi disentuh. Di manakah ada menginap dalam tempoh seminggu perjalanan selain apa yang sudah diceritakan dan berapakah jarak keseluruhan perjalanan. 

Dengan itu artikel-artikel terdahulu dirujuk seperti berikut :-

1. Perjalanan fasa pertama - jarak lebih 600 km (rujuk artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Sedikit kenangan kehidupan di London sebelum pusing ring road lalu ke Bradford). Malam pertama di Bradford

2. Fasa kedua - 80 km (rujuk Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Melawat kawan-kawan lama satu batch di West Yorkshire dan kenangan berkenaan.) Boleh jadi malam seterusnya di Leeds.

3. Fasa ketiga - 200 km (rujuk Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Blackpool dan kebenaran yang muncul melibatkan Manchester). Harus ada bermalam di Manchester.

4. Fasa keempat - 210 km (rujuk artikel ini). Jelas ada bermalam di Bermondsey, London sebelum memulangkan kereta.

Jarak keseluruhan diliputi menurut angka-angka ini adalah 1090 km (600 + 80 + 200 +210) . Ini boleh dibulatkan menjadi 1,100 km. Tentang tempat menginap atau bermalam cuma  empat sahaja dapat dinyatakan seperti di atas. Harus ada tiga malam lagi menginap entah di mana tapi tak ingat. Antaranya mungkin di Sheffield selepas Manchester. Tetapi oleh kerana tidak pasti maka tidak diambil kira perjalanan berkenaan. Kalau diambil kira boleh jadi perjalanan sebenar melepasi jarak 1,200 km.

Fakta bahawa kami berkejar dari Birmingham ke London menunjukkan enam malam sudah berlalu sebelum itu. Tinggal satu sahaja malam sebelum harus memulangkan kereta. Yang boleh difikirkan lagi adakah mungkin menginap di persekitaran Bradford-Leeds-Bradford (dalam mukim West Yorkshire) lebih daripada dua malam. Sekian cerita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan