Sabtu, Julai 18, 2020

Kompilasi cerita perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019

Salam awal pagi Sabtu 26 Zulkaedah 1441 Hijriah. Adapun dalam tempoh 2-3 minggu lalu saya telah mempersembahkan 2 artikel terakhir dalam siri yang dipanggil "Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019".  Demi melengkapkan gerak berkenaan hari ini biar disuakan artikel kompilasi bagi siri tersebut.



Sekadar berkongsi rasa, perjalanan dibuat dengan niat utama untuk membawa anak-anak melancong menikmati persekitaran air laut dan pulau-pulau di Krabi pada hujung tahun lalu. Untuk dua orang anak kecil kami yang masing-masing berumur 10 tahun dan 7 tahun lebih ketika itu ia boleh dikira sebagai hadiah setelah mereka dikhatankan bulan November. Untuk dua orang anak besar kami, seorang lepas SPM, seorang belajar di kolej pula ia adalah kali pertama mereka betul-betul dibawa berjalan ke luar negara. Sebelum ini mereka setakat pernah dibawa menyeberang masuk ke bandar Golok di sempadan Thailand sahaja, kali ini baru merasa pergi jauh. Secara fizikalnya perjalanan yang meliputi jarak 2,000 km atas darat ini selesai pada hari Krismas tahun 2019. Tetapi atas sebab tertentu cerita sebenarnya cuma dapat ditamatkan pada awal Julai 2020.