Selasa, Disember 01, 2020

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Meredah hujan lebat ke Cameron Highlands

Merujuk pada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Menggali kembali cerita lama hampir 23 tahun lalu yang dipersembahkan 22 November. Sekarang biar dimulakan penceritaan sebenar siri.



Sudah disebut dalam artikel pengenalan Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Menggali kembali cerita lama hampir 23 tahun lalu bahawa perjalanan ini berlaku selepas dibenarkan mengambil cuti iaitu setelah cukup setahun bekerja sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times. Surat ini menunjukkan saya mula masuk berkhidmat pada 16 September 1996. Oleh itu saya cukup setahun bekerja pada tarikh 15 September 1997. Selepas tarikh tersebut baru boleh mengambil cuti...



Ada juga diberitahu dalam artikel pengenalan bahawa saya diberikan tempoh pemerhatian setahun sebelum mendapat confirmation atau kepastian bekerja. Alhamdulillah kepastian ini diterima lebih awal iaitu pada 16 Mac iaitu selepas 6 bulan bekerja. Namun saya tetap perlu menunggu cukup setahun sebelum boleh memohon cuti. Soalnya bilakah masa paling sesuai kerana bercadang untuk menghabiskan terus cuti yang diperuntukkan bagi setahun bekerja (untuk tahun 1997) campur cuti secara pro rata bagi tahun 1996.



'

Gambar cukai jalan ini menunjukkan saya mula memiliki motosikal besar kesayangan jenama Yamaha Virago pada 12 Jun 1997. Motosikal inilah yang akan dibawa berjalan merata apabila pergi bercuti nanti. Adapun jawatan membenarkan cuti sehingga 28 hari setahun. Kalau dicampur cuti pro rata sejak berkhidmat 16 September tahun 1996 boleh dapat dalan 36 hari begitu. Campur pula cuti sehari setiap minggu (kalau tak salah ingatan memang sehari sahaja saya bercuti setiap minggu) ini boleh dipanjangkan menjadi 6 minggu atau 42 hari. Kalau ambil hujung tahun boleh campur cuti Hari Krismas dan Tahun Baru sekali.



Yang ingat memang saya bercuti panjang selama sebulan setengah. Tapi tak ingat setakat manakah semua itu digunakan untuk perjalanan bermotosikal besar ini. Apapun di atas adalah gambar saya di pusat peranginan Cameron Highlands. Saya ingat bahawa perjalanan dimulakan daripada rumah seorang bapa saudara di Bukit Damansara. 

Saya berada di sana bersama saudara mara untuk meraikan majlis pernikahan seorang sepupu. Masih dapat diingati bagaimana mereka kemudian memujuk agak bermalam di sana terlebih dahulu supaya dapat terus bergembira bersama sebelum memulakan perjalanan. Tetapi saya bertekad untuk meneruskan kerana sudah memilih tarikh. Walaupun langit menunjukkan hujan lebat akan turun tidak lama lagi digagahkan juga kerana itulah perangai diri ini... kalau sudah memilih suatu tarikh, detik dan masa akan cuba dilaksanakan pada waktunya tak kira walau apa yang melanda.




Saya bergerak lewat petang sekitar jam 6 gitu. Dengan menggunakan jalan lama ke Ipoh saya bergerak ke arah utara lalu meredah hujan yang amat lebat. Sampai di suatu tempat saya menginap tidur di sebuah hotel murah. Kalau tak salah ia adalah di pekan Tapah. Esoknya baru bergerak naik ke Cameron Highlands.

Ketika itu terdapat cuma satu sahaja jalan raya untuk turun naik ke Cameron Highlands. Pada gambar atas ini ada tarikh 22 dan waktu jam 16:45 atau 4: 45 petang saya berada di sebuah ladang teh tepian jalan di Cameron Highlands. Walaupun tidak disebut pada bulan mana gambar diambil saya tahu ia pada bulan Disember kerana masih ingat itu. Dengan ini dapat diketahui bahawa perjalanan dimulakan dari Bukit Damansara pada 21 Disember 1997. Semakan menggunakan program Gregorian to Hijriah Converter (boleh Google ini) menunjukkan tarikh tersebut jatuh pada hari Ahad. Tarikh Islamnya pula adalah 21 Sya'aban 1418 Hijriah.


Ya. Ketika itu sudah hampir masuk bulan puasa ataupun Ramadhan. Nampaknya saya telah mengambil cuti panjang satu setengah bulan bermula 21 Disember supaya dapat disambung terus dengan cuti Hari Raya. Di atas pula adalah gambar di pekan Tanah Rata, Cameron Highlands pada 23 Disember. Ia diambil setelah menginap satu malam.




Tarikh dan masa pada gambar seterusnya telah kabur tapi saya percaya ia masih di Cameron Highlands. Saya ingat ada menunggang motosikal sehingga ke jalan tar paling hujung utara di Kampung Raja malah masuk ke laluan tanah merah. Ketika itu satu kawasan sudah dibuka sebagai persediaan untuk membina laluan baru dari Cameron Highlands ke Simpang Pulai di Ipoh. Laluan tersebut dibuka beberapa tahun kemudian.


Ini pula setelah turun dari Cameron Highlands lalu bermalam di sebuah hotel murah. Sudah lupa lokasi tepat tetapi letaknya harus sama ada di Tapah atau mana-mana bandar menuju ke Ipoh. Tarikh 24 Disember jatuh pada hari Rabu sedangkan esoknya Hari Krismas. Untuk lakaran mudah peta perjalanan 21 hingga awal 24 Dis sebagai penutup artikel biar dianggap gambar diambil di Tapah.



Ini adalah lakaran mudah perjalanan setakat tahap itu. Kalau dicampur perjalanan pusing-pusing bandar dan sebagainya harus mendekati 320 km. Perjalanan kemudian diteruskan semakin jauh ke utara. Selain mahu singgah ke beberapa tempat saya mahu mencapai 'sudut' paling jauh ke utara dan barat Semenanjung.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan