Selasa, Oktober 06, 2020

Urusan di TV Alhijrah dan renungan terhadap politik semasa tanah air sekitar 23 September

Salam awal pagi buta Selasa 18 Safar 1442 Hijriah. Adapun saya memiliki sejumlah gambar menunjukkan aktiviti pada penghujung bulan September yang malas hendak dijadikan cerita. Tapi tengah malam tadi timbul rasa yang kuat agar dilepaskan cerita-cerita berkenaan agar gerak fikiran menjadi lebih teratur lalu lebih jelas apakah yang patut dilakukan seterusnya.


Rabu 23 September. Selepas menghantar anak-anak ke sekolah agama jam 2 petang saya hendak bergerak ke Kuala Lumpur untuk satu urusan. Terlihat nombor meter kereta terasa hendak berhenti  mengambil gambar...


Saya ni memang ada gila-gila nombor. Entah apakah tanda mahu ditunjukkan oleh nombor-nombor yang kelihatan? Yang pasti, bagi saya nombor 55 dan 44 ada makna-makna tertentu melibatkan pasangan hidup. Nombor 393 pula adalah bersamaan 3 x 131 atau 131 x 3. Nombor 131 bagi saya membawa makna home sweet home atau rumahku syurga. 313 pula adalah jumlah orang Islam yang terlibat dalam Perang Badar...


Oh. Tiba-tiba teringat. Kurang seminggu lalu iaitu pada hari Rabu malam Khamis 30 Sept saya telah mempersembahkan artikel ke-393 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Lihat Gerakan bertanjak semenjak mengenalinya tahun 2012. Cerita dalam artikel yang sedang anda tatap ini pula berlaku tepat seminggu lebih awal. Kalau cerita dipersembahkan dalam tempoh waktu itu tentu tidak boleh dikaitkan nombor 393 pada meter kereta dengan artikel tentang gerakan bertanjak.


Apapun dari kawasan perumahan di Sungai Buaya saya masuk ke Lebuh Raya PLUS. Ternampak dua buah trak polis yang biasa digunakan untuk mengawal rusuhan menuju ke arah KL juga. Apakah ada sesuatu sedang berlaku di ibu negara?


Teringat pula tengah hari itu ada kawan menghantar keratan berita dalam WhatsApp Group menyatakan bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim telah membuat pengumuman mendakwa beliau kini memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan. Dan menurut beliau kerajaan yang sedang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN = Perikatan Nasional) sudah jatuh.



Walaupun tertanya-tanya apakah sebenarnya sedang berlaku saya ketepikan dahulu daripada fikiran. Tumpukan pada tujuan utama ke KL iaitu mahu ke stesyen TV Alhijrah untuk satu urusan. Malam sebelumnya ada pihak menghubungi mengajak untuk bersama dalam satu projek penerbitan. Saya pun diajak bertemu di stesyen untuk berbincang.



Menariknya sebaik sahaja meletakkan kereta dalam kawasan Masjid Negara iaitu di hadapan bangunan Pusat Islam di mana pejabat TV Alhijrah terletak orang tersebut pun sampai ke tempat sama bersama pembantunya. Walhal kami tidak berjanji pun hendak bertemu di situ. Fikir saya dah masuk Pusat Islam  nanti baru telefon bertanya di manakah mereka...


Begitulah Allah SWT mengatur pertemuan. Baru kenal beberapa jam sudah boleh berkongsi misi yang sama tentang hal tertentu. Ini adalah di kawasan menunggu TV Alhijrah. Keadaan seperti di bawah pokok mengingatkan pada bahagian serupa di sebuah perpustakaan di Shah Alam. Lihat gambar terakhir pada artikel Forum Menafasi Pusaka Kekuatan Umat Melayu Akhir Zaman di Perpustakaan Shah Alam.



Studio penggambaran TV Alhijrah.



Ada beberapa ruang diperuntukkan bagi penggambaran, ada yang dibuat secara rakaman, ada secara siaran langsung.



Beginilah saya berpakaian petang itu. Memang saya suka berbusana tradisional Melayu penuh apabila ada kesempatan...


Gambar ini pula diambil setelah selesai urusan. Kelihatan bangunan PNB 118 yang sedang masih dalam pembinaan daripada satu bahagian serambi atas Masjid Negara.


Saya singgah untuk menunaikan solat Asar. Setelah itu baru mengikuti perkembangan semasa di Internet.



Di ruang luar inilah saya melihat rakaman video sidang media menunjukkan Anwar Ibrahim dengan penuh yakin mengumumkan dakwaan beliau sudah memiliki cukup majoriti sokongan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baru. Tanpa ragu-ragu beliau menyatakan kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin Yassin sudah jatuh. Cuma perkara ini belum dapat dipersembahkan lagi kepada Yang di-Pertuan Agong kerana baginda masuk wad akibat masalah kesihatan. 

Adus. Pening, fikir saya. Orang tengah sibuk pasal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk menghalang sebaran virus COVID-19 dia pula sibuk nak tukar kerajaan...


Pening, pening. Ya Allah. Apa nak jadi pada negara Malaysia ini ya Allah? Dalam perjalanan hendak keluar daripada halaman di hadapan dewan utama solat terlihat laluan ke Makam Pahlawan. Ah. Sudah beberapa kali ke Masjid Negara tetapi seingat saya tidak pernah masuk ke kawasan pemakaman yang menempatkan jasad beberapa orang tokoh besar negara. Saya pun mengorak langkah untuk masuk ke sana...



Tetapi dihalang pula oleh petugas masjid. Kata beliau makam ditutup akibat PKP. Cuma boleh melihat dari jauh bahagian luar.



Saya meninggalkan Masjid Negara hampir jam 6.30. Terus menuju ke rumah seorang kawan lama di Sri Hartamas...



Selepas berehat kemudian menunaikan solat Maghrib di rumah kawan kami ke restoran mamak berdekatan lalu bertemu dua orang lagi kawan lama. Sekadar berkongsi... kami dahulu pernah duduk sebilik semasa zaman kolej mengaji peringkat A Level tahun 1988-1990 iaitu sebelum menyambung ke peringkat ijazah di United Kingdom. Semenjak PKP mula dilaksanakan 18 Mac inilah kali pertama saya keluar makan minum bersama mereka. Pertemuan untuk minum teh tarik ini ada kena-mengena dengan satu Live Facebook yang dibuat beberapa hari sebelum itu. Dipaparkan satu lagak spontan ala Rap dengan tema "Lepak Mamak" lalu ada memberikan maklum balas "Lama sangat tak ngeteh". Lihat sini.



Maklum balas tersebut menyebabkan tergerak untuk mengajak kawan-kawan untuk keluar 'mengeteh'. Cuma ketika itu tak tahu bila kerana rumah mereka terletak lebih 40 km dari rumah saya. Dan susah untuk menetapkan satu masa dah tarikh kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya. Bila dah pasti hendak ke KL seperti berlaku pada hari itu baru boleh diajak bertemu. Nasib baik mereka tiada urusan di luar kawasan pada waktu itu.

Untuk makluman ini adalah artikel ke-1,955 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Kalau dipersembahkan lebih awal tentu artikel lain mendapat tempat tersebut. Sesungguhnya artikel lain itu juga amat bermakna malah tajuknya iaitu Gerakan bertanjak semenjak mengenalinya tahun 2012 dan segala isinya adalah sama seperti artikel ke-393 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Tetapi tentu ada sebabnya artikel ini yang ceritanya asalnya malas hendak dikongsikan boleh terkeluar pagi buta ini lalu menjadi artikel ke-1,955.



4 ulasan:

  1. Assalamualaikum..
    Macamna saya nk menghubungi tuan.. Rasanya kita ada kaitan susur galur keturunan Wali Songo.. Dan tuan tau x tentang Kubur Keramat Lebai Kadir di Lahaq Ikan Mati di Kepala Batas.. Rasanya bnyk perkara yg kita boleh berkongsi cerita.. Saya sedang menjejak susur galur Keturunan arwah Moyang Abas.. Dan arwah Moyang3... Lebai Abd. Kadir.. Sila hubungi saya 01121046274

    BalasPadam
  2. Wassalam. Kenapa tuan kata begitu? Wali Songo yang mana?

    Maaf. Saya tak tahu tentang Lebai Kadir mahupun Moyang Abas.

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum.. saya ada mengikuti forum cik srikandi sejarah... Saya tidak faham dengan maksud "city-states" atau negarakota.. boleh saudara Radzi Sapiee terangkan?

    BalasPadam
  4. Wassalam. Maksud mudahnya adalah negara itu terdiri daripada kota. Kota itulah negara. Contoh pada zaman sekarang adalah negara Singapura. Seluruh negaranya terdiri daripada kota. Begitu juga Monaco di selatan Perancis. Tetapi itu adalah negara-negara yang bersaiz kecil. Bagaimana pula bagi negara2 besar?

    Negara2 besar seperti Amerika Syarikat bukanlah negara-kota. Ia mengandungi banyak kota selain kawasan kampung, hutan dan padang pasir. Malaysia pun lebih kurang begitu. Tetapi pada zaman lampau konsep sempadan negara tidak seperti pada hari ini. Kita ambil negara Greece di Eropah misalnya. Sempadan modennya mengandungi banyak kota seperti Athens dan sebagainya sedangkan negara itu sendiri berada di bawah satu pemerintahan. Tetapi pada zaman dahulu setiap kota besar memiliki pemerintah sendiri yang bebas daripada yang lain kecuali setelah disatukan di bawah satu empayar. Namun kota2 tetap memiliki pemerintah sendiri yang tarafnya seperti raja. Itulah konsep negara-kota. Kota itu adalah negara. Kawasan sekeliling iaitu di luar kota dikira sebagai ceruk rantau dan jajahan takluknya. Konsep serupa pernah terpakai di Tanah Melayu walau tidak dinamakan sebagai negara-kota.

    BalasPadam