Jumaat, Ogos 07, 2020

Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Muar-Pagoh-Gunung Ledang-Jelai

Salam petang Jumaat 17 Zulhijjah. Hari ini biar dibuat perkongsian cerita daripada sekitar sambutan Aidil Adha seminggu lalu.



Gambar ini diambil selepas menunaikan solat Jumaat berjemaah di Masjid Jamek Muar tepat seminggu lalu.



Syukur sungguh rasanya dapat menunaikan solat Jumaat di masjid tempat saya selalu bermain-main berlari sakan memanjat turun naik bangunan ketika zaman budak-budak tahun 70an hingga awal 80an. Maklumlah sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) demi mengekang penyebaran virus Covid-19 dimulakan 5 bulan lalu ruang solat di mana-mana masjid menjadi terhad. Kalau terlambat sedikit sampai atau tak cukup syarat tak boleh masuk bersolat.



Syukur juga kerana pada awal pagi itu, pagi Jumaat 10 Zulhijjah 1441 Hijriah saya sempat menunaikan solat sunat Aidil Adha berjemaah di Masjid Kampung Treh berdekatan rumah ibu bapa di Kampung Temiang, 5 km ke timur laut bandar Muar. Sebelum ini ada kebimbangan kerana terdengar desas-desus mengatakan cuma penduduk tempatan sahaja boleh menunaikan solat Aidal Adha di masjid-masjid setempat. Sedangkan saya sudah 33 tahun meninggalkan tempat kelahiran dan membesar saya di Muar, 12 tahun kebelakangan sudah jadi orang Selangor iaitu di Rawang.



Ini pula di satu bahagian Sungai Muar berdekatan rumah ibu bapa pada waktu petang... selepas puas membawa isteri dan anak-anak keluar berjalan-jalan. Saja nak tunjuk bagaimana saya berpakaian pada hari Jumaat itu sambil menyambut Aidil Adha atau Raya Haji...


Adapun kami sekeluarga sampai dari Rawang selepas jam 3 awal pagi Jumaat. Alhamdulillah dapatlah beraya bersama ibu bapa yang kedua-duanya sudah berumur 78 tahun juga bersama adik-adik saya dan keluarga-keluarga mereka. Sabtu selepas Zuhur kami pun mengorak langkah kembali ke Rawang.


Tapi kami tak terus kembali ke rumah. Kami berjalan-jalan dahulu dengan bergerak ke arah Pagoh lalu melihat-lihat kawasan yang sudah dijadikan hab pendidikan tinggi menempatkan cawangan 3 buah universiti awam dan sebuah politeknik tempatan.


Singgah pula di Kampung Raja, Pagoh di mana terdapatnya satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih terjaga dan dapat dikenalpasti kedudukannya pada zaman moden.


Inilah makam Sultan Alauddin Riayat Syah yang disebut sebagai "wali Allah yang terpilih". Cerita-cerita berkenaan boleh dirujuk dalam artikel Acara kesebelas HIKMAH di masjid dan makam Sultan Alauddin Riayat Shah (Melaka), Pagoh, Muar 8 Nov 2014 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).

Saja selfie atau berswafoto. Rasanya sudah lebih setahun juga tak singgah walaupun ada balik ke Muar 3-4 kali dalam tempoh waktu itu.


Dari Kampung Raja kami bergerak ke pekan Panchor. Niatnya nak makan tengah hari lewat masakan tempatan. Tapi satu kedai yang terkenal dengan mee bandung udang galah daripada Sungai Muar di sebelah tutup, satu kedai lain yang ada masakan asam pedas pelbagai jenis ikan pula dah habis lauk...


Kami pun mengambil jalan ke Grisek kemudian ke Bukit Gambir. Membelok pula ke arah Gunung Ledang dengan niat hendak bawa anak-anak mandi terjun. Tetapi ia ditutup akibat PKP. Lihat artikel A brief excursion to Gunung Ledang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Ini adalah di pekan seterusnya iaitu Jementah. Selepas itu kami mengambil jalan pintas menghala ke pekan Gemas.

Di Gemas baru kami berhenti makan. Kira makan tengah hari campur minum petang jam 5.30.


Dekat jam 6.30 baru sampai ke destinasi terakhir kami bagi hari itu iaitu rumah akak isteri di Felda Jelai, Negeri Sembilan. Esoknya akan berlaku perjalanan yang lebih menarik di mana kami dapat menjejak beberapa buah masjid lama berusia sekitar 100 tahun atau lebih walaupun ini asalnya langsung tiada dalam rancangan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan