Selasa, Januari 07, 2020

Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Ke destinasi utama walau terlewat satu hari

Salam 7 Januari 2020 bersamaan 11 Jamadilawal 1441 Hijriah. Masuk pada cerita hari ke-4 perjalanan saya dan keluarga ke selatan Thailand baru ini. Bersambung daripada artikel Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Patah sayap bertongkat paruh tetap kami melangkah ke sasaran.


Pagi Khamis 19 Disember 2019. Keluar sebentar daripada hotel tempat kami menginap di Hatyai sementara isteri dan anak-anak terus berehat.


Selepas menghirup udara luar bawah saya naik ke lantai tertinggi dapat dicapai di hotel. Ia memberikan pemandangan menarik bagi kota yang merupakan terbesar di Thailand selatan dari Bangkok. Lihat artikel Views from top floor of Hatyai's Central Hotel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Menuju kembali ke bilik di tingkat 6 kelihatan papan tanda kecemasan. Lihat betapa lentiknya orang-orang yang lari daripada api itu. Ni 'aw-awa' ke pompuan? :]


Jam 12 tengah hari baru bersedia untuk meninggalkan hotel.


Sesungguhnya setelah melalui cabaran kereta rosak yang boleh sahaja membatalkan langsung  perjalanan lega sungguh kami sudah sampai dan menginap satu malam di selatan Thailand. Rujuk kembali cabaran dan perasaan yang dinyatakan dalam 3 artikel terdahulu :-





Sekarang sampai masanya untuk bergerak ke destinasi utama bagi perjalanan ini iaitu Krabi lebih 270 km ke arah utara Hatyai. Tanpa perlu menunggu lama dapat kenderaan tuk-tuk di luar hotel dengan harga berpatutan ke stesyen utama bas. Kalau tak kami ambil Grab...


Yang bawa pun orang Melayu tempatan, seorang pakcik tua yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Harga tak banyak beza dengan Grab bagi jarak yang sama malah ruangan lebih selesa dan luas lagi.


Seronok anak bongsu kami si Johan. Dia memang suka naik tuk-tuk. Tapi katanya paling best adalah di Cambodia penghujung tahun 2018 terutama di Siem Reap dan Kampong Cham. Di kedua-dua tempat ini kami naik tuk-tuk yang buatannya kelihatan seperti kereta kuda ditarik dengan motosikal. Lihat artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Siem Reap sebagai tapak permulaan penjelajahan diikuti Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Antara tarikan purba kuil Preah Vihear dengan panggilan keMelayuan Kampong Cham.


Pakcik tersebut menunjukkan kami sebuah kedai Muslim halal yang terdekat dengan kaunter tiket bas ke Krabi. Diturunkan kami dengan pesan jangan dilayan nanti orang-orang yang menawarkan tiket di luar kaunter. Mereka memang nak ambil untung lebih.


Selepas makan tengah hari puas-puas kami pun ke kaunter. Sebetulnya hari sebelumnya pun saya sudah meneliti harga dan senarai tambang serta kenderaan ke Krabi melalui Internet. Dengan terus pergi ke kaunter bas tempatan tanpa melalui ejen kami mendapat harga tiket yang lebih separuh murah berbanding apa yang biasa disuakan kepada pelancong dalam Internet.


Dan alhamdulillah juga dapat bas yang sudah mahu bergerak jam 1.30 petang. 


Ia sebenarnya adalah bas ke Phuket yang membuat perhentian di stesyen Krabi.


Basnya cukup selesa. Kami 6 beranak  'conquer' 2 baris tempat duduk di belakang...


Jam 4 berhenti di kota Trang untuk penumpang makan dan sebagainya.


Letaknya lebih sedikit separuh perjalanan ke Krabi.


Menurut rancangan asal sepatutnya hari sebelumnya iaitu petang Rabu  18 Disember kami sudah selamat sampai lalu mendaftar masuk ke sebuah hotel di Krabi.


Menurut rancangan itu lagi sepatutnya siang hari Khamis itu 19 Disember pula dipenuhi dengan perjalanan menaiki bot melawat beberapa pulau di luar pantai Ao Nang 16 km ke timur bandar Krabi.


Tapi apa nak buat? Rancangan memandu kereta sendiri pusing selatan Thailand sudah bertukar menjadi perjalanan backpackers atau merantau dengan beg sandang akibat kerosakan kereta. Jam 6.45 baru sampai ke stesyen bas Krabi. Ketika itu sudah gelap, masuk malam Jumaat. Di situ sudah masuk Maghrib sekitar jam 6.10 waktu tempatan yang bersamaan 7.10 waktu Malaysia.


Kami makan malam dahulu di sebuah kedai berdekatan.


Jam 7.43 baru naik tuk tuk ke hotel mendekati pantai Ao Nang.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan